TOPIK UTAMA | KEJUJURAN—ADAKAH PENTING?
Bagaimana Ketidakjujuran Mempengaruhi Anda
“Biasanya kita boleh menyelesaikan suatu situasi yang rumit jika kita tidak jujur.”—Samantha, Afrika Selatan.
Adakah anda setuju dengan pernyataan itu? Seperti Samantha, kita juga kadangkala menghadapi situasi yang susah. Reaksi kita apabila digoda untuk bersikap tidak jujur dapat menunjukkan pegangan hidup kita. Contohnya, jika menjaga air muka adalah sangat penting, kita mungkin menganggap ketidakjujuran sebagai sesuatu yang biasa. Namun apabila kebenaran diketahui, kita mungkin mengalami akibat buruk. Mengapa?
KETIDAKJUJURAN MENGHANCURKAN KEPERCAYAAN
Apabila dua orang saling mempercayai, mereka mempunyai hubungan yang kuat. Mereka akan berasa puas hati dan selamat. Namun sifat saling mempercayai wujud secara beransur-ansur. Mereka perlu meluangkan masa bersama, berkomunikasi dengan jujur, dan menunjukkan bahawa mereka tidak mementingkan diri. Tetapi kepercayaan sebegini boleh lenyap jika salah satu pihak tidak jujur. Apabila hal ini berlaku, hubungan mereka pasti terjejas.
Pernahkah anda ditipu oleh seorang kawan baik? Jika ya, apakah perasaan anda? Sudah tentu anda sakit hati dan berasa dikhianati. Perasaan ini memang biasa. Sememangnya, ketidakjujuran merosakkan hubungan orang.
KETIDAKJUJURAN BOLEH MENULAR
Sebuah kajian oleh Robert Innes, seorang profesor ekonomi di Universiti California, menunjukkan bahawa “ketidakjujuran mudah menular.” Ketidakjujuran boleh disamakan dengan virus. Semakin kerap anda bergaul dengan orang yang tidak jujur, anda juga boleh “dijangkiti” dengan ketidakjujuran.
Bagaimanakah anda boleh mengelak daripada jatuh ke dalam perangkap ketidakjujuran? Bible boleh membantu anda. Marilah kita lihat beberapa prinsip Bible.