PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • g16 No. 5
  • Mengajar Anak tentang Seks

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Mengajar Anak tentang Seks
  • Sedarlah!—2016
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • CABARANNYA
  • APA YANG PERLU ANDA KETAHUI
  • APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN
  • Bagaimanakah Ibu Bapa Dapat Mengajar Anak Mereka tentang Seks?
    Jawapan kepada Soalan Bible
  • Bagaimanakah Saya Dapat Melawan Tekanan Rakan Sebaya untuk Melakukan Hubungan Seks?
    Kaum Muda Bertanya
  • Bagaimanakah Saya Dapat Menjelaskan Pendirian Saya tentang Seks?
    Kaum Muda Bertanya
  • Adakah Seks Oral Merupakan Hubungan Seks?
    Kaum Muda Bertanya
Lihat Selanjutnya
Sedarlah!—2016
g16 No. 5
Seorang ibu sedang menyidai pakaian sambil bercakap dengan anak perempuannya

BANTUAN UNTUK KELUARGA | CARA MEMBESARKAN ANAK

Mengajar Anak tentang Seks

CABARANNYA

Seorang budak lelaki melihat pelbagai cara untuk mendapatkan maklumat—Bible, buku, dan alat elektronik

Dulu, anak-anak lebih cenderung mengetahui tentang topik seks daripada ibu bapa. Maka, ibu bapa dapat mendidik mereka secara beransur-ansur, mengikut umur dan keperluan anak.

Tetapi sekarang hal itu sudah berubah. Buku The Lolita Effect menyatakan, “Anak-anak terdedah kepada bahan seksual dari usia yang sangat muda. Bahkan bahan media kanak-kanak pun mempunyai lebih banyak unsur seks.” Apakah kesan perubahan ini kepada kanak-kanak?

APA YANG PERLU ANDA KETAHUI

Bahan lucah mudah didapati. Dalam buku Talk to Me First, Deborah Roffman menulis bahawa “perbualan, iklan, wayang, buku, lirik lagu, rancangan TV, SMS, game, telefon, dan komputer penuh dengan gambar, kata-kata, dan sindiran lucah. Ini membuat ramai [remaja dan budak kecil] menyimpulkan bahawa seks pasti . . . sesuatu yang sangat penting.”

Cara pemasaran dunia. Iklan dan para penjual suka menjual pakaian yang seksi untuk kanak-kanak. Mereka sering menggunakan produk dan gambar yang berbaur seks. Menurut buku So Sexy So Soon, “Tujuan mereka bukannya untuk mengajar kanak-kanak tentang seks tetapi menggalakkan mereka membeli-belah. . . . Mereka mahu mengambil kesempatan atas kanak-kanak yang senang dipengaruhi.” Cara pemasaran mereka mengajar kanak-kanak untuk terlalu mementingkan penampilan sendiri.

Maklumat saja tidak cukup. Seseorang tidak akan menjadi pemandu yang bertanggungjawab hanya kerana dia tahu cara kereta berfungsi. Begitu juga, seseorang tidak semestinya membuat keputusan yang bijak dalam soal seks hanya kerana dia mempunyai pengetahuan tentangnya.

Kesimpulan: Hari ini, anda perlu berusaha untuk melatih “daya penilaian” anak-anak anda supaya mereka dapat “membezakan apa yang betul daripada apa yang salah.”—Ibrani 5:14.

APA YANG BOLEH ANDA LAKUKAN

Bertindaklah. Anda mungkin rasa kurang selesa untuk membincangkan soal seks dengan anak anda. Tetapi ingatlah, ini tanggungjawab anda.​—Prinsip Bible: Amsal 22:6.

Adakan perbualan singkat. Anda tidak perlu membincangkan topik seks dengan anak anda secara panjang lebar. Sebaliknya, carilah peluang untuk menyentuh topik ini semasa menjalankan aktiviti seharian, contohnya semasa membuat perjalanan atau kerja di rumah. Selain itu, gunakanlah soalan dengan bijak untuk mengetahui isi hati anak. Daripada menanya soalan seperti, “Kamu suka iklan seperti ini?” tanyalah dia, “Mengapa mereka guna gambar sebegini dalam iklan?” Selepas mendengar jawapannya, anda boleh tanya, “Apa kamu rasa tentang hal ini?”​—Prinsip Bible: Ulangan 6:6, 7.

Sesuaikannya dengan umur anak. Anak-anak kecil boleh diajar nama betul untuk merujuk kepada organ seks dan cara untuk melindungi diri daripada pemangsa seks. Apabila anak semakin besar, ajarlah mereka hal-hal asas tentang pembiakan. Apabila mereka sampai ke alam remaja, mereka harus memahami dengan lebih mendalam tentang aspek fizikal dan moral topik ini.

Ajarlah mereka nilai-nilai yang baik. Sejak anak masih kecil, ajarlah mereka sifat-sifat baik seperti kejujuran, kesetiaan, dan hormat. Dengan demikian, apabila anda menyentuh topik seks, anda sudah mempunyai asas yang kukuh. Selain itu, jelaskan pendirian anda tentang seks. Sebagai contoh, jika anda rasa bahawa seks sebelum kahwin adalah salah, beritahulah anak anda. Jelaskan mengapa anda rasa itu salah dan bahaya. Menurut buku Beyond the Big Talk, “Jika remaja tahu bahawa ibu bapa mereka tidak mahu mereka mengadakan seks, kemungkinan besar mereka akan menjauhi perbuatan sebegitu.”

Beri teladan yang baik. Anda sendiri perlu terapkan nilai-nilai yang anda ajarkan kepada anak. Contohnya, “Adakah anda akan ketawa apabila orang mengucapkan jenaka lucah? Adakah anda berpakaian seksi dan suka bermain cinta?” Jika ya, nilai-nilai moral yang anda ajarkan kepada anak akan menjadi sia-sia.​—Prinsip Bible: Roma 2:21.

Bersikap positif. Biarpun anda harus bantu anak faham bahawa seks luar nikah membawa banyak masalah, beritahulah mereka bahawa seks ialah kurniaan Tuhan. Dalam perkahwinan, kurniaan ini dapat membawa kegembiraan. (Amsal 5:18, 19) Ingatkan mereka bahawa selepas berkahwin, mereka pun dapat menikmati kurniaan ini tanpa rasa kesal dan risau.​—1 Timotius 1:18, 19.

AYAT KUNCI

  • “Ajarilah anak [atau, “orang muda,” nota kaki] haluan yang harus ditempuhnya; maka sampai tua pun dia tidak akan menyimpang daripada haluan itu.”​—Amsal 22:6.

  • “Ajarkanlah [Hukum Tuhan] kepada anak-anak kamu secara berulang-ulang.”​—Ulangan 6:6, 7.

  • “Namun begitu, mengapakah kamu mengajar orang lain tetapi tidak mengajar diri sendiri?”​—Roma 2:21.

PERANAN IBU BAPA

Banyak orang selalu fikir bahawa anak-anak termasuk remaja lebih dipengaruhi kawan berbanding ibu bapa. Tetapi hal ini tidak benar. “Kanak-kanak selalu mencari bimbingan daripada orang dewasa yang paling dekat dengan mereka. Mereka mahu memahami dunia di sekeliling mereka. Mereka hanya akan mencari bimbingan dari sumber lain jika mereka rasa kita tidak sudi membantu mereka. . . . Penyelidikan selama bertahun-tahun menunjukkan bahawa ibu bapa yang mempunyai komunikasi yang terbuka dengan anak dalam topik sebegini akan mempunyai anak yang lebih bertanggungjawab. Mereka juga akan membuat keputusan yang bijak dan menjauhi perbuatan yang memudaratkan diri sendiri.”​—Talk to Me First.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi