Adakah Anda Memiliki Pandangan Yehuwa terhadap Kelemahan Manusia?
“Kita amat memerlukan anggota-anggota yang dianggap lemah.”—1 KOR. 12:22.
1, 2. Mengapakah Paulus dapat bersimpati terhadap mereka yang lemah?
ADA KALANYA kita jatuh sakit sehingga tidak berdaya untuk menjalankan aktiviti seharian. Bayangkan bahawa anda menghadapi situasi ini untuk waktu yang lama. Tidakkah anda akan menghargai jika orang bersimpati terhadap anda?
2 Rasul Paulus pernah berasa lemah kerana menghadapi tekanan dari luar dan dari dalam sidang. Dia hampir putus asa beberapa kali. (2 Kor. 1:8; 7:5) Oleh itu, Paulus memahami kelemahan orang lain dan berkata, “Apabila seseorang lemah, aku berasa lemah juga.” (2 Kor. 11:29) Paulus menyamakan anggota sidang Kristian dengan tubuh badan manusia. Dia berkata, “Kita amat memerlukan anggota-anggota yang dianggap lemah.” (1 Kor. 12:22) Apakah yang dimaksudkannya? Mengapakah kita harus memiliki pandangan Yehuwa terhadap mereka yang lemah? Bagaimanakah hal ini membawa manfaat bagi kita?
PANDANGAN YEHUWA TERHADAP KELEMAHAN MANUSIA
3. Mengapakah kita mungkin mempunyai pandangan yang negatif terhadap rakan seiman?
3 Hari ini, ramai mengambil kesempatan terhadap orang yang lebih lemah untuk memenuhi keinginan sendiri. Mereka percaya bahawa untuk berjaya, seseorang harus muda dan kuat. Kita tidak ingin memupuk perangai ini. Namun, kita mungkin terpengaruh oleh semangat dunia dan mula mempunyai pandangan negatif terhadap saudara saudari yang selalu memerlukan bantuan. Jadi, bagaimanakah kita boleh memupuk pandangan Yehuwa terhadap kelemahan manusia?
4, 5. (a) Apakah yang kita pelajari daripada perumpamaan Paulus mengenai pandangan Yehuwa terhadap ahli sidang? (b) Apakah manfaat yang diraih dengan membantu orang yang lemah?
4 Setiap anggota sidang adalah penting di mata Yehuwa. Dalam surat pertama kepada sidang Korintus, Paulus mengingatkan bahawa anggota badan yang paling lemah pun adalah berguna. (Baca 1 Korintus 12:12, 18, 21-23.) Sesetengah ahli evolusi berkata bahawa terdapat bahagian badan kita yang tidak diperlukan. Namun selepas membuat kajian lanjut, hal ini terbukti salah.a Contohnya, ada yang mempersoalkan kegunaan jari kelengkeng kaki. Tetapi sekarang ahli sains mendapati bahawa jari kaki ini sebenarnya membantu kita untuk menyeimbangkan badan.
5 Syaitan mahu kita percaya bahawa kita tidak berguna. (Ayb. 4:18, 19) Tetapi perumpamaan Paulus menunjukkan bahawa setiap ahli sidang adalah berguna. Bagi Yehuwa, kita semua “diperlukan,” termasuk mereka yang nampaknya lemah. Hal ini membantu kita menghargai peranan kita di dalam sidang dan sebagai sebahagian daripada umat Yehuwa di serata dunia. Contohnya, pernahkah anda membantu orang yang tua? Sudah tentu dia menghargai bantuan anda, dan anda juga meraih manfaat. Apabila kita membantu orang lain, kita gembira, lebih sabar, lebih mengasihi rakan seiman, dan menjadi lebih matang. (Ef. 4:15, 16) Yehuwa mahu kita menganggap semua rakan seiman penting termasuk mereka yang lemah. Jika kita mempunyai pandangan sebegini, kita akan menghargai dan mengasihi semua ahli sidang.
6. Apakah maksud Paulus apabila dia menggunakan perkataan “lemah” dan “teguh”?
6 Semasa Paulus menulis kepada sidang Korintus, dia menggunakan perkataan “lemah.” Dia menggunakan perkataan ini untuk menerangkan pandangan orang bukan Kristian terhadap orang Kristian abad pertama, dan juga apabila menerangkan perasaannya sendiri. (1 Kor. 1:26, 27; 2:3) Semasa Paulus menggunakan perkataan “teguh” mengenai beberapa orang Kristian, dia tidak bermaksud bahawa mereka lebih baik daripada yang lain. (Rm. 15:1) Sebaliknya, maksud Paulus ialah mereka yang lebih berpengalaman patut bersabar membantu orang yang kurang pengalaman.
PERLUKAH KITA MENGUBAH FIKIRAN?
7. Apakah yang mungkin menghalang kita daripada menolong orang lain?
7 Apabila kita membantu “orang yang tidak berdaya,” kita bukan hanya meniru Yehuwa, tetapi juga mendapat perkenan-Nya. (Mzm. 41:2; Ef. 5:1) Namun, hal ini bukanlah mudah untuk dilakukan. Kita mungkin berfikir bahawa saudara saudari harus bertanggungjawab menyelesaikan masalah sendiri. Ada kalanya kita menjauhi mereka yang menghadapi masalah kerana tidak pasti apa yang hendak dikatakan. Misalnya, Sandra,b seorang saudari yang ditinggalkan suaminya berkata, “Kita sakit hati apabila saudara saudari tidak melayan kita atau tidak memperlakukan kita seperti seorang kawan. Semasa menghadapi masalah, kita memerlukan orang untuk berada di samping kita.” Hati Raja Daud juga terluka apabila ditinggalkan rakan-rakannya.—Mzm. 31:13.
8. Bagaimanakah kita boleh lebih bersimpati terhadap saudara saudari kita?
8 Apakah yang boleh membantu kita untuk bersimpati terhadap saudara saudari yang lemah? Ingatlah bahawa kebanyakan mereka mungkin menghadapi masalah kesihatan, berasa murung, atau tinggal bersama keluarga yang tidak seiman. Jika kita menghadapi masalah yang sama, kita juga ingin orang lain memahami perasaan kita. Fikirkan tentang orang Israel yang miskin dan lemah ketika hidup di Mesir. Sebelum memasuki Tanah yang Dijanjikan, Yehuwa mengingatkan mereka, “Jangan kamu enggan memberikan pertolongan.” Jadi, Yehuwa ingin mereka membantu orang yang miskin dan lemah.—Ul. 15:7, 11; Im. 25:35-38.
9. Apabila rakan seiman menghadapi masalah, apakah yang dia perlukan? Berikan contoh.
9 Kita tidak harus cepat mengkritik atau prasangka terhadap rakan seiman yang menghadapi masalah. Sebaliknya, kita ingin menghulurkan bantuan rohani. (Ayb. 33:6, 7; Mat. 7:1) Katakan seorang penunggang motosikal mengalami kemalangan dan dikejarkan ke wad kecemasan. Setibanya di sana, adakah para doktor dan jururawat akan sibuk membincangkan siapa sebenarnya yang mengakibatkan kemalangan itu? Tidak. Sebaliknya, mereka akan segera merawat orang itu. Begitu juga, saudara saudari kita amat memerlukan bantuan rohani apabila mereka lemah.—Baca 1 Tesalonika 5:14.
10. Bagaimanakah sesetengah orang yang nampaknya lemah sebenarnya “kaya dalam iman”?
10 Terdapat saudara saudari di sidang yang nampaknya lemah. Tetapi, jika kita fikirkan situasi mereka dengan mendalam, kita mungkin mendapati bahawa mereka sebenarnya tidak lemah. Fikirkan saudari yang setia menyembah Yehuwa walaupun menghadapi tentangan keluarga. Terdapat juga ibu tunggal yang menghadiri perjumpaan secara tetap bersama anak meskipun harus bekerja keras untuk menyara keluarga. Bagaimana pula dengan para remaja yang berpegang teguh pada kebenaran walaupun terdapat pengaruh buruk di sekolah? Mereka semuanya amat mengasihi Yehuwa dan bertekad untuk tetap setia kepada-Nya. Apabila kita mempunyai pandangan Yehuwa, kita akan melihat bahawa mereka “kaya dalam iman” walaupun mereka nampaknya lemah.—Yak. 2:5.
PUPUKLAH PANDANGAN YEHUWA
11, 12. (a) Bagaimanakah kita dapat memupuk pandangan Yehuwa terhadap kelemahan manusia? (b) Mengapakah Yehuwa mengampuni Harun? Apakah pengajarannya?
11 Kita dapat memupuk pandangan Yehuwa terhadap kelemahan manusia dengan merenungkan cara Tuhan berurusan dengan hamba-Nya. (Baca Mazmur 130:3.) Contohnya, bayangkan bahawa anda bersama Musa apabila Harun memberikan banyak alasan tentang mengapa dia membuat patung lembu emas. Apakah perasaan anda terhadap kelemahan Harun? (Kel. 32:21-24) Apakah perasaan anda apabila Harun dipengaruhi oleh Miriam lalu mengkritik Musa kerana berkahwin dengan wanita asing? (Bil. 12:1, 2) Apakah mungkin reaksi anda sewaktu Harun dan Musa gagal memuliakan Yehuwa selepas Dia membekalkan air di Meriba?—Bil. 20:10-13.
12 Yehuwa berhak menghukum Harun dengan segera. Tetapi Yehuwa tahu bahawa ada kalanya Harun menjadi lemah, dan dia bukan seorang yang jahat. Harun membuat kesilapan kerana dia berada dalam situasi yang sulit dan telah dipengaruhi oleh orang jahat. Namun, apabila ditegur, Harun mengakui kesilapannya. (Kel. 32:26; Bil. 12:11; 20:23-27) Harun mengasihi Yehuwa dan bertaubat. Oleh itu, Yehuwa mengampuninya. Berabad-abad kemudian, Harun dan keturunannya yang berkhidmat sebagai imam diingati sebagai hamba Yehuwa yang setia.—Mzm. 115:10-12; 135:19, 20.
13. Bagaimanakah kita boleh mengubah reaksi kita terhadap kelemahan manusia? Berikan contoh.
13 Agar fikiran kita selaras dengan fikiran Yehuwa, kita perlu memeriksa cara kita memandang mereka yang lemah. (1 Sam. 16:7) Contohnya, apakah reaksi kita sewaktu seorang remaja memilih hiburan yang tidak sesuai atau berkelakuan buruk? Kita tidak harus terus mengkritiknya. Sebaliknya, luangkanlah masa bersamanya dan ajarlah dia cara membuat keputusan dengan bijak. Dengan berbuat demikian, anda akan lebih bersabar dan mengasihi rakan seiman.
14, 15. (a) Apakah perasaan Yehuwa terhadap Elia yang ketakutan? (b) Apakah pengajarannya daripada pengalaman Elia?
14 Apakah perasaan Yehuwa terhadap mereka yang berasa murung? Perhatikan cara Yehuwa memperlakukan hamba-Nya, Elia. Walaupun Elia berani mencabar 450 nabi Baal, dia melarikan diri apabila mengetahui bahawa Permaisuri Izebel ingin membunuhnya. Selepas melakukan perjalanan sejauh 150 km ke Bersyeba, Elia melarikan diri ke padang gurun. Dia berasa amat letih dan murung. Dia duduk di bawah sebatang pokok lalu memberitahu Yehuwa bahawa “dia ingin mati.”—1 Raj. 18:19; 19:1-4.
Yehuwa mengetahui keterbatasan Elia dan mengutus malaikat untuk menggalakkannya (Lihat perenggan 14, 15)
15 Apakah perasaan Yehuwa apabila Dia melihat nabi-Nya dalam keadaan sedemikian? Adakah Dia menolak Elia yang berasa murung dan takut? Tidak! Yehuwa mengambil kira keterbatasan Elia lalu mengutus malaikat untuk membantunya. Sebanyak dua kali malaikat menggalakkan Elia untuk makan supaya dia dapat “tahan dalam perjalanan yang jauh.” (Baca 1 Raja-Raja 19:5-8.) Ya, sebelum memberikan sebarang arahan, Yehuwa mendengar keluhan Elia dahulu serta memberikannya bantuan.
16, 17. Bagaimanakah kita dapat meniru teladan Yehuwa semasa membantu rakan seiman?
16 Bagaimanakah kita boleh meniru teladan Tuhan yang pengasih? Kita tidak patut cepat memberikan nasihat. (Ams. 18:13) Mula-mula, tunjukkanlah keprihatinan dengan mendengar luahan orang yang berasa dirinya “tidak begitu dihargai.” (1 Kor. 12:23) Dengan demikian, kita akan tahu keperluannya serta cara untuk membantunya.
17 Contohnya, Sandra yang mempunyai dua orang anak telah ditinggalkan suaminya. Apakah yang dilakukan oleh saudara saudari? Dia berkata, “Selepas memberitahu mereka situasi kami, mereka sampai ke rumah kami dalam masa 45 minit. Mereka turut menangis. Selama dua atau tiga hari yang pertama, mereka tidak membiarkan kami bersendirian. Sebab kami tidak berselera dan berasa amat sedih, mereka menjemput kami untuk tinggal bersama mereka buat sementara.” Pengalaman ini mengingatkan kita tentang apa yang ditulis oleh Yakobus, ‘Andaikan seorang saudara lelaki atau saudara perempuan memerlukan pakaian dan tidak mempunyai cukup makanan. Tidak ada gunanya kamu berkata kepadanya, “Tuhan memberkati kamu! Pakailah baju panas dan makanlah dengan secukupnya!”—jika kamu tidak memberikan keperluan sehari-hari kepadanya. Demikian jugalah dengan iman. Jika iman tidak dinyatakan dengan perbuatan, iman itu sia-sia!’ (Yak. 2:15-17, ABB) Bantuan yang diberikan oleh saudara saudari kepada keluarga Sandra amat bermanfaat. Enam bulan kemudian, Sandra dan dua orang anaknya dikuatkan semula dan mampu berkhidmat sebagai perintis sokongan.—2 Kor. 12:10.
MANFAAT BAGI SEMUA
18, 19. (a) Bagaimanakah kita boleh membantu orang yang lemah? (b) Siapakah yang mendapat manfaat apabila kita membantu orang yang lemah?
18 Jika anda pernah menghidapi penyakit yang serius, anda mungkin memerlukan masa yang lama untuk pulih. Begitu juga, seseorang yang membuat kesilapan atau mengalami masalah memerlukan masa untuk pulih secara rohani. Dia memang perlu membuat pembelajaran peribadi, berdoa, dan menghadiri perjumpaan untuk menjadi kuat secara rohani. Tetapi dia juga memerlukan bantuan kita. Kita perlu bersabar dengannya semasa dia sedang pulih. Kita perlu menunjukkan bahawa dia dikasihi dan dihargai dalam sidang.—2 Kor. 8:8.
19 Dengan membantu orang lain, kita akan berasa bahagia. Kita juga akan belajar cara untuk menunjukkan kesabaran dan perasaan simpati. Tetapi bukan kita sahaja yang mendapat manfaat. Seluruh sidang akan menjadi lebih mesra dan penuh dengan kasih. Yang terpenting, kita sedang meniru teladan Yehuwa. Kita “menolong orang yang lemah” kerana menganggap semua penyembah Yehuwa penting.—Kis. 20:35.
a Dalam salah sebuah bukunya, Charles Darwin menulis bahawa terdapat banyak anggota badan yang tidak diperlukan. Seorang lagi pakar evolusi berkata bahawa organ seperti apendiks dan kelenjar timus juga tidak diperlukan.
b Nama telah diubah.