Sains dan Kisah Kejadian
Menurut dakwaan ramai orang, sains membuktikan bahawa kisah penciptaan di dalam Bible adalah salah. Pada hakikatnya, sains dan Bible tidak bercanggahan. Yang bercanggahan itu ialah sains dan pendapat para Fundamentalis Kristian. Sesetengah kumpulan fundamentalis ini salah mendakwa bahawa menurut Bible, semua ciptaan fizikal dihasilkan kira-kira 10,000 tahun dahulu dalam masa enam hari, dan panjang setiap hari itu ialah 24 jam.
Walau bagaimanapun, Bible tidak menyokong kesimpulan sedemikian. Jika Bible menyokong kesimpulan itu, maka penemuan saintifik sepanjang abad yang lalu akan menimbulkan keraguan terhadap kesahihan Bible. Tetapi penelitian ayat-ayat Bible menunjukkan bahawa fakta saintifik yang terbukti tidak bercanggahan dengan Bible. Itulah sebabnya, Saksi-Saksi Yehuwa tidak bersetuju dengan para Fundamentalis Kristian dan individu lain yang percaya bahawa semua ciptaan fizikal dihasilkan dalam masa enam hari yang harfiah. Berikut menunjukkan apa yang sebenarnya diajarkan dalam Bible.
Buku Kejadian tidak mengajarkan bahawa bumi dan alam semesta diciptakan beberapa ribu tahun dahulu, dalam masa enam hari yang masing-masing panjangnya 24 jam
Bilakah “Mulanya”?
Kisah dalam buku Kejadian membuka dengan penyataan yang ringkas lagi berkesan, ‘Pada mulanya Tuhan menciptakan alam semesta.’ (Kejadian 1:1, nota kaki) Sebilangan cendekiawan Bible bersetuju bahawa penyataan ini menggambarkan peristiwa yang berbeza daripada hari-hari penciptaan yang dinyatakan dari ayat 3. Implikasinya sangat mendalam. Menurut kata-kata pembukaan Bible, alam semesta, termasuk Bumi kita, sudah lama wujud sebelum hari-hari penciptaan bermula.
Ahli geologi menganggarkan bahawa bumi kita berusia 4 bilion tahun, dan ahli astronomi menghitung bahawa alam semesta mungkin berusia 15 bilion tahun. Adakah penemuan ini—atau penemuan lain yang mungkin diperoleh pada masa depan—bercanggah dengan ayat di Kejadian 1:1? Tidak. Bible tidak menyatakan umur sebenar “alam semesta.” Maka sains tidak bertentangan dengan Bible.
Berapa Panjangkah Hari-hari Penciptaan?
Bagaimana pula dengan panjang hari-hari penciptaan? Adakah panjang setiap hari itu 24 jam? Menurut sesetengah orang, penulis buku Kejadian, iaitu Musa, merujuk kepada hari ketujuh (hari selepas enam hari penciptaan) sebagai pola untuk hari Sabat mingguan orang Israel. Maka, mereka menyimpulkan bahawa panjang setiap hari penciptaan ialah 24 jam. (Keluaran 20:11) Tetapi adakah kata-kata dalam buku Kejadian menyokong kesimpulan ini?
Tidak sama sekali. Sebenarnya, perkataan Ibrani yang diterjemahkan “hari” boleh merujuk kepada tempoh yang panjangnya berbeza-beza, dan bukan sekadar tempoh masa 24 jam. Misalnya, semasa Musa merumuskan hasil ciptaan Tuhan, dia merujuk kepada semua enam hari penciptaan sebagai satu hari.a (Kejadian 2:4) Tentu sekali, tiada sebarang dasar dalam Bible untuk menyatakan bahawa panjang setiap hari penciptaan ialah 24 jam.
Jadi, berapa panjangkah hari-hari penciptaan itu? Bible tidak memberitahu kita. Namun, kata-kata di Kejadian bab 1 dan 2 menunjukkan bahawa hari-hari itu melibatkan tempoh yang agak panjang.
Enam Tempoh Penciptaan
Musa menulis buku Kejadian dalam bahasa Ibrani, dan dia menulisnya dari sudut pandangan seseorang di bumi. Kedua-dua fakta ini serta pengetahuan bahawa alam semesta sudah wujud sebelum bermulanya tempoh (atau hari) penciptaan, membantu menyingkirkan banyak kontroversi mengenai kisah penciptaan. Bagaimana?
Peristiwa yang bermula pada satu “hari” kadangkala berlanjutan hingga “hari-hari” yang berikutnya
Jika kita meneliti kisah Kejadian, kita mendapati bahawa peristiwa yang bermula pada satu “hari” kadangkala berlanjutan hingga ke “hari-hari” yang berikutnya. Sebagai contoh, sebelum “hari” penciptaan yang pertama bermula, cahaya daripada matahari yang sudah lama wujud tidak sampai ke muka bumi, mungkin kerana terhalang oleh lapisan awan yang sangat tebal. (Ayub 38:9) Tetapi pada “hari” penciptaan yang pertama, halangan ini mula menghilang, lalu sedikit cahaya dapat menembusi atmosfera.b
Pada “hari” penciptaan yang kedua, atmosfera menjadi semakin telus lalu menghasilkan ruang yang memisahkan awan-awan yang tebal dengan lautan. Pada “hari” keempat, keadaan atmosfera membolehkan seseorang di bumi melihat matahari dan bulan “di langit.” (Kejadian 1:14-16) Semua peristiwa ini berlaku secara beransur-ansur.
Kisah Kejadian juga menyatakan bahawa “berjenis-jenis burung” mula muncul pada “hari” kelima. Dalam bahasa asal, iaitu bahasa Ibrani, “burung” boleh merangkumi serangga yang boleh terbang dan makhluk bersayap selaput.
Kata-kata yang digunakan dalam Bible membantu kita untuk menyimpulkan bahawa sesetengah peristiwa penting pada setiap “hari,” atau tempoh penciptaan, mungkin berlaku secara beransur-ansur, dan bukannya secara serta-merta. Barangkali ada juga yang berlarutan hingga ke “hari-hari” penciptaan yang berikutnya.c
Mengikut Jenisnya
Adakah kemunculan tumbuhan dan haiwan secara beransur-ansur bererti bahawa Tuhan menggunakan evolusi untuk menghasilkan beraneka jenis benda hidup? Tidak. Catatan Bible jelas menunjukkan bahawa Tuhan menciptakan semua “jenis” tumbuhan dan haiwan yang asas. (Kejadian 1:11, 12, 20-25) Adakah “jenis” tumbuhan dan haiwan yang asal ini diprogramkan dengan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran yang berubah-ubah? Apakah yang menentukan sempadan setiap “jenis” haiwan dan tumbuhan? Bible tidak memberitahu kita. Namun, Bible menyatakan bahawa Tuhan menciptakan makhluk-makhluk hidup mengikut jenisnya. (Kejadian 1:21) Penyataan ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa jumlah variasi yang boleh wujud dalam suatu “jenis” tumbuhan atau haiwan ada batasnya. Catatan fosil dan kajian moden menyokong idea bahawa kategori asas tumbuhan dan haiwan tidak banyak berubah meskipun tempoh yang sangat panjang telah berlalu.
Kajian moden mengesahkan bahawa semua benda hidup membiak mengikut jenisnya
Seperti yang telah kita pelajari, sesetengah fundamentalis keagamaan mendakwa bahawa alam semesta, termasuk bumi dan semua hidupan di bumi, telah diciptakan dalam tempoh yang pendek tidak lama dahulu. Tetapi buku Kejadian tidak mengajarkan hal ini. Sebaliknya, aspek-aspek yang digambarkan dalam buku Kejadian tentang penciptaan alam semesta dan kemunculan kehidupan di bumi adalah selaras dengan penemuan saintifik baru-baru ini.
Ramai ahli sains menolak penyataan Bible bahawa Tuhan menciptakan segala sesuatu kerana mereka berpegang pada falsafah sendiri. Walau bagaimanapun, yang menariknya, Musa yang menulis buku Kejadian dalam Bible mengatakan bahawa alam semesta mempunyai permulaan dan bahawa kehidupan muncul secara berperingkat, secara progresif, dan menjangkau beberapa “hari” atau tempoh waktu. Bagaimanakah Musa mendapat maklumat sedemikian yang tepat secara saintifik rata-rata 3,500 tahun dahulu? Hanya satu penjelasan yang logik dapat menjawab soalan ini. Individu yang mempunyai kuasa dan kebijaksanaan untuk menciptakan langit dan bumi tentu dapat memberi pengetahuan yang tepat secara saintifik ini kepada Musa. Hal ini memperkukuh kenyataan bahawa Bible ‘diilhami oleh Tuhan.’d—2 Timotius 3:16.
Namun, anda mungkin tertanya-tanya, “Apakah perbezaannya sama ada saya mempercayai kisah Kejadian di dalam Bible atau tidak?” Perhatikan beberapa sebab yang menunjukkan mengapa jawapan kepada soalan ini adalah sangat penting.
a Di Kejadian 2:4, perkataan Ibrani untuk “hari” diterjemahkan sebagai “masa” dalam Bible bahasa Malaysia.
b Dalam gambaran yang diberikan tentang apa yang berlaku pada “hari” penciptaan yang pertama, perkataan Ibrani yang digunakan untuk cahaya ialah ‘ohr, iaitu cahaya secara am. Tetapi berkenaan hari penciptaan yang keempat, perkataan yang digunakan ialah ma·’ohrʹ, yang merujuk kepada sumber cahaya.
c Contohnya, pada “hari” penciptaan yang keenam, Tuhan memberi perintah supaya manusia harus menjadi banyak dan “menduduki seluruh muka bumi.” (Kejadian 1:28, 31) Namun, peristiwa ini hanya mula berlaku pada “hari” yang berikutnya.—Kejadian 2:2.
d Untuk maklumat lanjut, tontonlah video Mengapakah Kita Yakin bahawa Kandungan Bible Memang Benar? di jw.org/ms.