Kedamaian—Cara untuk Memperolehnya
KITA hidup dalam dunia yang huru-hara. Maka kita perlu berusaha keras untuk memperoleh dan memelihara kedamaian. Bagaimanakah Firman Tuhan membantu kita menemui kedamaian sejati yang berkekalan? Bagaimanakah kita dapat membantu orang lain menikmati kedamaian sebegini?
KEDAMAIAN SEJATI—KUNCINYA?
Untuk menikmati kedamaian sejati, kita mesti rasa selamat dan sejahtera, dan menjalin persahabatan yang erat dengan orang lain. Penting sekali, untuk menikmati kedamaian yang berkekalan, kita perlu menjadi sahabat karib Tuhan. Bagaimana?
Kekhuatiran hidup meragut kedamaian banyak orang
Dengan mematuhi perintah dan prinsip Yehuwa yang adil, kita menunjukkan bahawa kita yakin pada-Nya dan ingin menjadi sahabat-Nya. (Yer. 17:7, 8; Yak. 2:22, 23) Apabila kita berbuat demikian, Dia akan menghampiri kita dan memberi kita ketenteraman batin. Yesaya 32:17 menyatakan, “Keadilan yang sejati akan membawa kedamaian dan mendatangkan ketenteraman dan keamanan yang berkekalan.” Ya, apabila kita mentaati Yehuwa dengan sepenuh hati, kita akan merasai kedamaian sejati.—Yes. 48:18, 19.
Bapa kita di syurga juga membantu kita mendapat kedamaian yang kekal melalui satu kurniaan yang berharga—kuasa suci-Nya.—Kis. 9:31.
KUASA SUCI TUHAN BANTU KITA MEMUPUK KEDAMAIAN
Dalam senarai Paulus tentang “buah kuasa suci,” kedamaian ialah aspek yang ketiga. (Gal. 5:22, 23) Oleh sebab kedamaian sejati ialah hasil kuasa suci Tuhan, kita mesti mengikut bimbingan kuasa itu untuk memupuk kedamaian sejati. Mari kita lihat dua cara kuasa suci Tuhan membantu kita.
Pertama, kita dibantu untuk memupuk kedamaian dengan membaca Bible secara tetap. (Mzm. 1:2, 3) Semasa kita merenungkan mesej Bible, kuasa suci Tuhan akan bantu kita memahami fikiran Yehuwa. Contohnya, kita akan faham bagaimana Dia berusaha memulihkan kedamaian dan sebabnya kedamaian begitu penting bagi-Nya. Apabila kita menerapkan pengajaran sebegini daripada Bible, kita merasai kedamaian yang lebih besar dalam hidup kita.—Ams. 3:1, 2.
Kedua, kita mesti berdoa memohon kuasa suci Tuhan. (Luk. 11:13) Yehuwa berjanji bahawa jika kita memohon bantuan-Nya, “kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran [kita] melalui Kristus Yesus.” (Flp. 4:6, 7) Apabila kita berdoa meminta kuasa suci Yehuwa, Dia akan memberi kita kedamaian yang hanya dinikmati oleh sahabat akrab-Nya.—Rm. 15:13.
Bagaimanakah sesetengah orang mengikut nasihat Bible dan membuat perubahan agar dapat berdamai dengan Yehuwa, diri sendiri, dan orang lain?
MEREKA MENEMUI KEDAMAIAN YANG KEKAL
Dalam sidang, terdapat sesetengah orang yang dahulunya “cepat marah” tetapi sekarang lebih bertimbang rasa, baik hati, sabar, dan suka berdamai dengan orang.a (Ams. 29:22) Lihatlah pengalaman dua orang penyiar yang dibantu mengatasi kemarahan dan berdamai dengan orang lain.
Untuk mendapat kedamaian, kita perlu mengamalkan prinsip Bible dan memohon kuasa suci Tuhan
Pertuturan David dipengaruhi sikapnya yang buruk. Sebelum membaktikan diri kepada Tuhan, dia sering mengkritik orang lain dan bercakap kasar dengan keluarganya. Kemudian, David sedar dia perlu berubah dan memupuk kedamaian. Apakah yang membantunya? Dia berkata, “Saya mula mengamalkan prinsip Bible. Hasilnya, saya dan ahli keluarga lebih menghormati satu sama lain.”
Latar belakang Rachel mempengaruhi sikapnya. Dia mengaku, “Sampai sekarang saya masih bergelut dengan perasaan marah sebab saya dibesarkan dalam keluarga yang panas baran.” Apakah yang membantunya suka akan kedamaian? Dia menjawab, “Berdoa dan bergantung pada Yehuwa.”
Contoh David, Rachel, dan banyak orang lagi, membuktikan bahawa apabila kita menerapkan prinsip Bible dan bergantung pada kuasa suci Tuhan, kita pasti akan meraih hasil yang baik. Jelaslah, meskipun dunia ini penuh dengan sikap permusuhan, kita dapat memiliki ketenangan batin dan hidup harmoni dengan keluarga dan rakan seiman. Namun, Yehuwa ingin kita “berdamai dengan semua orang.” (Rm. 12:18) Dapatkah kita melakukannya? Apakah hasilnya jika kita berusaha berdamai dengan semua orang?
BERUSAHA BERDAMAI DENGAN ORANG LAIN
Dengan menyebarkan berita tentang Kerajaan Tuhan, kita membantu orang memiliki kedamaian. (Yes. 9:6, 7; Mat. 24:14) Ramai orang menerima bantuan ini dan tidak lagi berasa marah atau putus asa kerana masalah di sekeliling mereka. Kini mereka mempunyai harapan yang cerah dan ‘berusaha untuk mendapatkan dan mengejar kedamaian.’—Mzm. 34:14, nota kaki.
Namun, bukan semua orang sudi menyambut berita baik. (Yoh. 3:19) Dalam keadaan sedemikian, kuasa suci Tuhan membantu kita agar memelihara kedamaian dan bersikap hormat, supaya kita dapat mengikut arahan Yesus di Matius 10:11-13, “Semasa kamu memasuki rumah orang, berikanlah salam kepada orang yang ada di dalam rumah itu. Jika mereka layak, mereka akan diberkati. Jika tidak, biarlah berkatmu kembali kepada kamu.” Apabila kita mengikut nasihat Yesus, kita dapat beredar dengan tenang dan berharap agar orang itu rela mendengar berita baik pada kelak hari.
Kita juga menyumbang kepada kedamaian dengan bersikap hormat terhadap pegawai kerajaan, termasuk mereka yang mungkin menentang kerja kita. Contohnya, kerajaan di sebuah negara Afrika tidak meluluskan projek pembinaan Dewan Perjumpaan kerana prasangka terhadap kita. Untuk menyelesaikan perkara itu dengan cara yang damai, seorang saudara yang pernah berkhidmat sebagai mubaligh di negara itu ditugaskan untuk melawat duta negara itu di London, England, dan memberitahunya bagaimana Saksi di situ menjalankan kerja mereka dengan damai. Apakah hasil lawatan itu?
Saudara itu berkata, “Semasa saya tiba, saya memerhatikan pakaian penyambut tetamu di situ. Saya fikir wanita itu mungkin berasal daripada sebuah suku kaum yang bahasanya saya kenali, jadi saya berikan salam dalam bahasa itu. Dia terkejut lalu tanya, ‘Apa tujuan kamu datang?’ Dengan sopan, saya memberitahunya bahawa saya ingin jumpa dengan dutanya. Dia menelefon pegawai itu, lalu pegawai itu keluar dan bersalam dengan saya dalam bahasa sukunya. Selepas itu, dia mendengar dengan teliti semasa saya menjelaskan bagaimana Saksi-Saksi menjalankan kerja mereka dengan damai.”
Setelah mendengar penjelasan saudara itu yang diberikan dengan penuh hormat, pegawai tersebut tidak lagi salah faham dan berprasangka terhadap kerja kita. Beberapa waktu kemudian, kerajaan di negaranya tidak lagi menyekat projek pembinaan kita. Hasil yang sungguh menggembirakan! Ya, apabila kita bersikap hormat, kita akan menuai banyak hasil yang baik, termasuk kedamaian.
NIKMATI KEDAMAIAN SELAMA-LAMANYA
Hari ini, umat Yehuwa menikmati firdaus rohani yang aman damai. Dengan memupuk kedamaian, salah satu daripada buah kuasa suci Tuhan, anda bukan sahaja menyumbang kepada suasana itu, malah akan mendapat perkenan Yehuwa dan menikmati kedamaian yang kekal dan melimpah di dunia baharu-Nya.—2 Ptr. 3:13, 14.
a Sifat kebaikan hati akan dibincangkan kelak dalam siri rencana ini mengenai buah kuasa suci Tuhan.