RENCANA PEMBELAJARAN 30
LAGU 36 Jagalah Hatimu
Pengajaran Penting daripada Raja-Raja Israel
“Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat, serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.”—MAL. 3:18.
FOKUS
Belajar cara Yehuwa memandang raja-raja Israel supaya kita dapat tahu apa yang dikehendaki-Nya daripada para penyembah-Nya.
1-2. Apakah yang dicatatkan dalam Bible tentang sesetengah raja Israel?
DALAM Bible, terdapat lebih daripada 40 nama raja Israel.a Maklumat tentang sesetengah daripada mereka sangat menarik dan terperinci. Bible memberitahu kita bahawa raja yang baik pun pernah berbuat jahat. Contohnya Raja Daud. Yehuwa berkata, “Hamba-Ku Daud . . . menyembah-Ku dengan sepenuh hati, dan melakukan apa yang benar di mata-Ku.” (1 Raj. 14:8) Namun, Daud telah berzina dengan seorang wanita dan mengarahkan agar suami wanita itu dibunuh dalam perang.—2 Sam. 11:4, 14, 15.
2 Bible juga memberitahu kita bahawa banyak raja yang jahat pun pernah berbuat baik. Contohnya Raja Rehabeam. Dalam pandangan Yehuwa, dia “melakukan apa yang jahat.” (2 Taw. 12:14) Namun, Rehabeam mematuhi arahan Tuhan semasa Tuhan menyuruhnya agar tidak menyerang 10 suku Israel yang lain dan membiarkan mereka melantik raja sendiri. Dia juga mengukuhkan kota-kota di Yehuda.—1 Raj. 12:21-24; 2 Taw. 11:5-12.
3. Apakah soalan penting yang timbul, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?
3 Ada satu soalan penting yang timbul. Jika semua raja Israel pun pernah berbuat baik dan jahat, bagaimanakah Yehuwa menentukan sama ada seorang raja setia atau tidak? Jawapannya akan membantu kita faham apa yang Yehuwa kehendaki daripada kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga faktor yang diambil kira oleh Yehuwa: Adakah mereka menyembah-Nya dengan sepenuh hati? Adakah mereka bertaubat dengan ikhlas? Adakah mereka terus menyembah-Nya dengan setia?
MEREKA MENYEMBAH YEHUWA DENGAN SEPENUH HATI
4. Apakah satu perbezaan antara raja yang setia dengan raja yang tidak setia?
4 Raja-raja yang setia menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.b Bible kata Raja Yehosafat “menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati.” (2 Taw. 22:9) Bible juga menyatakan, “Belum pernah ada seorang raja seperti Yosia, yang . . . kembali kepada Yehuwa dengan sepenuh hati.” (2 Raj. 23:25) Bagaimana pula dengan Salomo, yang pada mulanya setia tetapi kemudiannya menjadi jahat? Bible kata, “Dia tidak seperti bapanya Daud, yang menyembah Yehuwa, Tuhannya dengan sepenuh hati.” (1 Raj. 11:4) Mengenai Abiam, seorang lagi raja yang jahat, Bible menyatakan bahawa dia “tidak menyembah Yehuwa, Tuhannya, dengan sepenuh hati.”—1 Raj. 15:3.
5. Apakah maksud menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? Jelaskan.
5 Apakah maksud menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? Seseorang yang menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati tidak menyembah Yehuwa hanya kerana itulah tanggungjawabnya. Sebaliknya, dia menyembah Yehuwa kerana dia sangat mengasihi dan menghormati-Nya. Kasih dan hormatnya itu berkekalan sepanjang hidupnya.
6. Bagaimanakah kita dapat terus menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? (Amsal 4:23; Matius 5:29, 30)
6 Bagaimanakah kita dapat meniru teladan raja Israel yang setia dan terus menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati? Satu cara adalah dengan mengelakkan pengaruh yang buruk. Contohnya, hiburan yang tidak sihat, pergaulan yang buruk, dan sikap mencintai kebendaan, boleh membuat hati kita berbelah bahagi. Jika kita sedar bahawa ada sesuatu yang mula melemahkan kasih kita kepada Yehuwa, kita mahu segera mengambil tindakan untuk menyingkirkannya.—Baca Amsal 4:23; Matius 5:29, 30.
7. Mengapakah kita mesti menolak pengaruh buruk?
7 Kita mesti berwaspada agar hati kita tidak berbelah bahagi. Jika tidak, kita mungkin mula berfikir bahawa asalkan kita sibuk dalam kegiatan rohani, kita tidak perlu menolak pengaruh buruk. Fikirkan contoh ini: Cuaca di luar sangat panas, jadi anda pulang ke rumah dan memasang penyaman udara. Namun, jika anda membiarkan pintu rumah terbuka, udara panas dari luar masih akan masuk. Pengajarannya? Untuk menjaga hubungan kita dengan Yehuwa, sekadar menerima makanan rohani yang menyegarkan tidak cukup. Memandangkan pengaruh buruk dunia seperti “udara” yang terdapat di mana-mana sahaja, kita juga perlu menutup pintu hati kita agar hati kita tidak dipengaruhi dan menjadi berbelah bahagi.—Ef. 2:2.
MEREKA BERTAUBAT DARIPADA DOSA MEREKA
8-9. Apakah reaksi Raja Daud dan Raja Hizkia semasa ditegur? (Lihat gambar.)
8 Seperti yang disebut tadi, Raja Daud pernah melakukan dosa yang serius. Tetapi semasa Nabi Natan menegurnya, Daud bertaubat dengan rendah hati. (2 Sam. 12:13) Daripada kata-katanya di Mazmur 51, kita tahu bahawa dia telah bertaubat dengan ikhlas. Daud tidak berpura-pura menyesal untuk menipu Natan atau mengelak daripada dihukum.—Mzm. 51:3, 4, 17, penerangan.
9 Raja Hizkia juga pernah berdosa terhadap Yehuwa. Bible berkata, “Hatinya menjadi angkuh. Oleh itu, Tuhan murka terhadap Hizkia dan penduduk Yehuda serta penduduk Yerusalem.” (2 Taw. 32:25) Mengapakah Hizkia menjadi sombong? Mungkin kerana Yehuwa telah memberinya kekayaan, membantunya mengalahkan orang Assyria, atau menyembuhkannya secara mukjizat. Barangkali, kesombongan telah menyebabkannya mempamerkan kekayaannya kepada utusan dari Babilon. Akibatnya, dia ditegur oleh Nabi Yesaya. (2 Raj. 20:12-18) Namun seperti Daud, Hizkia bertaubat dengan rendah hati. (2 Taw. 32:26) Apakah pandangan Yehuwa terhadapnya? Yehuwa menganggapnya sebagai seorang raja yang “terus melakukan apa yang baik.”—2 Raj. 18:3.
Raja Daud dan Raja Hizkia bertaubat dengan rendah hati semasa mereka ditegur (Lihat perenggan 8-9)
10. Apakah reaksi Raja Amazia semasa ditegur?
10 Raja Amazia dari Yehuda pula melakukan apa yang baik, “tetapi dia tidak berbuat demikian dengan sepenuh hati.” (2 Taw. 25:2) Apakah yang telah dilakukannya? Selepas Yehuwa membantunya mengalahkan orang Edom, Amazia menyembah dewa dewi mereka.c Apabila Yehuwa mengutus nabi-Nya untuk menegurnya, Amazia enggan mendengar dan bahkan menyuruh nabi itu untuk beredar.—2 Taw. 25:14-16.
11. Menurut 2 Korintus 7:9, 11, apakah yang mesti kita lakukan agar dosa kita diampunkan? (Lihat juga gambar.)
11 Apakah yang kita pelajari daripada raja-raja ini? Kita perlu bertaubat daripada dosa dan berusaha keras agar tidak mengulanginya. Bagaimana pula jika kita ditegur oleh penatua dalam hal yang nampaknya kecil? Janganlah berfikir bahawa Yehuwa tidak lagi mengasihi kita atau bahawa para penatua mahu menyusahkan hidup kita. Ingatlah, raja-raja yang baik pun perlu dinasihati dan ditegur. (Ibr. 12:6) Jadi, semasa diberi nasihat, marilah kita (1) bersikap rendah hati, (2) membuat perubahan yang diperlukan, dan (3) terus menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Jika kita bertaubat, Yehuwa pasti mengampuni kita.—Baca 2 Korintus 7:9, 11.
Semasa ditegur, kita patut (1) bersikap rendah hati, (2) membuat perubahan yang diperlukan, dan (3) terus menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati (Lihat perenggan 11)f
MEREKA MENYEMBAH YEHUWA DENGAN CARA YANG BETUL
12. Apakah perbezaan besar antara raja yang setia dengan raja yang jahat?
12 Raja yang dianggap setia oleh Yehuwa ialah raja yang menyembah-Nya dengan cara yang betul. Mereka juga menggalakkan rakyat untuk melakukan hal yang sama. Biarpun mereka ada kelemahan, mereka semua menyembah Yehuwa sahaja dan berjuang untuk melenyapkan penyembahan berhala.d
13. Mengapakah Yehuwa menganggap Raja Ahab tidak setia?
13 Mengapakah Yehuwa menganggap sesetengah raja tidak setia? Memang, bukan semua hal yang mereka lakukan itu jahat. Contohnya, Raja Ahab pernah bersikap rendah hati dan berasa sesal kerana terlibat dalam pembunuhan Nabot. (1 Raj. 21:27-29) Dia juga membina kota-kota di Israel dan berjuang untuk melawan musuh. (1 Raj. 20:21, 29; 22:39) Namun Raja Ahab membiarkan isterinya mempengaruhinya untuk menggalakkan penyembahan palsu di Israel. Dia tidak pernah bertaubat daripada dosa besar ini.—1 Raj. 21:25, 26.
14. (a) Mengapakah Yehuwa menganggap Rehabeam sebagai raja yang tidak setia? (b) Apakah persamaan antara raja-raja yang tidak setia?
14 Perhatikan contoh seorang lagi raja yang tidak setia, iaitu Rehabeam. Seperti yang dinyatakan tadi, dia melakukan banyak hal yang baik. Tetapi sebaik sahaja kedudukannya menjadi kukuh, dia mengabaikan Hukum Yehuwa dan mula menyembah tuhan palsu. (2 Taw. 12:1) Selepas itu, dia ada kalanya menyembah Yehuwa dan ada kalanya menyembah berhala. (1 Raj. 14:21-24) Sebenarnya, Rehabeam, Ahab, dan hampir semua raja yang dianggap tidak setia oleh Yehuwa mempunyai satu persamaan: Mereka semua menyokong ibadat palsu. Jelaslah, di mata Yehuwa, cara seorang raja beribadat merupakan faktor penting yang menentukan sama ada dia baik atau jahat.
15. Mengapakah isu ibadat begitu penting bagi Yehuwa?
15 Mengapakah isu ibadat begitu penting bagi Yehuwa? Pertama, raja-raja bertanggungjawab membimbing umat Tuhan dalam ibadat sejati. Selain itu, orang yang mengikut ibadat palsu pasti terjebak dalam dosa yang serius dan melayan satu sama lain dengan buruk. (Hos. 4:1, 2) Tambahan lagi, raja dan rakyat Israel sudah berjanji untuk menyembah Yehuwa sahaja. Jadi, semasa mereka menyembah berhala, Bible kata bahawa mereka seolah-olah berzina. (Yer. 3:8, 9) Seseorang yang berzina akan melukai pasangannya secara mendalam. Begitu juga, apabila seorang penyembah Yehuwa terlibat dalam ibadat palsu, Yehuwa berasa sangat terluka.e—Ul. 4:23, 24.
16. Di mata Yehuwa, apakah yang membezakan orang yang baik daripada orang yang jahat?
16 Apakah pengajarannya? Sudah pasti kita mahu mengelakkan ibadat palsu. Tetapi kita juga mesti menyembah Yehuwa dengan cara yang betul dan terus berbuat demikian dengan bersungguh-sungguh. Nabi Maleakhi menjelaskan apa yang membezakan orang yang baik daripada orang yang jahat di mata Yehuwa. Dia menulis, “Mereka akan melihat lagi perbezaan antara orang baik dengan orang jahat, serta antara orang yang menyembah Aku dengan yang tidak.” (Mal. 3:18) Jadi, kita tidak mahu mengizinkan apa-apa, termasuk ketidaksempurnaan dan kesilapan kita, untuk membuat kita begitu tawar hati sehingga kita berhenti menyembah Yehuwa. Sebenarnya, berhenti menyembah Yehuwa ialah dosa yang serius.
17. Mengapakah kita mesti memilih pasangan hidup dengan berhati-hati?
17 Jika anda bujang dan ingin berkahwin, adakah kata-kata Maleakhi mempengaruhi keputusan anda semasa memilih pasangan hidup? Seseorang mungkin mempunyai sifat-sifat yang baik, namun jika dia tidak menyembah Yehuwa, adakah dia dianggap orang yang baik di mata Yehuwa? (2 Kor. 6:14) Jika anda mengahwininya, adakah dia akan membantu anda secara rohani? Fikirkan contoh Salomo. Isteri-isterinya mungkin memiliki sifat yang baik, tetapi mereka bukan penyembah Yehuwa. Akhirnya, mereka beransur-ansur membuat Salomo meninggalkan Yehuwa.—1 Raj. 11:1, 4.
18. Apakah yang perlu diajarkan oleh ibu bapa kepada anak-anak mereka?
18 Ibu bapa, gunakanlah kisah Bible tentang raja-raja Israel untuk menguatkan semangat anak-anak anda demi ibadat Yehuwa. Bantu mereka sedar bahawa raja yang dianggap setia oleh Yehuwa ialah raja yang menyembah Tuhan dan menggalakkan rakyat untuk menyokong ibadat sejati. Melalui kata-kata dan teladan anda, ajarlah anak-anak anda bahawa kegiatan rohani seperti mengkaji Bible, menghadiri perjumpaan, dan menginjil, harus diutamakan berbanding aktiviti lain. (Mat. 6:33) Jika tidak, anak-anak anda mungkin tidak mempunyai hubungan yang erat dengan Yehuwa dan menyembah-Nya hanya kerana mengikut anda. Sekiranya hal itu berlaku, mereka mungkin tidak akan mengutamakan ibadat sejati atau bahkan meninggalkan Yehuwa sama sekali.
19. Apakah harapan bagi mereka yang telah meninggalkan Yehuwa? (Lihat juga kotak “Anda Dapat Kembali kepada Yehuwa!”)
19 Jika seseorang berhenti menyembah Yehuwa, dapatkah dia menjadi sahabat Yehuwa lagi? Ya, jika dia sudi bertaubat dan terus menyembah Yehuwa. Namun, dia perlu rendah hati dan terima bantuan para penatua. (Yak. 5:14) Usahanya untuk kembali amat berbaloi kerana dia dapat menjadi sahabat Yehuwa lagi!
20. Jika kita meniru raja-raja yang setia, apakah pandangan Yehuwa terhadap kita?
20 Bagaimanakah kita dapat meniru raja-raja Israel yang setia? Kita perlu menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati. Jika kita buat silap, belajarlah daripada kesilapan kita, bertaubat, dan membuat perubahan yang diperlukan. Akhir sekali, kita perlu sentiasa menyembah Yehuwa dengan cara yang betul. Jika anda terus berbuat demikian, Yehuwa akan menganggap anda sebagai orang yang melakukan apa yang benar di mata-Nya.
LAGU 45 Renungan Hatiku
a Dalam rencana ini, ungkapan “raja-raja Israel” merujuk kepada semua raja yang pernah memerintah umat Yehuwa, tidak kira mereka memerintah kerajaan Yehuda yang terdiri daripada 2 suku, kerajaan Israel yang terdiri daripada 10 suku, atau kesemua 12 suku.
b MAKSUD UNGKAPAN: Bible sering menggunakan perkataan “hati” untuk menggambarkan batin seseorang, termasuk keinginan, pemikiran, kecenderungan, sikap, kebolehan, dorongan, dan matlamatnya.
c Raja-raja pagan biasanya menyembah dewa dewi bangsa yang ditakluki.
d Raja Asa pernah melakukan dosa yang serius. (2 Taw. 16:7, 10) Tetapi Bible menyatakan bahawa dia seorang raja yang baik. Walaupun pada mulanya dia menolak nasihat daripada nabi Yehuwa, dia mungkin telah bertaubat pada kemudian hari. Di mata Yehuwa, sifat baik Asa lebih banyak daripada sifat buruknya. Yang penting, Asa hanya menyembah Yehuwa dan berusaha melenyapkan penyembahan berhala.—1 Raj. 15:11-13; 2 Taw. 14:2-5.
e Dua perintah pertama dalam Hukum Musa melarang orang daripada menyembah apa-apa atau siapa-siapa selain Yehuwa. Hal ini menunjukkan bahawa isu ibadat sangat penting bagi Yehuwa.—Kel. 20:1-6.
f KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua muda menasihati seorang saudara tentang tabiat peminumannya. Saudara itu menerima nasihat dengan rendah hati, membuat perubahan yang diperlukan, dan terus menyembah Yehuwa dengan setia.