PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • lf soalan 4 ms. 22-29
  • Adakah Semua Kehidupan Berasal daripada Nenek Moyang yang Sama?

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Adakah Semua Kehidupan Berasal daripada Nenek Moyang yang Sama?
  • Asal Usul Kehidupan—Lima Soalan yang Patut Difikirkan
  • Tajuk Kecil
  • POHON DARWIN DITEBANG
  • BAGAIMANA PULA DENGAN CATATAN FOSIL?
  • “BUKTI” YANG BERMASALAH
  • APAKAH JALAN CERITA “FILEM”?
Asal Usul Kehidupan—Lima Soalan yang Patut Difikirkan
lf soalan 4 ms. 22-29

SOALAN 4

Adakah Semua Kehidupan Berasal daripada Nenek Moyang yang Sama?

Pohon kehidupan Charles Darwin menunjukkan spesies-spesies yang mempunyai asal usul yang sama

Darwin berpendapat bahawa semua kehidupan bermula daripada nenek moyang yang sama. Dia menggambarkan sejarah kehidupan di bumi sebagai sebatang pokok yang besar. Pada kemudian hari, orang lain fikir bahawa “pohon kehidupan” ini bermula daripada batang utama yang mewakili sel-sel ringkas yang pertama. Spesies baharu bercabang daripadanya, dan kemudian terbahagi menjadi dahan yang mewakili keluarga tumbuhan dan binatang. Selepas itu, terdapat ranting-ranting yang mewakili semua spesies dalam keluarga tumbuhan dan binatang yang ada hari ini. Adakah hal itu yang berlaku?

Apakah yang banyak ahli sains kata? Banyak ahli sains memberi tanggapan bahawa fosil-fosil yang dijumpai menyokong teori Darwin. Mereka juga menyatakan bahawa semua kehidupan telah berasal daripada nenek moyang yang sama kerana mempunyai “program komputer,” atau DNA, yang hampir sama.

Apakah yang Bible kata? Kisah dalam buku Kejadian menyatakan bahawa tumbuhan, hidupan laut, binatang darat, dan burung semuanya diciptakan “menurut jenisnya.” (Kejadian 1:12, 20-25) Kata-kata ini menunjukkan bahawa kepelbagaian dapat wujud dalam setiap “jenis” benda hidup, tetapi terdapat batas tetap yang membezakan jenis-jenisnya. Maka, kita dapat menjangkakan catatan fosil pelbagai jenis makhluk hidup yang baharu akan muncul dalam bentuk yang lengkap secara tiba-tiba.

Bukti-bukti menyingkapkan apa? Adakah bukti yang ditemui menyokong catatan Bible, atau adakah teori Darwin betul? Apakah yang ditunjukkan daripada penemuan sepanjang 150 tahun yang lalu?

POHON DARWIN DITEBANG

Beberapa tahun belakangan ini, ahli sains dapat membandingkan kod genetik berpuluh-puluh organisma sel tunggal dan kod genetik tumbuhan dan binatang. Mereka fikir bahawa kajian mereka akan menyokong teori “pohon kehidupan” Darwin. Namun, apakah yang didapati mereka?

Pada tahun 1999 ahli biologi yang bernama Malcolm S. Gordon menulis, “Nampaknya kehidupan mempunyai banyak asal usul dan tidak bercabang daripada satu akar.” Jika begitu, bagaimana pula dengan teori Darwin yang mengatakan semua kehidupan berasal daripada satu batang utama? Gordon menyambung, “Teori versi asal bahawa semua kehidupan datang daripada nenek moyang yang sama nampaknya tidak dapat digunakan untuk kategori alam yang diketahui sekarang. Teori ini juga mungkin tidak dapat digunakan untuk kebanyakan atau bahkan semua filum. Ada kemungkinan teori ini juga tidak dapat digunakan untuk kebanyakan kelas dalam filum tersebut.”29a

Kajian yang dilakukan baru-baru ini juga bercanggah dengan teori Darwin bahawa semua kehidupan datang daripada nenek moyang yang sama. Sebagai contoh, sebuah rencana dalam majalah New Scientist pada tahun 2009 memetik kata-kata Eric Bapteste, iaitu ahli sains yang menyokong teori evolusi. Dia berkata, “Kita tidak mempunyai sebarang bukti yang menunjukkan bahawa teori pohon kehidupan adalah betul.”30 Rencana yang sama memetik kata-kata Michael Rose, iaitu ahli biologi yang menyokong evolusi. Dia berkata, “Kami tahu bahawa teori pohon kehidupan sedang dikuburkan secara senyap-senyap. Tapi kami masih susah terima hakikat bahawa pandangan asas terhadap biologi harus diubah sepenuhnya.”31b

BAGAIMANA PULA DENGAN CATATAN FOSIL?

Banyak ahli sains kata catatan fosil menyokong teori bahawa kehidupan mempunyai asal usul yang sama. Contohnya, mereka kata bahawa catatan fosil membuktikan bagaimana ikan menjadi amfibia dan reptilia menjadi mamalia. Namun, apakah sebenarnya yang dibuktikan oleh catatan fosil?

David M. Raup, seorang ahli paleontologi yang menyokong evolusi berkata, “Ahli geologi pada zaman Darwin dan pada hari ini mendapati bahawa kehidupan tidak berubah secara bertahap tahap. Sebaliknya catatan fosil menunjukkan pola yang tidak menentu. Spesies muncul dalam urutan catatan fosil secara tiba-tiba, tidak mengalami perubahan yang besar atau langsung tiada perubahan, lalu tiba-tiba lenyap.”32

Sebenarnya, kebanyakan catatan fosil menunjukkan bahawa pelbagai jenis makhluk hidup tidak berevolusi menjadi jenis makhluk hidup yang lain biarpun jangka masa yang panjang telah berlalu. Sebaliknya, struktur tubuh binatang dan ciri-ciri yang tertentu muncul secara tiba-tiba. Contohnya, tiada bukti yang menunjukkan bahawa kelawar yang mempunyai sistem sonar dan gema lokasi berkaitan dengan makhluk yang lebih primitif.

Kebanyakan daripada kumpulan utama binatang nampaknya muncul dalam jangka waktu yang agak singkat. Oleh sebab banyak makhluk hidup yang baharu dan unik muncul secara tiba-tiba dalam catatan fosil, ahli paleontologi memanggil zaman itu sebagai “letupan Cambrian” atau Zaman Cambrian.

Jika anggaran para penyelidik adalah tepat, sejarah bumi dapat digambarkan dengan garis masa yang panjangnya seperti padang bola sepak (1). Dalam skala itu, anda perlu berjalan kira-kira tujuh per lapan padang itu untuk sampai ke Zaman Cambrian (2). Setibanya di situ, kebanyakan kumpulan utama binatang muncul dalam catatan fosil. Adakah binatang-binatang ini muncul secara beransur-ansur? Tidak! Sebenarnya, binatang-binatang ini muncul secara tiba-tiba dalam ruang kurang daripada selangkah.

Sebuah padang bola sepak yang menggambarkan garis masa dari permulaan sejarah bumi hingga zaman yang dipanggil letupan Cambrian

Setelah mendapati bahawa pelbagai benda hidup muncul secara tiba-tiba, para penyelidik yang menyokong teori evolusi mula mempersoalkan penjelasan asal Darwin. Sebagai contoh, dalam temu ramah pada tahun 2008, ahli biologi yang bernama Stuart Newman kata bahawa teori baharu untuk menjelaskan evolusi diperlukan. Dia kata, “Penjelasan Darwin tentang evolusi harus diketepikan dan bukannya menjadi asas utama teori ini. Jadi, kita tidak lagi patut bergantung pada penjelasan ini untuk memahami makroevolusi.”33

“BUKTI” YANG BERMASALAH

Fosil yang ditunjukkan dalam sesetengah buku teks dan saiz fosil mengikut skala

Semasa menunjukkan susunan fosil, mengapakah sesetengah buku teks mengubah saiznya?

Atas kiri: Seperti dalam sesetengah buku teks

Atas kanan: Saiz mengikut skala

Bagaimana pula dengan fosil yang digunakan untuk membuktikan bahawa ikan berubah menjadi amfibia, dan reptilia menjadi mamalia? Adakah itu bukti kukuh tentang evolusi? Tidak. Apabila dikaji, ada beberapa masalah yang timbul.

Pertama, sesetengah buku teks memberikan gambaran yang salah tentang saiz fosil. Semasa menunjukkan perubahan reptilia ke mamalia, semua saiz fosil digambarkan seolah-olah hampir sama besar. Tetapi sebenarnya, sesetengah saiz fosil makhluk itu adalah sangat kecil dan yang lain pula sangat besar.

Kedua, tiada bukti cukup yang menunjukkan makhluk-makhluk itu saling berkaitan. Menurut anggaran para penyelidik, usia antara fosil-fosil itu selalunya mempunyai selang masa sekitar jutaan tahun. Ahli zoologi Henry Gee kata, “Jangka masa antara fosil-fosil yang ditemui sangat besar. Jadi, kita tidak dapat pastikan kaitan yang ada antara makhluk-makhluk itu.”34c

Ahli biologi Malcolm S. Gordon telah mengulas tentang fosil-fosil ikan dan amfibia. Dia kata bahawa fosil yang ditemui hanya mewakili sebahagian kecil kumpulan ikan dan amfibia dan “nampaknya tidak sesuai untuk mewakili kepelbagaian makhluk dalam kedua-dua kumpulan binatang ini yang wujud pada zaman itu.” Dia menyambung, “Kami tidak boleh tahu dengan pasti jika organisma-organisma itu saling berkaitan atau menyumbang kepada perkembangan makhluk lain.”35d

Gambar yang kononnya menunjukkan kaitan antara pelbagai jenis binatang

APAKAH JALAN CERITA “FILEM”?

Sebuah rencana National Geographic pada 2004 menyamakan catatan fosil dengan “sebuah filem evolusi. Namun, untuk setiap 1,000 gambar (frames) dalam filem itu, 999 daripadanya telah hilang.”36 Apakah maksudnya?

Gulungan filem dan beberapa keping gambar

Jika “95 gambar” daripada catatan fosil menunjukkan bahawa binatang tidak berevolusi daripada satu jenis menjadi jenis lain, mengapakah ahli paleontologi menyusun baki “5 gambar” untuk memberikan tanggapan itu?

Bayangkan sebuah filem ada 100,000 gambar dan anda hanya berjaya jumpa 100 gambar. Jadi sekarang, anda cuba teka jalan cerita filem itu. Tetapi hanya 5 daripada 100 gambar itu menyokong idea anda, manakala yang 95 gambar lagi menunjukkan jalan cerita yang lain. Adakah munasabah untuk berkeras mengikut idea anda semata-mata kerana lima gambar itu? Mungkinkah anda telah menyusun lima gambar itu agar menyokong jalan cerita anda? Tidakkah lebih munasabah untuk membiarkan 95 gambar lain itu membantu anda memahami jalan cerita yang betul?

Apakah kaitan contoh tadi dengan pandangan ahli sains terhadap catatan fosil? Selama bertahun-tahun, para penyelidik enggan mengakui bahawa kebanyakan fosil menunjukkan bahawa spesies tidak banyak berubah dalam masa yang panjang. Ini umpama mengetepikan 95 gambar filem itu. Mengapakah mereka cuba meremehkan bukti yang penting ini? Seorang pengarang Richard Morris kata, “Nampaknya, ahli paleontologi berpegang pada idea bahawa evolusi berlaku secara beransur-ansur. Biarpun bukti menunjukkan sebaliknya, mereka enggan berganjak. Mereka cuba menjelaskan catatan fosil mengikut idea-idea evolusi yang diterima umum.”37

“Urutan fosil yang digunakan untuk membentuk suatu salasilah bukanlah hipotesis sains yang dapat diuji. Sebaliknya, hal ini adalah seperti cerita yang menarik dan mungkin dapat beri pengajaran, tetapi tidak disokong oleh bukti sains.”​—In Search of Deep Time—​Beyond the Fossil Record to a New History of Life, oleh Henry Gee, ms. 116-117

Bagaimana pula dengan orang yang menyokong teori evolusi dewasa ini? Mungkinkah mereka menyusun fosil dalam turutan tertentu untuk menyokong idea evolusi terkini, dan bukannya mengikut bukti fosil dan genetik secara keseluruhan?e

Apakah pandangan anda? Kesimpulan mana yang disokong oleh bukti? Pertimbangkan fakta-fakta yang telah dibincangkan setakat ini.

  • Hidupan pertama di bumi langsung tidak “ringkas.”

  • Kebarangkalian bagi komponen sel untuk muncul secara rawak adalah sangat kecil.

  • DNA, iaitu “program komputer” atau kod yang mengawal sel, adalah jauh lebih rumit daripada mana-mana program dan sistem penyimpanan data manusia.

  • Kajian genetik tidak menunjukkan bahawa semua kehidupan berasal daripada nenek moyang yang sama. Selain itu, catatan fosil menunjukkan bahawa kumpulan-kumpulan utama binatang muncul secara tiba-tiba.

Setelah mengkaji semua fakta ini, adakah munasabah untuk membuat kesimpulan bahawa bukti yang ditemui adalah selaras dengan penjelasan Bible mengenai asal usul kehidupan? Namun, banyak orang mendakwa bahawa maklumat Bible tentang penciptaan bercanggah dengan sains. Adakah hal itu benar? Apakah yang dikatakan dalam Bible?

a Istilah “filum” merujuk kepada sekumpulan besar binatang yang mempunyai struktur tubuh yang serupa. Satu cara yang digunakan oleh ahli sains untuk mengelaskan semua benda hidup adalah melalui sistem yang mempunyai tujuh peringkat. Setiap peringkat adalah lebih spesifik daripada peringkat yang sebelumnya. Peringkat pertama ialah alam dan merupakan kategori terbesar. Kemudian diikuti dengan kategori berikut: Filum, kelas, order, keluarga, genus, dan spesies. Sebagai contoh, kuda dikategorikan seperti berikut: Alam, Animalia; filum, Kordata; kelas, Mamalia; order, Perissodactyla; keluarga, Equidae; genus, Equus; spesies, Caballus.

b Bapteste, Rose, dan majalah New Scientist bukannya menyatakan teori evolusi salah. Tetapi mereka setuju bahawa pohon kehidupan Darwin, iaitu salah satu asas teorinya, langsung tidak disokong oleh mana-mana bukti. Seperti mereka, ada sebilangan ahli sains yang masih sedang mencari penjelasan lain untuk menyokong teori evolusi.

c Henry Gee bukannya membantah teori evolusi. Sebaliknya, kata-katanya menunjukkan bahawa apa yang dapat dipelajari daripada catatan fosil adalah terbatas.

d Malcolm S. Gordon menyokong teori evolusi.

e Sebagai contoh, lihat kotak “Bagaimana dengan Evolusi Manusia?”

FIKIRKAN FAKTA-FAKTA INI

  • Fakta: Dua idea utama teori evolusi adalah bahawa kehidupan mempunyai asal usul yang sama, dan struktur tubuh baharu wujud secara perlahan-lahan. Tetapi para penyelidik yang tidak percaya ajaran penciptaan sedang mempersoalkan idea-idea itu.

    Soalan: Memandangkan idea-idea utama teori Darwin dipertikaikan, dapatkah penjelasannya tentang evolusi dianggap sebagai fakta sains?

  • Fakta: Semua organisma hidup mempunyai reka bentuk DNA yang hampir sama. “Program komputer,” atau kod ini, menentukan bentuk dan fungsi sel.

    Soalan: Mungkinkah persamaan ini wujud kerana mereka mempunyai Pereka yang sama dan bukannya mempunyai nenek moyang yang sama?

Bagaimana dengan Evolusi Manusia?

Tengkorak

Apabila anda mencari maklumat tentang evolusi manusia dalam banyak buku teks dan ensiklopedia, anda akan lihat sederet gambar seperti ini: Di satu hujung ada makhluk seperti beruk yang bongkok diikuti dengan makhluk yang semakin tegak dengan kepala yang semakin besar. Akhirnya, ada seorang lelaki moden. Gambar sedemikian dan laporan berita sensasi tentang penemuan makhluk penghubung yang hilang (missing link) memberi kita tanggapan bahawa manusia telah berevolusi daripada makhluk yang seperti beruk. Adakah hal itu berdasarkan bukti kukuh? Mari kita lihat apa yang dikatakan para penyelidik.f

APAKAH YANG DIBUKTIKAN OLEH CATATAN FOSIL?

Fakta: Pada awal abad ke-20, semua fosil yang digunakan untuk menyokong teori bahawa manusia dan beruk berevolusi daripada nenek moyang yang sama dapat dimuatkan atas meja biliard. Sejak itu, makin banyak fosil digunakan untuk menyokong teori ini. Sekarang, jumlah fosil itu dikatakan dapat memenuhi satu gerabak kereta api.38 Tetapi, kebanyakan fosil itu hanyalah bahagian tulang yang berasingan dan set gigi yang tidak lengkap. Tengkorak dan rangka tulang yang lengkap sangat susah ditemui.39

Soalan: Memandangkan semakin banyak fosil dikaitkan dengan “pohon salasilah manusia,” adakah hal itu membantu pakar evolusi menjelaskan bila dan bagaimana manusia berevolusi daripada beruk?

Jawapan: Tidak. Hal yang sebaliknya terbukti benar. Mengenai cara fosil-fosil harus dikelaskan, Robin Derricourt dari University of New South Wales, Australia tulis pada 2009, “Apa yang dipersetujui ialah kami tidak dapat mencapai apa-apa persetujuan.”40 Majalah sains Nature pada 2007 juga mengandungi rencana yang ditulis oleh sekumpulan orang yang mendakwa bahawa satu lagi penghubung bagi pohon evolusi telah ditemui. Namun mereka juga mengakui bahawa tiada apa-apa yang diketahui tentang bila atau bagaimana manusia mula berevolusi daripada beruk.41 Gyula Gyenis, seorang penyelidik Bahagian Antropologi Biologi di Eötvös Loránd University, Hungary, menulis pada 2002, “Cara untuk menggolongkan dan menempatkan fosil-fosil hominid dalam perkembangan evolusi sentiasa dipertikaikan.”g Dia juga menyatakan bahawa catatan fosil langsung tidak membantu kita untuk mengetahui bila, di mana, atau bagaimana manusia berevolusi daripada beruk.42

PENGUMUMAN TENTANG PENEMUAN “PENGHUBUNG YANG HILANG”

Fakta: Pihak media sering membuat pengumuman dan mengheboh-hebohkan penemuan “penghubung yang hilang.” Contohnya pada 2009, fosil yang dipanggil Ida telah diagung-agungkan dan diberi banyak perhatian.43 Tajuk berita utama dalam surat khabar The Guardian di United Kingdom (UK) menyatakan, “Fosil Ida: Penemuan Menakjubkan tentang ‘Penghubung yang Hilang’ dalam Evolusi Manusia.”44 Namun, beberapa hari kemudian, majalah New Scientist di UK kata, “Ida bukanlah ‘penghubung yang hilang.’”45

Soalan: Mengapakah penemuan “penghubung yang hilang” sering diheboh-hebohkan oleh pihak media, tetapi apabila fosil tersebut dikeluarkan daripada “pohon salasilah manusia,” hal itu jarang disebutkan?

Fosil

Jawapan: Robin Derricourt yang disebut tadi kata, “Ketua pasukan penyelidik perlu mengheboh-hebohkan ‘penemuan’ mereka agar mendapat bantuan kewangan untuk menyokong kajian mereka. Bukan itu sahaja, cerita sebegini juga sering mendapat perhatian pihak media yang suka cerita sensasi.”46

LUKISAN BUKU TEKS DAN MODEL “MANUSIA BERUK”

Fakta: Gambaran dalam buku teks dan muzium sering menunjukkan “nenek moyang” manusia dengan ciri-ciri wajah, jumlah rambut, dan warna kulit tertentu. Makhluk-makhluk ini biasanya mempunyai ciri-ciri seperti beruk yang kemudiannya beransur-ansur menjadi makhluk yang kelihatan seperti manusia moden.

Soalan: Dapatkah ahli sains membina semula ciri-ciri makhluk hidup dengan tepat berdasarkan fosil yang ditemui?

Jawapan: Tidak. Pada 2003, Carl N. Stephan, pakar bidang forensik yang bekerja di Bahagian Sains Anatomi, The University of Adelaide, Australia, menulis, “Muka nenek moyang manusia tidak dapat dibina semula atau diuji secara objektif.” Dia kata bahawa gambaran yang berdasarkan rupa beruk zaman sekarang “adalah tidak tepat, tidak berasas, dan besar kemungkinan dipengaruhi oleh pandangan sendiri.” Kesimpulannya? “Semua usaha untuk ‘membina semula’ wajah hominid kemungkinan besar memberi tanggapan yang salah.”47

MENENTUKAN KECERDIKAN BERDASARKAN SAIZ OTAK

Fakta: Saiz otak makhluk yang dianggap nenek moyang manusia ialah satu cara utama penyokong evolusi menentukan seberapa rapat kaitan makhluk tersebut dengan manusia.

Soalan: Dapatkah saiz otak menentukan tahap kecerdikan?

Tengkorak manusia dan beruk

Jawapan: Tidak. Sekumpulan penyelidik menggunakan saiz otak untuk menentukan makhluk pupus yang mana satu mempunyai kaitan rapat dengan manusia. Tapi mereka kata bahawa mereka “tidak yakin dengan kesimpulan sendiri.”48 Mengapa? Majalah Scientific American Mind pada 2008 menyatakan, “Ahli sains gagal mencari kaitan antara saiz otak dengan kecerdikan manusia dan binatang. Mereka juga tidak tahu sama ada saiz atau bahagian tertentu dalam otak mempengaruhi kepintaran suatu makhluk, kecuali bahagian Broca yang mengawal pertuturan manusia.”49

Apakah pandangan anda? Ahli sains sering menyusun catatan fosil mengikut saiz otak untuk menunjukkan urutan beruk berubah menjadi manusia. Mengapakah mereka berbuat demikian biarpun mereka tahu saiz otak tidak dapat menentukan tahap kepintaran? Adakah mereka mahu memaksa bukti yang ditemui untuk menyokong teori mereka? Mengapakah para penyelidik selalu berdebat tentang fosil mana yang harus dimasukkan dalam “pohon salasilah manusia”? Mungkinkah fosil yang ditemui sebenarnya beruk yang sudah pupus?

Bagaimana pula dengan fosil orang Neandertal yang digunakan untuk membuktikan bahawa makhluk yang separuh manusia separuh beruk wujud? Para penyelidik kini mula mengubah pandangan mereka. Pada 2009, Milford H. Wolpoff kata dalam American Journal of Physical Anthropology bahawa “orang Neandertal mungkin merupakan salah satu suku manusia.”50

Orang yang jujur dan tulus ikhlas sedar bahawa ego, duit, dan perhatian media mempengaruhi cara “bukti” evolusi manusia disampaikan. Adakah anda akan mempercayai “bukti-bukti” sebegitu?

f Perhatian: Semua penyelidik yang disebut dalam kotak ini tidak percaya ajaran penciptaan dalam Bible. Mereka semua menyokong teori evolusi.

g Menurut para penyelidik yang menyokong teori evolusi, istilah “hominid” merujuk kepada makhluk-makhluk dalam salasilah manusia dan spesies purba yang seperti manusia.

APAKAH MASALAHNYA DENGAN GAMBAR INI?

Peralihan beruk kepada manusia, menurut teori evolusi
  • Gambar-gambar seperti ini dilukis berdasarkan tanggapan dan pandangan para penyelidik dan pelukis, bukannya berdasarkan fakta.51

  • Fosil gigi

    Kebanyakan lukisan sebegini adalah berdasarkan tulang-tulang dan set gigi yang tidak lengkap. Tengkorak dan rangka tulang yang lengkap sangat susah ditemui.

  • Para penyelidik tidak dapat bersetuju tentang cara untuk mengelaskan fosil-fosil yang ditemui.

  • Lukisan menunjukkan bentuk muka, warna kulit, dan rambut makhluk yang sudah pupus

    Pelukis tidak dapat membina semula ciri-ciri wajah, warna kulit, dan rambut makhluk yang sudah pupus ini dengan tepat.

  • Saiz otak tidak dapat menentukan kecerdikan suatu makhluk. Tetapi, para pakar menyusun makhluk-makhluk dalam turutan ini berdasarkan saiz tempurung otak.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi