PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • w17 Mei ms. 31-32
  • “Dengan Semangat dan Kasih yang Kian Membara”

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • “Dengan Semangat dan Kasih yang Kian Membara”
  • Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
Menara Pengawal (Pembelajaran)—2017
w17 Mei ms. 31-32
Auditorium yang sesak semasa konvensyen di Cedar Point, Ohio, tahun 1922

KHAZANAH ROHANI KITA

“Dengan Semangat dan Kasih yang Kian Membara”

PAGI Jumaat, September tahun 1922, 8,000 orang berduyun-duyun ke dalam sebuah auditorium. Dekat siling di atas pentas, sehelai kain rentang yang besar digantungkan, tetapi kain itu masih tergulung. Pengerusi mengumumkan bahawa semasa program berlangsung, sesiapa yang meninggalkan dewan tidak akan dibenarkan masuk lagi.

Selepas hadirin menyanyikan beberapa buah lagu, Joseph F. Rutherford tampil ke pentas. Kebanyakan hadirin duduk dan mendengar ceramahnya, tetapi ada yang mundar-mandir kerana suhu dalam dewan itu makin panas. Maka dia menggesa mereka agar duduk dan dengar.

Tema ceramah Saudara Rutherford ialah “Kerajaan syurga sudah dekat.” Selama satu jam setengah, suaranya bergema di seluruh dewan semasa dia menjelaskan bagaimana para nabi zaman kuno mengisytiharkan kedatangan Kerajaan Tuhan. Kemudian, dia bertanya, “Adakah kamu percaya bahawa Raja kita yang mulia sudah mula memerintah?” Dengan suara yang kuat, hadirin menjawab, “Ya!”

Saudara Rutherford berseru, “Hai anak-anak Tuhan Yang Maha Tinggi! Raja kita sudah memerintah! Kamulah wakil-wakilnya. Maka pergilah dan umumkan, umumkan, umumkan.”

Ketika itu, ikatan pada kain rentang dibuka, dan cogan kata “Umumkan Raja Kita dan Kerajaannya” terbentang di hadapan hadirin.

Mengenang peristiwa itu, Ray Bopp berkata, “Hadirin sangat teruja!” Anna Gardner menyatakan bahawa “tepukan gemuruh hadirin membuat siling bergegar.” Fred Twarosh pula berkata, “Seluruh hadirin berdiri dengan serentak.” Evangelos Scouffas berkata, “Kami semua tergerak untuk bangun dari tempat duduk dan berdiri dengan tubir mata yang berair.”

Ramai antara hadirin di situ memang sudah menginjil sebelum itu. Tetapi kini mereka disuntik dengan semangat baharu. Ethel Bennecoff menyatakan bahawa sejak hari itu, para Pelajar Bible telah bergiat “dengan semangat dan kasih yang kian membara!” Konvensyen itu telah membuat Odessa Tuck, yang berusia 18 tahun pada masa itu, bertekad untuk menyahut seruan “Siapakah yang sudi pergi?” Dia berkata, “Saya tak tahu butirannya, tapi saya mahu berkata, ‘Inilah aku. Utuslah aku!’ seperti Yesaya.” (Yes. 6:8) Ralph Leffler pula berkata, “Hari itu menandakan mulanya kempen penyebaran berita Kerajaan Tuhan yang telah dijalankan di serata bumi sekarang.”

Konvensyen tahun 1922 di Cedar Point sesungguhnya detik yang bersejarah! George Gangas berkata, “Konvensyen itu membuat saya bertekad untuk menghadiri setiap konvensyen.” Seingat George, dia tidak pernah terlepas satu konvensyen pun. Julia Wilcox menulis, “Hati saya berdebar-debar setiap kali saya membaca tentang Cedar Point tahun 1922 dalam bahan bacaan kita. Saya ingin berkata, ‘Terima kasih Yehuwa kerana membenarkan saya menghadirinya.’”

Pernahkah anda menghadiri sebuah konvensyen yang kemudiannya terpahat di hati dan minda anda? Mungkin konvensyen itu telah menguatkan semangat anda dan memperdalam kasih anda untuk Yehuwa dan Yesus. Semasa mengenang kembali konvensyen itu, semoga anda terdorong untuk berkata, “Terima kasih Yehuwa kerana membenarkan saya menghadirinya.”

Tanda yang Misteri

Huruf “ADV” dapat dilihat di mana-mana​—pada pokok, bangunan, dan bahkan pada atur cara konvensyen! Para hadirin tertanya-tanya, “Apa maksudnya?”a

“Pada semua tiang dan pintu masuk terdapat kad putih yang mempunyai huruf ‘ADV’ berwarna hitam. Kami tanya orang apa maksudnya, tetapi nampaknya tiada orang tahu, atau tiada orang mahu beritahu kami.”​—Edith Brenisen.

a Sehingga hari ini tanda itu masih misteri. Kami belum menemui foto yang mengandungi tanda itu dalam arkib kami.

Doa yang Dijawab di Sebalik Tabir

Arthur dan Nellie Claus tiba awal agar dapat tempat duduk yang bagus. “Saya mendengar dengan teliti,” kata Arthur. Tiba-tiba dia sakit perut dan harus keluar. Seorang atendan menasihatinya untuk tunggu sebentar lagi. Arthur tahu bahawa dia tidak akan dibenarkan masuk lagi, tetapi dia memang tiada pilihan.

Dalam perjalanan kembali, Arthur terdengar tepukan yang gemuruh dari dalam dewan. Dia ingin tahu apa yang berlaku, jadi dia memanjat ke bumbung dewan yang tingginya kira-kira 4.8 m. Kemudian dia berjalan ke arah jendela langit yang terbuka.

Di situ, Arthur nampak beberapa orang saudara yang gelisah. Mereka telah disuruh memotong beberapa utas tali dengan serentak supaya kain rentang dapat diturunkan semasa Saudara Rutherford berkata “Umumkan!” untuk kali kedua. Namun untuk berbuat demikian, mereka memerlukan sebilah pisau lagi. Adakah Arthur membawa pisau lipat? Ya! Betapa leganya hati mereka. Maka mereka dan Arthur pergi ke tempat masing-masing dan menunggu isyarat Saudara Rutherford.

Semuanya berjalan dengan lancar. Hadirin masih ingat bagaimana kain rentang, yang mempunyai gambar Yesus di tengah-tengahnya, diturunkan.

Saudara-saudara itu kemudiannya menjelaskan kepada Arthur bahawa selepas mereka naik ke bumbung, tangga mereka telah diambil. Mereka tidak dapat turun lagi untuk meminta bantuan, maka mereka berdoa agar Yehuwa menghantar seorang saudara yang membawa pisau. Mereka percaya Yehuwa telah mengabulkan doa mereka.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi