TAHUKAH ANDA?
Apakah peranan seorang pegawai tentera Roma yang berpangkat centurion?
Centurion Marcus Favonius Facilis
Kitab Yunani Kristian menyebut tentang pegawai tentera Roma yang bergelar centurion. Seorang centurion telah memastikan bahawa hukuman mati Yesus dijalankan. Kornelius, orang bukan Yahudi pertama yang menjadi Kristian, juga digelar centurion. Begitu juga dengan pegawai tentera yang memerintahkan supaya Paulus dicambuk. Yulius yang membawa Paulus ke Roma juga berpangkat centurion.—Markus 15:39; Kisah 10:1; 22:25; 27:1.
Seorang centurion biasanya mengetuai 50 hingga 100 askar. Dia bertanggungjawab melatih dan mendisiplinkan askar, memastikan pakaian dan peralatan perang mereka lengkap, dan mengatur kedudukan mereka.
Centurion ialah pangkat yang tinggi bagi seorang askar. Seorang centurion berkebolehan tinggi dan berupaya memimpin pasukan tentera dengan baik. Disiplin dan kecekapan centurion menyumbang kepada kekuatan tentera Roma. Menurut sumber rujukan, centurion “sangat berpengalaman dan berpengetahuan dalam bidang ketenteraan.”
Apakah perbezaan cermin pada zaman Bible dengan cermin zaman sekarang?
Cermin Mesir Kuno
Pada zaman Bible, cermin biasanya dibuat daripada logam seperti gangsa, tembaga, perak, emas, atau elektrum yang digilap hingga berkilat. Pertama kali cermin disebut dalam Bible ialah ketika pembinaan khemah suci. Sebuah besen tembaga dan kakinya dibuat daripada cermin yang disumbangkan oleh para wanita. (Keluaran 38:8) Barangkali, cermin itu dileburkan terlebih dahulu.
Cermin-cermin di tapak arkeologi di sekitar Israel biasanya dijumpai bersama barang kemas dan barang perhiasan wanita. Bentuk cermin itu biasanya bulat. Pemegangnya dibuat daripada kayu, logam, atau gading yang dibentuk mengikut rupa seorang wanita. Bahagian belakang cermin pula tidak dihias dengan apa-apa.
Cermin zaman lampau tidak begitu jelas jika dibandingkan dengan cermin zaman sekarang. Hal ini mungkin menjelaskan mengapa Paulus berkata, “Sekarang kita melihat bayangan yang kabur dalam sebuah cermin logam.”—1 Korintus 13:12.