BAB 6
“Yehuwa ialah Pahlawan yang Perkasa”
1-3. (a) Apakah ancaman yang dihadapi oleh orang Israel daripada orang Mesir? (b) Bagaimanakah Yehuwa berperang demi umat-Nya?
ORANG Israel terperangkap di antara tebing gunung yang tinggi dan laut yang dalam. Mereka diburu oleh angkatan tentera Mesir yang berniat untuk melenyapkan mereka.a Biarpun begitu, Musa menggalakkan mereka dengan berkata, “Yehuwa akan berjuang untuk kamu.”—Keluaran 14:14.
2 Nampaknya sebelum itu, Musa telah meminta bantuan daripada Yehuwa. Maka Tuhan menjawab, ‘Mengapakah engkau terus berseru kepada-Ku? Angkatlah tongkatmu dan hulurkannya ke atas laut. Air laut akan terbelah.’ (Keluaran 14:15, 16) Yehuwa mengarahkan malaikat-Nya agar memindahkan tiang awan ke belakang orang Israel untuk menghalang serangan tentera Mesir. (Keluaran 14:19, 20; Mazmur 105:39) Kemudian Musa menghulurkan tangannya lalu angin yang kencang mula bertiup dan menyebabkan air laut terbelah sehingga dasar laut menjadi kering dan seluruh bangsa Israel dapat berjalan merentasinya!—Keluaran 14:21; 15:8.
3 Selepas melihat apa yang berlaku, Firaun sepatutnya memerintahkan tenteranya untuk mundur. Tetapi sebaliknya dia memerintahkan mereka untuk mengejar orang Israel sampai ke tengah laut. (Keluaran 14:23) Maka Yehuwa menyebabkan roda kereta kuda mereka tercabut sehingga susah bergerak. Selepas itu, Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air kembali lalu menimpa semua orang Mesir, berserta kereta kuda dan askar berkuda mereka.” Air laut pun menimpa mereka dan menyebabkan mereka lemas di tengah laut.—Keluaran 14:24-28; Mazmur 136:15.
4. (a) Apakah yang dibuktikan melalui penyelamatan bangsa Israel di Laut Merah? (b) Apakah tanggapan sesetengah orang?
4 Penyelamatan bangsa Israel di Laut Merah merupakan peristiwa penting dalam sejarah manusia. Melalui peristiwa itu, Yehuwa telah membuktikan diri-Nya sebagai “pahlawan yang perkasa.” (Keluaran 15:3) Tetapi apakah tanggapan anda terhadap Yehuwa sekarang? Memandangkan peperangan selalunya membawa penderitaan dan kesengsaraan, adakah kuasa Tuhan untuk membawa pembinasaan menghalang anda untuk menghampiri-Nya?
Di Laut Merah, Yehuwa membuktikan bahawa Dia ialah “pahlawan yang perkasa”
Peperangan Tuhan Berbeza daripada Peperangan Manusia
5, 6. (a) Mengapakah Yehuwa diberi gelaran “ketua angkatan syurga”? (b) Apakah perbezaan antara peperangan Tuhan dengan peperangan manusia?
5 Tuhan diberi gelaran “ketua angkatan syurga” kira-kira 260 kali dalam Kitab Ibrani dan 2 kali dalam Kitab Yunani Kristian. (1 Samuel 1:11) Sebagai Pemerintah Alam Semesta, Yehuwa memimpin angkatan tentera yang sangat besar. (Yosua 5:13-15; 1 Raja-Raja 22:19) Angkatan tentera-Nya mempunyai kuasa pembinasaan yang besar. (Yesaya 37:36) Kita mungkin berasa susah hati apabila memikirkan kesan buruk yang dibawa oleh peperangan. Tetapi kita harus ingat bahawa peperangan Tuhan tidak sama dengan peperangan manusia kerana peperangan manusia selalunya didorong oleh ketamakan dan sifat mementingkan diri.
6 Yehuwa tidak didorong oleh emosi yang membabi buta. Ulangan 32:4 menyatakan, “Segala haluan-Nya sempurna dan saksama. Dia Tuhan yang setia dan tidak berat sebelah; Dia Tuhan yang adil dan benar.” Firman Tuhan mengutuk kemarahan yang tidak terkawal, kekejaman, dan keganasan. (Kejadian 49:7; Mazmur 11:5) Jadi Yehuwa tidak pernah bertindak tanpa alasan yang baik. Dia menggunakan kuasa pembinasaan-Nya sebagai jalan penyelesaian yang terakhir. Hal itu sesuai dengan apa yang dikatakan-Nya kepada Yehezkiel, ‘Adakah kamu menyangka bahawa Aku suka melihat orang jahat mati? Tidak! Aku mahu dia bertaubat dan terus hidup.’—Yehezkiel 18:23.
7, 8. (a) Apakah kesimpulan Ayub tentang penderitaannya? (b) Bagaimanakah Elihu membetulkan pemikiran Ayub? (c) Apakah yang dapat kita pelajari daripada pengalaman Ayub?
7 Jika begitu, mengapakah Yehuwa menggunakan kuasa-Nya untuk membinasakan? Sebelum menjawab soalan ini, mari kita mengimbas kembali kisah Ayub. Syaitan mendakwa bahawa Ayub, atau sesiapa pun, tidak akan mengekalkan kesetiaan mereka kepada Tuhan jika mereka menghadapi cubaan. Maka Yehuwa mengizinkan Syaitan untuk menguji kesetiaan Ayub. Akibatnya Ayub kehilangan semua hartanya, semua anaknya, dan dia menderita penyakit yang teruk. (Ayub 1:1–2:8) Oleh itu, Ayub menyimpulkan bahawa Tuhan sedang menghukumnya. Dia bertanya kepada Tuhan, ‘Mengapakah Engkau menjadikan aku sasaran-Mu dan musuh-Mu?’—Ayub 7:20; 13:24.
8 Seorang pemuda yang bernama Elihu mendedahkan pemikiran Ayub yang salah dengan berkata, “Adakah kamu begitu yakin bahawa kamu benar sehingga kamu berkata, ‘Aku lebih adil daripada Tuhan’?” (Ayub 35:2) Kita tidak patut berfikir bahawa kita lebih pandai daripada Tuhan, atau membuat andaian bahawa Tuhan tidak adil. Elihu mengingatkan Ayub, “Mustahil bagi Tuhan yang benar untuk melakukan hal yang jahat; Dia Yang Maha Kuasa pasti tidak akan berbuat salah!” Elihu juga berkata, “Kita tidak dapat memahami segala-galanya tentang Dia Yang Maha Kuasa. Dia sangat berkuasa, dan apa yang dilakukan-Nya sentiasa adil dan benar.” (Ayub 34:10; 36:22, 23; 37:23) Ya, kita dapat yakin bahawa sewaktu Tuhan berperang, Dia mempunyai alasan yang baik untuk berbuat demikian. Sekarang, marilah kita menyelidiki mengapa Tuhan yang mencintai kedamaian kadangkala juga menjadi pahlawan yang perkasa.—1 Korintus 14:33.
Mengapakah Tuhan Kedamaian Berperang?
9. Mengapakah Tuhan yang suci berperang?
9 Selepas memuji Yehuwa sebagai “pahlawan yang perkasa,” Musa bertanya, “Ya Yehuwa, tuhan-tuhan manakah yang seperti Engkau? Siapakah yang dapat menandingi kesucian-Mu yang agung?” (Keluaran 15:11) Habakuk juga menulis, “Mata-Mu terlalu suci untuk melihat hal yang buruk. Engkau tidak tahan melihat kejahatan.” (Habakuk 1:13) Meskipun Yehuwa ialah Tuhan yang pengasih, Dia juga suci, adil, dan benar. Kadangkala sifat-sifat itu mendorong Dia untuk menggunakan kuasa pembinasaan-Nya. (Yesaya 59:15-19; Lukas 18:7) Jadi Tuhan tidak menodai kesucian-Nya semasa Dia berperang. Dia berperang kerana Dia suci.—Keluaran 39:30.
10. Bagaimanakah permusuhan yang dinyatakan di Kejadian 3:15 akan berakhir? Apakah manfaatnya bagi orang baik?
10 Pertimbangkan apa yang berlaku selepas Adam dan Hawa memberontak melawan Tuhan. (Kejadian 3:1-6) Selaku Pemerintah Alam Semesta, Yehuwa telah menjatuhkan hukuman mati atas mereka demi menegakkan kedaulatan dan keadilan-Nya. (Roma 6:23) Dalam nubuat Bible yang pertama, Dia menyatakan bahawa umat-Nya dan pengikut Syaitan akan bermusuhan, dan permusuhan ini akan berakhir apabila Syaitan dimusnahkan. (Kejadian 3:15; Roma 16:20; Wahyu 12:9) Setelah itu, barulah orang yang baik akan menikmati kehidupan di bumi firdaus yang bebas daripada pengaruh jahat Syaitan. (Matius 19:28) Tetapi sekarang kerohanian umat Tuhan masih diancam oleh para pengikut Syaitan. Maka kadangkala Tuhan perlu campur tangan untuk membantu umat-Nya.
Tuhan Melenyapkan Kejahatan
11. Mengapakah Tuhan terpaksa mendatangkan banjir yang besar pada zaman Nuh?
11 Sebagai contoh, Tuhan telah campur tangan untuk membantu Nuh dan keluarganya. Kejadian 6:11, 12 menyatakan, “Bumi sudah rosak dalam pandangan Tuhan, dan bumi penuh dengan keganasan. Ya, apabila Tuhan memandang bumi, Dia mendapati bumi sudah rosak dan semua manusia berbuat jahat.” Adakah Tuhan akan membiarkan orang jahat menguasai seluruh bumi? Tidak. Dia mendatangkan banjir yang besar untuk memusnahkan semua orang yang ganas dan tidak bermoral.
12. (a) Apakah yang dijanjikan oleh Yehuwa berkenaan keturunan Abraham? (b) Mengapakah orang Amori dilenyapkan?
12 Hal yang serupa telah berlaku semasa Yehuwa bertindak untuk menghukum orang Kanaan. Dia telah berjanji kepada Abraham bahawa semua bangsa di bumi akan diberkati melalui keturunan Abraham. Selaras dengan janji itu, Tuhan memberikan negeri Kanaan, iaitu tanah yang diduduki oleh orang Amori, kepada keturunan Abraham. Wajarkah Tuhan mengusir orang Amori dari negeri Kanaan? Ya. Dia menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku selepas 400 tahun berlalu, iaitu apabila kesalahan orang Amori sudah mencapai tahap kemuncaknya.b (Kejadian 12:1-3; 13:14, 15; 15:13, 16; 22:18) Sepanjang 400 tahun itu, orang Amori menjadi semakin jahat dan tidak bermoral. Negeri Kanaan menjadi sarang maksiat dan tempat pertumpahan darah. (Keluaran 23:24; 34:12, 13; Bilangan 33:52) Penduduk di situ menyembah berhala, dan bahkan membakar anak-anak mereka sebagai korban. Adakah Tuhan yang suci akan bersabar dengan kejahatan mereka? Tidak! Dia berfirman, “Perbuatan mereka menajiskan seluruh negeri itu. Maka Aku akan menghukum penduduk negeri itu atas kesalahan mereka dan mengusir mereka dari situ.” (Imamat 18:21-25) Biarpun begitu, Yehuwa tidak melenyapkan mereka semua. Dia menyelamatkan penduduk Kanaan yang baik, seperti Rahab dan orang Gibeon.—Yosua 6:25; 9:3-27.
Berjuang demi Nama-Nya
13, 14. (a) Mengapakah Yehuwa harus bertindak untuk menyucikan nama-Nya? (b) Berkenaan orang Israel, bagaimanakah Yehuwa telah menyucikan nama-Nya?
13 Memandangkan Yehuwa suci, nama-Nya juga suci. (Imamat 22:32) Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa, “Semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Selepas pemberontakan di Taman Eden, nama Tuhan dicemari dan hak-Nya untuk memerintah dicabar. Maka Dia harus bertindak untuk menyucikan nama-Nya.—Yesaya 48:11.
14 Selagi orang Israel menjadi hamba di Mesir, janji Yehuwa kepada Abraham tidak dapat menjadi kenyataan. Maka dengan membebaskan mereka dan menjadikan mereka umat-Nya, Yehuwa dapat menyucikan nama-Nya dan mengotakan janji-Nya. Itulah sebabnya Daniel berkata kepada Tuhan dalam doanya, “Ya Yehuwa, Tuhan kami, Engkau telah menyelamatkan umat-Mu dari Mesir dengan tangan-Mu yang perkasa, dan membuat nama-Mu nyata kepada semua orang sampai hari ini.”—Daniel 9:15.
15. Mengapakah Yehuwa menyelamatkan orang Israel dari Babilon?
15 Semasa orang Israel menjadi tawanan di Babilon, Daniel berdoa agar Yehuwa sekali lagi menyelamatkan umat-Nya demi nama-Nya. Daniel tahu bahawa orang Israel perlu kembali ke tanah air mereka dan membina semula kota Yerusalem agar nama Yehuwa dapat dimuliakan. Maka dia berdoa, ‘Ya Yehuwa, ampunilah kami! Perhatikanlah kami dan bertindaklah! Demi nama-Mu, janganlah berlambat-lambat kerana kota ini dipanggil dengan nama-Mu dan umat ini menyandang nama-Mu.’—Daniel 9:18, 19.
Berjuang demi Umat-Nya
16. Adakah keinginan Yehuwa untuk membela nama-Nya bererti bahawa Dia mementingkan diri? Jelaskan.
16 Adakah keinginan Yehuwa untuk membela nama-Nya bererti bahawa Dia mementingkan diri? Tidak, kerana apabila Dia bertindak selaras dengan piawaian-Nya yang suci dan adil, Dia melindungi umat-Nya. Marilah kita melihat Kejadian bab 14. Catatan ini menyatakan bahawa empat orang raja telah menculik anak saudara Abraham, iaitu Lot, bersama keluarga Lot. Dengan bantuan Tuhan, Abraham berjaya mengalahkan empat orang raja yang jauh lebih kuat daripadanya! Barangkali kemenangan ini ialah catatan pertama dalam “Kitab Peperangan Yehuwa,” iaitu sebuah buku yang juga mencatatkan kisah-kisah peperangan yang tidak terdapat dalam Bible.—Bilangan 21:14.
17. Apakah yang menunjukkan bahawa Yehuwa berjuang demi orang Israel setelah mereka memasuki negeri Kanaan? Berikan beberapa contoh.
17 Sejurus sebelum orang Israel memasuki negeri Kanaan, Musa memberitahu mereka, “Yehuwa, Tuhan kamu, akan memimpin kamu dan berjuang untuk kamu, sebagaimana yang telah dilakukan-Nya di Mesir.” (Ulangan 1:30; 20:1) Sepanjang zaman Yosua, zaman Hakim-Hakim, dan masa pemerintahan raja-raja Yehuda yang setia, Yehuwa tetap berjuang demi umat-Nya dan membantu mereka mengalahkan musuh-musuh mereka.—Yosua 10:1-14; Hakim-Hakim 4:12-17; 2 Samuel 5:17-21.
18. (a) Mengapakah kita bersyukur bahawa Yehuwa tidak pernah berubah? (b) Apakah yang akan berlaku semasa permusuhan yang disebut di Kejadian 3:15 mencapai kemuncaknya?
18 Yehuwa tidak pernah berubah, maka tujuan-Nya untuk bumi juga tidak berubah. (Kejadian 1:27, 28) Tuhan masih membenci kejahatan, tetapi Dia sangat mengasihi umat-Nya dan akan segera bertindak demi mereka. (Mazmur 11:7) Tidak lama lagi, permusuhan yang disebut di Kejadian 3:15 akan mencapai kemuncaknya. Untuk menyucikan nama-Nya dan melindungi umat-Nya, Yehuwa sekali lagi akan menjadi “pahlawan yang perkasa.”—Zakharia 14:3; Wahyu 16:14, 16.
19. (a) Bagaimanakah kerelaan Tuhan untuk menggunakan kuasa pembinasaan-Nya mendekatkan kita kepada-Nya? Jelaskan. (b) Apakah sepatutnya perasaan kita tentang kerelaan Tuhan untuk berjuang demi kita?
19 Fikirkan contoh ini: Andai kata keluarga seorang lelaki diserang oleh seekor binatang buas dan lelaki itu membunuh binatang tersebut, adakah ahli keluarganya akan mengutuk perbuatannya? Tidak, sebaliknya mereka pasti terharu kerana melihat bagaimana kasihnya menggerakkannya untuk melindungi mereka. Begitu juga, kerelaan Tuhan untuk melindungi kita sepatutnya menggerakkan kita untuk lebih mengasihi-Nya dan lebih menghargai kuasa-Nya yang tidak terbatas. Hasilnya, kita dapat “menjalankan khidmat suci kepada Tuhan dengan rasa takut dan hormat menurut cara yang diperkenankan-Nya.”—Ibrani 12:28.
Hampirilah Yehuwa, “Pahlawan yang Perkasa”
20. Apakah keyakinan kita terhadap cara Tuhan menggunakan kuasa-Nya, dan mengapa?
20 Bible tidak mengandungi penjelasan yang terperinci untuk setiap keputusan yang diambil oleh Yehuwa. Namun kita dapat yakin akan hal ini: Yehuwa tidak mungkin akan menggunakan kuasa-Nya dengan tidak adil, kejam, atau keji. Kadangkala, jika kita mempertimbangkan konteks atau maklumat latar suatu catatan Bible, kita dapat memahami mengapa Yehuwa mengambil tindakan tertentu. (Amsal 18:13) Tetapi meskipun kita masih tidak memahami mengapa Yehuwa membuat sesuatu keputusan, kita dapat menyingkirkan keraguan yang timbul jika kita mempelajari lebih banyak tentang Yehuwa dan merenungkan sifat-sifat baik-Nya. Sememangnya kita mempunyai banyak alasan yang baik untuk mempercayai Yehuwa.—Ayub 34:12.
21. Meskipun Yehuwa ialah “pahlawan yang perkasa,” adakah hal ini bermaksud bahawa Dia suka berperang?
21 Meskipun Yehuwa ialah “pahlawan yang perkasa,” hal ini tidak bermaksud bahawa Dia suka berperang. Dalam penglihatannya, Yehezkiel nampak Yehuwa bersiap sedia untuk berperang melawan musuh-musuh-Nya. Namun Yehezkiel juga nampak Tuhan dikelilingi sebuah pelangi, yang melambangkan kedamaian. (Kejadian 9:13; Yehezkiel 1:28; Wahyu 4:3) Ya, Yehuwa ialah Tuhan yang tenang dan suka akan kedamaian. Selain itu, Yohanes menulis, “Tuhan itu kasih.” (1 Yohanes 4:8) Yehuwa menunjukkan semua sifat-Nya dalam cara yang seimbang. Betapa bersyukurnya kita kerana dapat menghampiri Tuhan yang berkuasa dan pengasih!
a Menurut sejarawan yang bernama Josephus, mereka “diburu oleh 600 buah kereta kuda, 50,000 orang penunggang kuda, dan 200,000 orang askar yang bersenjata.”—Buku Jewish Antiquities, II, 324 [xv, 3].
b Nampaknya istilah “orang Amori” juga merangkumi semua penduduk di negeri Kanaan.—Ulangan 1:6-8, 19-21, 27; Yosua 24:15, 18.