Sepucuk Surat Daripada Badan Pimpinan
Rakan-rakan Sekepercayaan yang Dikasihi,
Hawari Paulus menggunakan setiap kesempatan untuk meluahkan rasa kasih dan syukurnya kepada rakan-rakan sekepercayaannya. Kepada para Kristian di Rom, dia menulis, “Aku bersyukur kepada [Tuhan] melalui Yesus Kristus bagi kamu semua, kerana seluruh dunia mendengar bahawa kamu percaya kepada Yesus.” (Rm. 1:8) Pernyataan ini memang terbukti benar. Di seluruh Empayar Rom, penganut-penganut Kristian pada abad pertama dikenali kerana kepercayaan mereka yang kukuh dan aktiviti penyebaran mereka yang dijalankan dengan semangat yang membara. (1 Tes. 1:8) Tidak hairanlah mengapa Paulus mencerminkan perasaan kasih yang mendalam untuk saudara saudarinya!
Seperti Paulus, kami meluahkan rasa syukur kepada Yehuwa setiap kali apabila memikirkan anda. Kami sangat mengasihi anda sekalian! Anda juga boleh mendapat kepastian bahawa Yehuwa mengasihi anda sebagai seorang individu. Ada dalam kalangan anda yang sedang berdepan dengan tentangan yang hebat, tetapi anda masih terus teguh dalam kerja penyebaran. Tentu sekali hati Yehuwa gembira apabila Dia melihat anda menunjukkan semangat yang berani dan tidak mengenal takut atau gentar!—Ams. 27:11.
Sambil anda membaca dan merenungkan bahagian “Acts of Jehovah’s Witnesses in Modern Times” (“Kisah Saksi-Saksi Yehuwa pada Zaman Moden”) anda akan mendapati bahawa kisah-kisah yang terkandung dalam edisi Yearbook 2008 ini sangat menarik dan dapat menguatkan kepercayaan anda. Anda juga dapat melihat banyak bukti bahawa Tuan kita, Yesus Kristus sedang “mara sebagai seorang penakluk yang menang.” Tidak kira apa jua senjata yang digunakan untuk menentang pengikut-pengikut Kristus, semua usaha ini tidak akan berjaya.—Pny. 6:2; Yes. 54:17.
Kepada orang Kristian di Filipi, Paulus menulis, “Aku bersyukur kepada [Tuhan]” kerana kamu telah memberi sumbangan dalam kerja “mengkhabarkan Berita Baik.” (Phil. 1:3-5) Kami, anggota-anggota Badan Pimpinan mempunyai perasaan yang sama terhadap anda. Sepanjang tahun aktiviti penyebaran 2007, terdapat sejumlah 6,691,790 penyiar yang telah menghabiskan masa selama 1,431,761,554 jam untuk menyerantakan berita baik di 236 negara di serata dunia. Betapa banyaknya sumbangan yang telah anda curahkan untuk memperkembangkan kerja penyebaran berita baik ini! Fikirkanlah tentang beratus-ratus ribu orang yang telah dipengaruhi oleh berita ini melalui usaha gabungan kita; semua ini membawa pujian kepada Yehuwa!
Pada kesempatan yang lain, Paulus menunjukkan empati, iaitu daya menyelami dan memahami perasaan saudara saudarinya. Dia menulis kepada mereka di Tesalonika, “Di hadapan Tuhan dan Bapa kita, kami selalu mengingati . . . harapanmu dalam Tuan kita, Yesus Kristus yang menghasilkan ketahanan.” (1 Tes. 1:2, 3, NW) Memang benar, hidup ini penuh dengan cabaran. Masalah sering timbul, tetapi sangatlah penting untuk kita mempunyai daya ketahanan atau sifat tabah menanggung kesusahan. Apakah cabaran-cabaran yang sedang anda sendiri hadapi? Adakah anda berasa kecewa dan putus asa kerana penyakit yang tenat menyebabkan keupayaan anda untuk berkhidmat kepada Yehuwa menjadi sangat terbatas? Adakah pasangan hidup anda yang disayangi untuk bertahun-tahun telah menjadi mangsa kepada musuh kita yang tidak pernah puas, iaitu kematian (Syeol)? (Ams. 30:15, 16) Dalam usaha mencari pasangan hidup yang menyayangi Yehuwa dan mentaati nasihat Bible untuk berkahwin dengan seseorang yang sekepercayaan, adakah anda berasa bahawa usaha anda sia-sia sahaja? (1 Kor. 7:39) Adakah anda sedang berusaha dengan tekun untuk membesarkan anak-anak walaupun harus menghadapi masalah kewangan yang teruk? Tidak kira apa sahaja situasi anda, jika anda terus mengutamakan kepentingan Kerajaan Tuhan, anda boleh pasti bahawa Yehuwa tidak akan “melupakan apa yang sudah kamu lakukan bagi-Nya, ataupun kasih yang kamu tunjukkan kepada-Nya.” Oleh itu, saudara dan saudari, kami merayu anda supaya janganlah berputus asa atau “jemu melakukan perkara-perkara baik”!—Ibr. 6:10; Gal. 6:9.
Apakah yang akan membolehkan anda supaya mempunyai daya ketahanan? Seperti saudara saudari di Tesalonika, “harapan dalam Tuan kita, Yesus Kristus” akan membantu anda untuk menghadapi kesusahan dengan tabah. Oleh itu, Paulus kemudiannya menyamakan ‘harapan penyelamatan’ dengan topi besi yang teguh yang boleh melindungi seorang Kristian daripada pemikiran negatif dan keraguan yang sentiasa merunsingkan.—1 Tes. 5:8.
Sememangnya, apabila anda tabah menanggung kesusahan dengan sukacita, anda sedang memberi jawapan kepada cemuhan Syaitan dalam isu penting tentang kesahihan kedaulatan Yehuwa. Oleh sebab manusia secara semula jadi mementingkan diri sendiri, Syaitan mendakwa bahawa hamba-hamba Tuhan akan berkhidmat kepada-Nya untuk suatu jangka masa tertentu sahaja. Mereka akan mengurangkan usaha mereka dalam penyembahan apabila menghadapi lebih banyak cubaan. Mereka juga akan mengurangkan usaha mereka dalam penyembahan jika sistem dunia ini berlanjutan untuk lebih lama daripada apa yang dijangkakan oleh mereka. Anda diberi peluang istimewa untuk mendedahkan Si Iblis sebagai penipu yang keji! Setiap detik yang berlalu dalam hidup anda, akan membawa anda lebih dekat kepada harapan yang dinanti-nantikan.
Paulus menggunakan setiap kesempatan bagi menggalakkan saudara saudarinya untuk kepercayaan mereka yang dinamik, sumbangan mereka yang banyak dalam kerja penyebaran, dan ketahanan mereka. Seperti dia, kami juga ingin menggunakan kesempatan ini untuk memberi pujian dan kepastian akan kasih kami terhadap anda. Teruskanlah usaha anda yang baik!
Semoga tahun yang mendatang akan membawa berkat-berkat rohani yang melimpah-ruah. Terimalah salam kasih kami. Kami adalah
Saudara-saudaramu,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa