BAB 6
Pembantu Sidang Melakukan Tugas yang Penting
RASUL PAULUS menulis kepada sidang di Filipi, “Surat ini daripada Paulus dan Timotius, hamba kepada Kristus Yesus, dan ditujukan kepada semua umat suci di Filipi yang bersatu dengan Kristus Yesus, termasuk para penyelia dan pembantu sidang.” (Flp. 1:1) Perhatikan bahawa Paulus menyebut tentang pembantu sidang. Saudara-saudara itu telah melakukan tugas yang penting dan membantu para penatua pada abad pertama. Begitu juga, pembantu sidang hari ini melakukan pelbagai tugas untuk menolong para penyelia dan memastikan agar hal-hal dalam sidang berlangsung dengan teratur.
2 Adakah anda kenal pembantu sidang dalam sidang anda? Tahukah anda kerja yang dilakukan mereka demi kebaikan anda dan sidang? Yehuwa pasti menghargai usaha mereka. Paulus menulis, “Lelaki yang berkhidmat dengan baik dapat memperoleh nama yang baik. Mereka juga dapat bercakap dengan penuh keberanian sehubungan dengan kepercayaan kepada Kristus Yesus.”—1 Tim. 3:13.
SYARAT BIBLE UNTUK PEMBANTU SIDANG
3 Pembantu sidang harus hidup selaras dengan piawaian Bible, bertanggungjawab, dan menjalankan tugas dengan baik. Dalam suratnya kepada Timotius, Paulus menjelaskan syarat bagi pembantu sidang: “Pembantu sidang haruslah berfikiran matang, tidak menipu, tidak minum banyak wain, tidak tamak akan keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur, dan berpegang pada rahsia suci Tuhan, yang merangkumi kepercayaan kita, dengan hati nurani yang bersih. Selain itu, hendaklah mereka diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak. Jika mereka bebas daripada tuduhan, barulah mereka boleh berkhidmat sebagai pembantu sidang. Hendaklah pembantu sidang mempunyai seorang isteri sahaja, dan mereka harus mengurus anak-anak dan rumah tangga sendiri dengan baik.” (1 Tim. 3:8-10, 12) Saudara-saudara yang disyorkan sebagai pembantu sidang harus memenuhi syarat-syarat tersebut. Dengan itu, sidang tidak akan dituduh memberikan tanggungjawab penting kepada orang yang tidak layak memikulnya.
4 Tidak kira tua atau muda, pembantu sidang akan bergiat dalam kerja penyebaran setiap bulan. Seperti Yesus, mereka menginjil dengan bersemangat dan mencerminkan keinginan Yehuwa agar orang lain diselamatkan.—Yes. 9:7.
5 Pembantu sidang harus menjadi teladan yang baik dari segi pakaian, dandanan, tutur kata, sikap, dan kelakuan. Mereka dihormati kerana berfikiran sihat. Selain itu, mereka memandang serius hubungan mereka dengan Yehuwa dan peluang untuk berkhidmat dalam sidang.—Tit. 2:2, 6-8.
6 Sebelum dilantik, saudara-saudara ini telah “diuji terlebih dahulu untuk mengetahui sama ada mereka layak atau tidak.” Mereka sudah pun membuktikan bahawa mereka menyembah Tuhan dengan sepenuh hati. Mereka mengutamakan kepentingan Kerajaan Tuhan dalam kehidupan mereka, dan berusaha menggunakan setiap peluang yang ada untuk berkhidmat kepada sidang. Mereka sesungguhnya teladan baik bagi anggota sidang.—1 Tim. 3:10.
TUGAS MEREKA
7 Pembantu sidang berkhidmat kepada saudara saudari dalam pelbagai cara, supaya para penyelia dapat meluangkan lebih banyak masa dalam kerja mengajar dan menggembala. Semasa mengagihkan tugas, badan penatua akan mengambil kira kemampuan setiap pembantu sidang dan keperluan sidang.
Pembantu sidang berkhidmat kepada saudara saudari dalam pelbagai cara, supaya para penyelia dapat meluangkan lebih banyak masa dalam kerja mengajar dan menggembala
8 Fikirkan beberapa tugas mereka: Seorang pembantu sidang mungkin ditugaskan untuk mengurus bahan bacaan, supaya kita ada bahan bacaan untuk kegunaan peribadi atau untuk menginjil. Pembantu sidang lain mungkin membantu menjaga akaun sidang atau rekod kawasan penyebaran. Ada yang mengendalikan mikrofon dan sistem pembesar suara, ada yang berkhidmat sebagai atendan, dan yang lain membantu penatua melakukan tugas lain. Banyak usaha diperlukan untuk menyelenggarakan dan membersihkan Dewan Perjumpaan, dan pembantu sidang biasanya membantu menjalankan tugas itu.
9 Di sesetengah sidang, setiap pembantu sidang hanya perlu mengendalikan satu tugas, manakala di sidang lain, seorang pembantu sidang perlu melakukan beberapa jenis tugas. Jika sidang tidak mempunyai pembantu sidang yang cukup, badan penatua boleh mengagihkan sesetengah tanggungjawab kepada saudara terbaptis yang menunjukkan teladan baik, supaya mereka dapat menimba pengalaman. Dengan itu, apabila mereka dilantik sebagai pembantu sidang kelak, pengalaman itu akan membantu mereka berkhidmat dengan baik. Sudah pasti, saudari tidak akan dilantik sebagai pembantu sidang. Namun, jika sidang tidak ada saudara yang sesuai, seorang saudari yang menunjukkan teladan baik boleh diminta untuk membantu dalam beberapa perkara. Saudara atau saudari yang diminta untuk membantu haruslah merupakan teladan baik dari segi kelakuan, ibadat, kehadiran di perjumpaan, kerja penyebaran, kehidupan keluarga, hiburan, pakaian, dandanan, dan sebagainya.
10 Dalam sidang yang jumlah penatuanya sangat sedikit, pembantu sidang yang cekap boleh diminta untuk membincangkan soalan pembaptisan di Lampiran “Bahagian 1: Kepercayaan Kristian.” Memandangkan “Bahagian 2: Kehidupan Kristian” melibatkan hal peribadi yang sensitif, bahagian itu harus dikendalikan oleh penatua.
11 Sekiranya terdapat sebab yang baik, badan penatua mungkin mengubah sesetengah tugas pembantu sidang dari masa ke masa. Namun, jika pembantu sidang dapat memikul tugas yang sama buat suatu tempoh waktu, mereka dapat menimba pengalaman dan menjadi lebih mahir dalam tugas itu.
12 Bergantung pada keadaan tempatan, terdapat tanggungjawab lain yang boleh ditugaskan kepada pembantu sidang yang kemajuannya “dilihat dengan jelas oleh semua orang.” (1 Tim. 4:15) Jika bilangan penatua tidak cukup, pembantu sidang boleh ditugaskan sebagai pembantu kepada penyelia kumpulan, atau sebagai pembantu kumpulan yang berkhidmat di bawah pengawasan para penatua. Pembantu sidang boleh ditugaskan untuk mengendalikan bahagian tertentu dalam Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, termasuk Pembelajaran Bible Sidang jika perlu, dan memberikan ceramah umum. Sesetengah tugas istimewa boleh diberikan kepada pembantu sidang jika perlu, dan jika mereka memenuhi syaratnya. (1 Ptr. 4:10) Pembantu sidang harus rela melakukan apa yang terdaya untuk membantu penatua.
13 Meskipun tugas pembantu sidang berbeza daripada penatua, kerja mereka masih merupakan khidmat suci kepada Tuhan dan amat penting agar hal-hal di sidang berjalan dengan lancar. Pembantu sidang yang melakukan tugas dengan baik untuk suatu tempoh masa dan memenuhi syarat untuk mengajar dan menggembala boleh disyorkan untuk menjadi penatua.
14 Jika anda seorang saudara yang muda atau yang baru dibaptis, adakah anda sedang berusaha memenuhi syarat sebagai pembantu sidang? (1 Tim. 3:1) Setiap tahun, ramai orang menerima kebenaran. Maka, saudara yang matang secara rohani diperlukan untuk melakukan pelbagai tugas di sidang. Anda boleh berusaha memenuhi syarat itu dengan memupuk keinginan untuk membantu orang lain. Salah satu cara untuk memupuk keinginan ini adalah dengan merenungkan contoh Yesus. (Mat. 20:28; Yoh. 4:6, 7; 13:4, 5) Apabila anda merasai sukacita kerana memberi, keinginan itu akan bertambah kuat. (Kis. 20:35) Maka, tawarkanlah diri untuk membantu orang lain, menolong dalam kerja penyelenggaraan Dewan Perjumpaan, atau menggantikan pelajar yang tidak dapat melakukan tugasan Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian. Untuk memenuhi syarat sebagai pembantu sidang, anda juga perlu memupuk sifat-sifat baik dengan membuat pembelajaran peribadi secara tetap. (Mzm. 1:1, 2; Gal. 5:22, 23) Selain itu, semasa anda diberi tugas dalam sidang, buktikanlah bahawa anda setia dan dapat dipercayai.—1 Kor. 4:2.
15 Para pembantu sidang dilantik oleh kuasa suci Tuhan. Kerja mereka membawa banyak manfaat kepada sidang dan membolehkan hal-hal dalam sidang berjalan secara teratur. Apabila semua orang di sidang bekerjasama dengan pembantu sidang, mereka menunjukkan bahawa mereka menghargai kerja keras saudara-saudara ini dan bersyukur atas pemberian Yehuwa.—Gal. 6:10.