Adakah Anda Menghargai Keprihatinan Yehuwa?
‘Yehuwa nampak apa yang berlaku di segala tempat; Dia memperhatikan kita, sama ada kita berbuat baik atau jahat.’—AMS. 15:3, ABB.
1, 2. Bagaimanakah cara Yehuwa mengawasi kita berbeza daripada kamera pengawasan?
KEBANYAKKAN negara memasang kamera di merata tempat untuk mengawasi keadaan trafik dan merakam kemalangan. Kamera ini juga merakam kejadian langgar dan lari. Rakaman tersebut dapat membantu pihak berkuasa untuk mengesan dan menahan pemandu yang melarikan diri. Dengan adanya kamera-kamera sebegini, semakin susah untuk orang melarikan diri daripada kesalahan.
2 Namun, adakah kamera-kamera ini mengingatkan kita tentang Yehuwa? Bible menyatakan bahawa mata Tuhan “nampak apa yang berlaku di segala tempat.” (Ams. 15:3) Adakah hal ini bermaksud Dia selalu ingin mencari kesalahan kita? Adakah Yehuwa mencari alasan untuk menghukum kita? (Yer. 16:17; Ibr. 4:13) Tidak sama sekali! Tujuan Yehuwa mengawasi kita adalah kerana Dia mengasihi kita dan ingin kita hidup sejahtera.—1 Ptr. 3:12.
3. Apakah lima cara Yehuwa mengawasi kita?
3 Bagaimanakah kita dapat lebih memahami kasih Tuhan kepada kita? Kita akan membincangkan lima cara Yehuwa mengawasi kita. (1) Dia memberikan amaran sebelum kita melakukan perkara jahat, (2) Dia membetulkan kita apabila kita tersilap langkah, (3) Dia membimbing kita dengan nasihat Bible, (4) Dia membantu kita menghadapi cabaran, (5) Dia memberkati kita apabila kita melakukan perkara yang baik.
TUHAN MEMBERIKAN AMARAN
4. Mengapakah Tuhan memberikan amaran sebelum Kain melakukan dosa?
4 Pertama, marilah kita lihat bagaimana Tuhan memberikan amaran kepada kita apabila kita mempunyai keinginan yang jahat. (1 Taw. 28:9) Contohnya, Kain “naik marah” kerana Yehuwa tidak memperkenankannya. (Baca Kejadian 4:3-7.) Yehuwa memberikan amaran bahawa jika Kain tidak “melakukan yang benar,” dia akan berdosa. Dosa seolah-olah ‘menunggu untuk masuk ke dalam hatinya.’ Tuhan memberitahu Kain, “Dosa hendak menguasai dirimu, tetapi engkau mesti mengalahkannya.” Dia ingin Kain mengendahkan amaran-Nya supaya mendapat perkenan-Nya semula. Jika Kain berbuat demikian, dia akan memiliki hubungan baik dengan Tuhan.
5. Bagaimanakah Yehuwa memberikan amaran kepada kita mengenai hasrat yang jahat?
5 Bagaimana pula dengan kita? Yehuwa dapat melihat hati kita. Dia tahu hasrat dan kecenderungan kita. Bapa yang pengasih ingin kita melakukan apa yang benar tanpa memaksa kita. Apabila kita mempunyai keinginan yang salah, Dia memberikan amaran. Bagaimana? Semasa membaca Bible setiap hari, kadangkala kita terbaca sebuah petikan yang dapat membantu kita melawan kecenderungan dan niat yang jahat. Selain itu, Yehuwa memberikan amaran melalui bahan bacaan dan perjumpaan Kristian. Semua amaran ini diberikan tepat pada masanya.
6, 7. (a) Apakah bukti bahawa Yehuwa prihatin terhadap setiap hamba-Nya? (b) Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat daripada keprihatinan Yehuwa?
6 Semua amaran ini membuktikan kasih Yehuwa. Dia mengambil berat terhadap kita secara individu. Memang benar jutaan orang meraih manfaat daripada Bible, bahan bacaan kita, dan perjumpaan kita. Namun, Yehuwa meminta anda untuk bertumpu kepada amaran dalam Firman-Nya supaya anda dapat melakukan apa yang benar. Hal ini menunjukkan bahawa Dia prihatin terhadap anda.
Hati nurani yang dilatih Bible membantu kita mengelakkan bahaya (Lihat perenggan 6, 7)
7 Untuk meraih manfaat daripada amaran Tuhan, kita harus sedar bahawa Dia benar-benar prihatin terhadap kita. Kemudian kita harus menerapkan Firman-Nya, iaitu dengan melawan segala keinginan yang tidak disenangi-Nya. (Baca Yesaya 55:6, 7.) Jika kita mengendahkan amaran-Nya, kita akan menghindari banyak akibat buruk. Tetapi, bagaimana pula jika kita gagal mendengar amaran-Nya? Adakah Yehuwa masih akan membantu?
BAPA PENYAYANG MEMBETULKAN KITA
8, 9. Mengapakah teguran daripada umat Tuhan membuktikan bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap kita? Jelaskan.
8 Kita sedar bahawa Yehuwa prihatin kerana Dia membetulkan kita. (Baca Ibrani 12:5, 6.) Memang kita tidak senang hati apabila ditegur atau diberikan disiplin. (Ibr. 12:11) Namun, apabila seseorang menegur kita, adalah penting untuk memahami mengapa dia berbuat demikian. Tujuannya bukan untuk menyakiti hati kita. Sebaliknya, dia ingin kita terus mempunyai hubungan baik dengan Tuhan. Dia rela meluangkan masa dan tenaga untuk menunjukkan daripada Bible cara kita boleh mengikut haluan yang diperkenankan Tuhan. Kita menghargai bantuan sebegini sebab sumbernya ialah Yehuwa.
9 Marilah kita lihat satu contoh. Seorang saudara memiliki tabiat melihat bahan lucah sebelum dia menerima kebenaran. Selepas belajar Bible, dia mengatasi tabiat tersebut. Tetapi keinginan ini masih tersembunyi dalam hatinya. Jadi apabila dia membeli sebuah telefon bimbit baru, dia mula melayari laman web lucah sekali lagi. (Yak. 1:14, 15) Pada suatu hari, semasa menginjil, seorang penatua ingin mencari alamat tertentu dan telah meminjam telefonnya. Namun laman web lucah muncul dalam telefonnya. Penatua itu segera menegurnya. Dia menerima nasihat penatua, dan akhirnya berjaya melepaskan diri daripada tabiat buruk itu. Yehuwa dapat melihat dosa yang tersembunyi, dan Dia ingin membetulkan kita sebelum hubungan kita dengan-Nya terjejas. Sudah tentu kita sangat bersyukur kerana Yehuwa prihatin terhadap kita.
MANFAAT PRINSIP BIBLE
10, 11. (a) Apakah caranya untuk mendapat bimbingan Yehuwa? (b) Ceritakan pengalaman sebuah keluarga yang dengan bijak mengikut bimbingan Yehuwa.
10 Pemazmur bernyanyi kepada Yehuwa, “Engkau membimbing aku dengan nasihat.” (Mzm. 73:24) Setiap kali kita memerlukan bimbingan Yehuwa, kita harus ‘ingat’ untuk merujuk Firman-Nya. Dengan demikian, kita dapat mengetahui pandangan-Nya terhadap sesuatu perkara. Apabila kita menerapkan prinsip Bible, kita meraih berkat rohani. Prinsip Bible juga membantu kita menjaga keperluan diri dan keluarga.—Ams. 3:6.
11 Contohnya, di Filipina, seorang petani bersama keluarganya yang besar menyewa sebuah ladang dan tinggal di sana. Dia dan isterinya berkhidmat sebagai perintis biasa. Pada suatu hari, mereka terkejut apabila menerima sepucuk surat daripada tuan tanah yang menyatakan bahawa mereka tidak boleh tinggal di sana lagi. Mengapa? Mereka dituduh tidak jujur. Walaupun risau tentang tempat tinggalnya, saudara itu tetap yakin dan berkata, “Yehuwa akan membantu. Dia selalu menjaga keperluan kita tidak kira apa yang berlaku.” Tidak lama kemudian, tuan tanah memberitahu mereka bahawa mereka tidak perlu meninggalkan tempat itu. Tuan tanah dapat melihat bahawa mereka tetap sabar dan menunjukkan hormat. Mereka sekeluarga mengikut bimbingan Bible walaupun tuduhan itu palsu. Hal ini membuatkan tuan tanah kagum dan dia bukan sahaja membenarkan mereka tinggal di sana, malah memberi mereka lebih banyak tanah untuk diusahakan. (Baca 1 Petrus 2:12.) Ya, jika kita mengikut prinsip Bible, Yehuwa akan membimbing kita ketika menghadapi masalah.
SAHABAT YANG MEMBANTU SEMASA CUBAAN
12, 13. Apakah situasi yang mungkin menyebabkan sesetengah orang meragui keprihatinan Yehuwa?
12 Kadangkala, kita menghadapi banyak cubaan dan ada yang berlanjutan seperti masalah kesihatan, penganiayaan, atau tentangan daripada ahli keluarga. Salah satu cubaan yang paling susah untuk dihadapi adalah perselisihan dengan ahli sidang. Hal ini disebabkan oleh keperibadian yang berbeza.
13 Misalnya, anda mungkin berasa sakit hati kerana kata-kata seorang saudara. Anda mungkin berkata, “Hal ini tidak patut berlaku dalam organisasi Tuhan!” Namun, saudara yang mengucapkan kata-kata itu diberi lebih banyak tanggungjawab dalam sidang, dan ahli sidang yang lain berasa bahawa dia adalah saudara yang baik. Anda mungkin tertanya, “Mengapakah hal ini terjadi? Tidakkah Yehuwa nampak? Mengapakah Dia tidak mengambil tindakan?”—Mzm. 13:2, 3; Hab. 1:2, 3.
14. Mengapakah Yehuwa membenarkan rakan seiman untuk menegur kita?
14 Mungkin terdapat alasan baik mengapa Yehuwa tidak mengambil tindakan. Contohnya, kita mungkin berasa bahawa nasihat yang diberikan oleh orang lain tidak sesuai. Oleh itu, kita berasa sakit hati. Tetapi, sudut pandangan Tuhan mungkin berbeza. Mungkinkah nasihat yang diberikan itu memang bermanfaat bagi kita? Dalam kisah hidup Saudara Karl Klein, dia berkata bahawa Saudara Rutherford pernah menegurnya. Beberapa waktu kemudian, Saudara Rutherford menyambutnya dengan ramah, tetapi Saudara Klein tidak membalas dengan ikhlas. Saudara Rutherford tahu bahawa Saudara Klein masih tersinggung. Maka, Saudara Rutherford mengingatkan Saudara Klein, “Berhati-hatilah, Iblis ingin menjerat kamu.” Amaran ini benar-benar membantu Saudara Klein. Selepas menjadi seorang ahli Badan Pimpinan, Saudara Klein berkata bahawa saudara yang bertanggungjawab berhak untuk menegur kita dan jika kita membenci mereka, Iblis akan memerangkap kita.a
15. Apakah yang harus kita ingat semasa menghadapi masalah?
15 Kita mungkin hilang sabar apabila menghadapi masalah yang berpanjangan. Bagaimanakah kita dapat mengatasinya? Bayangkan anda sedang memandu dan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas. Anda tidak tahu berapa lama hal ini akan berterusan. Jika anda hilang sabar dan mencari jalan yang lain, anda mungkin sesat dan akhirnya lambat sampai ke destinasi. Maka, jika kita tetap bersabar dan mengikut prinsip Bible, Yehuwa pasti membantu kita untuk mengatasi masalah.
16. Mengapakah Yehuwa membenarkan kita menghadapi masalah?
16 Yehuwa mungkin membiarkan masalah berlaku untuk melatih kita. (Baca 1 Petrus 5:6-10.) Kita harus ingat bahawa Tuhan bukan penyebab masalah. (Yak. 1:13) Tetapi, ‘Iblis, musuh kita’ adalah penyebab segala penderitaan. Namun, Tuhan dapat menggunakan masalah untuk membantu kita maju secara rohani. Yehuwa melihat penderitaan kita dan ‘mengambil berat tentang kita.’ Maka, Dia akan memastikan bahawa semua masalah yang dihadapi sekarang hanya “untuk sementara waktu.” Adakah anda menghargai keprihatinan Yehuwa semasa anda menghadapi masalah, dan yakin bahawa Dia akan memberikan jalan keluar?—2 Kor. 4:7-9.
BERKAT DARIPADA YEHUWA
17. Mengapakah Yehuwa menyelidiki hati setiap orang?
17 Yehuwa menyelidiki hati setiap orang untuk mengetahui siapa yang benar-benar mengasihi-Nya. Nabi Hanani memberitahu Raja Asa, ‘Yehuwa sentiasa mengawasi seluruh bumi ini dan memberikan kekuatan kepada mereka yang setia kepada-Nya.’ (2 Taw. 16:9) Jika anda melakukan apa yang benar, Yehuwa akan “memberikan kekuatan” dengan melindungi dan memberkati anda.
18. Mengapakah kita harus yakin bahawa Yehuwa memberkati perbuatan baik kita? (Lihat gambar pada permulaan rencana.)
18 Tuhan ingin kita mencari apa yang “baik,” ‘mencintai kebaikkan,’ dan “berbuat baik” agar Dia dapat memberikan ganjaran kepada kita. (Am. 5:14, 15; 1 Ptr. 3:11, 12) Yehuwa memperhatikan orang yang melakukan apa yang benar dan memberkati mereka. (Mzm. 34:16) Fikirkan tentang Sifra dan Pua, bidan-bidan yang berbangsa Israel di Mesir. Mereka menolong perempuan Israel untuk bersalin. Firaun telah memberikan perintah kepada mereka untuk membunuh semua bayi lelaki orang Israel. Namun, mereka mentaati Tuhan dan menyelamatkan bayi-bayi yang baru lahir. Kemudian Yehuwa memberkati mereka dengan “mengurniakan keturunan kepada mereka.” (Kel. 1:15-17, 20, 21) Sudah pasti Yehuwa memerhatikan perbuatan baik mereka. Kadangkala, kita mungkin berasa bahawa tiada orang memberikan perhatian terhadap perkara baik yang kita lakukan. Namun, Yehuwa sentiasa nampak setiap perbuatan baik kita dan Dia akan memberkati kita.—Mat. 6:4, 6; 1 Tim. 5:25; Ibr. 6:10.
19. Apakah pengalaman seorang saudari?
19 Yehuwa sememangnya memperhatikan usaha kita dalam aktiviti penyebaran. Misalnya, seorang saudari di Austria yang berbangsa Hungary telah menerima alamat seorang wanita yang berbangsa Hungary. Saudari itu segera pergi ke sana, tetapi tiada orang di rumah. Dia berulang kali melawat rumah itu. Kadangkala dia berasa bahawa ada orang di dalam rumah, tetapi tiada orang membuka pintu. Dia meninggalkan bahan bacaan dan nombor telefonnya, serta menulis surat. Selepas berulang kali melawat rumah itu selama setahun setengah, seorang wanita akhirnya membuka pintu dan berkata, “Masuklah. Saya sudah baca semua yang kamu tinggalkan dan saya menunggu kedatangan kamu.” Rupa-rupanya wanita ini telah menjalani rawatan kanser dan tidak berdaya untuk bertemu dengan orang. Kemudian, dia mula belajar Bible. Saudari tersebut berasa bahawa Yehuwa memerhatikannya dan memberkati usahanya.
20. Apakah perasaan anda terhadap pengawasan Yehuwa?
20 Seperti yang telah kita pelajari, Yehuwa melihat setiap perkara yang kita lakukan dan Dia menyelidiki hati setiap orang. Walaupun begitu, kita tidak berasa bahawa Dia sedang mencari kesalahan atau mencatat kesilapan yang kita lakukan. Sebaliknya, kita berasa lebih dekat dengan-Nya kerana kita tahu bahawa Dia benar-benar mengambil berat dan ingin memberkati perbuatan baik kita.
a Kisah hidup Saudara Klein diterbitkan dalam majalah The Watchtower 1 Oktober 1984.