PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Bahasa Isyarat Malaysia
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • nwt 12 1A-2530
  • 2 Raja-Raja

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • 2 Raja-Raja
  • Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu
2 Raja-Raja

BUKU RAJA-RAJA YANG KEDUA

1 Selepas kematian Ahab, orang Moab+ memberontak melawan orang Israel.

2 Pada suatu hari, Ahazia terjatuh dari siling istananya* di Samaria lalu tercedera. Maka dia menghantar utusan dengan perintah berikut: “Pergilah dan dapatkan petunjuk daripada Baal-zebub, dewa di kota Ekron.+ Beta ingin mengetahui sama ada beta akan sembuh atau tidak.”+ 3 Malaikat Yehuwa berkata kepada Elia,*+ orang Tisbi itu, “Bangunlah dan pergilah berjumpa dengan utusan raja Samaria. Katakan kepada mereka, ‘Mengapakah kamu pergi ke Ekron untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub? Adakah kerana tidak ada Tuhan di Israel?+ 4 Itulah sebabnya Yehuwa berfirman, “Engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu, tempat engkau berbaring sekarang. Engkau pasti akan mati!”’” Selepas itu, Elia pun beredar dari sana.

5 Apabila utusan-utusan itu kembali kepada raja, raja bertanya, “Mengapakah kamu sudah kembali?” 6 Mereka menjawab, “Kami ditemui oleh seorang lelaki yang berkata, ‘Kembalilah kepada raja yang telah mengutus kamu dan katakanlah kepadanya, “Yehuwa berfirman, ‘Mengapakah engkau menghantar utusan ke Ekron untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub? Adakah kerana tidak ada Tuhan di Israel? Oleh itu, engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu, iaitu tempat engkau berbaring. Engkau pasti akan mati!’”’”+ 7 Raja bertanya, “Bagaimanakah rupa lelaki yang menemui kamu dan menyampaikan pesanan ini?” 8 Mereka menjawab, “Pakaiannya diperbuat daripada bulu binatang+ dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit.”+ Raja segera berkata, “Lelaki itu ialah Elia, orang Tisbi.”

9 Kemudian raja mengutus seorang ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Pada masa itu, Elia sedang duduk di atas sebuah gunung. Ketua tentera itu naik ke situ lalu berkata kepadanya, “Wahai nabi Tuhan,+ raja memerintah kamu untuk turun.” 10 Tetapi Elia menjawabnya, “Jika aku ini nabi Tuhan, biarlah api turun dari langit+ dan melenyapkan kamu dan 50 orang askarmu.” Maka api pun turun dari langit dan melenyapkan ketua tentera itu bersama 50 orang askarnya.

11 Sekali lagi, raja mengutus seorang ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Ketua tentera itu pergi dan berkata kepada Elia, “Wahai nabi Tuhan, raja memerintah kamu untuk turun dengan segera.” 12 Tetapi Elia berkata kepada mereka, “Jika aku ini nabi Tuhan, biarlah api turun dari langit dan melenyapkan kamu dan 50 orang askarmu.” Maka Tuhan menurunkan api dari langit dan melenyapkan ketua tentera itu bersama 50 orang askarnya.

13 Kemudian, buat kali ketiga, raja mengutus seorang lagi ketua tentera dan 50 orang askar kepada Elia. Ketua tentera itu naik ke gunung lalu berlutut di depan Elia. Dia merayu kepadanya, “Wahai nabi Tuhan, tolonglah, benarkanlah aku dan 50 orang hambamu ini untuk terus hidup. 14 Sebelum ini, api turun dari langit dan melenyapkan dua orang ketua tentera bersama dengan 50 orang askar mereka. Tetapi sekarang kasihanilah aku, dan biarkanlah aku terus hidup.”

15 Maka malaikat Yehuwa memberitahu Elia, “Turunlah bersama-sama dia. Jangan takut akan dia.” Oleh itu, Elia bangun dan pergi bersama ketua tentera itu untuk menghadap raja. 16 Elia berkata kepada raja, “Inilah firman Yehuwa: ‘Engkau menghantar utusan ke Ekron+ untuk mendapatkan petunjuk daripada Baal-zebub. Tetapi mengapakah engkau tidak mendapatkan petunjuk daripada Tuhan di Israel?+ Oleh itu, engkau tidak akan bangun lagi dari tempat tidurmu ini. Engkau pasti akan mati!’” 17 Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Elia, Ahazia pun meninggal. Dia tidak mempunyai anak, maka Yehoram*+ menggantikannya sebagai raja. Hal ini berlaku pada tahun kedua Yehoram+ anak Yehosafat menjadi raja Yehuda.

18 Berkenaan kisah hidup Ahazia+ yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.

2 Apabila tiba masanya bagi Yehuwa untuk mengangkat Elia+ ke langit dengan angin ribut,+ Elia dan Elisa+ bertolak dari Gilgal.+ 2 Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini. Yehuwa telah menyuruh aku pergi ke Bethel.” Tetapi Elisa menjawab, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.” Maka mereka berdua pun pergi ke Bethel.+ 3 Sekumpulan nabi* di Bethel mendekati Elisa dan bertanya, “Tahukah kamu bahawa pada hari ini, Yehuwa akan mengambil tuanmu, dan tuanmu tidak akan menjadi ketuamu lagi?”+ Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi usahlah kita bercakap tentang hal ini.”

4 Elia berkata, “Elisa, tinggallah di sini. Yehuwa telah menyuruh aku pergi ke Yerikho.”+ Tetapi Elisa menjawab, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.” Maka mereka berdua pun pergi ke Yerikho. 5 Sekumpulan nabi di Yerikho mendekati Elisa dan bertanya, “Tahukah kamu bahawa pada hari ini, Yehuwa akan mengambil tuanmu, dan tuanmu tidak akan menjadi ketuamu lagi?” Elisa menjawab, “Aku tahu, tetapi usahlah kita bercakap tentang hal ini.”

6 Elia berkata kepada Elisa, “Tinggallah di sini. Yehuwa telah menyuruh aku pergi ke Sungai Yordan.” Tetapi Elisa menjawab, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.” Maka mereka berdua pun meneruskan perjalanan, 7 dan 50 orang nabi juga mengikuti mereka. Ketika Elia dan Elisa berdiri di tepi Sungai Yordan, nabi-nabi itu memandang mereka dari jauh. 8 Kemudian Elia mengambil jubahnya,*+ menggulungnya lalu memukul air sungai dengannya. Air sungai terbelah dua dan mereka menyeberangi sungai di atas tanah yang kering.+

9 Sebaik sahaja mereka menyeberangi sungai, Elia berkata kepada Elisa, “Katakanlah apa yang kamu mahu aku lakukan untukmu sebelum aku dibawa pergi.” Elisa menjawab, “Benarkanlah aku menerima dua kali ganda+ kuasa suci Tuhan* yang tuan miliki.”+ 10 Elia berkata, “Permintaanmu itu susah dikabulkan. Tetapi jika kamu nampak aku ketika aku dibawa pergi, permintaanmu akan dikabulkan. Jika tidak, permintaanmu tidak akan dikabulkan.”

11 Mereka terus berbual-bual sambil berjalan. Tiba-tiba sebuah kereta kuda berapi yang ditarik oleh kuda-kuda berapi+ memisahkan mereka berdua lalu Elia diangkat ke langit dengan angin ribut.+ 12 Semasa Elisa nampak apa yang berlaku, dia berseru kepada Elia, “Tuanku, oh tuanku!* Kereta kuda Israel dan penunggang kudanya!”+ Apabila Elisa tidak dapat melihat Elia lagi, dia memegang bajunya lalu mengoyakkannya menjadi dua.+ 13 Selepas itu, Elisa mengambil jubah+ Elia yang terjatuh. Lalu Elisa kembali dan berdiri di tepi Sungai Yordan. 14 Dia memegang jubah Elia yang terjatuh itu dan memukul air sungai dengannya sambil berkata, “Di manakah Yehuwa, Tuhan Elia?” Semasa dia memukul air sungai itu, air terbelah dua dan dia berjalan ke seberang.+

15 Apabila kumpulan nabi di Yerikho nampak dia dari jauh, mereka berkata, “Kuasa suci Tuhan yang ada pada Elia kini ada pada Elisa.”+ Mereka pun mendekatinya dan bersujud di hadapannya. 16 Mereka berkata kepada Elisa, “Di sini, terdapat 50 orang lelaki yang kuat dalam kalangan hamba-hambamu. Izinkanlah mereka pergi mencari tuanmu. Barangkali Yehuwa telah menggunakan kuasa suci-Nya* untuk mengangkat Elia dan membawanya ke salah sebuah gunung atau lembah.”+ Tetapi dia berkata, “Jangan utus mereka.” 17 Tetapi mereka mendesaknya sehingga dia berasa malu. Maka dia berkata, “Utuslah mereka.” Mereka mengutus 50 orang lelaki untuk mencari Elia. Mereka mencarinya selama tiga hari, tetapi mereka tidak menemuinya. 18 Ketika mereka kembali kepadanya, dia sedang tinggal di Yerikho.+ Elisa berkata kepada mereka, “Bukankah aku sudah kata kamu tidak perlu pergi?”

19 Beberapa lama kemudian, orang dari kota itu berkata kepada Elisa, “Sebagaimana tuan tahu, kedudukan kota ini memang baik,+ tetapi airnya tidak baik dan tanahnya tandus.”* 20 Maka Elisa berkata, “Bawakanlah sebuah mangkuk kecil yang baharu kepadaku dan letakkanlah garam di dalamnya.” Mereka pun berbuat demikian. 21 Elisa pergi ke sumber air lalu melemparkan garam ke dalamnya+ dan berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Aku telah membersihkan air ini. Air ini tidak akan menyebabkan kematian atau ketandusan* lagi.’” 22 Seperti yang dikatakan oleh Elisa, air itu tetap bersih sampai hari ini.

23 Dari situ, dia pergi ke Bethel. Dalam perjalanan, budak-budak lelaki keluar dari kota dan mengejeknya.+ Mereka asyik berteriak, “Hai si botak, pergi dari sini! Hai si botak, pergi dari sini!” 24 Akhirnya dia menoleh ke belakang dan memandang mereka lalu mengutuk mereka atas nama Yehuwa. Selepas itu, dua ekor beruang betina+ keluar dari hutan dan mencabik-cabik 42 orang daripada budak-budak itu.+ 25 Dari sana, dia meneruskan perjalanannya ke Gunung Karmel.+ Kemudian dia kembali ke Samaria.

3 Yehoram+ anak Ahab menjadi raja Israel dan memerintah di Samaria pada tahun ke-18 pemerintahan Yehosafat, raja Yehuda. Yehoram memerintah selama 12 tahun. 2 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, tetapi dia tidak sejahat bapanya atau ibunya. Dia merobohkan tugu suci* Baal yang didirikan oleh bapanya.+ 3 Tetapi dia mengikut jejak Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel berdosa,+ dan dia enggan bertaubat.

4 Raja Mesa dari Moab ialah seorang penternak biri-biri. Dia biasanya membayar raja Israel ufti sebanyak 100,000 ekor anak bebiri dan 100,000 ekor bebiri jantan yang belum digunting bulunya. 5 Sebaik sahaja Ahab meninggal,+ raja Moab memberontak terhadap raja Israel.+ 6 Oleh itu, Raja Yehoram meninggalkan Samaria pada masa itu dan mengumpulkan semua askar Israel. 7 Dia juga mengirim pesanan kepada Yehosafat, raja Yehuda, “Raja Moab telah memberontak terhadap beta. Adakah tuanku sudi untuk pergi berperang menentang Moab bersama-sama beta?” Yehosafat menjawabnya, “Ya, mari kita pergi bersama-sama.+ Tentera dan pasukan berkuda beta akan bergabung dengan tentera dan pasukan berkuda tuanku.”+ 8 Kemudian Yehosafat bertanya, “Jalan manakah yang harus kita ikut?” Yehoram menjawab, “Kita ikut jalan yang melalui padang belantara Edom.”

9 Raja Israel bertolak bersama raja Yehuda dan raja Edom,+ dan mereka mengambil jalan yang jauh. Selepas tujuh hari, mereka kehabisan air sehingga tentera dan ternakan yang mengikuti mereka kehausan. 10 Raja Israel berkata, “Malanglah kita! Yehuwa telah mengumpulkan kita bertiga untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab!” 11 Yehosafat pun berkata, “Tidak adakah nabi Yehuwa di sini yang boleh membantu kita mendapatkan petunjuk Yehuwa?”+ Salah seorang hamba raja Israel menjawab, “Ya, ada. Dia ialah Elisa+ anak Safat yang pernah menjadi hamba Elia.”*+ 12 Kemudian Yehosafat berkata, “Betul, Yehuwa memang berfirman melaluinya.” Maka raja Israel dan Yehosafat serta raja Edom pergi kepada Elisa.

13 Elisa berkata kepada raja Israel, “Mengapakah tuanku datang kepada hamba?*+ Pergilah kepada nabi-nabi ayahanda tuanku dan nabi-nabi bonda tuanku.”+ Tetapi raja Israel menjawabnya, “Jangan kata begitu! Yehuwa telah mengumpulkan beta bertiga untuk diserahkan ke dalam tangan orang Moab.” 14 Elisa berkata, “Hamba bersumpah demi Yehuwa, ketua angkatan syurga, Tuhan yang hidup yang hamba sembah, bahawa jika bukan kerana Raja Yehosafat+ dari Yehuda, hamba tidak akan berjumpa ataupun menghiraukan tuanku.+ 15 Sekarang bawalah seorang pemain kecapi+ kepada hamba.” Sebaik sahaja pemain kecapi itu memetik kecapinya, kuasa Yehuwa turun ke atas Elisa.+ 16 Elisa berkata, “Inilah firman Yehuwa: ‘Galilah parit-parit di lembah* ini 17 kerana Yehuwa telah berfirman bahawa lembah ini akan dipenuhi air meskipun tidak ada hujan atau angin.+ Kamu, ternakan kamu, dan binatang-binatang yang lain akan mendapat air untuk diminum.’ 18 Perkara ini mudah bagi Yehuwa.+ Selain itu, Dia juga akan menyerahkan orang Moab ke dalam tangan kamu.+ 19 Kamu mesti memusnahkan setiap kota yang bertembok+ dan setiap kota yang indah. Kamu harus menebang setiap pokok yang baik dan menutup semua mata air. Kamu juga harus merosakkan setiap tanah yang subur dengan batu-batu.”+

20 Pada waktu pagi, iaitu pada waktu korban bijirin dipersembahkan,+ air tiba-tiba mengalir dari arah Edom dan lembah itu dipenuhi air.

21 Semua orang Moab mendengar bahawa raja-raja itu datang untuk melawan mereka. Maka semua lelaki yang mampu berperang dipanggil dan ditempatkan di sempadan negeri mereka. 22 Ketika orang Moab bangun pada awal pagi, matahari bersinar ke atas air di seberang lembah itu sehingga air itu kelihatan merah seperti darah. 23 Maka mereka berseru, “Lihatlah! Itu darah! Raja-raja itu pasti telah membunuh satu sama lain dengan pedang. Hai orang Moab sekalian, marilah kita pergi menjarah barang mereka!”+ 24 Apabila mereka tiba di perkhemahan orang Israel, orang Israel bangkit dan mula melawan mereka.+ Maka orang Moab melarikan diri ke negeri mereka, tetapi orang Israel mengejar mereka dan membunuh mereka. 25 Orang Israel memusnahkan kota-kota mereka. Setiap orang melontarkan batu ke setiap tanah yang subur sehingga tanah itu penuh dengan batu. Mereka juga menutup semua mata air+ dan menebang setiap pokok yang baik.+ Akhirnya hanya tembok batu di kota Kir-hareset+ yang tertinggal, dan askar-askar yang bersenjatakan ali-ali* mengepung kota itu dan menyerangnya.

26 Apabila raja Moab sedar bahawa dia telah kalah, dia membawa 700 orang askar yang berpedang lalu mencuba untuk menembusi pertahanan raja Edom.+ Namun usaha mereka gagal. 27 Maka dia mengambil anak sulungnya yang akan menggantikannya sebagai raja lalu mempersembahkannya sebagai korban bakar+ di atas tembok. Hal ini menimbulkan kemarahan yang dahsyat, dan orang Israel berundur dari situ lalu pulang ke negeri sendiri.

4 Pada suatu hari, seorang daripada sekumpulan nabi*+ telah meninggal. Maka, balunya datang kepada Elisa dan berkata, “Hambamu, iaitu suamiku, telah meninggal. Tuan tahu bahawa hambamu itu sentiasa takut akan Yehuwa.+ Sekarang, pemberi pinjaman sudah datang hendak mengambil kedua-dua orang anakku untuk dijadikan hamba.” 2 Lalu Elisa bertanya, “Apa yang dapat aku lakukan untukmu? Beritahulah aku, apa yang ada di dalam rumahmu?” Balu itu menjawab, “Hambamu tidak mempunyai apa-apa pun kecuali sebuah botol yang berisi minyak.”+ 3 Kemudian Elisa berkata, “Pergilah dan mintalah bekas-bekas kosong daripada semua jiranmu. Dapatkan seberapa banyak bekas yang mungkin. 4 Selepas itu, kamu dan anak-anak lelakimu harus masuk ke dalam rumah dan menutup pintu. Isikan semua bekas kosong itu dengan minyak dan asingkan bekas-bekas yang sudah penuh.” 5 Balu itu pun beredar dari situ.

Kemudian dia dan anak-anak lelakinya masuk ke dalam rumah lalu menutup pintu. Anak-anaknya memberikan bekas-bekas kosong itu kepadanya dan dia mengisi semua bekas itu.+ 6 Apabila bekas-bekas itu penuh, dia berkata kepada salah seorang anak lelakinya, “Berilah aku bekas yang lain.”+ Tetapi anaknya menjawab, “Tidak ada bekas kosong lagi.” Ketika itu juga minyak berhenti mengalir.+ 7 Maka balu itu kembali kepada Nabi Elisa dan memberitahunya apa yang telah berlaku. Elisa berkata, “Pergilah dan juallah minyak itu supaya kamu dapat membayar hutangmu. Gunakanlah wang yang selebihnya untuk menyara hidupmu dan anak-anak lelakimu.”

8 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem.+ Di sana terdapat seorang wanita yang kaya dan disegani. Wanita itu menggesa Elisa makan di rumahnya.+ Maka setiap kali Elisa lalu di sana, dia akan makan di rumah wanita itu. 9 Wanita itu berkata kepada suaminya, “Saya tahu bahawa lelaki yang selalu datang ke rumah kita ialah hamba Tuhan yang suci. 10 Marilah kita membina sebuah bilik kecil di bumbung rumah,+ dan melengkapinya dengan katil, meja, kerusi, dan kaki pelita agar dia dapat menginap di bilik itu setiap kali dia datang ke sini.”+

11 Pada suatu hari, Elisa pergi ke Sunem dan masuk ke bilik itu lalu berbaring di situ. 12 Dia berkata kepada pembantunya Gehazi,+ “Panggillah wanita Sunem+ itu.” Maka Gehazi memanggilnya dan wanita itu datang kepada Gehazi. 13 Elisa berkata kepada Gehazi, “Beritahulah wanita itu, ‘Kamu bersusah payah kerana kami.+ Apakah yang dapat aku lakukan untuk kamu?+ Perlukah aku bercakap dengan raja atau ketua tentera bagi pihak kamu?’”+ Wanita itu menjawab, “Tidak perlu kerana aku hidup aman dalam kalangan bangsaku sendiri.” 14 Maka Elisa bertanya, “Jika demikian, apakah yang dapat aku lakukan untuknya?” Gehazi menjawab, “Dia tidak mempunyai anak lelaki+ dan suaminya sudah tua.” 15 Elisa segera berkata, “Panggillah wanita itu.” Maka Gehazi memanggilnya dan wanita itu datang lalu berdiri di pintu. 16 Elisa berkata, “Pada masa yang sama tahun depan, kamu akan melahirkan seorang anak lelaki.”+ Wanita itu menjawab, “Tuan, janganlah tipu aku. Tuan ialah utusan daripada Tuhan yang benar!”

17 Sebagaimana yang dikatakan oleh Elisa, wanita itu mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki pada masa yang sama tahun berikutnya. 18 Hari demi hari, anak itu kian membesar. Pada suatu hari, dia pergi mencari bapanya yang ada bersama para penuai. 19 Dia asyik berkata kepada bapanya, “Aduh, sakitnya kepala saya!” Maka bapanya berkata kepada hambanya, “Angkatlah dia dan bawalah dia kepada ibunya.” 20 Hamba itu pun membawa anak itu kepada ibunya. Anak itu terus duduk di pangkuan ibunya sehingga tengah hari, dan akhirnya dia meninggal.+ 21 Kemudian ibunya membawanya ke dalam bilik Elisa+ lalu membaringkannya di atas katil. Dia menutup pintu lalu beredar. 22 Dia memanggil suaminya dan berkata, “Suruhlah seorang hamba membawa seekor keldai ke mari dengan cepat. Saya hendak bertemu dengan Nabi Elisa. Selepas itu, saya akan kembali.” 23 Suaminya bertanya, “Mengapakah kamu hendak pergi berjumpa dengannya pada hari ini? Hari ini bukanlah bulan baharu+ ataupun hari Sabat.” Dia menjawab, “Jangan risau, tiada masalah.” 24 Kemudian dia memasang pelana pada keldai itu dan berkata kepada hambanya, “Cepat! Jangan kurangkan kepantasannya kecuali aku suruh.”

25 Demikianlah wanita itu berangkat untuk berjumpa dengan nabi itu di Gunung Karmel. Sebaik sahaja Nabi Elisa nampak wanita itu dari jauh, dia berkata kepada Gehazi, pembantunya, “Lihatlah! Wanita dari Sunem itu sudah datang. 26 Cepatlah pergi menemuinya dan tanyalah tentang keadaannya, suaminya, dan anaknya.” Wanita itu memberitahu Gehazi bahawa semuanya baik. 27 Apabila dia berjumpa dengan Nabi Elisa di gunung, dia segera memegang kaki Nabi Elisa.+ Maka Gehazi mendekati wanita itu untuk menolaknya, tetapi Elisa berkata, “Biarkanlah dia. Dia kelihatan sangat sedih, tetapi aku tidak tahu sebabnya kerana Yehuwa belum memberitahuku apa-apa.” 28 Wanita itu berkata, “Aku tidak pernah meminta seorang anak lelaki daripada tuan. Bukankah aku sudah berkata, ‘Janganlah beri aku harapan palsu’?”+

29 Elisa segera berkata kepada Gehazi, “Ikatlah jubahmu pada pinggangmu*+ dan ambillah tongkatku. Pergilah dan jika kamu terjumpa dengan seseorang, janganlah menyapanya, dan jika seseorang memberikan salam kepadamu, janganlah membalas salamnya.* Pergilah dan letakkanlah tongkatku pada muka budak itu.” 30 Namun, wanita itu berkata, “Aku bersumpah demi Yehuwa yang hidup dan demi tuan, bahawa aku tidak akan meninggalkan tuan.”+ Oleh itu, Elisa berangkat bersama-samanya. 31 Gehazi mendahului mereka lalu meletakkan tongkat Elisa pada muka budak itu, tetapi tiada tanda-tanda bahawa budak itu hidup.+ Dia kembali untuk menemui Elisa dan berkata, “Budak itu tidak bangun.”

32 Apabila Elisa tiba di rumah wanita itu, dia nampak budak yang mati itu terbaring di atas katil.+ 33 Dia masuk lalu menutup pintu bilik. Hanya mereka berdua di dalam bilik itu. Kemudian Elisa mula berdoa kepada Yehuwa.+ 34 Dia meniarap pada tubuh budak yang berada di atas katil itu. Dia merapatkan mulutnya pada mulut budak itu, matanya pada mata budak itu, dan tapak tangannya pada tapak tangan budak itu. Dia berbuat demikian sehingga badan budak itu menjadi hangat.+ 35 Kemudian, dia berjalan mundar-mandir di dalam rumah itu. Sekali lagi, dia meniarap pada tubuh budak itu. Budak itu bersin sebanyak tujuh kali lalu membuka matanya.+ 36 Elisa memanggil Gehazi dan berkata, “Panggillah wanita dari Sunem itu.” Maka Gehazi pun memanggil wanita itu. Apabila wanita itu masuk, Elisa berkata, “Ambillah anakmu ini.”+ 37 Wanita itu bersujud di depan kaki Elisa lalu membawa anaknya keluar.

38 Semasa Elisa kembali ke Gilgal, ada kebuluran berlaku di situ.+ Sekumpulan nabi+ sedang duduk di hadapannya dan Elisa berkata kepada pembantunya,+ “Letakkanlah periuk besar di atas api, dan masaklah sup untuk nabi-nabi ini.” 39 Maka salah seorang nabi pergi ke ladang untuk mencari sayur, dan dia menjumpai labu pada sejenis tanaman liar. Tanpa mengetahui apa sebenarnya tanaman itu, dia mula memetik labu itu dan memasukkannya ke dalam jubahnya. Apabila jubahnya sudah penuh, dia kembali dan memotong labu-labu itu lalu memasukkannya ke dalam periuk. 40 Kemudian sup itu dihidangkan. Tetapi sebaik sahaja mereka memakannya, mereka berkata, “Hai nabi Tuhan, sup ini beracun!” Maka mereka tidak memakannya lagi. 41 Oleh itu, Elisa berkata, “Bawakanlah sedikit tepung kepadaku.” Dia mengambil tepung itu dan memasukkannya ke dalam periuk. Setelah itu, dia berkata, “Hidangkan lagi sup ini kepada semua orang.” Ternyata sup itu tidak lagi beracun.+

42 Seorang lelaki datang dari Baal-salisa+ dan dia membawa sebuah kantung yang berisi bijirin yang baharu.+ Selain itu, dia juga membawa 20 buku roti yang diperbuat daripada barli.+ (Barli itu merupakan hasil tuaian yang pertama.) Maka Elisa berkata, “Agihkan makanan ini kepada semua orang supaya mereka boleh memakannya.” 43 Tetapi hambanya berkata, “Makanan ini tidak mungkin cukup untuk 100 orang.”+ Elisa berkata, “Yehuwa telah berfirman, ‘Mereka akan makan, dan setelah makan, akan ada lebihan makanan.’+ Jadi agihkanlah makanan ini kepada semua orang supaya mereka boleh memakannya.” 44 Maka hamba itu mengagihkan makanan itu kepada semua orang lalu mereka memakannya. Setelah mereka selesai makan, masih ada lebihan makanan+ seperti yang difirmankan Yehuwa.

5 Naaman ialah ketua tentera yang berkhidmat untuk raja Siria. Dia seorang lelaki yang terkemuka dan dihargai oleh tuannya, raja Siria. Melalui Naaman, Yehuwa telah memberikan kemenangan* kepada Siria. Walaupun dia seorang pahlawan yang perkasa, dia menghidap penyakit kusta. 2 Pada suatu hari, semasa orang Siria menyerang negeri Israel, mereka telah menangkap seorang budak perempuan lalu menjadikannya hamba kepada isteri Naaman. 3 Budak perempuan itu berkata kepada isteri Naaman, “Alangkah baiknya jika tuan Naaman dapat pergi berjumpa dengan nabi+ di Samaria! Dia tentu akan menyembuhkan penyakit kusta tuan Naaman.”+ 4 Oleh itu, dia* pergi berjumpa dengan tuannya lalu menyampaikan apa yang dikatakan oleh budak perempuan Israel itu.

5 Raja Siria berkata, “Pergilah! Beta akan mengirim surat kepada raja Israel.” Jadi dia pun pergi dengan membawa 10 talenta* perak, 6,000 keping emas, dan 10 pasang pakaian. 6 Dia memberikan surat itu kepada raja Israel. Surat itu berbunyi: “Berserta surat ini, beta mengutus hamba beta, Naaman, kepada tuanku supaya tuanku dapat menyembuhkan penyakit kustanya.” 7 Sebaik sahaja raja Israel membaca surat itu, dia mengoyakkan jubahnya lalu berkata, “Adakah beta Tuhan yang dapat menentukan hidup mati seseorang?+ Raja Siria mengutus lelaki ini kepada beta dan meminta beta menyembuhkannya. Lihatlah dengan mata kamu sendiri! Raja itu memang mencari gaduh dengan beta!”

8 Sebaik sahaja Nabi Elisa mendapat berita bahawa raja Israel telah mengoyakkan jubahnya, dia menghantar pesanan berikut kepada raja: “Mengapakah tuanku mengoyakkan jubah tuanku? Suruhlah orang itu datang kepada hamba supaya dia tahu bahawa ada seorang nabi di Israel.”+ 9 Oleh itu, Naaman datang dengan kereta kuda dan semua kudanya lalu berhenti di depan pintu rumah Elisa. 10 Elisa mengutus seseorang untuk berkata kepada Naaman, “Pergilah mandi sebanyak tujuh kali+ di Sungai Yordan,+ maka penyakitmu akan sembuh dan kamu akan menjadi tahir.”* 11 Sambil meninggalkan tempat itu, Naaman berkata dengan marah, “Aku sangka dia akan keluar untuk bersemuka denganku. Aku fikir dia akan menyeru nama Tuhannya Yehuwa, dan menggerak-gerakkan tangannya di atas bahagian tubuhku yang dijangkiti kusta untuk menyembuhkan aku. 12 Bukankah Sungai Abana dan Sungai Parpar yang terletak di Damsyik+ lebih baik daripada semua sungai di Israel? Tidak bolehkah aku mandi di sungai-sungai itu untuk menjadi tahir?” Maka dia beredar dari sana dengan sangat marah.

13 Hamba-hamba Naaman mendekatinya lalu berkata, “Tuan, jika nabi itu menyuruh tuan untuk melakukan sesuatu yang susah, tidakkah tuan akan melakukannya? Sekarang dia hanya menyuruh tuan untuk pergi mandi di sungai supaya tuan menjadi tahir. Bukankah hal itu lebih senang dilakukan?” 14 Oleh itu, Naaman pergi ke Sungai Yordan dan membenamkan dirinya sebanyak tujuh kali ke dalam air sungai, seperti yang disuruh oleh nabi itu.+ Lalu dia menjadi tahir+ dan tubuhnya menjadi sihat seperti tubuh anak kecil.+

15 Selepas itu, Naaman dan rombongannya kembali kepada nabi itu.+ Naaman berdiri di hadapan Elisa dan berkata, “Sekarang barulah aku tahu bahawa tiada Tuhan yang benar di seluruh dunia kecuali Tuhan orang Israel.+ Terimalah hadiah hambamu ini.” 16 Namun Elisa berkata, “Demi Yehuwa yang hidup, Tuhan yang aku sembah, aku bersumpah bahawa aku tidak akan menerimanya.”+ Naaman memujuk Elisa untuk menerima hadiah itu, tetapi Elisa tetap menolak. 17 Akhirnya Naaman pun berkata, “Kalau begitu, tolong beri hamba tanah dari negeri ini sebanyak yang dapat dibawa oleh dua ekor baghal. Mulai sekarang, hamba akan mempersembahkan korban bakar dan korban-korban lain kepada Yehuwa sahaja. Hamba tidak akan mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan lain. 18 Tetapi hamba ingin meminta ampun daripada Yehuwa atas satu perkara ini: Setiap kali raja pergi bersembahyang di kuil* Rimon, raja akan bersandar pada lengan hamba. Jadi apabila raja bersujud, hamba terpaksa bersujud bersamanya. Oleh itu, moga Yehuwa mengampuni hamba atas perbuatan hamba ini.” 19 Maka Elisa berkata, “Pergilah dengan sejahtera.” Naaman pun beredar. Apabila dia sudah agak jauh dari situ, 20 Gehazi,+ iaitu pembantu Nabi Elisa,+ berkata dalam hatinya, “Tuan aku telah membenarkan Naaman+ pergi tanpa menerima apa-apa pun daripadanya. Aku bersumpah demi Yehuwa, Tuhan yang hidup, bahawa aku akan mengejar orang Siria itu dan mendapatkan sesuatu daripadanya.” 21 Gehazi pun mengejar Naaman. Apabila Naaman nampak seseorang sedang mengejarnya, dia turun dari kereta kuda untuk menemuinya lalu bertanya, “Adakah semuanya baik?” 22 Gehazi menjawab, “Ya, tuan. Tetapi majikanku mengutus aku kepada tuan. Katanya, ‘Tadi, dua orang daripada sekumpulan nabi* dari kawasan pergunungan Efraim datang kepadaku. Oleh itu, tolonglah beri kedua-dua orang pemuda itu satu talenta perak dan dua pasang pakaian.’”+ 23 Naaman berkata, “Nah, ambillah dua talenta perak.” Dia terus mendesak Gehazi+ untuk menerima perak itu. Kemudian, dia memasukkan perak itu dan dua pasang pakaian ke dalam dua buah kantung. Dia memberikan semua itu kepada dua orang hambanya, yang berjalan mendahului Gehazi.

24 Apabila Gehazi tiba di Ofel,* dia mengambil semua itu daripada hamba-hamba tersebut lalu membawanya ke dalam rumahnya. Kemudian dia menyuruh mereka pergi. Selepas mereka beredar, 25 dia pergi menemui Elisa. Elisa bertanya kepadanya, “Kamu dari mana, Gehazi?” Dia menjawab, “Aku tidak pergi ke mana-mana, tuan.”+ 26 Maka Elisa berkata kepadanya, “Sebenarnya, aku tahu bahawa lelaki itu telah turun dari kereta kudanya untuk berjumpa dengan kamu. Adakah sekarang masa yang sesuai untuk menerima perak, pakaian, ladang zaitun, ladang anggur, bebiri, lembu, dan hamba perempuan atau hamba lelaki?+ 27 Kerana perbuatanmu itu, sekarang penyakit kusta Naaman+ akan menimpa kamu dan keturunanmu buat selama-lamanya.” Gehazi pun beredar dari hadapannya. Pada waktu itu juga, kulitnya menjadi putih seperti salji kerana dijangkiti penyakit kusta.+

6 Sekumpulan nabi*+ berkata kepada Elisa, “Lihatlah! Tempat tinggal kita sekarang terlalu sempit! 2 Benarkanlah kami pergi ke Sungai Yordan. Di sana, kami masing-masing akan mengambil sebatang kayu balak lalu membina sebuah tempat tinggal untuk kami.” Dia berkata, “Pergilah.” 3 Salah seorang daripada mereka bertanya, “Sudikah tuan pergi bersama kami?” Dia menjawab, “Baiklah.” 4 Maka dia pun pergi bersama mereka. Apabila mereka tiba di Sungai Yordan, mereka mula menebang pokok-pokok. 5 Semasa salah seorang daripada mereka sedang menebang pokok, kepala kapaknya terjatuh ke dalam air. Lalu dia berteriak, “Alamak! Tuan, kapak itu aku pinjam daripada orang lain!” 6 Maka Nabi Elisa berkata, “Di manakah kepala kapak itu terjatuh?” Lelaki itu menunjukkan tempatnya kepada Elisa. Kemudian Elisa memotong sebatang kayu lalu melemparkannya ke tempat itu. Maka, terapunglah kepala kapak itu di permukaan air. 7 Elisa berkata, “Ambillah kepala kapak itu.” Maka lelaki itu menghulurkan tangannya lalu mengambilnya.

8 Pada suatu ketika, raja Siria pergi berperang melawan Israel.+ Setelah berbincang dengan para pegawainya, dia memberitahu mereka tempat mereka harus mendirikan khemah. 9 Tetapi Nabi Elisa+ menghantar pesanan berikut kepada raja Israel: “Janganlah lalu di tempat itu, kerana di situlah orang Siria akan turun untuk menyerang kamu.” 10 Raja Israel pun memberikan amaran kepada orang yang berada di tempat itu. Elisa berkali-kali memberikan amaran kepada raja Israel. Dengan demikian, raja Israel selalu dapat menjauhkan diri dari tempat-tempat itu.+

11 Hal ini membuat raja Siria menjadi sangat marah. Dia memanggil para pegawainya lalu berkata, “Beritahulah beta, siapa antara kamu yang berpihak kepada raja Israel?” 12 Salah seorang pegawainya berkata, “Bukan kami, tuanku! Ada seorang yang tahu tentang hal-hal yang tuanku ucapkan di bilik tuanku sendiri. Orangnya ialah Elisa, seorang nabi di Israel. Dialah yang memberitahukan semuanya kepada raja Israel.”+ 13 Raja Siria berkata, “Pergilah dan carilah dia. Beta mahu mengutus orang untuk menangkapnya.” Beberapa lama kemudian, raja diberitahu bahawa Elisa berada di Dotan.+ 14 Dengan segera, raja mengutus sepasukan askar yang besar bilangannya bersama kuda-kuda dan kereta kuda ke situ. Mereka tiba di kota itu pada waktu malam lalu mengepungnya.

15 Pada awal pagi keesokan harinya, pembantu Nabi Elisa bangun lalu pergi ke luar. Dia nampak sepasukan askar dengan kuda-kuda dan kereta kuda mengepung kota itu. Pembantu itu serta-merta memberitahu Elisa, “Malanglah kita, tuan! Apakah yang harus kita lakukan?” 16 Elisa berkata, “Jangan takut,+ sebab yang menyertai kita lebih banyak daripada yang menyertai mereka.”+ 17 Lalu Elisa mula berdoa, “Ya Yehuwa, bukalah mata pembantuku supaya dia dapat melihat.”+ Pada saat itu juga Yehuwa membuka mata pembantu Elisa, dan dia nampak kawasan pergunungan itu penuh dengan kuda-kuda berapi dan kereta kuda berapi+ di sekeliling Elisa.+

18 Apabila tentera Siria mula mara ke depan, Elisa berdoa kepada Yehuwa, “Butakanlah mata mereka.”+ Maka Tuhan membutakan mata mereka seperti yang diminta oleh Elisa. 19 Kemudian, Elisa berkata kepada mereka, “Ini bukan jalannya, dan ini bukan kota yang kamu cari. Ikutlah aku. Aku akan membawa kamu kepada orang yang kamu cari.” Tetapi, Elisa pula membawa mereka ke Samaria.+

20 Apabila mereka tiba di Samaria, Elisa berdoa, “Ya Yehuwa, bukalah mata mereka agar mereka dapat melihat.” Maka Yehuwa pun membuka mata mereka, lalu mereka nampak bahawa mereka berada di tengah-tengah Samaria. 21 Ketika raja Israel nampak mereka, dia bertanya kepada Elisa, “Tuan, patutkah beta membunuh mereka?” 22 Elisa menjawab, “Adakah tuanku akan membunuh tawanan tuanku dengan pedang dan busur? Janganlah bunuh mereka. Berilah mereka roti dan air supaya mereka dapat makan dan minum+ lalu pulang kepada tuan mereka.” 23 Oleh itu, raja mengadakan sebuah jamuan yang besar untuk mereka. Selepas mereka makan dan minum, mereka dihantar kembali kepada tuan mereka. Sejak itu, kumpulan perompak dari Siria+ tidak lagi pergi ke negeri Israel.

24 Beberapa lama kemudian, Raja Ben-hadad dari Siria mengumpulkan pasukan tenteranya lalu pergi mengepung Samaria.+ 25 Akibatnya, kebuluran yang dahsyat+ menimpa Samaria sehingga kepala keldai+ pun berharga 80 keping wang perak, dan bahkan sedikit* tahi burung merpati berharga 5 keping wang perak. 26 Semasa raja Israel sedang berjalan di atas tembok, seorang wanita berseru kepadanya, “Wahai tuanku! Bantulah kami!” 27 Raja menjawab, “Jika Yehuwa tidak membantu kamu, dari mana beta dapat mencari bantuan bagimu? Dari tempat mengirik* gandum? Dari tempat memeras anggur atau minyak?” 28 Raja bertanya, “Apakah masalah kamu?” Wanita itu menjawab, “Seorang wanita berkata kepada hamba, ‘Serahkanlah anak lelakimu. Hari ini, kita akan memakannya. Esok pula kita akan memakan anak lelakiku.’+ 29 Maka kami memasak anak lelaki hamba dan memakannya.+ Pada hari yang seterusnya, hamba berkata kepada wanita itu, ‘Serahkanlah anak lelakimu agar kita dapat memakannya.’ Tetapi dia pula menyembunyikan anaknya.”

30 Sebaik sahaja raja Israel mendengar kata-kata wanita itu, dia mengoyakkan pakaiannya.+ Semasa dia berjalan di atas tembok, rakyatnya dapat melihat bahawa dia sedang memakai kain guni di sebelah dalam pakaiannya. 31 Selepas itu, raja berkata, “Biarlah Tuhan menghukum beta, dan melipatgandakan hukuman-Nya atas beta, jika kepala Elisa anak Safat tidak dipancung hari ini!”+

32 Pada masa itu, Elisa sedang duduk di rumahnya bersama para pemimpin. Raja Israel menghantar utusan kepada Elisa, tetapi sebelum utusan itu tiba, Elisa berkata kepada para pemimpin itu, “Lihatlah! Anak si pembunuh itu+ telah mengutus orang untuk memenggal kepalaku. Apabila orang itu datang, kamu harus menutup pintu, dan tahanlah pintu itu dari dalam agar dia tidak dapat masuk. Tuannya akan datang menyusulinya.” 33 Sementara Elisa masih sedang bercakap dengan mereka, utusan raja Israel sampai di situ lalu raja berkata, “Yehuwalah yang telah mendatangkan malapetaka ini. Jadi apa gunanya beta menantikan Yehuwa?”

7 Elisa berkata, “Dengarkanlah firman Yehuwa. Inilah apa yang difirmankan oleh Yehuwa: ‘Esok, sekitar waktu ini, di pasar* kota Samaria, satu bekas* tepung yang bermutu tinggi akan bernilai satu keping wang perak,* dan dua bekas* barli akan bernilai satu keping wang perak.’”+ 2 Tetapi pegawai tentera yang dipercayai oleh raja berkata kepada Nabi Elisa, “Meskipun Yehuwa membuka pintu-pintu langit, dapatkah hal itu betul-betul berlaku?”+ Maka Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikan hal itu dengan matamu sendiri,+ tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.”+

3 Ada empat orang pesakit kusta yang sedang duduk di pintu gerbang kota.+ Mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa gunanya kita duduk di sini dan menunggu maut? 4 Jika kita masuk ke dalam kota,+ kita akan mati kebuluran di sana. Jika kita duduk di sini, kita pun akan mati juga. Jadi lebih baik kita pergi ke perkhemahan orang Siria. Jika mereka membunuh kita, biarlah kita mati. Tetapi siapa tahu mungkin mereka akan membiarkan kita hidup.” 5 Oleh itu, apabila hari mulai senja, mereka berangkat ke perkhemahan orang Siria. Apabila mereka tiba di luar perkhemahan itu, mereka mendapati bahawa tiada orang di situ.

6 Hal ini demikian kerana Yehuwa telah menyebabkan orang Siria mendengar bunyi seolah-olah satu pasukan tentera yang besar telah datang untuk menyerang mereka dengan kuda dan kereta kuda.+ Oleh itu, mereka berkata kepada satu sama lain, “Lihatlah! Raja Israel telah mengupah raja-raja orang Het dan raja-raja orang Mesir untuk menyerang kita!” 7 Maka, pada waktu itu juga mereka melarikan diri dan meninggalkan khemah, kuda, dan keldai mereka. Ya, mereka meninggalkan seluruh perkhemahan itu untuk menyelamatkan diri.

8 Ketika keempat-empat pesakit kusta itu tiba di perkhemahan orang Siria, mereka masuk ke dalam salah sebuah khemah lalu makan dan minum. Mereka juga mengambil perak, emas, dan pakaian di situ lalu menyembunyikan semuanya. Kemudian, mereka kembali ke kawasan itu lalu masuk ke dalam khemah yang lain. Mereka juga mengambil barang-barang di khemah itu lalu menyembunyikannya.

9 Akhirnya mereka berkata kepada satu sama lain, “Apa yang kita lakukan ini tidak baik. Kita harus memberitahu orang lain tentang berita baik ini! Jika kita terus berdiam diri dan menunggu sehingga waktu subuh, kita akan dihukum. Marilah kita pergi kepada para pegawai raja dan melaporkan hal ini kepada mereka.” 10 Maka mereka pun pergi dan berseru kepada pengawal-pengawal pintu gerbang kota, “Kami telah pergi ke perkhemahan orang Siria tetapi kami tidak mendengar suara sesiapa pun di situ. Kami juga mendapati bahawa tiada seorang pun di perkhemahan itu. Kuda dan keldai mereka masih terikat, dan khemah-khemah mereka ditinggalkan begitu sahaja.” 11 Dengan serta-merta, pengawal di pintu kota mengumumkan berita itu, lalu berita itu disampaikan ke istana raja.

12 Pada malam itu juga, raja bangun lalu berkata kepada para pegawainya, “Beta akan memberitahu kamu rancangan orang Siria. Mereka tahu bahawa kita kelaparan.+ Oleh itu, mereka meninggalkan perkhemahan mereka lalu bersembunyi di padang. Mereka berkata, ‘Apabila orang Israel keluar dari kota, kita akan tangkap mereka hidup-hidup. Selepas itu, kita akan masuk ke dalam kota mereka.’”+ 13 Kemudian salah seorang pegawainya berkata, “Tuanku, masih ada lima ekor kuda di kota ini. Pilihlah beberapa orang dan hantar mereka ke perkhemahan itu untuk melihat keadaan di sana. Tidak kira sama ada mereka tinggal di kota ini atau pergi ke sana, mereka pun akan mati juga.” 14 Maka mereka pun mengambil dua buah kereta kuda. Lalu raja mengutus mereka ke perkhemahan orang Siria untuk menyiasat apa yang telah berlaku. 15 Mereka membuat perjalanan sampai ke Sungai Yordan. Di sepanjang jalan itu, orang Siria telah meninggalkan banyak pakaian dan perkakas semasa mereka melarikan diri dengan terburu-buru. Maka para utusan itu kembali ke kota dan melaporkan hal tersebut kepada raja.

16 Orang Israel pun keluar untuk menjarah perkhemahan orang Siria. Seperti yang difirmankan oleh Yehuwa, satu bekas tepung yang bermutu tinggi bernilai satu keping wang perak, dan dua bekas barli bernilai satu keping wang perak.+ 17 Raja telah melantik pegawai tentera yang dipercayainya itu untuk bertugas di pintu gerbang kota. Tetapi pegawai itu telah dipijak-pijak oleh orang ramai sampai mati. Hal itu berlaku tepat seperti yang dikatakan oleh nabi Tuhan semasa raja datang berjumpa dengannya. 18 Ya, semuanya telah berlaku seperti yang dikatakan oleh nabi Tuhan kepada raja: “Esok, sekitar waktu ini, di pasar kota Samaria, satu bekas tepung yang bermutu tinggi akan bernilai satu keping wang perak, dan dua bekas barli akan bernilai satu keping wang perak.”+ 19 Tetapi pegawai tentera itu telah berkata kepada Nabi Elisa, “Meskipun Yehuwa membuka pintu-pintu langit, dapatkah hal itu betul-betul berlaku?” Maka Elisa menjawab, “Kamu akan menyaksikan hal itu dengan matamu sendiri, tetapi kamu tidak akan makan makanan itu.” 20 Itulah yang telah berlaku kepada pegawai itu. Dia mati dipijak-pijak oleh orang ramai di pintu gerbang kota itu.

8 Elisa berkata kepada wanita itu (anak lelaki wanita itu telah dibangkitkan* oleh Elisa sebelum ini),+ “Berangkatlah dari tempat ini bersama seisi keluargamu. Pergilah ke mana sahaja kamu mahu, dan tinggallah di situ sebagai orang asing, kerana Yehuwa telah berfirman bahawa negeri ini akan dilanda kebuluran+ selama tujuh tahun.” 2 Wanita itu menurut nasihat yang diberikan oleh Nabi Elisa lalu berangkat dari situ. Dia dan keluarganya telah pergi ke negeri Filistin,+ dan mereka tinggal di sana selama tujuh tahun.

3 Selepas tujuh tahun, wanita itu meninggalkan negeri Filistin lalu pergi menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya dikembalikan kepadanya. 4 Pada masa itu, raja sedang bercakap dengan Gehazi, pembantu Nabi Elisa. Raja berkata kepada Gehazi, “Ceritakanlah kepada beta hal-hal menakjubkan yang telah dilakukan oleh Elisa.”+ 5 Maka Gehazi pun menceritakan bagaimana Elisa membangkitkan orang mati.+ Sedang dia bercerita, wanita yang anak lelakinya telah dibangkitkan oleh Elisa datang menghadap raja untuk memohon supaya rumah dan tanahnya dikembalikan kepadanya.+ Oleh itu, Gehazi segera berkata, “Tuanku, inilah wanita itu, dan inilah anak lelakinya yang telah dibangkitkan oleh Elisa.” 6 Raja pun meminta wanita itu untuk menceritakan apa yang telah berlaku. Setelah wanita itu menceritakan semuanya, raja menugaskan seorang pegawai istana untuk mengembalikan segala harta milik wanita itu, dan semua hasil ladangnya sejak dia meninggalkan tanahnya.

7 Semasa Ben-hadad,+ iaitu raja Siria, sedang sakit, Elisa ada di Damsyik.+ Maka ada orang memberitahu raja, “Nabi Elisa+ ada di negeri ini.” 8 Oleh itu, raja berkata kepada Hazael,+ “Bawalah hadiah bersamamu dan pergilah berjumpa dengan nabi itu.+ Suruhlah dia bertanya kepada Yehuwa, ‘Adakah beta akan sembuh?’” 9 Hazael pun pergi berjumpa dengan nabi itu. Dia membawa segala macam hadiah yang terbaik dari Damsyik dan memuatkan semuanya pada 40 ekor unta. Apabila dia menemui nabi itu, dia berkata, “Hamba tuan, iaitu Raja Ben-hadad dari Siria, telah menyuruh aku untuk bertanya kepada tuan sama ada penyakitnya akan sembuh atau tidak.” 10 Elisa menjawab, “Pergilah beritahu raja, ‘Tuanku pasti akan sembuh.’ Tetapi Yehuwa juga memberitahu aku bahawa baginda pasti akan mati.”+ 11 Selepas itu, dia merenung Hazael sehingga Hazael berasa tidak selesa. Tiba-tiba Nabi Elisa menangis. 12 Hazael pun bertanya, “Mengapakah tuan menangis?” Elisa menjawab, “Sebab aku tahu perkara dahsyat yang akan kamu lakukan terhadap orang Israel.+ Kamu akan membakar kubu-kubu mereka. Kamu akan membunuh askar-askar terbaik mereka dengan pedang. Kamu akan membunuh anak-anak mereka dengan kejam. Kamu juga akan membelah perut wanita mereka yang hamil.”+ 13 Hazael berkata, “Bagaimanakah hambamu yang hina ini* mampu berbuat demikian?” Elisa berkata, “Yehuwa telah memberitahu aku bahawa kamu akan menjadi raja Siria.”+

14 Kemudian dia meninggalkan Elisa dan pulang menghadap raja. Raja bertanya kepadanya, “Apakah yang dikatakan oleh Elisa kepadamu?” Dia menjawab, “Elisa memberitahu hamba bahawa tuanku pasti akan sembuh.”+ 15 Tetapi pada keesokan harinya, Hazael mengambil sehelai selimut, mencelupkannya ke dalam air lalu menekankan selimut itu pada muka raja sehingga raja sesak nafas dan mati.+ Kemudian Hazael menggantikan Ben-hadad sebagai raja.+

16 Pada tahun kelima pemerintahan Yehoram+ anak Ahab, raja Israel, Yehosafat sedang memerintah di Yehuda. Pada waktu itu, Yehoram+ anak Yehosafat menjadi raja. 17 Yehoram berumur 32 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama lapan tahun. 18 Oleh sebab dia mengahwini anak perempuan Ahab,+ dia mengikut jejak raja-raja Israel,+ seperti yang dilakukan oleh keluarga Ahab.+ Ya, Yehoram terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa.+ 19 Tetapi demi hamba-Nya Daud, Yehuwa tidak ingin memusnahkan Yehuda.+ Hal ini demikian kerana Dia telah berjanji bahawa Daud akan sentiasa mempunyai seorang keturunan yang menjadi raja.*+

20 Pada zaman pemerintahan Yehoram, orang Edom memberontak terhadap Yehuda+ dan menabalkan raja sendiri.+ 21 Maka Yehoram pergi ke Zair dengan semua kereta kudanya. Pada waktu malam, Yehoram bangkit dan mengalahkan orang Edom yang telah mengepungnya dan ketua-ketua pasukan kereta kudanya. Orang Edom pun melarikan diri dan pulang ke khemah masing-masing. 22 Namun demikian, Edom tetap memberontak terhadap Yehuda sampai hari ini. Pada masa itu juga, Libna+ memberontak terhadap Yehuda.

23 Berkenaan kisah hidup Yehoram yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 24 Yehoram meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ Kemudian anak lelakinya yang bernama Ahazia+ menggantikannya sebagai raja.

25 Ahazia anak kepada Raja Yehoram dari Yehuda menjadi raja pada tahun ke-12 pemerintahan Yehoram anak Ahab, raja Israel.+ 26 Ahazia berumur 22 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama setahun. Ibunya ialah Atalya,+ cucu* kepada Raja Omri+ dari Israel. 27 Oleh sebab dia mempunyai hubungan keluarga dengan Ahab, dia mengikut jejak mereka.+ Dia sentiasa melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti keluarga Ahab.+ 28 Dia pergi bersama Yehoram anak Ahab ke Ramot-gilead+ untuk melawan Raja Hazael dari Siria, dan tentera Siria telah mencederakan Yehoram.+ 29 Memandangkan Raja Yehoram tercedera di Rama* semasa dia melawan Raja Hazael dari Siria,+ dia telah kembali ke Yizreel+ supaya luka-lukanya sembuh. Maka Ahazia anak Yehoram, raja Yehuda, telah pergi ke Yizreel untuk melawat Yehoram anak Ahab yang tercedera.*

9 Nabi Elisa memanggil seorang daripada sekumpulan nabi* lalu berkata kepadanya, “Ikatlah jubahmu pada pinggangmu.* Selepas itu, ambillah botol yang berisi minyak ini lalu pergilah ke Ramot-gilead+ dengan segera. 2 Apabila kamu sampai di sana, carilah Yehu+ anak Yehosafat, cucu Nimsi. Yehu ada bersama saudara-saudaranya. Suruhlah dia meninggalkan mereka lalu bawalah dia ke bilik yang paling belakang. 3 Kemudian, ambillah botol itu lalu tuangkanlah minyak ke atas kepalanya. Katakan kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku melantik engkau sebagai raja Israel.”’+ Selepas itu, bukalah pintu dan larilah dari sana tanpa berlengah-lengah.”

4 Maka anak nabi itu berangkat ke Ramot-gilead. 5 Semasa dia tiba, panglima-panglima tentera sedang duduk di sana. Dia berkata, “Tuan panglima, aku membawa pesanan bagimu.” Yehu bertanya, “Untuk siapa?” Dia menjawab, “Untuk tuan.” 6 Yehu pun berdiri lalu masuk ke dalam rumah. Anak nabi itu menuangkan minyak ke atas kepala Yehu lalu berkata, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku melantik engkau sebagai raja atas seluruh umat Yehuwa, iaitu umat Israel.+ 7 Engkau mesti membunuh semua ahli keluarga Ahab, tuanmu. Aku, Yehuwa, akan melakukan pembalasan bagi semua hamba dan nabi-Ku yang telah mati di tangan Izebel.+ 8 Seluruh rumah tangga Ahab akan dibinasakan. Aku akan melenyapkan semua lelaki Israel yang berasal daripada keluarga Ahab, termasuk yang lemah dan yang tidak berdaya.+ 9 Aku akan menyebabkan keluarga Ahab menjadi seperti keluarga Yerobeam+ anak Nebat dan keluarga Baesa+ anak Ahia. 10 Berkenaan Izebel, anjing-anjing akan memakan mayatnya di sebidang tanah di Yizreel,+ dan dia tidak akan dikebumikan.’” Kemudian, anak nabi itu membuka pintu lalu lari dari situ.+

11 Semasa Yehu kembali kepada para panglima itu, mereka bertanya, “Apakah yang terjadi? Mengapakah orang gila itu datang mencari kamu?” Yehu menjawab, “Kamu tahulah orang seperti itu selalu cakap perkara yang bukan-bukan.” 12 Tetapi mereka berkata, “Janganlah bohong! Beritahulah kami.” Yehu pun memberitahu mereka apa yang dikatakan oleh anak nabi itu. Katanya, “Anak nabi itu berkata, ‘Inilah firman Yehuwa: “Aku akan melantik engkau sebagai raja Israel.”’”+ 13 Kemudian, mereka segera menanggalkan jubah masing-masing lalu meletakkannya di atas anak tangga+ untuk Yehu. Mereka juga meniup trompet dan berkata, “Yehu telah menjadi raja!”+ 14 Demikianlah Yehu+ anak Yehosafat, cucu Nimsi berkomplot untuk melawan Yehoram.

Yehoram dan seluruh tentera Israel sedang berada di Ramot-gilead+ untuk mempertahankan Israel daripada serangan Hazael,+ raja Siria. 15 Tetapi Raja Yehoram telah dicederakan oleh orang Siria semasa dia melawan Hazael.+ Maka dia pulang ke Yizreel+ supaya luka-lukanya sembuh.

Yehu berkata, “Jika kamu berpihak kepada beta, jangan biarkan sesiapa pun keluar dari kota untuk melaporkan hal ini di Yizreel.” 16 Selepas itu, Yehu menaiki kereta kudanya lalu berangkat ke Yizreel. Pada masa itu, Yehoram masih berbaring kerana kecederaannya, dan Raja Ahazia dari Yehuda berada di situ untuk melawatnya. 17 Seorang pengawal yang bertugas di menara di Yizreel nampak Yehu dan sekumpulan besar pengikutnya sedang datang. Dia segera berkata, “Hamba nampak sekumpulan besar orang.” Yehoram berkata, “Panggillah seorang askar berkuda dan utuslah dia kepada mereka untuk bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” 18 Maka, seorang askar berkuda keluar menemui Yehu lalu berkata, “Raja bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” Tetapi Yehu menjawab, “Hal ini bukan urusan kamu. Ikutlah kami dari belakang!”

Pengawal menara itu melaporkan, “Utusan tuanku sampai kepada mereka, tetapi dia tidak kembali.” 19 Maka raja mengutus seorang lagi askar berkuda. Askar itu pergi kepada mereka dan berkata, “Raja bertanya, ‘Adakah kamu datang dengan niat baik?’” Tetapi Yehu menjawab, “Hal ini bukan urusan kamu. Ikutlah kami dari belakang!”

20 Sekali lagi, pengawal menara itu melaporkan, “Utusan tuanku sampai kepada mereka, tetapi dia tidak kembali. Orang itu membawa kereta kudanya seperti Yehu cucu* Nimsi, yang memandu seperti orang gila.” 21 Maka Yehoram berkata, “Siapkanlah kereta kuda beta!” Setelah kereta kudanya siap, dia dan Raja Ahazia+ dari Israel berangkat dengan kereta kuda masing-masing untuk bertemu dengan Yehu. Mereka bertembung dengan Yehu di tanah milik Nabot,+ orang Yizreel itu.

22 Semasa Yehoram nampak Yehu, dia berkata, “Yehu, adakah kamu datang dengan niat baik?” Yehu menjawabnya, “Mana mungkin aku datang dengan niat baik! Ibumu Izebel+ asyik melakukan perbuatan cabul* dan mengamalkan pelbagai ilmu sihir.”+ 23 Yehoram segera membelokkan kereta kudanya dan melarikan diri. Dia berkata kepada Ahazia, “Ahazia, kita telah ditipu!” 24 Yehu mengambil busurnya lalu memanah Yehoram. Anak panah itu terkena Yehoram di antara bahunya sehingga menembusi jantungnya, lalu dia rebah di dalam kereta kudanya. 25 Kemudian Yehu berkata kepada Bidkar, pegawai tenteranya, “Angkatlah mayat Yehoram dan buangkannya di tanah milik Nabot, orang Yizreel itu.+ Adakah kamu masih ingat apa yang berlaku semasa kita berdua membawa kereta kuda di belakang bapanya Ahab? Waktu itu, Yehuwa telah mengumumkan hal berikut berkenaan Ahab:+ 26 ‘Yehuwa berfirman, “Kelmarin Aku nampak darah Nabot+ dan darah keturunannya.” Yehuwa juga berfirman, “Aku akan membalas perbuatanmu+ di tanah ini.”’ Sekarang, angkatlah mayat Yehoram dan buangkannya ke tanah itu kerana hal ini telah difirmankan oleh Yehuwa.”+

27 Apabila Raja Ahazia+ dari Yehuda nampak apa yang sedang berlaku, dia melarikan diri mengikut jalan yang berdekatan sebuah taman. (Kemudian Yehu mengejarnya dan berkata, “Bunuhlah dia juga!” Maka mereka menyerang Ahazia semasa dia menaiki kereta kudanya ke Gur, yang berdekatan Yibleam.+ Tetapi dia berjaya melarikan diri sampai ke Megido dan akhirnya mati di sana. 28 Lalu hamba-hamba Ahazia membawa mayatnya ke Yerusalem dengan kereta kuda. Mereka mengebumikan Ahazia bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ 29 Ahazia+ menjadi raja Yehuda pada tahun ke-11 pemerintahan Yehoram anak Ahab.)

30 Ketika Izebel+ mendengar bahawa Yehu telah datang ke Yizreel,+ dia memakai celak mata* dan menghias rambutnya. Selepas itu, dia memandang ke luar jendelanya. 31 Semasa Yehu memasuki pintu gerbang, Izebel berkata kepadanya, “Mahukah kamu menjadi seperti Zimri yang telah membunuh tuannya?”+ 32 Yehu melihat ke atas, iaitu ke arah jendela, lalu berkata, “Siapakah yang berpihak kepada beta? Siapa?”+ Dua atau tiga orang pegawai istana melihat ke bawah dengan serta-merta. 33 Yehu berkata, “Tolaklah dia ke bawah!” Maka mereka menolak Izebel ke bawah sehingga darahnya terpercik pada tembok dan pada kuda-kuda Yehu, lalu dia diinjak-injak oleh kuda-kuda itu. 34 Kemudian Yehu masuk lalu makan dan minum. Selepas itu, dia berkata, “Uruskanlah mayat perempuan yang terkutuk itu dan kuburkanlah dia, kerana dia ialah puteri raja.”+ 35 Mereka pergi untuk menguburkannya tetapi mereka hanya menemui tengkorak dan kaki serta telapak tangannya.+ 36 Apabila mereka kembali kepada Yehu dan memberitahunya apa yang telah terjadi, dia berkata, “Hal ini berlaku seperti yang telah difirmankan oleh Yehuwa+ melalui hamba-Nya Elia, orang Tisbi itu. Dia pernah berkata, ‘Anjing-anjing akan memakan mayat Izebel di sebidang tanah di Yizreel.+ 37 Mayatnya akan menjadi seperti baja di atas permukaan tanah di Yizreel sehingga tiada seorang pun dapat berkata, “Inilah Izebel.”’”

10 Raja Ahab+ mempunyai 70 orang anak lelaki di Samaria. Oleh itu, Yehu menulis surat lalu mengirimkannya ke Samaria, iaitu kepada para pegawai tinggi di Yizreel, kepada para pemimpin,+ dan kepada penjaga anak-anak Ahab.* Suratnya berbunyi, 2 “Anak-anak tuanmu, kereta-kereta kuda, kuda-kuda, kota yang bertembok, dan semua senjata ada bersama-sama kamu. Jadi apabila kamu menerima surat ini, 3 pilihlah salah seorang daripada anak tuanmu yang paling baik dan paling layak* untuk duduk di atas takhta bapanya. Setelah itu, bersedialah untuk berjuang demi keluarga tuanmu.”

4 Tetapi mereka sangat takut lalu berkata, “Jika dua orang raja tewas di tangannya,+ apalagi kita?” 5 Oleh itu, pengurus istana, ketua kota, para pemimpin, dan para penjaga mengutus pesanan berikut kepada Yehu: “Kami hamba-hamba tuanku, dan kami sudi melakukan segala perintah tuanku. Kami tidak akan melantik sesiapa pun untuk menjadi raja kami. Jadi lakukanlah apa sahaja yang baik di mata tuanku.”

6 Kemudian Yehu menulis sepucuk surat lagi kepada mereka. Dia menulis, “Jika kamu memihak kepada beta dan rela mematuhi beta, bawalah kepala anak-anak tuanmu kepada beta di Yizreel pada waktu ini esok.”

Pada waktu itu, 70 orang anak lelaki raja ada di kota bersama para pemimpin kota yang membesarkan mereka. 7 Sebaik sahaja para pemimpin kota itu menerima suratnya, mereka menangkap dan membunuh 70 orang anak raja.+ Mereka meletakkan kepala anak-anak raja itu ke dalam beberapa buah bakul lalu mengirimkannya kepada Yehu di Yizreel. 8 Selepas itu, seorang utusan masuk lalu memberitahu Yehu, “Mereka telah membawa kepala anak-anak raja.” Maka Yehu berkata, “Letakkanlah kepala mereka dalam dua longgokan di pintu gerbang kota, dan biarkannya di situ sampai pagi.” 9 Pada keesokan paginya, Yehu keluar dan berdiri di hadapan semua orang lalu berkata, “Kamu tidak bersalah. Betalah yang berkomplot untuk melawan tuan beta lalu membunuhnya.+ Tetapi siapakah yang telah membunuh mereka semua ini? 10 Ketahuilah bahawa Yehuwa telah melaksanakan apa yang difirmankan melalui hamba-Nya Elia.+ Setiap firman Yehuwa, ya, segala yang difirmankan oleh Yehuwa berkenaan keluarga Ahab pasti menjadi kenyataan.”+ 11 Yehu juga membunuh semua ahli keluarga Ahab yang tertinggal di Yizreel, termasuk semua pemimpin kota, sahabat, dan imamnya.+ Ya, tidak seorang pun antara mereka yang dibiarkan hidup.+

12 Kemudian, Yehu berangkat lalu pergi ke Samaria. Dalam perjalanannya, dia lalu di sebuah tempat yang digunakan untuk menggunting bulu biri-biri.* 13 Di situ, Yehu bertembung dengan saudara-saudara Ahazia,+ raja Yehuda. Yehu bertanya, “Siapakah kamu ini?” Mereka menjawab, “Kami saudara-saudara Ahazia, dan kami dalam perjalanan untuk mengunjungi anak-anak raja dan anak-anak bonda ratu. Kami ingin tanya khabar mereka.” 14 Dengan segera dia berkata, “Tangkaplah mereka hidup-hidup!” Maka mereka ditangkap hidup-hidup dan dibunuh di perigi dekat tempat menggunting bulu biri-biri. Kesemua 42 orang itu dibunuh, dan tidak ada seorang pun yang dibiarkan hidup.+

15 Selepas Yehu bertolak dari sana, dia berjumpa dengan Yehonadab+ anak Rekhab+ yang telah keluar untuk menemuinya. Dia memberikan salam kepada Yehonadab lalu berkata, “Adakah kamu akan menyokong beta dengan sepenuh hati sebagaimana beta menyokongmu dengan sepenuh hati?”

Yehonadab menjawab, “Ya.”

“Jika ya, hulurkanlah tanganmu kepada beta.”

Maka Yehonadab berbuat demikian dan Yehu menarik dia ke atas kereta kudanya. 16 Yehu berkata, “Ikutlah beta dan lihatlah betapa berkobarnya semangat beta untuk Yehuwa.”*+ Maka Yehu membawa Yehonadab di dalam kereta kudanya. 17 Apabila Yehu tiba di Samaria, dia membunuh semua ahli keluarga Ahab yang masih tertinggal di situ. Tidak seorang pun antara mereka yang dibiarkan hidup.+ Semua ini terjadi menurut apa yang difirmankan oleh Yehuwa melalui Elia.+

18 Seterusnya Yehu mengumpulkan semua orang dan berkata, “Ahab memang menyembah Baal,+ tetapi beta akan menyembah Baal secara besar-besaran. 19 Oleh itu, panggillah semua nabi Baal,+ semua penyembahnya, dan semua imamnya.+ Tiada seorang pun dikecualikan kerana beta akan mempersembahkan korban yang besar kepada Baal. Sesiapa yang tidak hadir akan dihukum mati.” (Inilah muslihat Yehu untuk membunuh semua penyembah Baal.)

20 Yehu menambah, “Umumkanlah satu perhimpunan suci untuk Baal.” Mereka pun berbuat demikian. 21 Kemudian Yehu mengutus orang untuk mengumumkan berita ini ke seluruh negeri Israel. Semua penyembah Baal datang, dan tidak ada seorang pun yang dikecualikan. Mereka memasuki kuil Baal+ sehingga kuil itu sesak dengan orang. 22 Dia berkata kepada orang yang mengurus tempat penyimpanan pakaian, “Keluarkanlah pakaian untuk semua penyembah Baal.” Maka orang itu pun berbuat demikian. 23 Kemudian Yehu dan Yehonadab+ anak Rekhab masuk ke dalam kuil Baal. Yehu berkata kepada penyembah Baal, “Periksalah tempat ini dengan teliti. Pastikanlah bahawa hanya penyembah Baal yang hadir di sini, dan tiada seorang pun penyembah Yehuwa yang masuk ke tempat ini.” 24 Selepas itu, mereka mula mempersembahkan korban-korban, termasuk korban bakar. Yehu telah menugaskan 80 orang di luar kuil itu dan berkata, “Jika kamu membiarkan salah seorang di dalam kuil itu melarikan diri, kamu akan dihukum mati!”*

25 Sebaik sahaja korban bakar selesai dipersembahkan, Yehu berkata kepada para pengawal dan pegawai tentera, “Masuklah ke dalam kuil dan bunuhlah mereka semua! Jangan biarkan seorang pun melarikan diri!”+ Maka mereka membunuh semua orang dengan pedang dan mengheret mayat-mayat itu keluar. Mereka terus berbuat demikian sehingga mereka sampai ke ruang dalaman* kuil Baal. 26 Kemudian mereka membawa keluar tugu-tugu suci*+ dari kuil Baal dan membakarnya.+ 27 Mereka menghancurkan tugu suci+ Baal dan merobohkan kuil Baal.+ Kuil itu dijadikan tandas sampai hari ini.

28 Demikianlah Yehu melenyapkan penyembahan Baal dari negeri Israel. 29 Meskipun demikian, Yehu masih mengikut haluan Yerobeam anak Nebat yang telah menyebabkan umat Israel berdosa. Dia membiarkan orang Israel terus menyembah patung-patung anak lembu emas di Bethel dan di Dan.+ 30 Maka Yehuwa berfirman kepada Yehu, “Engkau telah bertindak dengan baik dan melakukan apa yang benar di mata-Ku. Engkau telah melaksanakan semua keinginan hati-Ku berkenaan keluarga Ahab.+ Maka empat generasi anak lelakimu akan duduk di atas takhta Israel.”+ 31 Tetapi Yehu tidak mematuhi Hukum Yehuwa, Tuhan orang Israel, dengan sepenuh hati.+ Dia tidak berpaling daripada haluan jahat Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+

32 Pada masa itu, Yehuwa membiarkan tanah orang Israel ditakluki secara beransur-ansur. Hazael terus menyerang seluruh kawasan Israel,+ 33 dari sebelah timur Sungai Yordan, semua kawasan Gilead (iaitu kawasan suku Gad, suku Ruben, dan suku Manasye),+ dari Aroer yang terletak di pinggir Lembah* Arnon, sampai ke Gilead dan Basan.+

34 Berkenaan kisah hidup Yehu yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 35 Yehu meninggal lalu dikebumikan di Samaria. Anak lelakinya yang bernama Yehoahas+ menggantikannya sebagai raja. 36 Yehu memerintah sebagai raja Israel di Samaria selama 28 tahun.

11 Apabila Atalya,+ iaitu ibu Ahazia, mengetahui bahawa anak lelakinya telah mati,+ dia membunuh semua kerabat diraja.+ 2 Tetapi Yehosyeba, iaitu anak perempuan Raja Yehoram dan kakak kepada Ahazia, telah menyelamatkan Yehoas+ anak Ahazia daripada kalangan anak-anak raja lain yang bakal dibunuh. Dia menyembunyikan Yehoas dan pengasuhnya di dalam sebuah bilik tidur. Oleh itu, Yehoas tidak dibunuh oleh Atalya. 3 Selama enam tahun, Yehoas bersembunyi di Rumah Yehuwa sementara Atalya memerintah negeri Yehuda.

4 Pada tahun ketujuh, Yehoyada memanggil ketua-ketua atas 100 orang pengawal peribadi raja dan pengawal istana+ untuk berjumpa dengannya di Rumah Yehuwa. Dia membuat perjanjian dengan mereka di Rumah Yehuwa dan menyuruh mereka bersumpah untuk menunaikannya. Selepas itu, dia membawa anak raja untuk berjumpa dengan mereka.+ 5 Dia berkata, “Inilah yang harus kamu lakukan: Apabila kamu bertugas pada hari Sabat, satu pertiga daripada kamu harus mengawal istana dengan ketat,+ 6 satu pertiga daripada kamu akan mengawal Pintu Gerbang Dasar, dan satu pertiga lagi akan mengawal pintu gerbang di belakang para pengawal istana. Kamu perlu berbuat demikian secara bergilir-gilir. 7 Dua kumpulan yang tidak bertugas pada hari Sabat haruslah mengawal Rumah Yehuwa dengan ketat untuk melindungi raja. 8 Kamu harus memegang senjata dan melindungi raja dari setiap penjuru. Sesiapa yang mencuba menembusi barisan pertahanan kamu harus dibunuh. Iringilah raja ke mana sahaja baginda pergi.”

9 Ketua-ketua itu+ melakukan apa yang diperintahkan oleh Imam Yehoyada. Mereka masing-masing membawa anak buah mereka, baik yang bertugas pada hari Sabat mahupun yang tidak bertugas pada hari Sabat, untuk berjumpa dengan Imam Yehoyada.+ 10 Selepas itu, Imam Yehoyada memberi ketua-ketua itu tombak dan perisai berbentuk bulat milik Raja Daud, yang disimpan di Rumah Yehuwa. 11 Para pengawal istana+ memegang senjata mereka dan pergi berkawal di tempat masing-masing. Mereka berkawal di sekeliling raja, dari sebelah kiri Rumah Tuhan sampai ke sebelah kanan, di sisi mazbah+ dan di sisi Rumah Tuhan. 12 Kemudian Yehoyada membawa anak raja+ keluar lalu mengenakan mahkota padanya dan meletakkan gulungan yang mengandungi Hukum Tuhan+ di atas kepalanya. Anak itu diurapi dan ditabalkan sebagai raja. Sambil bertepuk tangan, orang ramai bersorak, “Daulat tuanku!”+

13 Apabila Atalya mendengar orang sedang berlari dan bersorak-sorai, dia segera pergi ke Rumah Yehuwa, ke tempat mereka berkumpul.+ 14 Dia nampak raja sedang berdiri di sisi tiang mengikut adat.+ Para pemimpin dan peniup trompet+ ada bersama dengan raja. Semua orang bersukacita dan meniup trompet. Maka Atalya mengoyakkan jubahnya dan berteriak, “Pengkhianat! Pengkhianat!” 15 Imam Yehoyada memberikan perintah kepada ketua-ketua atas 100 orang+ (iaitu ketua-ketua angkatan tentera), “Bawalah Atalya keluar dari barisan pengawal, dan sesiapa yang mengikutnya haruslah dibunuh dengan pedang!” Hal ini demikian kerana Yehoyada pernah berkata, “Jangan bunuh Atalya di Rumah Yehuwa.” 16 Maka mereka menangkap Atalya dan membawanya ke pintu masuk istana yang sering dilalui kuda-kuda.+ Kemudian mereka membunuhnya di situ.

17 Selepas itu, Yehoyada membuat perjanjian antara Yehuwa dengan raja dan dengan rakyat+ bahawa mereka akan terus menjadi umat Yehuwa. Dia juga membuat perjanjian antara raja dengan semua rakyat.+ 18 Kemudian semua rakyat pergi ke kuil Baal dan merobohkan mazbah-mazbahnya,+ menghancurkan patung-patung berhalanya,+ dan membunuh Matan, iaitu imam Baal,+ di depan mazbah-mazbah itu.

Seterusnya Imam Yehoyada melantik beberapa orang untuk menguruskan Rumah Yehuwa.+ 19 Dia juga menyuruh pengawal peribadi raja, pengawal istana,+ dan ketua-ketua atas 100 orang,+ serta semua rakyat pergi bersamanya untuk mengiringi raja yang keluar dari Rumah Yehuwa. Mereka mengikut jalan yang melalui pintu pengawal istana lalu tiba di istana. Kemudian, Yehoas duduk di atas takhta raja.+ 20 Seluruh rakyat bersukacita, dan kota itu pun aman damai kerana Atalya telah dibunuh dengan pedang di istana.

21 Yehoas+ menjadi raja ketika dia berumur tujuh tahun.+

12 Pada tahun ketujuh pemerintahan Yehu,+ Yehoas+ menjadi raja dan memerintah selama 40 tahun di Yerusalem. Ibunya ialah Zibya yang berasal dari Beer-syeba.+ 2 Selama Imam Yehoyada masih hidup, Yehoas mendengar ajarannya dan melakukan apa yang benar di mata Yehuwa. 3 Meskipun demikian, tempat-tempat ibadat*+ tidak dimusnahkan, dan rakyat masih mempersembahkan korban dan membakarnya di situ sehingga asap naik.

4 Yehoas berkata kepada para imam, “Kumpulkanlah semua wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa sebagai persembahan suci,+ iaitu cukai yang wajib dibayar oleh setiap orang,+ bayaran yang diterima daripada orang yang membuat sumpah, dan wang yang diberikan secara sukarela.* Semuanya harus dikumpulkan untuk Rumah Yehuwa.+ 5 Imam-imam akan mengumpulkan wang daripada penderma* dan menggunakannya untuk membaiki sebarang kerosakan* yang ada pada Rumah Tuhan.”+

6 Pada tahun ke-23 pemerintahan Raja Yehoas, para imam masih belum membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan.+ 7 Oleh itu, Raja Yehoas memanggil Imam Yehoyada+ dan imam-imam lain. Dia berkata kepada mereka, “Mengapakah kamu tidak membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan? Mulai sekarang, kamu tidak akan mengumpulkan wang daripada para penderma lagi. Kamu harus menyerahkan wang itu kepada orang yang akan membaiki rumah itu.”+ 8 Para imam pun bersetuju untuk tidak lagi mengumpulkan wang daripada rakyat, dan tidak lagi bertanggungjawab terhadap kerja pembaikan Rumah Tuhan.

9 Kemudian Imam Yehoyada mengambil sebuah peti+ dan membuat lubang pada penutupnya. Dia meletakkan peti itu di tepi mazbah, iaitu di sebelah kanan pintu masuk Rumah Yehuwa. Imam-imam yang bertugas sebagai penjaga pintu akan mengambil wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa lalu memasukkannya ke dalam peti itu.+ 10 Apabila peti itu sudah penuh dengan wang, setiausaha raja dan imam agung akan mengumpulkan* wang yang telah dibawa ke Rumah Yehuwa lalu mengiranya.+ 11 Setelah wang itu dikira, wang itu akan diberikan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan Rumah Yehuwa. Mereka pula menggunakan wang itu untuk membayar tukang kayu dan jurubina yang bekerja di Rumah Yehuwa,+ 12 serta untuk membayar tukang batu dan pemotong batu. Mereka juga membeli kayu dan batu yang sudah dipotong untuk membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Yehuwa. Selain itu, wang itu digunakan untuk membayar semua perbelanjaan lain untuk membaiki Rumah Tuhan.

13 Tetapi wang yang dibawa ke Rumah Yehuwa itu tidak digunakan untuk membuat besen perak, alat pemadam sumbu pelita, mangkuk, atau trompet.+ Wang itu juga tidak digunakan untuk membuat sebarang perkakas emas atau perak di dalam Rumah Yehuwa.+ 14 Wang itu hanya diberikan kepada mereka yang membaiki Rumah Yehuwa, dan digunakan untuk menjalankan kerja pembaikan. 15 Selepas wang itu diserahkan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan, mereka akan memberikan wang itu kepada para pekerja. Cara mereka menggunakan wang itu tidak akan dipersoalkan kerana mereka dapat dipercayai.+ 16 Namun, wang bagi korban ganti rugi+ dan wang bagi korban dosa tidak dibawa ke Rumah Yehuwa kerana wang itu milik para imam.+

17 Pada masa itu, Raja Hazael+ dari Siria menyerang kota Gat+ dan dia berjaya menawannya. Selepas itu, dia bercadang untuk menyerang Yerusalem.+ 18 Oleh itu, Raja Yehoas dari Yehuda mengambil semua persembahan suci yang telah ditahbiskan oleh nenek moyangnya, iaitu Yehosafat, Yehoram, dan Ahazia. (Mereka ialah raja-raja Yehuda yang memerintah sebelumnya.) Dia juga mengambil persembahan sucinya dan semua emas di dalam tempat penyimpanan harta di Rumah Yehuwa dan di istana. Kemudian dia memberikan semua itu kepada Hazael, raja Siria.+ Oleh itu, Raja Hazael pun berundur dari Yerusalem.

19 Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 20 Para pegawai Yehoas bersepakat untuk memberontak terhadapnya.+ Mereka membunuhnya di tempat perlindungan*+ yang terletak di jalan yang menuju ke Sila. 21 Para pegawainya, iaitu Yosyakar anak Simeat dan Yehozabad anak Somer, telah menyerang dan membunuhnya.+ Mereka mengebumikan Yehoas bersama nenek moyangnya di Kota Daud, lalu Amazia, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.+

13 Yehoahas anak Yehu+ menjadi raja Israel pada tahun ke-23 pemerintahan Yehoas+ anak Ahazia,+ raja Yehuda. Yehoahas memerintah di Samaria selama 17 tahun. 2 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Dia enggan berpaling daripada haluan yang jahat itu. 3 Oleh itu, Yehuwa sangat murka+ terhadap orang Israel.+ Dia membiarkan Raja Hazael+ dari Siria dan anak lelakinya, Ben-hadad,+ mengalahkan Israel berulang kali.

4 Yehoahas memohon perkenan Yehuwa, dan Yehuwa mendengarkannya kerana Dia telah nampak bagaimana raja Siria menindas orang Israel dengan kejam.+ 5 Yehuwa pun mengutus seorang penyelamat+ untuk membebaskan orang Israel daripada cengkaman Siria. Maka orang Israel dapat hidup aman seperti dahulu. 6 (Namun, mereka tidak bertaubat daripada haluan jahat keluarga Yerobeam yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Mereka terus mengikut haluan yang jahat dan tidak merobohkan tiang suci*+ yang ada di Samaria.) 7 Sebelum ini, raja Siria telah memusnahkan angkatan tentera Yehoahas,+ dan memijak-mijak mereka seolah-olah mereka ialah debu di tempat mengirik gandum.+ Maka Yehoahas hanya mempunyai 50 orang askar berkuda, 10 buah kereta kuda, dan 10,000 orang askar yang berjalan kaki.

8 Berkenaan kisah hidup Yehoahas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya dan apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 9 Kemudian Yehoahas meninggal dan dikebumikan di Samaria.+ Anak lelakinya, Yehoas, menggantikannya sebagai raja.

10 Pada tahun ke-37 pemerintahan Raja Yehoas dari Yehuda, Yehoas+ anak Yehoahas menjadi raja Israel, dan dia memerintah di Samaria selama 16 tahun. 11 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan enggan meninggalkan haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ Dia terus melakukan dosa-dosa itu.

12 Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan bagaimana dia melawan Raja Amazia dari Yehuda,+ semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 13 Kemudian Yehoas meninggal dan dikebumikan di Samaria bersama raja-raja Israel yang lain. Selepas itu, Yerobeam*+ menggantikannya sebagai raja.+

14 Pada suatu waktu, Elisa+ sakit tenat dan hampir mati. Maka Raja Yehoas dari Israel pergi melawatnya. Sambil memeluk Elisa, dia menangis dan berkata, “Tuanku, oh tuanku!* Kereta kuda Israel dan penunggang kudanya!”+ 15 Elisa berkata kepada raja, “Ambillah busur dan beberapa batang anak panah.” Raja Yehoas pun berbuat demikian. 16 Kemudian Elisa berkata lagi, “Letakkan tangan tuan pada busur itu.” Yehoas melakukan apa yang dimintanya, lalu Elisa meletakkan tangannya di atas tangan raja. 17 Elisa berkata, “Bukalah tingkap yang menghadap ke arah timur.” Yehoas membuka tingkap itu, lalu Elisa berkata, “Lepaskan anak panah!” Yehoas pun berbuat demikian. Lalu Elisa berkata, “Anak panah kemenangan* milik Yehuwa! Anak panah yang akan mengalahkan Siria! Tuanku akan mengalahkan mereka di Afek+ dan menghapuskan mereka sama sekali.”

18 “Ambillah beberapa anak panah,” kata Elisa. Yehoas pun menurut kata-kata Elisa. Setelah itu, Elisa berkata kepadanya, “Pukullah tanah.” Maka Yehoas memukul tanah sebanyak tiga kali lalu berhenti. 19 Nabi Elisa marah kepadanya lalu berkata, “Tuan sepatutnya memukul tanah sebanyak lima atau enam kali! Jika tuan berbuat demikian, tuan pasti dapat mengalahkan orang Siria dan menghapuskan mereka sama sekali. Tetapi sekarang tuan hanya dapat mengalahkan orang Siria sebanyak tiga kali.”+

20 Tidak lama kemudian, Elisa meninggal dan dikebumikan. Pada awal tahun,* kumpulan perompak dari Moab+ datang ke negeri Israel. 21 Semasa beberapa orang sedang menguburkan mayat seorang lelaki, mereka nampak kumpulan perompak itu datang. Maka mereka terus melemparkan mayat itu ke dalam kubur Elisa lalu melarikan diri. Apabila mayat itu tersentuh tulang-tulang Elisa, mayat itu bangun dan hidup kembali.+

22 Sepanjang masa pemerintahan Yehoahas, Raja Hazael+ dari Siria menindas orang Israel.+ 23 Oleh sebab Yehuwa telah membuat perjanjian dengan Abraham,+ Ishak,+ dan Yakub,+ Dia menunjukkan belas kasihan,+ keprihatinan, dan perkenan-Nya kepada orang Israel. Dia tidak mahu memusnahkan mereka, dan sehingga hari ini, Dia tidak mengusir mereka dari hadirat-Nya. 24 Setelah Raja Hazael dari Siria meninggal, anak lelakinya, Ben-hadad, menggantikannya sebagai raja. 25 Yehoas anak Yehoahas merampas semula kota-kota yang telah ditawan oleh Ben-hadad anak Hazael pada masa pemerintahan Yehoahas. Yehoas mengalahkan Ben-hadad sebanyak tiga kali,+ dan mendapatkan semula kota-kota Israel.

14 Amazia anak Raja Yehoas dari Yehuda mula memerintah pada tahun kedua pemerintahan Yehoas+ anak Yehoahas, raja Israel. 2 Amazia berumur 25 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 29 tahun. Ibunya ialah Yehoadin dari Yerusalem.+ 3 Amazia mengikut haluan bapanya, Yehoas.+ Dia terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, tetapi dia tidak seperti nenek moyangnya Daud.+ 4 Dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat,+ dan rakyat masih mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat itu sehingga asap naik.+ 5 Sebaik sahaja pemerintahannya kukuh, dia membunuh para pegawai yang telah membunuh bapanya, iaitu raja yang memerintah sebelumnya.+ 6 Tetapi dia tidak membunuh anak-anak mereka. Perbuatannya ini selaras dengan perintah Yehuwa yang tercatat dalam Hukum Musa: “Bapa tidak patut dihukum mati kerana dosa anak, dan anak tidak patut dihukum mati kerana dosa bapa. Setiap orang harus dihukum mati kerana dosa sendiri.”+ 7 Dia membunuh 10,000 orang Edom+ di Lembah Garam,+ dan menawan kota Sela.+ Kota itu dinamakan sebagai Yokteel sehingga hari ini.

8 Kemudian Amazia menghantar utusan kepada Yehoas anak Yehoahas, cucu Yehu, iaitu raja Israel. Katanya, “Marilah kita bersemuka* di medan perang.”+ 9 Raja Yehoas dari Israel membalas pesanan Raja Amazia dari Yehuda dengan berkata, “Semak berduri di Lebanon mengirim pesanan kepada pokok sedar di Lebanon, ‘Benarkanlah anak lelakiku mengahwini anak perempuanmu.’ Tetapi seekor binatang buas di Lebanon lalu di sana dan menginjak-injak semak berduri itu. 10 Tuanku telah mengalahkan Edom.+ Itulah sebabnya tuanku menjadi angkuh. Berpuas hatilah dengan kemenangan tuanku, dan tinggallah di istana. Mengapakah tuanku mencari nahas dan mendatangkan bencana kepada diri tuanku dan negeri Yehuda?” 11 Tetapi Amazia tidak mempedulikan pesanannya.+

Maka Raja Yehoas dari Israel pergi bersemuka dengan Raja Amazia dari Yehuda. Mereka berperang di Bet-semes,+ yang terletak di Yehuda.+ 12 Yehuda dikalahkan oleh Israel, dan semua orang melarikan diri ke rumah* masing-masing. 13 Di Bet-semes, Raja Yehoas dari Israel menangkap Raja Amazia anak Yehoas, cucu Ahazia. Kemudian mereka pergi ke Yerusalem, dan Yehoas merobohkan tembok Yerusalem bermula dari Pintu Gerbang Efraim+ sampai ke Pintu Gerbang Sudut,+ iaitu kira-kira 178 meter* panjang. 14 Yehoas mengambil semua emas, perak, dan perkakas yang ditemuinya di Rumah Yehuwa dan di tempat penyimpanan harta istana, lalu dia kembali ke Samaria. Dia juga membawa beberapa orang tebusan bersamanya.

15 Berkenaan kisah hidup Yehoas yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, dan bagaimana dia melawan Raja Amazia dari Yehuda, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 16 Kemudian Yehoas meninggal dan dikebumikan di Samaria+ bersama raja-raja Israel yang lain. Selepas itu, anak lelakinya, Yerobeam,*+ menggantikannya sebagai raja.

17 Amazia+ anak Yehoas, iaitu raja Yehuda, hidup 15 tahun lagi selepas kematian Yehoas+ anak Yehoahas, raja Israel.+ 18 Berkenaan kisah hidup Amazia yang lain, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 19 Di Yerusalem, beberapa orang berkomplot untuk menentang Amazia.+ Maka dia melarikan diri ke Lakhis, tetapi mereka menyuruh orang untuk mengejarnya ke Lakhis dan membunuhnya di sana. 20 Kemudian mereka membawa mayatnya dengan kuda ke Yerusalem, dan mengebumikannya bersama nenek moyangnya di Kota Daud.+ 21 Selepas itu, rakyat Yehuda menabalkan Azarya*+ sebagai raja untuk menggantikan bapanya Amazia.+ Pada masa itu, Azarya berusia 16 tahun.+ 22 Selepas raja* dikebumikan,+ Azarya membina semula kota Elat+ dan menjadikannya sebahagian daripada kawasan pemerintahan Yehuda.

23 Pada tahun ke-15 pemerintahan Amazia anak Yehoas, raja Yehuda, Yerobeam+ anak Raja Yehoas dari Israel mula memerintah di Samaria, dan dia memerintah selama 41 tahun. 24 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, dan mengikut perbuatan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 25 Dia merebut semula semua kawasan yang dahulunya dimiliki Israel, dari Lebo-hamat*+ sampai ke Laut Araba.*+ Hal ini selaras dengan firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang telah disampaikan oleh Yunus+ anak Amitai, seorang nabi dari Gat-hefer.+ 26 Yehuwa telah melihat betapa teruknya penderitaan orang Israel.+ Mereka semua lemah dan tidak berdaya, dan tiada sesiapa pun yang dapat menolong mereka. 27 Tetapi Yehuwa telah berjanji bahawa Dia tidak akan melenyapkan nama Israel dari muka bumi.+ Oleh itu, Dia menyelamatkan mereka dengan tangan Yerobeam anak Yehoas.+

28 Berkenaan kisah hidup Yerobeam yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, apa yang dilakukannya, bagaimana dia berperang dan menjadikan Damsyik+ dan Hamat+ sebahagian daripada kawasan pemerintahan Yehuda dan Israel, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 29 Selepas itu, Yerobeam meninggal dan dikebumikan bersama raja-raja Israel yang lain. Anak lelakinya, Zakharia,+ menggantikannya sebagai raja.

15 Azarya*+ anak Raja Amazia+ dari Yehuda menjadi raja+ pada tahun ke-27 pemerintahan Raja Yerobeam* dari Israel. 2 Azarya berusia 16 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 52 tahun. Ibunya ialah Yekolia dari Yerusalem. 3 Dia terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa seperti bapanya Amazia.+ 4 Meskipun demikian, tempat-tempat ibadat tidak dimusnahkan,+ dan rakyat masih mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat itu sehingga asap naik.+ 5 Yehuwa menyebabkan Raja Azarya menderita penyakit kusta+ sehingga akhir hayatnya. Raja tinggal di rumah yang berlainan,+ sementara anak lelakinya Yotam+ mengurus istana dan mengadili rakyat.+ 6 Berkenaan kisah hidup Azarya yang lain,+ iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 7 Azarya meninggal lalu dikebumikan+ bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anak lelakinya Yotam menggantikannya sebagai raja.

8 Pada tahun ke-38 pemerintahan Raja Azarya+ dari Yehuda, Zakharia+ anak Yerobeam menjadi raja Israel dan dia memerintah di Samaria selama enam bulan. 9 Zakharia melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti nenek moyangnya. Dia mengikut jejak Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan umat Israel berdosa.+ 10 Salum anak Yabes berkomplot menentangnya lalu membunuhnya+ di Yibleam.+ Selepas itu, Salum menggantikannya sebagai raja. 11 Berkenaan kisah hidup Zakharia yang lain, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 12 Hal ini berlaku selaras dengan apa yang difirmankan oleh Yehuwa kepada Yehu: “Empat generasi anak lelakimu+ akan duduk di atas takhta Israel.”+ Demikianlah hal itu terjadi.

13 Salum anak Yabes menjadi raja pada tahun ke-39 pemerintahan Uzia,+ raja Yehuda. Salum memerintah selama sebulan di Samaria. 14 Kemudian Menahem anak Gadi berangkat dari Tirza+ ke Samaria dan membunuh Salum+ anak Yabes di situ. Selepas Salum dibunuh, Menahem menggantikannya sebagai raja. 15 Berkenaan kisah hidup Salum yang lain dan pemberontakan yang dicetuskannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 16 Semasa Menahem berangkat dari Tirza, dia menyerang kota Tifsah. Dia membunuh semua penduduk kota itu dan penduduk di kawasan sekelilingnya, kerana mereka tidak mahu membuka pintu gerbang untuknya. Dia memusnahkan kota itu dan membelah perut wanita yang hamil di situ.

17 Pada tahun ke-39 pemerintahan Raja Azarya dari Yehuda, Menahem anak Gadi menjadi raja Israel dan dia memerintah di Samaria selama 10 tahun. 18 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Sepanjang hidupnya, dia mengikut jejak Yerobeam anak Nebat yang menyebabkan umat Israel berdosa.+ 19 Ketika Raja Pul+ dari Assyria datang ke Israel, Menahem memberikan 1,000 talenta* perak kepada Pul supaya Pul mengukuhkan kekuasaan Menahem di Israel.+ 20 Menahem mendapatkan perak itu dengan memaksa semua orang yang kaya+ dan yang masyhur di Israel untuk memberikan 50 syekel* perak kepadanya. Kemudian, raja Assyria meninggalkan Israel dan pulang ke negerinya. 21 Berkenaan kisah hidup Menahem yang lain,+ iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel. 22 Menahem meninggal lalu Pekahia, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.

23 Pada tahun ke-50 pemerintahan Raja Azarya dari Yehuda, Pekahia anak Menahem menjadi raja Israel, dan dia memerintah di Samaria selama dua tahun. 24 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 25 Seorang pegawai tenteranya yang bernama Pekah+ anak Remalia berkomplot untuk membunuhnya di Samaria. Pekah dan 50 orang lelaki dari Gilead membunuh raja di dalam sebuah menara di istana, bersama Argob dan Arieh. Selepas itu, Pekah menggantikannya sebagai raja. 26 Berkenaan kisah hidup Pekahia yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.

27 Pada tahun ke-52 pemerintahan Raja Azarya dari Yehuda, Pekah+ anak Remalia menjadi raja Israel, dan dia memerintah di Samaria selama 20 tahun. 28 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa dan mengikut haluan Yerobeam anak Nebat, yang telah menyebabkan orang Israel berdosa.+ 29 Pada masa pemerintahan Raja Pekah dari Israel, Raja Tiglat-pileser+ dari Assyria menyerang dan menawan Iyon, Abel-bet-maakha,+ Yanoah, Kedes,+ Hazor, Gilead,+ dan Galilea. (Galilea terletak di kawasan Naftali.)+ Dia juga membawa penduduk di kawasan itu ke Assyria sebagai orang tawanan.+ 30 Kemudian Hoshea+ anak Ela berkomplot untuk menentang Pekah anak Remalia. Hoshea membunuh Pekah lalu menggantikannya sebagai raja pada tahun ke-20 pemerintahan Yotam+ anak Uzia. 31 Berkenaan kisah hidup Pekah yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Israel.

32 Yotam+ anak Uzia,+ raja Yehuda, mula memerintah pada tahun kedua pemerintahan Pekah anak Remalia, raja Israel. 33 Yotam berusia 25 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 16 tahun. Ibunya ialah Yerusa, anak perempuan Zadok.+ 34 Yotam terus melakukan apa yang benar di mata Yehuwa seperti bapanya Uzia.+ 35 Tetapi dia tidak memusnahkan tempat-tempat ibadat,+ dan rakyat masih mempersembahkan korban di situ dan membakar korban itu sehingga asap naik. Dialah yang membina Pintu Gerbang Atas di Rumah Yehuwa.+ 36 Berkenaan kisah hidup Yotam yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 37 Pada waktu itu, Yehuwa mula mengutus Raja Rezin dari Siria dan Pekah+ anak Remalia untuk menyerang Yehuda.+ 38 Yotam meninggal lalu dikebumikan di Kota Daud bersama nenek moyangnya. Ahas, anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.

16 Pada tahun ke-17 pemerintahan Pekah anak Remalia, Ahas+ anak Raja Yotam dari Yehuda menjadi raja. 2 Ahas menjadi raja apabila dia berusia 20 tahun, dan dia memerintah di Yerusalem selama 16 tahun. Dia tidak seperti nenek moyangnya Daud, yang melakukan apa yang benar di mata Yehuwa, Tuhannya.+ 3 Dia mengikut haluan hidup raja-raja Israel,+ dan bahkan membakar anak lelakinya di dalam api.*+ Dia mengikut perbuatan keji yang diamalkan oleh bangsa-bangsa+ yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel. 4 Selain itu, dia sering mempersembahkan korban dan membakarnya di tempat-tempat tinggi+ sehingga asap naik. Dia juga berbuat demikian di atas bukit, dan di bawah setiap pokok yang subur.+

5 Raja Rezin dari Siria dan Pekah anak Raja Remalia dari Israel datang menyerang Ahas yang berada di Yerusalem.+ Mereka mengepung kota itu tetapi tidak dapat menawannya. 6 Pada waktu itu, Raja Rezin dari Siria telah mengembalikan kota Elat+ kepada orang Edom dan mengusir orang Yahudi* dari kota itu. Oleh itu, orang Edom menduduki kota Elat sehingga hari ini. 7 Ahas menghantar utusan kepada Raja Tiglat-pileser+ dari Assyria. Katanya, “Beta ialah anak dan hamba tuanku. Datanglah dan selamatkanlah beta daripada tangan raja Siria dan raja Israel yang sedang menyerang beta.” 8 Kemudian Ahas mengambil perak dan emas yang ada di Rumah Yehuwa dan di tempat penyimpanan harta istana, lalu memberikannya kepada raja Assyria sebagai rasuah.+ 9 Raja Assyria pun mendengar permintaan Ahas. Dia pergi menyerang Damsyik dan menaklukinya lalu membunuh Rezin.+ Dia juga membawa penduduk Damsyik ke Kir sebagai orang tawanan.+

10 Raja Ahas pergi ke Damsyik untuk berjumpa dengan Raja Tiglat-pileser dari Assyria. Apabila Raja Ahas nampak mazbah yang ada di situ, dia mengirim pelan yang mengandungi gambar rajah dan cara membuat mazbah itu kepada Imam Uria.+ 11 Maka Imam Uria+ membina sebuah mazbah+ mengikut pelan yang telah dikirimkan oleh Raja Ahas dari Damsyik. Sebelum Raja Ahas kembali, Imam Uria telah menyiapkan mazbah itu. 12 Apabila Raja Ahas kembali dari Damsyik dan nampak mazbah itu, dia menghampiri mazbah itu lalu mempersembahkan korban di atasnya.+ 13 Setelah itu, dia mempersembahkan korban bakar dan korban bijirin, lalu membakarnya sehingga asap naik. Dia juga mencurahkan korban wain dan memercikkan darah korban pendamaian ke atas mazbah. 14 Kemudian dia memindahkan mazbah tembaga+ yang terletak di hadapan Rumah Tuhan (yang ada di hadirat Yehuwa) ke sebelah utara mazbahnya. Pada mulanya, mazbah tembaga itu terletak di antara Rumah Yehuwa dan mazbah Raja Ahas. 15 Raja Ahas memberikan perintah kepada Imam Uria,+ “Persembahkanlah korban bakar* yang dipersembahkan pada waktu pagi+ dan korban bijirin yang dipersembahkan pada waktu petang.+ Selain itu, persembahkanlah korban bakar dan korban bijirin yang diberikan oleh raja, serta korban bakar, korban bijirin, dan korban wain yang diberikan oleh rakyat. Persembahkanlah korban-korban itu di atas mazbah besar itu. Kamu juga harus memercikkan semua darah dari korban bakar dan semua darah dari korban-korban lain ke atas mazbah itu. Berkenaan mazbah tembaga itu, biarlah beta memutuskan bagaimana beta akan menggunakannya.” 16 Uria pun melakukan segala yang diperintahkan oleh Raja Ahas.+

17 Selain itu, Raja Ahas memotong bahagian tepi pedati+ menjadi beberapa bahagian lalu memindahkan besen yang ada di atas pedati-pedati itu.+ Dia juga mengambil Laut Tembaga yang disokong oleh patung-patung lembu tembaga,+ lalu meletakkannya di atas lantai berbatu.+ 18 Selain itu, Ahas memindahkan laluan berbumbung yang dibina di Rumah Tuhan untuk kegunaan hari Sabat ke tempat lain. Dia juga memindahkan pintu yang sering digunakan oleh raja-raja semasa mereka memasuki Rumah Yehuwa. Dia berbuat demikian kerana dia takut kepada raja Assyria.

19 Berkenaan kisah hidup Ahas yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ 20 Ahas meninggal lalu dikebumikan bersama nenek moyangnya di Kota Daud. Anak lelakinya Hizkia*+ menggantikannya sebagai raja.

17 Pada tahun ke-12 pemerintahan Raja Ahas dari Yehuda, Hoshea+ anak Ela menjadi raja Israel. Dia memerintah di Samaria selama sembilan tahun. 2 Dia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, tetapi perbuatannya tidak sejahat raja-raja Israel sebelumnya. 3 Pada masa itu, Raja Salmaneser dari Assyria pergi untuk melawan Hoshea.+ Hoshea menjadi hambanya dan mula membayar ufti kepadanya.+ 4 Tetapi Hoshea membuat rancangan untuk menentang raja Assyria. Dia menghantar utusan kepada Raja So dari Mesir+ dan tidak membayar ufti kepada raja Assyria, seperti yang dilakukannya tiap-tiap tahun. Setelah raja Assyria mendapat tahu tentang hal itu, dia membelenggu Hoshea dan memasukkannya ke dalam penjara.

5 Raja Assyria menyerang seluruh negeri Israel, dan apabila dia sampai di Samaria, dia mengepung Samaria selama tiga tahun. 6 Pada tahun kesembilan pemerintahan Hoshea, raja Assyria menawan Samaria.+ Selepas itu, raja Assyria membawa orang Israel ke negerinya sebagai tawanan.+ Dia menyuruh mereka tinggal di Halah, di Habor yang terletak dekat Sungai Gozan,+ dan di kota-kota orang Media.+

7 Hal itu berlaku kerana orang Israel berdosa terhadap Yehuwa, Tuhan mereka, yang telah membawa mereka keluar dari Mesir dan yang telah membebaskan mereka daripada kuasa Firaun, raja Mesir.+ Mereka menyembah* tuhan-tuhan lain,+ 8 dan mengikut adat istiadat bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel. Mereka juga mengikut kebiasaan yang telah ditetapkan oleh raja-raja Israel.

9 Orang Israel asyik melibatkan diri dalam hal-hal yang dilarang oleh Yehuwa, Tuhan mereka. Mereka asyik membina tempat ibadat palsu di semua kota mereka,+ dari menara pengawal sampai ke kota-kota yang berkubu.* 10 Mereka terus mendirikan tugu-tugu suci* dan tiang-tiang suci*+ di atas setiap bukit dan di bawah setiap pokok yang subur;+ 11 mereka membakar korban di tempat-tempat yang tinggi sehingga asap naik, seperti yang dilakukan oleh bangsa-bangsa yang telah dihalau oleh Yehuwa dari hadapan mereka.+ Mereka asyik membuat hal-hal jahat yang membangkitkan kemurkaan Yehuwa.

12 Mereka terus menyembah patung berhala yang menjijikkan,*+ meskipun Yehuwa pernah berfirman, “Jangan melakukan hal ini!”+ 13 Yehuwa terus memberikan peringatan kepada orang Israel dan orang Yehuda menerusi semua nabi dan utusan.*+ Dia berfirman, “Berbaliklah daripada haluan kamu yang jahat!+ Patuhilah arahan dan perintah-Ku serta segala sesuatu yang tertulis dalam hukum-Ku yang telah Aku berikan kepada nenek moyang kamu menerusi nabi-nabi-Ku.” 14 Tetapi mereka tidak mendengarkan-Nya, dan mereka tetap berdegil seperti nenek moyang mereka yang tidak beriman terhadap Yehuwa, Tuhan mereka.+ 15 Mereka sentiasa menolak peraturan dan perjanjian+ yang telah dibuat antara Tuhan dengan nenek moyang mereka. Mereka juga tidak mendengar peringatan-Nya.+ Mereka terus menyembah patung-patung berhala yang tidak berguna+ sehingga mereka sendiri menjadi tidak berguna.+ Meskipun Yehuwa telah melarang mereka, mereka tetap meniru bangsa-bangsa di sekeliling mereka.+

16 Mereka melanggar semua hukum Yehuwa, Tuhan mereka, dan membuat tiang-tiang suci+ dan dua buah patung anak lembu daripada logam.+ Mereka juga sujud menyembah Baal+ dan segala sesuatu di langit.+ 17 Selain itu, mereka membakar anak lelaki dan anak perempuan sendiri di dalam api,*+ mengamalkan ilmu ramal,+ mencari petanda, dan memperhambakan diri untuk melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Ya, mereka telah membangkitkan kemurkaan-Nya.

18 Maka Yehuwa sangat murka terhadap orang Israel, sehingga Dia menyingkirkan mereka semua dari pandangan-Nya;+ hanya suku Yehuda yang tertinggal.

19 Bahkan orang Yehuda pun tidak mematuhi perintah Yehuwa, Tuhan mereka.+ Mereka juga mengikut kebiasaan yang telah diikuti orang Israel.+ 20 Yehuwa telah menolak keturunan Israel, memalukan mereka, dan menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh,* dan akhirnya Dia mengusir mereka dari hadapan-Nya. 21 Dia memisahkan Israel daripada keluarga Daud, dan mereka menjadikan Yerobeam anak Nebat sebagai raja mereka.+ Tetapi Yerobeam menyebabkan orang Israel menyimpang daripada haluan Yehuwa dan melakukan dosa-dosa yang besar. 22 Orang Israel terus melakukan dosa yang telah dilakukan oleh Yerobeam.+ Mereka tidak berhenti melakukannya 23 sehingga Yehuwa menyingkirkan mereka dari pandangan-Nya. Hal itu berlaku tepat seperti yang difirmankan-Nya melalui nabi-nabi-Nya.+ Akhirnya mereka dibuang negeri dan dibawa ke Assyria,+ dan di situlah mereka tinggal sehingga sekarang.

24 Raja Assyria membawa orang dari Babilon, Kuta, Awa, Hamat, dan Sefarwaim+ ke kota-kota di Samaria lalu menyuruh mereka tinggal di situ untuk menggantikan orang Israel. Maka mereka menduduki Samaria lalu tinggal di kota-kotanya. 25 Semasa mereka mula-mula tinggal di situ, mereka tidak takut kepada* Yehuwa. Maka Yehuwa mengirim singa-singa ke situ+ lalu singa-singa itu membunuh sebilangan orang dalam kalangan mereka. 26 Raja Assyria menerima laporan berikut: “Bangsa-bangsa yang telah tuanku bawa ke kota-kota di Samaria sebagai tawanan tidak tahu cara untuk menyembah Tuhan* negeri itu. Maka Tuhan mengirim singa-singa untuk membunuh mereka kerana mereka semua tidak tahu cara untuk menyembah Tuhan negeri itu.”

27 Oleh itu raja Assyria memberikan perintah ini: “Suruhlah seorang imam yang telah kita tawan dari negeri itu untuk pulang dan tinggal di sana. Dia harus mengajar mereka cara untuk menyembah Tuhan negeri itu.” 28 Salah seorang imam yang telah ditawan dari Samaria pulang ke Bethel dan tinggal di sana.+ Dia mula mengajar penduduk di sana cara untuk menyembah* Yehuwa.+

29 Namun, setiap bangsa itu membuat berhala masing-masing lalu meletakkannya di rumah ibadat yang telah dibina oleh orang Samaria di tempat-tempat tinggi. Itulah yang dilakukan oleh setiap bangsa di kota mereka masing-masing. 30 Orang Babilon membuat patung Sukot-benot, orang Kuta membuat patung Nergal, orang Hamat+ membuat patung Asima, 31 dan orang Awa membuat patung Nibhas dan Tartak. Orang Sefarwaim pula membakar anak-anak lelaki mereka di dalam api sebagai persembahan kepada Adramelekh dan Anamelekh, iaitu tuhan-tuhan mereka.+ 32 Mereka takut kepada Yehuwa, tetapi mereka masih melantik orang biasa untuk menjalankan tugas sebagai imam-imam di rumah ibadat yang telah dibina di tempat-tempat tinggi.+ 33 Ya, mereka takut kepada Yehuwa tetapi mereka menyembah tuhan-tuhan mereka sendiri mengikut cara penyembahan* di negeri asal mereka.+

34 Sampai hari ini, mereka masih mengikut agama asal* mereka. Tidak seorang pun antara mereka yang menyembah* Yehuwa atau mengikut perintah, peraturan, Hukum Musa, dan arahan yang telah diberikan oleh Yehuwa kepada anak-anak Yakub. (Nama Yakub telah ditukar menjadi Israel.)+ 35 Semasa Yehuwa membuat perjanjian dengan orang Israel,+ Dia memberikan perintah berikut: “Kamu tidak boleh takut kepada tuhan-tuhan lain, dan kamu tidak boleh bersujud, mengabdi, ataupun mempersembahkan korban kepada tuhan-tuhan itu.+ 36 Aku, Yehuwa, telah membawa kamu keluar dari Mesir dengan tangan-Ku yang berkuasa dan dengan kekuatan-Ku yang besar.+ Akulah yang harus kamu takuti.+ Bersujudlah kepada-Ku dan persembahkanlah korban kepada-Ku sahaja. 37 Kamu harus sentiasa mematuhi perintah, peraturan, Hukum Musa, dan arahan yang telah Aku tulis untuk kamu.+ Kamu tidak boleh takut kepada tuhan-tuhan lain. 38 Janganlah lupakan perjanjian antara Aku dengan kamu.+ Ya, kamu tidak boleh takut kepada tuhan-tuhan lain 39 tetapi takutlah kepada Aku Yehuwa, Tuhan kamu, kerana Akulah yang telah menyelamatkan kamu daripada genggaman musuh-musuh kamu.”

40 Namun mereka tidak mendengar, dan masih mengikut agama asal* mereka.+ 41 Demikianlah bangsa-bangsa itu takut kepada Yehuwa,+ tetapi pada masa yang sama, mereka juga menyembah berhala-berhala mereka. Sampai hari ini, anak cucu mereka terus meniru perbuatan nenek moyang mereka.

18 Hizkia+ anak Raja Ahas+ dari Yehuda menjadi raja pada tahun ketiga pemerintahan Hoshea+ anak Ela, raja Israel. 2 Dia berumur 25 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 29 tahun. Nama ibunya ialah Abi,* anak perempuan Zakharia.+ 3 Hizkia terus melakukan apa yang baik di mata Yehuwa,+ seperti nenek moyangnya Daud.+ 4 Dialah yang telah menyingkirkan tempat-tempat pemujaan*+ dan menghancurkan tugu-tugu suci* serta merobohkan tiang-tiang suci.*+ Selain itu, dia menghancurkan ular tembaga yang dibuat oleh Musa+ kerana sampai masa itu, umat Israel masih membakar korban sehingga asap naik di depan ular tembaga itu. Orang Israel memanggil ular itu Nehustan.* 5 Raja Hizkia menaruh kepercayaan kepada Yehuwa,+ Tuhan orang Israel. Tidak ada raja seperti dia di Yehuda, baik sebelum mahupun selepas pemerintahannya. 6 Dia berpaut erat pada Yehuwa+ dan selalu mentaati-Nya. Dia sentiasa mematuhi semua hukum yang diberikan oleh Yehuwa melalui Musa. 7 Yehuwa sentiasa menyertainya. Tidak kira apa sahaja yang dilakukannya, dia bertindak dengan bijaksana. Dia memberontak melawan raja Assyria dan enggan tunduk kepadanya.+ 8 Dia juga mengalahkan orang Filistin+ sampai ke Gaza dan daerah-daerahnya, dari menara pengawal sampai ke kota-kota yang berkubu.*

9 Pada tahun keempat pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun ketujuh pemerintahan Hoshea+ anak Ela, raja Israel, Raja Salmaneser dari Assyria menyerang Samaria dan mula mengepungnya.+ 10 Mereka berjaya menawan kota itu+ dalam masa tiga tahun. Maka Samaria ditawan pada tahun keenam pemerintahan Raja Hizkia, iaitu pada tahun kesembilan pemerintahan Raja Hoshea dari Israel. 11 Setelah itu, raja Assyria membawa orang Israel ke Assyria sebagai tawanan.+ Dia menempatkan mereka di Halah, di Habor yang terletak dekat Sungai Gozan, dan di kota-kota orang Media.+ 12 Hal itu berlaku kerana mereka tidak mendengarkan suara Yehuwa, Tuhan mereka. Sebaliknya mereka asyik melanggar perjanjian-Nya, dan mereka tidak mematuhi perintah Yehuwa yang disampaikan melalui Musa, hamba-Nya.+ Mereka tidak mahu mendengar dan tidak mahu mentaati-Nya.

13 Pada tahun ke-14 pemerintahan Raja Hizkia, Raja Sanherib dari Assyria+ menyerang semua kota berkubu di Yehuda lalu menakluki kota-kota itu.+ 14 Maka Raja Hizkia dari Yehuda mengirim pesanan berikut kepada raja Assyria di Lakhis: “Betalah yang bersalah. Hentikanlah serangan tuanku dan beta akan penuhi semua tuntutan tuanku.” Maka raja Assyria menuntut supaya Raja Hizkia dari Yehuda membayar denda sebanyak 300 talenta* perak dan 30 talenta emas. 15 Hizkia pun memberikan semua perak yang dapat dijumpainya di Rumah Yehuwa dan di tempat penyimpanan harta istana.+ 16 Pada waktu itu, Hizkia telah mengeluarkan* pintu Rumah+ Yehuwa dan ambang-ambang pintu yang telah disalutinya dengan emas,+ lalu memberikan semua itu kepada raja Assyria.

17 Tetapi raja Assyria mengutus ketua tentera,* ketua pegawai istana,* dan ketua pengurus minumannya* bersama sepasukan askar yang besar dari Lakhis+ kepada Raja Hizkia yang ada di Yerusalem.+ Mereka pergi ke Yerusalem dan tiba di saluran yang menyalurkan air dari Kolam Atas, iaitu dekat jalan utama yang menuju ke tempat orang mencuci kain.+ 18 Mereka memanggil raja untuk keluar, tetapi Elyakim+ anak Hilkia, Sebna,+ dan Yoah anak Asaf pula yang keluar menemui mereka. (Elyakim ialah pengurus istana, Sebna ialah setiausaha, dan Yoah ialah pencatat.)

19 Oleh itu, ketua pengurus minuman itu berkata kepada mereka, “Beritahulah Hizkia, ‘Inilah kata-kata raja Assyria yang agung: “Mengapakah kamu begitu yakin?+ 20 Kamu berkata, ‘Beta ada rancangan dan beta juga mempunyai kekuatan untuk berperang,’ tetapi kata-katamu itu semuanya kata-kata kosong sahaja. Pada siapakah kamu harapkan sehingga kamu berani memberontak menentang beta?+ 21 Lihatlah! Kamu mengharapkan bantuan dari Mesir. Mesir bagaikan buluh yang telah patah+ dan menusuk tapak tangan orang yang bersandar padanya. Itulah kesudahan bagi sesiapa yang berharap kepada Firaun, raja Mesir itu. 22 Nah, kamu semua berkata kepada beta, ‘Kami mengharapkan bantuan daripada Yehuwa, Tuhan kami,’+ tetapi bukankah Hizkia yang telah memusnahkan tempat-tempat pemujaan dan mazbah-Nya?+ Bukankah Hizkia juga yang menyuruh penduduk Yehuda dan Yerusalem, ‘Kamu harus bersujud di mazbah yang ada di Yerusalem sahaja’?”’+ 23 Sekarang, marilah bertaruh dengan tuanku, raja Assyria. Tuanku berkata, ‘Jika beta memberi kamu 2,000 ekor kuda, dapatkah kamu mencari penunggang kuda sebanyak itu?+ 24 Biarpun Mesir menghantar kereta kuda dan pasukan berkuda kepada kamu, dapatkah kamu mengalahkan pegawai beta yang paling rendah pangkatnya? 25 Fikirkanlah, adakah beta dapat menyerang tempat ini tanpa izin daripada Yehuwa? Yehuwa sendiri yang berfirman kepada beta, “Seranglah dan musnahkanlah negeri ini.”’”

26 Kemudian Elyakim anak Hilkia bersama Sebna+ dan Yoah menjawab ketua pengurus minuman itu,+ “Bercakaplah dengan kami dalam bahasa Aram*+ kerana kami faham bahasa itu. Janganlah bercakap dalam bahasa orang Yahudi. Semua orang yang ada di tembok kota dapat memahaminya.”+ 27 Tetapi ketua pengurus minuman itu berkata, “Adakah kamu sangka bahawa aku diutus oleh raja Assyria untuk menyampaikan kata-kata ini kepada kamu dan raja kamu sahaja? Tidak. Aku menyampaikan semua ini kepada mereka yang duduk di atas tembok juga. Merekalah yang akan makan najis sendiri dan minum kencing sendiri bersama-sama kamu.”

28 Kemudian, ketua pengurus minuman itu berseru dengan kuat dalam bahasa orang Yahudi, “Dengarlah kata-kata raja Assyria yang agung!+ 29 Raja berkata, ‘Janganlah diperdayakan oleh Hizkia kerana dia tidak dapat menyelamatkan kamu daripada genggaman beta.+ 30 Dia mungkin berkata, “Yehuwa pasti akan menyelamatkan kita, dan kota ini tidak akan jatuh ke dalam tangan raja Assyria.” Janganlah terpengaruh dengan kata-kata Hizkia sehingga kamu percaya kepada Yehuwa.+ 31 Usahlah kamu mendengar kata-kata Hizkia kerana beta, raja Assyria, berkata, “Menyerah dirilah dan berdamailah dengan beta. Kamu akan makan buah anggur dari pokok anggur kamu sendiri, buah ara dari pokok ara kamu sendiri, dan minum air dari perigi kamu sendiri. 32 Kemudian, beta akan membawa kamu ke sebuah negeri yang serupa dengan negeri kamu.+ Negeri itu penuh dengan biji-bijian dan pokok-pokok anggur yang segar. Negeri itu melimpah dengan makanan, madu, dan wain baharu. Negeri itu juga penuh dengan pokok zaitun dan ladang anggur. Di sana, kamu akan hidup dan tidak akan mati. Janganlah ditipu oleh Hizkia semasa dia berkata, ‘Yehuwa akan menyelamatkan kita.’ 33 Pernahkah tuhan bangsa-bangsa lain menyelamatkan negeri mereka daripada tangan raja Assyria? 34 Di manakah tuhan orang Hamat+ dan orang Arpad? Di manakah tuhan orang Sefarwaim,+ orang Hena, dan orang Iwa? Pernahkah tuhan-tuhan itu menyelamatkan Samaria daripada genggaman beta?+ 35 Tuhan manakah yang pernah menyelamatkan negerinya daripada tangan beta? Mengapakah kamu berfikir bahawa Yehuwa dapat menyelamatkan Yerusalem?”’”+

36 Namun, orang di situ hanya berdiam diri dan tidak mengucapkan sepatah kata pun, kerana Raja Hizkia telah berkata, “Janganlah menjawabnya.”+ 37 Kemudian Elyakim anak Hilkia, iaitu pengurus istana, Sebna, iaitu setiausaha, dan Yoah anak Asaf, iaitu pencatat, mengoyakkan jubah mereka. Mereka menghadap Hizkia untuk memberitahunya kata-kata ketua pengurus minuman itu.

19 Sebaik sahaja Raja Hizkia mendengar apa yang berlaku, dia mengoyakkan jubahnya dan mengenakan kain guni lalu pergi ke Rumah Yehuwa.+ 2 Kemudian dia menyuruh Elyakim, iaitu pengurus istana, Sebna, iaitu setiausaha, dan ketua-ketua imam untuk berjumpa dengan Nabi Yesaya+ anak Amoz. Mereka juga memakai kain guni. 3 Mereka menyampaikan pesanan Hizkia kepada nabi itu, “Hari ini hari penderitaan, hari penghinaan, dan hari yang mengaibkan, kerana kita seperti perempuan yang hendak melahirkan anak,* tetapi tidak ada kekuatan untuk melahirkannya.+ 4 Raja Assyria telah mengutus ketua pengurus minumannya* untuk menghina Tuhan yang hidup.+ Barangkali Tuhan Yehuwa telah mendengar kata-katanya itu. Semoga Tuhan Yehuwa menjatuhkan hukuman kepadanya. Berdoalah+ bagi rakyat yang masih ada di sini.”

5 Oleh itu, para pegawai Raja Hizkia pergi berjumpa dengan Yesaya,+ 6 dan Yesaya menyuruh mereka menyampaikan pesanan berikut kepada raja: “Inilah firman Yehuwa: ‘Janganlah membiarkan kata-kata pegawai raja Assyria+ itu menakutkan kamu.+ Dia sedang menghina Aku, 7 maka Aku akan mempengaruhi fikirannya. Dia akan kembali ke negerinya setelah mendengar suatu laporan. Aku akan menyebabkannya dibunuh dengan pedang di negerinya sendiri.’”+

8 Apabila ketua pengurus minuman mendengar bahawa raja Assyria telah berundur dari Lakhis,+ dia kembali untuk berjumpa dengan raja dan mendapati bahawa raja sedang berperang menentang Libna.+ 9 Raja Assyria mendengar bahawa Raja Tirhaka dari Etiopia* telah datang untuk berperang dengannya. Maka dia menghantar utusan+ kepada Hizkia sekali lagi. Katanya, 10 “Beritahulah Raja Hizkia dari Yehuda, ‘Tuhan yang kamu percayai mungkin berfirman, “Yerusalem tidak akan jatuh ke dalam tangan raja Assyria.” Tetapi janganlah terpedaya dengan kata-kata-Nya itu.+ 11 Kamu telah mendengar bagaimana raja-raja Assyria telah memusnahkan semua negeri lain.+ Adakah kamu sangka bahawa kamu akan terselamat? 12 Adakah tuhan-tuhan di semua negeri itu dapat menyelamatkan rakyat di situ daripada nenek moyang beta? Di manakah Gozan, Haran,+ Rezef, dan orang Eden di Tel-asar? 13 Di manakah raja orang Hamat dan raja orang Arpad? Di manakah raja dari kota Sefarwaim, kota Hena, dan kota Iwa?’”+

14 Hizkia mengambil surat-surat itu daripada para utusan dan membacanya. Kemudian dia pergi ke Rumah Yehuwa dan membentangkan surat-surat itu di hadapan Yehuwa.+ 15 Hizkia mula berdoa+ di hadapan Yehuwa dan berkata, “Ya Yehuwa, Tuhan orang Israel, yang bersemayam di atas* kerub-kerub.*+ Engkaulah satu-satunya Tuhan yang benar, yang berkuasa atas semua kerajaan di bumi.+ Engkau telah menciptakan langit dan bumi. 16 Ya Yehuwa, dengarlah dengan teliti!+ Bukalah mata-Mu+ dan lihatlah! Dengarlah kata-kata Sanherib yang menghina Engkau, ya Yehuwa, Tuhan yang hidup. 17 Kami semua tahu, ya Yehuwa, bahawa raja-raja Assyria telah melenyapkan bangsa-bangsa dan menghancurkan negeri mereka+ 18 serta membakar patung tuhan-tuhan mereka. Patung-patung itu bukanlah tuhan,+ tetapi sekadar hasil tangan manusia+ yang diperbuat daripada kayu dan batu. Itulah sebabnya raja-raja Assyria dapat memusnahkan mereka. 19 Oleh itu, ya Yehuwa, Tuhan kami, selamatkanlah kami daripada raja Assyria. Dengan demikian, semua kerajaan di bumi akan tahu bahawa hanya Engkaulah Tuhan, ya Yehuwa.”+

20 Kemudian Yesaya anak Amoz menyampaikan firman Yehuwa, Tuhan orang Israel, kepada Hizkia, “Aku telah mendengar doamu+ berkenaan Raja Sanherib dari Assyria.+ 21 Maka inilah firman Aku, Yehuwa, berkenaan raja itu:

‘Sion yang bagaikan anak dara mencela dan mengejek engkau.

Kota Yerusalem menggeleng-gelengkan kepalanya sambil mentertawakan engkau.

22 Engkau mencemuh dan menghina siapa?+

Engkau meninggikan suara+

Dan memandang rendah pada siapa?

Engkau berbuat demikian terhadap Tuhan Israel Yang Suci!+

23 Engkau menghantar para utusan+ untuk menghina Yehuwa.+ Engkau berkata,

“Dengan kereta-kereta kudaku yang banyak,

Aku akan naik ke gunung yang tinggi,

Ke kawasan terpencil di Lebanon.

Aku akan menebang pokok sedar yang tinggi dan pokok juniper yang terbaik.

Aku akan masuk ke tempat kediaman yang paling jauh dan merentasi hutan yang paling tebal.

24 Aku akan menggali perigi dan minum air di negeri-negeri asing;

Aku akan mengeringkan saluran-saluran air* di Mesir dengan tapak kakiku.”

25 Tidak pernahkah engkau mendengarnya? Hal itu telah ditentukan* sejak dahulu lagi.+

Aku telah mengaturnya sejak masa silam.+

Sekaranglah masanya Aku melaksanakannya.+

Engkau akan membinasakan kota-kota berkubu sehingga kota-kota itu menjadi runtuhan batu.+

26 Penduduk di situ akan menjadi tidak berdaya,

Mereka akan diselubungi rasa takut dan malu.

Mereka akan menjadi lemah seperti sayur di ladang dan rumput hijau yang muda,+

Mereka umpama rumput di atas bumbung, yang layu apabila ditiup oleh angin timur yang panas.

27 Tetapi Aku tahu apabila engkau duduk, apabila engkau pergi, apabila engkau kembali,+

Dan apabila engkau marah terhadap-Ku,+

28 Kerana Aku dapat merasai kemarahanmu+ dan mendengar kekecohan yang engkau cetuskan.+

Oleh itu, Aku akan memasang cangkuk pada hidungmu dan kekang+ pada bibirmu,

Lalu Aku akan mengheret dan membawamu kembali ke tempat asalmu.’+

29 “Hal-hal ini akan menjadi tanda bagi engkau, Hizkia, agar engkau tahu bahawa firman-Ku pasti terjadi: Pada tahun ini, kamu semua akan makan hasil tuaian yang tumbuh sendiri;* pada tahun kedua, kamu semua akan makan biji-bijian yang tumbuh dari tuaian yang sebelumnya;+ tetapi pada tahun ketiga, kamu semua akan menabur benih dan menuai hasilnya. Kamu juga akan menanam anggur dan menikmati hasilnya.+ 30 Keturunan Yehuda yang masih hidup+ akan berakar seperti tumbuhan lalu menghasilkan buah. 31 Sekumpulan orang yang masih hidup akan meninggalkan Yerusalem, dan mereka yang terselamat akan keluar dari Gunung Sion. Yehuwa, ketua angkatan syurga, pasti akan melaksanakan hal ini dengan semangat yang membara.+

32 “Inilah apa yang difirmankan oleh Yehuwa mengenai raja Assyria:+

‘Dia sama sekali tidak akan menjejakkan kakinya di kota ini,+

Atau melepaskan anak panah ke arahnya.

Dia juga tidak akan mengangkat perisai untuk melawan kota ini,

Atau membuat timbunan tanah untuk mengepungnya.+

33 Dia akan pulang melalui jalan yang diikutinya ketika datang,

Dia tidak akan memasuki kota ini,’ firman Yehuwa.

34 ‘Aku akan mempertahankan kota ini+ dan menyelamatkannya demi nama-Ku,+

Dan demi hamba-Ku Daud.’”+

35 Pada malam itu juga malaikat Yehuwa pergi ke perkhemahan Assyria dan membunuh 185,000 orang askar.+ Pada awal keesokan paginya, orang nampak mayat-mayat askar bergelimpangan di situ.+ 36 Oleh itu, Raja Sanherib dari Assyria bertolak dari sana. Dia pulang ke Niniwe+ dan tinggal di situ.+ 37 Ketika dia sedang bersujud di kuil Dewa Nisrokh, anak-anak lelakinya, Adramelekh dan Sarezer, membunuh dia dengan pedang.+ Selepas itu, mereka melarikan diri ke tanah Ararat.+ Anak lelakinya, Esar-hadon,+ menggantikannya sebagai raja.

20 Beberapa lama kemudian, Hizkia jatuh sakit dan hampir meninggal.+ Maka Nabi Yesaya anak Amoz datang berjumpa dengannya dan berkata kepadanya, “Inilah firman Yehuwa, ‘Buatlah aturan untuk rumah tanggamu kerana engkau akan mati. Engkau tidak akan sembuh daripada penyakitmu.’”+ 2 Hizkia memalingkan mukanya ke tembok lalu berdoa kepada Yehuwa, 3 “Aku mohon kepada-Mu, ya Yehuwa, ingatlah bahawa aku telah mengabdi kepada-Mu dengan setia dan dengan sepenuh hati. Aku telah melakukan apa yang baik di mata-Mu.”+ Kemudian Hizkia menangis teresak-esak.

4 Sebelum Yesaya tiba di halaman tengah istana, Yehuwa berfirman kepadanya,+ 5 “Kembalilah kepada Hizkia, pemimpin umat-Ku, dan katakanlah kepadanya, ‘Inilah firman Yehuwa, Tuhan yang disembah Daud, nenek moyangmu: “Aku telah mendengar doamu dan nampak air matamu.+ Aku akan menyembuhkan engkau.+ Pada hari ketiga, engkau akan pergi ke Rumah Yehuwa.+ 6 Aku akan menambahkan 15 tahun kepada jangka hayatmu, dan Aku akan menyelamatkan engkau dan kota ini daripada tangan raja Assyria.+ Aku akan mempertahankan kota ini demi nama-Ku dan demi hamba-Ku Daud.”’”+

7 Selanjutnya Yesaya berkata, “Bawalah buah ara kering yang telah dipadatkan.” Maka mereka membawanya dan meletakkannya pada bisul Hizkia. Lama-kelamaan, Hizkia pun sembuh.+

8 Hizkia bertanya kepada Yesaya, “Apakah tandanya+ yang menunjukkan bahawa Yehuwa akan menyembuhkan beta dan bahawa beta akan pergi ke Rumah Yehuwa pada hari yang ketiga?” 9 Yesaya menjawab, “Inilah tanda daripada Yehuwa yang menunjukkan bahawa Yehuwa akan melaksanakan apa yang difirmankan-Nya: Adakah tuanku mahu bayang-bayang di atas tangga itu* maju ke depan 10 langkah ataupun undur ke belakang 10 langkah?”+ 10 Hizkia berkata, “Adalah mudah bagi bayang-bayang itu untuk maju 10 langkah, tetapi mustahil bagi bayang-bayang itu untuk undur 10 langkah.” 11 Maka Nabi Yesaya berseru kepada Yehuwa, lalu Tuhan membuat bayang-bayang yang telah bergerak menuruni tangga Ahas untuk undur 10 langkah.+

12 Pada waktu itu, Raja Berodakh-baladan anak Baladan, iaitu raja Babilon, menghantar surat dan hadiah kepada Hizkia kerana dia telah mendengar bahawa Hizkia sakit.+ 13 Hizkia menyambut para utusannya lalu menunjukkan tempat penyimpanan hartanya kepada mereka.+ Hizkia menunjukkan perak, emas, minyak balsam,* minyak-minyak mahal yang lain, dan perlengkapan senjatanya. Ya, dia menunjukkan segala sesuatu yang terdapat di dalam tempat penyimpanan hartanya. Tiada satu pun yang ada di dalam istananya atau di seluruh kerajaannya yang tidak ditunjukkannya kepada mereka.

14 Selepas itu, Nabi Yesaya pergi berjumpa dengan Raja Hizkia. Yesaya bertanya, “Mereka datang dari mana? Apakah yang dikatakan oleh mereka kepada tuanku?” Hizkia menjawab, “Mereka datang dari tempat yang jauh, iaitu negeri Babilon.”+ 15 Kemudian Yesaya bertanya, “Apakah yang dilihat oleh mereka di istana tuanku?” Hizkia menjawab, “Mereka nampak segala-gala yang ada di istana beta. Tiada satu pun yang ada di dalam tempat penyimpanan harta beta yang tidak ditunjukkan kepada mereka.”

16 Yesaya berkata kepada Hizkia, “Dengarlah firman Yehuwa,+ 17 ‘Lihatlah! Masanya akan tiba apabila segala sesuatu yang ada di dalam istanamu, dan segala sesuatu yang telah dikumpulkan oleh nenek moyangmu sehingga hari ini, akan dibawa ke Babilon.+ Tiada satu pun yang akan tinggal,’ firman Yehuwa. 18 ‘Beberapa orang daripada keturunanmu akan dibawa+ dan dijadikan pegawai istana raja Babilon.’”+

19 Hizkia berkata kepada Yesaya, “Apa yang difirmankan oleh Yehuwa melalui kamu itu memang baik.”+ Kemudian Hizkia menambah, “Sekurang-kurangnya ada kedamaian dan ketenteraman* sepanjang hayat beta.”+

20 Berkenaan kisah hidup Hizkia yang lain, iaitu kisah tentang kegagahannya, dan bagaimana dia membuat kolam+ dan saluran air untuk membawa air ke dalam kota,+ semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 21 Hizkia meninggal+ lalu Manasye,+ anak lelakinya, menggantikannya sebagai raja.+

21 Manasye+ menjadi raja semasa dia berusia 12 tahun, dan dia memerintah di Yerusalem selama 55 tahun.+ Ibunya bernama Hefzibah. 2 Manasye melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. Dia mengikut amalan jijik bangsa-bangsa+ yang telah dihalau oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+ 3 Dia membina semula tempat-tempat pemujaan yang telah dimusnahkan oleh bapanya Hizkia.+ Dia juga membina mazbah untuk Baal dan mendirikan tiang-tiang suci*+ seperti yang dilakukan oleh Raja Ahab dari Israel.+ Selain itu, dia sujud menyembah segala sesuatu di langit.+ 4 Walaupun Yehuwa pernah berfirman mengenai Rumah-Nya, “Aku akan meletakkan nama-Ku di Yerusalem,”+ Manasye masih membina mazbah-mazbah di dalam Rumah Yehuwa.+ 5 Di kedua-dua halaman Rumah Yehuwa,+ dia membina mazbah-mazbah yang digunakan untuk menyembah segala sesuatu yang ada di langit.+ 6 Dia membakar anak-anak lelakinya di dalam api,* mengamalkan ilmu sihir, mencari petanda,+ melantik bomoh, dan melantik tukang tilik.+ Dia membangkitkan kemurkaan Yehuwa dengan melakukan begitu banyak dosa di hadapan-Nya.

7 Dia telah membina patung berhala yang menyerupai tiang-tiang suci+ dan meletakkannya di dalam Rumah Tuhan, padahal mengenai rumah itu, Yehuwa pernah berfirman kepada Daud dan anaknya Salomo, “Aku akan meletakkan nama-Ku secara kekal di rumah ini dan di Yerusalem, kota yang telah Aku pilih dari seluruh kawasan suku Israel.+ 8 Jika orang Israel mematuhi segala perintah yang telah Aku berikan,+ iaitu Hukum yang telah disampaikan oleh Musa, hamba-Ku, Aku tidak lagi akan menghalau mereka keluar dari negeri yang telah Aku berikan kepada nenek moyang mereka.”+ 9 Namun, orang Israel tidak mematuhi-Nya, dan Manasye asyik menyesatkan mereka dan menyebabkan mereka melakukan dosa yang lebih besar daripada dosa bangsa-bangsa yang telah diusir oleh Yehuwa dari hadapan orang Israel.+

10 Melalui para nabi, iaitu hamba-hamba-Nya, Yehuwa terus berfirman,+ 11 “Raja Manasye dari Yehuda telah melakukan semua perkara yang menjijikkan ini. Dia lebih jahat daripada semua orang Amori+ yang hidup sebelumnya.+ Dengan berhala-berhala yang menjijikkan,* dia telah menyebabkan orang Yehuda berbuat dosa. 12 Oleh itu, inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Aku akan mendatangkan malapetaka yang teruk sekali atas Yerusalem+ dan Yehuda sehingga sesiapa yang mendengar tentangnya akan terkejut.+ 13 Tali pengukur+ yang telah Aku gunakan pada Samaria,+ dan tali unting* yang telah Aku gunakan pada keluarga Ahab,+ akan Aku gunakan pada Yerusalem. Aku akan membersihkan Yerusalem seperti seseorang membersihkan mangkuk dengan kain lap lalu menterbalikkannya.+ 14 Aku akan meninggalkan sisa warisan-Ku+ dan menyerahkan mereka ke dalam tangan musuh. Mereka akan ditawan dan harta milik mereka akan dijarah oleh musuh mereka.+ 15 Hal ini demikian kerana mereka melakukan apa yang jahat di mata-Ku dan sering membangkitkan kemurkaan-Ku sejak nenek moyang mereka keluar dari Mesir sehingga hari ini.’”+

16 Selain menyebabkan orang Yehuda berdosa dan melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, Manasye juga membunuh begitu banyak orang yang tidak bersalah. Dia menyebabkan darah mereka memenuhi seluruh Yerusalem, iaitu dari satu hujung ke hujung yang lain.+ 17 Berkenaan kisah hidup Manasye yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya dan dosa-dosanya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 18 Selepas itu, Manasye meninggal lalu dikebumikan di taman istananya, iaitu di taman Uza.+ Anak lelakinya, Amon, menggantikannya sebagai raja.

19 Amon+ berusia 22 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama dua tahun.+ Ibunya ialah Mesulemet anak Haruz dari Yotba. 20 Amon terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa seperti bapanya Manasye.+ 21 Dia sentiasa mengikut haluan bapanya. Seperti bapanya, dia sentiasa sujud menyembah patung-patung berhala yang menjijikkan.+ 22 Dia meninggalkan Yehuwa, Tuhan nenek moyangnya, dan enggan hidup menurut haluan Yehuwa.+ 23 Akhirnya, hamba-hamba Amon membelot lalu membunuhnya di dalam istananya sendiri. 24 Tetapi rakyat negeri itu membunuh semua orang yang membelot terhadap Raja Amon, lalu menjadikan anaknya Yosia sebagai raja.+ 25 Berkenaan kisah hidup Amon yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 26 Mereka mengebumikan Amon di kuburannya, di taman Uza.+ Lalu anak lelakinya Yosia+ menggantikannya sebagai raja.

22 Yosia+ berusia lapan tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah selama 31 tahun di Yerusalem.+ Ibunya ialah Yedida anak Adaya dari Bozkat.+ 2 Yosia melakukan apa yang benar di mata Yehuwa dan mengikut haluan Daud, nenek moyangnya.+ Dia tidak pernah mengingkari hukum Tuhan.*

3 Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yosia, dia menyuruh setiausahanya, iaitu Safan anak Azalia, cucu Mesulam, pergi ke Rumah Yehuwa.+ Raja berkata, 4 “Berjumpalah dengan Imam Agung Hilkia.+ Suruhlah dia mengumpulkan semua wang yang telah dibawa ke Rumah Yehuwa,+ iaitu wang yang diterima oleh para penjaga pintu daripada rakyat.+ 5 Kemudian wang itu harus diberikan kepada beberapa orang yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan Rumah Yehuwa. Suruhlah mereka memberikan wang itu kepada para pekerja yang membaiki kerosakan* yang ada pada Rumah Yehuwa,+ 6 iaitu jurubina, tukang batu, dan tukang-tukang yang mahir. Mereka akan menggunakan wang itu untuk membeli kayu dan batu yang sudah dipotong untuk membaiki kerosakan yang ada pada Rumah Tuhan.+ 7 Janganlah mempersoalkan cara mereka menggunakan wang itu kerana mereka dapat dipercayai.”+

8 Kemudian Imam Agung Hilkia berkata kepada Safan, setiausaha itu,+ “Aku telah menjumpai kitab Hukum Musa+ di dalam Rumah Yehuwa.” Hilkia memberikan kitab itu kepada Safan lalu Safan membacanya.+ 9 Safan menghadap raja dan berkata kepadanya, “Hamba-hamba tuanku telah mengambil wang yang ada di Rumah Yehuwa, dan memberikannya kepada mereka yang dilantik untuk mengawasi kerja pembaikan rumah itu.”+ 10 Safan juga memberitahu raja, “Imam Hilkia telah memberikan kitab+ ini kepada hamba.” Lalu Safan membaca kitab itu di hadapan raja.

11 Sebaik sahaja raja mendengar kata-kata dalam kitab itu, dia mengoyakkan jubahnya.+ 12 Kemudian dia memberikan perintah kepada Imam Hilkia, Ahikam+ anak Safan, Akhbor anak Mikhaya, Safan, iaitu setiausaha itu, dan Asaya, iaitu pegawai raja. Raja berkata, 13 “Pergilah minta petunjuk daripada Yehuwa tentang kata-kata dalam kitab yang telah ditemui ini. Mintalah petunjuk-Nya bagi pihak beta, bagi pihak rakyat, dan bagi pihak semua orang Yehuda. Nenek moyang kita tidak mematuhi kata-kata dalam kitab ini, dan mereka tidak melakukan semua yang tercatat dalamnya. Itulah sebabnya Yehuwa sangat murka terhadap kita.”+

14 Maka Imam Hilkia, Ahikam, Akhbor, Safan, dan Asaya pergi berjumpa dengan seorang nabi wanita yang bernama Hulda.+ Hulda ialah isteri Salum anak Tikwa, cucu Harhas. (Salum ialah pengurus tempat penyimpanan pakaian.) Hulda menetap di Wilayah Kedua di Yerusalem, maka mereka pergi ke situ untuk bercakap dengannya.+ 15 Dia berkata kepada mereka, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Beritahulah orang yang telah mengutus kamu kepada-Ku, 16 “Inilah firman Yehuwa, ‘Aku akan mendatangkan malapetaka atas tempat ini dan penduduknya sebagaimana yang tertulis dalam kitab yang telah dibaca oleh raja Yehuda.+ 17 Mereka telah meninggalkan Aku dan mempersembahkan korban* kepada tuhan-tuhan lain.+ Segala perbuatan mereka telah membangkitkan kemurkaan-Ku.+ Maka Aku murka terhadap tempat ini, dan api kemurkaan-Ku tidak akan reda.’”+ 18 Tetapi beritahulah raja Yehuda yang telah menyuruh kamu untuk meminta petunjuk daripada Yehuwa, “Inilah firman Yehuwa, Tuhan orang Israel: ‘Engkau telah mendengar kata-kata dalam kitab itu. 19 Aku telah berfirman bahawa penduduk tempat ini akan dikutuk dan orang yang nampak mereka akan berasa takut. Tetapi setelah mendengar firman-Ku berkenaan tempat ini dan penduduknya, engkau bertaubat* dan merendahkan diri+ di hadapan Yehuwa, serta mengoyakkan jubahmu+ dan menangis di hadapan-Ku. Oleh itu, Aku akan mendengar doamu, firman Yehuwa. 20 Engkau akan meninggal dengan tenteram lalu dikuburkan. Engkau tidak akan melihat semua malapetaka yang akan Aku timpakan atas tempat ini.’”’” Kemudian mereka menyampaikan pesanan itu kepada raja.

23 Maka raja menghantar utusan untuk memanggil semua pemimpin Yehuda dan Yerusalem.+ 2 Selepas itu, raja pergi ke Rumah Yehuwa bersama semua orang Yehuda, semua penduduk Yerusalem, imam-imam, dan para nabi. Semua orang, baik yang muda mahupun yang tua, menyertai raja. Raja membaca seluruh kandungan kitab+ perjanjian+ yang telah ditemui di Rumah Yehuwa+ di hadapan mereka semua. 3 Raja berdiri di sisi tiang dan membuat* perjanjian di depan Yehuwa.+ Dia berjanji untuk mematuhi Yehuwa dan berpegang pada hukum-Nya, peringatan-Nya, dan perintah-Nya dengan sepenuh jiwa raga. Dia berjanji untuk melaksanakan apa yang tertulis dalam kitab itu. Segenap rakyat juga bersetuju dengan perjanjian itu.+

4 Raja pun menyuruh Imam Agung Hilkia,+ imam-imam yang lain, dan para penjaga pintu untuk masuk ke Rumah Yehuwa dan mengeluarkan semua perkakas yang digunakan untuk menyembah Baal, tiang suci,*+ dan segala sesuatu di langit. Kemudian raja membakar semuanya di luar Yerusalem, iaitu di lereng Lembah Kidron, lalu membawa abunya ke Bethel.+ 5 Raja mengusir semua imam yang menyembah tuhan-tuhan bangsa asing. Mereka telah dilantik oleh raja-raja Yehuda untuk mempersembahkan korban di tempat pemujaan yang terletak di kota-kota Yehuda dan di sekitar Yerusalem. Raja juga mengusir mereka yang mempersembahkan korban* kepada Baal, matahari, bulan, bintang-bintang,* dan segala sesuatu di langit.+ 6 Dia mengeluarkan tiang suci+ dari Rumah Yehuwa dan membawanya ke luar Yerusalem, iaitu ke Lembah Kidron. Kemudian dia membakarnya+ di situ, menghancurkannya sehingga menjadi debu lalu menghamburkan debu itu di kawasan perkuburan orang miskin.+ 7 Dia juga merobohkan tempat tinggal pelacur-pelacur kuil lelaki+ yang ada di dalam Rumah Yehuwa. Di situlah kaum wanita menenun kain khemah untuk pemujaan tiang suci.

8 Yosia membawa semua imam keluar dari kota-kota Yehuda. Kemudian dia mencemarkan tempat-tempat pemujaan, dari Geba+ ke Beer-syeba,+ yang digunakan oleh para imam untuk mempersembahkan korban. Dia juga memusnahkan tempat-tempat pemujaan di pintu gerbang Yosua, pemimpin kota itu, yang terletak di sebelah kiri semasa orang memasuki pintu gerbang kota. 9 Para imam yang bertugas di tempat-tempat pemujaan tidak bertugas di mazbah Yehuwa yang terletak di Yerusalem.+ Walaupun begitu, mereka masih makan roti yang tidak beragi bersama saudara-saudara mereka. 10 Yosia juga mencemarkan Tofet*+ yang terletak di Lembah Hinom*+ supaya tempat itu tidak sesuai digunakan sebagai tempat ibadat. Dengan demikian, tiada orang dapat membakar anak lelaki atau anak perempuan mereka* sebagai korban kepada Molekh.+ 11 Raja-raja Yehuda yang sebelumnya telah mengekhaskan kuda-kuda untuk pemujaan matahari. Kuda-kuda ini dibawa masuk ke Rumah Yehuwa melalui bilik* pegawai istana, Natan-melekh, yang terletak di kawasan serambi. Tetapi Yosia menghalang kuda-kuda itu daripada memasuki Rumah Tuhan. Dia juga membakar kereta-kereta kuda yang digunakan untuk pemujaan matahari.+ 12 Raja Yosia juga merobohkan mazbah yang dibina oleh raja-raja Yehuda di atas bumbung+ bilik Ahas, dan mazbah yang dibina oleh Manasye di kedua-dua halaman Rumah Yehuwa.+ Dia menghancurkan mazbah-mazbah itu sehingga menjadi debu lalu menghamburkan debu itu di Lembah Kidron. 13 Selain itu, raja mencemarkan tempat-tempat pemujaan di depan Yerusalem, iaitu di sebelah selatan* Gunung Kemusnahan,* supaya tempat-tempat itu tidak lagi sesuai digunakan untuk tujuan ibadat. Di situlah Salomo, raja Israel, telah membina tempat pemujaan Asytoret, dewi menjijikkan yang dipuja orang Sidon; Kamos, dewa menjijikkan yang dipuja orang Moab; dan Milkom,+ dewa menjijikkan yang dipuja orang Ammon.+ 14 Dia meremukkan tugu-tugu suci* dan merobohkan tiang-tiang suci+ lalu memenuhi tempat itu dengan tulang manusia. 15 Dia juga merobohkan mazbah di Bethel, iaitu tempat pemujaan yang dibina oleh Yerobeam anak Nebat, yang menyebabkan orang Israel berdosa.+ Selepas dia merobohkan mazbah itu dan tempat itu, dia membakar tempat itu dan menghancurkannya sehingga menjadi debu. Kemudian dia membakar tiang suci yang ada di situ.+

16 Apabila Yosia berpaling, dia nampak kuburan-kuburan yang ada di gunung. Dia mengambil tulang dari kuburan itu dan membakarnya di atas mazbah. Dia berbuat demikian agar mazbah itu tidak lagi sesuai digunakan untuk tujuan ibadat. Hal ini terjadi selaras dengan firman Yehuwa yang dinubuatkan oleh nabi-Nya.+ 17 Selepas itu, Yosia bertanya, “Beta nampak sebuah batu nisan di situ. Itu kubur siapa?” Penduduk kota menjawabnya, “Itu kubur seorang nabi Tuhan dari Yehuda.+ Dialah yang telah bernubuat tentang perkara-perkara yang baru sahaja tuanku lakukan terhadap mazbah di Bethel.” 18 Oleh itu, dia berkata, “Biarkanlah kubur itu. Jangan sentuh tulang-tulangnya.” Maka mereka tidak menyentuh tulang-tulang nabi dari Yehuda itu. Demikian juga dengan tulang-tulang nabi dari Samaria yang ada di situ.+

19 Yosia juga merobohkan semua rumah ibadat di tempat tinggi yang ada di kota-kota Samaria.+ Tempat-tempat itu telah dibina oleh raja-raja Israel untuk membangkitkan kemurkaan Tuhan. Dia memusnahkan tempat-tempat itu seperti yang telah dilakukannya di Bethel.+ 20 Semua imam yang bertugas di tempat pemujaan dibunuh oleh Yosia di atas mazbah-mazbah yang ada di situ. Dia juga membakar tulang-tulang manusia di atas mazbah-mazbah itu.+ Kemudian dia pulang ke Yerusalem.

21 Raja menyampaikan perintah ini kepada semua rakyat: “Rayakanlah Paska*+ untuk Yehuwa, Tuhan kamu, seperti yang tertulis dalam kitab perjanjian ini.”+ 22 Mereka belum pernah merayakan Paska seperti ini sejak zaman para hakim memerintah Israel, atau sejak zaman raja-raja Israel dan zaman raja-raja Yehuda.+ 23 Pada tahun ke-18 pemerintahan Raja Yosia, mereka mengadakan Perayaan Paska untuk Yehuwa di Yerusalem.

24 Yosia juga mengusir bomoh dan tukang tilik+ serta membinasakan patung-patung terafim,*+ patung berhala yang menjijikkan,* dan semua benda yang menjijikkan di Yehuda dan Yerusalem. Hal ini sesuai dengan Hukum Musa+ yang tercatat dalam kitab yang telah ditemui oleh Imam Hilkia di dalam Rumah Yehuwa.+ 25 Belum pernah ada seorang raja seperti Yosia, yang mematuhi seluruh Hukum Musa dan kembali kepada Yehuwa dengan sepenuh hati, sepenuh jiwa,+ dan dengan segala kekuatannya. Selepas Yosia, tiada lagi raja seperti dia.

26 Meskipun demikian, Yehuwa tetap murka terhadap Yehuda kerana Manasye telah melakukan pelbagai perbuatan yang menjijikkan untuk membangkitkan kemurkaan-Nya.+ 27 Yehuwa berfirman, “Sebagaimana Aku telah melenyapkan Israel,+ Aku juga akan menyingkirkan Yehuda dari pandangan-Ku.+ Aku akan menolak Yerusalem, kota yang telah Aku pilih, dan menolak Rumah-Ku biarpun Aku pernah berfirman bahawa ‘Nama-Ku akan tetap berada di situ.’”+

28 Berkenaan kisah hidup Yosia yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda. 29 Pada masa pemerintahannya, Firaun Nekho, iaitu raja Mesir, pergi ke Sungai Efrat untuk berjumpa dengan raja Assyria. Raja Yosia pergi berperang dengan Nekho, tetapi sebaik sahaja Nekho nampak Yosia, dia membunuh Yosia di Megido.+ 30 Para pegawai Yosia membawa mayatnya dari Megido ke Yerusalem dengan kereta kuda lalu mengebumikannya. Kemudian rakyat mengurapi anak Yosia, iaitu Yehoahas, dan menjadikannya raja untuk menggantikan bapanya.+

31 Yehoahas+ berusia 23 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama tiga bulan. Ibunya ialah Hamutal+ anak Yeremia dari Libna. 32 Yehoahas melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti nenek moyangnya.+ 33 Firaun Nekho+ memenjarakan Yehoahas di Ribla+ yang terletak di Hamat, agar dia tidak dapat memerintah di Yerusalem. Kemudian Firaun mengenakan ufti sebanyak 3,420 kilogram perak dan 34.2 kilogram emas* atas penduduk Yehuda.+ 34 Selain itu, Firaun Nekho menjadikan Elyakim anak Yosia sebagai raja untuk menggantikan bapanya. Dia juga menukar nama Elyakim kepada Yehoyakim. Kemudian Firaun membawa Yehoahas ke Mesir,+ dan akhirnya Yehoahas mati di sana.+ 35 Untuk membayar perak dan emas kepada Firaun, Yehoyakim terpaksa mengenakan cukai atas seluruh negeri. Dia menuntut emas dan perak daripada setiap rakyat sesuai dengan nilai tanah mereka supaya dia dapat membayar Firaun Nekho.

36 Yehoyakim+ berusia 25 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah selama 11 tahun di Yerusalem.+ Ibunya ialah Zebida anak Pedaya dari Ruma. 37 Yehoyakim terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa,+ seperti nenek moyangnya.+

24 Pada masa pemerintahan Yehoyakim, Raja Nebukadnezar+ dari Babilon datang menyerangnya. Selama tiga tahun, Yehoyakim menjadi hamba Nebukadnezar, tetapi kemudian dia memberontak. 2 Yehuwa menghantar kumpulan perompak dari Kasdim,+ Siria, Moab, dan Ammon untuk menyerangnya dan memusnahkan Yehuda. Hal ini terjadi selaras dengan firman Yehuwa+ yang disampaikan melalui para nabi-Nya. 3 Sememangnya, semua kejadian ini berlaku atas perintah Yehuwa untuk menyingkirkan Yehuda dari pandangan-Nya,+ kerana semua dosa yang telah dilakukan oleh Manasye.+ 4 Manasye telah menumpahkan darah orang yang tidak bersalah+ sehingga darah mereka memenuhi seluruh Yerusalem, dan Yehuwa tidak mahu memberikan pengampunan.+

5 Berkenaan kisah hidup Yehoyakim yang lain, iaitu kisah tentang apa yang dilakukannya, semuanya tertulis dalam buku sejarah tentang zaman raja-raja Yehuda.+ 6 Selepas itu, Yehoyakim meninggal+ lalu anaknya Yehoyakhin menggantikannya sebagai raja.

7 Sejak itu, raja Mesir tidak lagi menghantar askar keluar dari negerinya kerana raja Babilon telah mengambil segala wilayah miliknya,+ dari Wadi* Mesir+ sampai ke Sungai Efrat.+

8 Yehoyakhin+ berusia 18 tahun apabila dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama tiga bulan.+ Ibunya ialah Nehusta anak Elnatan dari Yerusalem. 9 Yehoyakhin mengikut haluan bapanya dan terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa. 10 Pada masa itu, para pegawai Raja Nebukadnezar dari Babilon menyerang Yerusalem dan mengepungnya.+ 11 Raja Nebukadnezar pergi ke kota itu ketika para pegawainya sedang mengepung kota itu.

12 Raja Yehoyakhin dari Yehuda bersama ibunya, para pegawainya, pemimpinnya, dan pegawai istananya+ menyerah diri kepada raja Babilon.+ Raja Babilon pun mengambil Yehoyakhin sebagai tawanan pada tahun kelapan pemerintahannya.+ 13 Kemudian raja Babilon mengambil semua harta di Rumah Yehuwa dan di istana.+ Dia mengambil semua perkakas emas di Rumah Yehuwa yang dibuat oleh Salomo, raja Israel,+ lalu memotongnya menjadi beberapa bahagian. Hal ini terjadi tepat seperti yang telah dinubuatkan oleh Yehuwa. 14 Raja juga membawa semua penduduk Yerusalem, termasuk pemimpin,+ pahlawan yang gagah, tukang seni, dan tukang besi,*+ sebagai tawanan. Jumlah yang ditawannya ialah 10,000 orang. Tiada seorang pun yang ditinggalkan di negeri itu kecuali rakyat yang paling miskin.+ 15 Raja Nebukadnezar membawa Yehoyakhin+ ke Babilon sebagai tawanan.+ Raja juga membawa ibu Yehoyakhin, isteri-isterinya, para pegawai istananya, dan orang yang terkemuka, dari Yerusalem ke Babilon. 16 Raja membawa semua orang yang pandai berperang ke Babilon sebagai tawanan. Dalam kalangan mereka, terdapat 7,000 orang pahlawan, dan 1,000 orang tukang seni dan tukang besi.* 17 Raja Babilon menjadikan Matania, iaitu bapa saudara Yehoyakhin,+ sebagai raja untuk menggantikan Yehoyakhin. Dia juga menukar nama Matania kepada Zedekia.+

18 Zedekia berusia 21 tahun semasa dia menjadi raja, dan dia memerintah di Yerusalem selama 11 tahun. Ibunya ialah Hamutal+ anak Yeremia dari Libna. 19 Zedekia terus melakukan apa yang jahat di mata Yehuwa, seperti Yehoyakim.+ 20 Yerusalem dan Yehuda ditimpa malapetaka kerana Yehuwa murka terhadap penduduknya dan ingin menyingkirkan mereka dari pandangan-Nya.+ Kemudian Zedekia memberontak terhadap raja Babilon.+

25 Pada hari ke-10, bulan ke-10, tahun kesembilan pemerintahan Raja Zedekia, Raja Nebukadnezar+ dari Babilon dan seluruh angkatan tenteranya menyerang Yerusalem.+ Mereka mendirikan khemah di sekeliling kota itu dan membina tembok untuk mengepungnya.+ 2 Kota itu dikepung sehingga tahun ke-11 pemerintahan Raja Zedekia. 3 Pada hari kesembilan, bulan keempat tahun itu, kebuluran menjadi begitu teruk+ sehingga penduduk di dalam kota itu tidak mempunyai makanan lagi.+ 4 Tembok kota ditembusi musuh,+ dan semua askar melarikan diri pada malam hari ketika orang Kasdim sedang mengepung kota itu. Askar-askar itu keluar melalui pintu gerbang di antara dua tembok yang berdekatan taman di istana, lalu raja mengambil jalan yang menuju ke Araba.+ 5 Tetapi raja dikejar oleh tentera Kasdim, dan mereka menangkapnya di padang gurun di Yerikho. Semua askarnya melarikan diri dan meninggalkannya. 6 Selepas mereka menangkap Zedekia,+ mereka membawanya kepada raja Babilon di Ribla untuk diadili. 7 Mereka membunuh anak-anak lelaki Zedekia di depan matanya. Setelah itu, Nebukadnezar membutakan mata Zedekia dan mengikatnya dengan rantai tembaga lalu membawanya ke Babilon.+

8 Pada hari ketujuh, bulan kelima, tahun ke-19 pemerintahan Raja Nebukadnezar dari Babilon, seorang pegawainya yang bernama Nebuzaradan,+ iaitu ketua pengawal istana, datang ke Yerusalem.+ 9 Nebuzaradan membakar Rumah Yehuwa,+ istana,+ dan semua rumah di Yerusalem.+ Dia juga membakar rumah setiap orang yang terkemuka di kota itu.+ 10 Tembok yang mengelilingi Yerusalem dirobohkan oleh seluruh angkatan tentera Kasdim yang ada bersama ketua pengawal istana itu.+ 11 Nebuzaradan, ketua pengawal istana itu, menawan rakyat yang masih tinggal di kota Yerusalem, orang yang telah membelot dan memihak kepada raja Babilon, dan penduduk yang lain.+ 12 Tetapi dia meninggalkan penduduk yang paling miskin di situ supaya mereka dapat bekerja di ladang anggur dan menjadi buruh paksa.+ 13 Orang Kasdim menghancurkan tiang-tiang tembaga+ di Rumah Yehuwa dan pedati-pedati+ serta Laut Tembaga+ di Rumah Yehuwa. Lalu mereka membawa semua tembaga itu ke Babilon.+ 14 Mereka juga mengambil baldi, penyodok, alat pemadam sumbu pelita, cawan, dan semua perkakas tembaga yang digunakan di dalam Rumah Tuhan. 15 Ketua pengawal istana itu mengambil bekas perbaraan dan mangkuk-mangkuk yang diperbuat daripada emas+ dan perak tulen.+ 16 Tembaga yang digunakan oleh Salomo untuk membina dua batang tiang, Laut Tembaga, dan pedati-pedati di Rumah Yehuwa, begitu banyak sehingga tidak dapat ditimbang.+ 17 Setiap tiang berukuran 18 hasta* tinggi,+ dan kepala tiang yang diletakkan di atasnya diperbuat daripada tembaga. Kepala tiang itu berukuran tiga hasta tinggi, dan rangkaian rantai serta buah delima yang mengelilingi kepala tiang itu juga diperbuat daripada tembaga.+ Tiang yang kedua dan rangkaian rantainya sama seperti tiang yang pertama.

18 Ketua pengawal istana itu menangkap Serayah+ yang bertugas sebagai ketua imam, dan Zefanya,+ iaitu imam yang menjadi penolongnya, serta tiga orang penjaga pintu.+ 19 Dari kota itu, dia juga menangkap seorang pegawai istana yang mengetuai pasukan tentera, lima orang penasihat peribadi raja, seorang setiausaha ketua tentera yang mengumpulkan pasukan tentera, dan 60 orang rakyat biasa. 20 Nebuzaradan+ membawa mereka ke Ribla+ untuk menghadap raja Babilon. 21 Raja Babilon membunuh mereka semua. Mereka dihukum mati di Ribla yang terletak di tanah Hamat.+ Demikianlah orang Yehuda dibuang negeri.+

22 Raja Nebukadnezar dari Babilon melantik Gedalia+ anak Ahikam,+ cucu Safan,+ menjadi gabenor untuk memimpin orang yang masih tinggal di Yehuda.+ 23 Apabila semua ketua tentera dan askar-askar mereka mendengar bahawa raja Babilon telah melantik Gedalia, mereka segera pergi ke Mizpa untuk berjumpa dengannya. Ketua-ketua itu ialah Ismael anak Netania, Yohanan anak Kareah, Serayah anak Tanhumet dari Netofa, dan Yazania, anak kepada seorang lelaki dari Maakha.+ 24 Gedalia bersumpah kepada mereka dan askar-askar mereka. Dia berkata, “Janganlah takut untuk menjadi hamba kepada orang Kasdim. Tinggallah di Yehuda dan taatilah raja Babilon. Maka kamu akan selamat.”+

25 Pada bulan ketujuh, seorang kerabat diraja yang bernama Ismael+ anak Netania, cucu Elisama, pergi ke Mizpa bersama 10 orang yang lain untuk membunuh Gedalia. Mereka juga membunuh orang Yahudi dan orang Kasdim yang ada bersama Gedalia.+ 26 Selepas itu, semua rakyat, baik yang muda mahupun yang tua, termasuk ketua-ketua tentera, melarikan diri ke Mesir+ kerana mereka takut kepada orang Kasdim.+

27 Selepas Ewil-merodakh menjadi raja Babilon, dia membebaskan Raja Yehoyakhin dari penjara.+ Hal ini berlaku pada hari ke-27, bulan ke-12, tahun ke-37 setelah Raja Yehoyakhin+ ditawan dari Yehuda. 28 Ewil-merodakh memperlakukan Yehoyakhin dengan baik dan memberinya kedudukan yang lebih tinggi daripada raja-raja lain yang ada bersamanya di Babilon. 29 Maka Yehoyakhin tidak lagi memakai pakaian penjara dan dia selalu makan di meja raja seumur hidupnya. 30 Sepanjang hidup Yehoyakhin, keperluan makanannya dijaga oleh raja setiap hari.

Atau “terjatuh dari lubang antara kekisi di lantai bilik bumbung istananya.”

Maksudnya “Yehuwa ialah Tuhanku.”

Iaitu, adik lelaki Ahazia. Tidak sama dengan Yehoram anak Yehosafat.

Harfiah, “Anak-anak nabi.” Ungkapan ini mungkin merujuk kepada sekolah yang melatih nabi atau merujuk kepada persatuan nabi.

Atau “pakaian istimewanya.”

Biasanya dipanggil roh kudus. Lihat Kamus.

Harfiah, “Bapaku, bapaku!”

Atau “angin.”

Atau mungkin, “dan menyebabkan keguguran anak.”

Atau mungkin, “keguguran anak.”

Lihat Kamus.

Atau “yang menuangkan air ke atas tangan Elia.”

Atau “Apakah kaitan hamba dengan tuanku?”

Atau “wadi.”

Senjata yang berupa tali, yang digunakan untuk melontar batu.

Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.

Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.

Perbuatan memberikan salam ini mungkin melibatkan ciuman, pelukan, dan perbualan yang panjang.

Atau “penyelamatan.”

Mungkin merujuk kepada Naaman.

Lihat Lampiran B14.

Atau “menjadi bersih.”

Harfiah, “rumah.”

Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.

Mungkin sebuah bukit atau kubu di Samaria.

Harfiah, “Anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.

Harfiah, “satu perempat kab.” Lihat Lampiran B14.

Proses memisahkan buah daripada tangkai.

Atau “gerbang.”

Harfiah, “1 seah.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “1 syekel.” Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “2 seah.”

Atau “dihidupkan kembali.”

Atau “yang bagaikan seekor anjing.”

Harfiah, “bahawa Daud dan anak-anaknya akan sentiasa mempunyai sebuah pelita.”

Harfiah, “anak perempuan.”

Nama singkat bagi Ramot-gilead.

Atau “yang sakit.”

Harfiah, “daripada anak-anak nabi.” Lihat nota kaki bagi 2Ra 2:3.

Perbuatan ini menggambarkan seseorang yang bersedia untuk melakukan kerja.

Harfiah, “anak lelaki.”

Atau “asyik menyembah berhala.”

Atau “pembayang mata.”

Harfiah, “penjaga Ahab.”

Atau “paling lurus hati.”

Atau “tempat para gembala mengikat biri-biri.”

Atau “lihatlah bahawa beta tidak membiarkan orang lain bertindak tidak setia terhadap Yehuwa.”

Atau “nyawa kamu akan menggantikan nyawa orang itu.”

Harfiah, “kota,” mungkin merujuk kepada bangunan yang menyerupai sebuah kubu.

Lihat Kamus.

Atau “Wadi.”

Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.

Atau “diberikan kerana didorong oleh hati yang rela.”

Atau “kenalan mereka.”

Atau “keretakan.”

Atau “memasukkan ke dalam kantung.” Harfiah, “mengikat.”

Ibrani, mil·loh’ʹ yang bermaksud “timbunan tanah.” Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Iaitu, Yerobeam II.

Harfiah, “Bapaku, bapaku!”

Atau “penyelamatan.”

Mungkin merujuk kepada musim bunga.

Atau “berlawan.”

Harfiah, “khemah.”

Harfiah, “400 hasta.” Lihat Lampiran B14.

Iaitu, Yerobeam II.

Maksudnya “Yehuwa Telah Membantu.” Dia juga dikenali sebagai Uzia di 2Ra 15:13; 2Ta 26:1-23; Yes 6:1; dan Za 14:5.

Iaitu, bapanya Amazia.

Atau “pintu masuk kota Hamat.”

Iaitu, Laut Mati.

Maksudnya “Yehuwa Telah Membantu.” Dia juga dikenali sebagai Uzia di 2Ra 15:13; 2Ta 26:1-23; Yes 6:1; dan Za 14:5.

Iaitu, Yerobeam II.

Lihat Lampiran B14.

Lihat Lampiran B14.

Atau “menyuruh anak lelakinya melintasi api.”

Atau “orang Yehuda.”

Atau “korban yang dibakar sehingga asap naik.”

Maksudnya “Yehuwa Menguatkan.”

Harfiah, “takut akan.”

Iaitu, di setiap tempat, tidak kira di tempat yang berpenduduk padat atau tidak.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Istilah ini dalam bahasa Ibrani mungkin berkaitan dengan istilah yang bermaksud “tahi” dan digunakan untuk menunjukkan perasaan meluat yang sangat mendalam.

Atau “dan setiap orang yang menyampaikan penglihatan Tuhan.”

Atau “menyuruh anak lelaki dan anak perempuan sendiri melintasi api.”

Atau “penjarah.”

Atau “tidak menyembah.”

Atau “tidak tahu adat istiadat agama.”

Atau “takut kepada.”

Atau “mengikut adat istiadat agama.”

Atau “mengikut adat istiadat agama.”

Harfiah, “takut akan.”

Atau “mengikut adat istiadat agama.”

Singkatan bagi Abia.

Harfiah, “tempat-tempat tinggi.” Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “memanggil ular itu patung ular tembaga.”

Iaitu, di setiap tempat, tidak kira di tempat yang berpenduduk padat atau tidak.

Lihat Lampiran B14.

Harfiah, “memotong.”

Atau “Tartan.”

Atau “Rabsaris.”

Atau “Rabshakeh.”

Atau “bahasa Siria.”

Harfiah, “yang anaknya sudah sampai ke mulut rahim.”

Atau “Rabshakeh.”

Atau “Habsyah.”

Atau mungkin, “di antara.”

Kerub ialah malaikat yang berpangkat tinggi.

Atau “terusan-terusan Sungai Nil.”

Harfiah, “terjadi.”

Atau “hasil daripada biji-bijian yang terjatuh lalu bertumbuh.”

Tangga yang dimaksudkan ini mungkin digunakan untuk menunjukkan waktu, seperti jam matahari.

Lihat Kamus.

Atau “kebenaran.”

Lihat Kamus.

Atau “menyuruh anak-anak lelakinya melintasi api.”

Lihat nota kaki bagi 2Ra 17:12.

Alat yang digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu benda tegak atau tidak.

Atau “tidak pernah menyimpang ke kanan atau ke kiri.”

Atau “keretakan.”

Atau “membakar korban sehingga asap naik.”

Harfiah, “hatimu menjadi lembut.”

Atau “membaharui.”

Lihat Kamus.

Atau “membakar korban sehingga asap naik.”

Atau “zodiak.”

Sebuah tempat di luar Yerusalem di mana orang Israel yang murtad mengorbankan anak mereka.

Lihat Kamus, “Gehena.”

Atau “menyuruh anak lelaki atau anak perempuan mereka melintasi api.”

Atau “bilik makan.”

Harfiah, “kanan.” Iaitu, arah selatan apabila seseorang menghadap timur.

Iaitu, Gunung Zaitun, terutamanya bahagian paling hujung di selatan gunung ini yang juga dikenali sebagai Gunung Kejahatan.

Lihat Kamus.

Lihat Kamus.

Atau “patung dewa dewi keluarga; patung berhala.”

Lihat nota kaki bagi 2Ra 17:12.

Harfiah, “100 talenta perak dan 1 talenta emas.” Lihat Lampiran B14.

Lihat Kamus.

Atau mungkin, “pembina benteng.”

Atau mungkin, “pembina benteng.”

Lihat Lampiran B14.

    Bahan Bahasa Isyarat Malaysia (2013-2024)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Bahasa Isyarat Malaysia
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi