PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • km 2/13 ms. 5-6
  • Ayat Tahunan 2013

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Ayat Tahunan 2013
  • Kerja Teokratik Kita—2013
Kerja Teokratik Kita—2013
km 2/13 ms. 5-6

Ayat Tahunan 2013

Jadilah yakin dan berani! Tuhan Yehuwa menyertaimu.—Yos. 1:9.

Suasananya amat mendebarkan! Setelah 40 tahun merayau-rayau di padang gurun, orang Israel kini bersedia memasuki tanah yang telah dijanjikan Yehuwa kepada moyang mereka, Abraham. Tanah ini ialah Kanaan, “suatu negeri yang luas, kaya, dan subur.” Di sana mereka tidak akan “kekurangan apa-apa.”—Kel. 3:8; Ul. 8:7-9.

Mereka mungkin juga berasa takut dan bimbang. Mengapa? Kerana 40 tahun sebelum ini, orang Israel di bawah pimpinan Musa juga berada di sempadan Tanah yang Dijanjikan, tetapi mereka enggan memasukinya. Para pengintip pada masa itu berkata, “Penduduk tanah itu sangat kuat; kota-kota mereka sangat besar dan bertembok. . . . Tiap-tiap orang yang kami nampak sangat tinggi.” Mereka berasa “kecil seperti belalang.” Mereka takut sehingga berfikir bahawa “lebih baik” untuk kembali menjadi hamba di Mesir. Mereka juga hampir merejam Yosua dan Kaleb, dua orang pengintip yang setia!—Bil. 13:28, 31-33; 14:3, 4, 10.

Patutkah orang Israel berasa takut? Ya, jika dilihat dari sudut pandangan manusia. Kota-kota Kanaan memang besar dan bertembok, dan penduduknya besar seperti gergasi. Perjalanan orang Israel merentasi padang gurun dan niat mereka untuk menakluki tanah Kanaan mungkin diketahui oleh bangsa-bangsa yang menetap di situ. Lagipun, bilangan mereka mungkin jauh lebih banyak daripada orang Israel! (Bil. 14:13-16; Ul. 7:1, 7) Selain itu, orang Israel telah diperhamba di Mesir dan tidak pernah dilatih untuk berperang. Sekarang mereka perlu melawan pasukan tentera yang terlatih dan berpengalaman. Tambahan lagi, generasi muda ini hanya mendengar mukjizat tentang penyelamatan moyang mereka dari Mesir tetapi tidak pernah mengalaminya.

Yehuwa menyedari hal ini. Jadi, Dia berfirman kepada Yosua, “Hamba-Ku Musa sudah meninggal. Hendaklah kamu bersiap sedia, engkau dan semua umat Israel. Seberangilah Sungai Yordan dan pergilah ke tanah yang hendak Aku berikan kepada mereka. . . . Tidak seorang pun akan dapat mengalahkan engkau selama engkau hidup. . . . Hendaklah engkau yakin dan berani, kerana engkau akan menjadi pemimpin umat ini apabila mereka menakluki tanah yang Kujanjikan kepada nenek moyang mereka.” Tuhan mengulangi kata-kata ini sebanyak dua kali, “Hendaklah engkau yakin dan berani.” (Yos. 1:2-7, 9, ABB) Yosua mematuhi Yehuwa dan mengarahkan askar-askar Israel agar bersedia menyeberangi Sungai Yordan dalam masa tiga hari. Apakah reaksi mereka? Mereka menyokong Yosua dan mengulangi kata-kata ini kepadanya, “Hendaklah tuan yakin dan berani!”—Yos. 1:10-18.

Dapatkah anda melihat persamaan antara situasi orang Israel dengan umat Tuhan dewasa ini? Kita juga bakal memasuki tanah yang dijanjikan Yehuwa, iaitu dunia baru yang adil benar. (2 Ptr. 3:13) Kita juga perlu melawan musuh yang kuat—“roh-roh yang berkuasa” dan pengikut mereka di bumi. Mereka semua berusaha sedaya upaya untuk menghalang umat Tuhan daripada mencapai matlamat ini. (Ef. 6:12) Kesengsaraan besar yang “jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang” serta hari Yehuwa “yang dahsyat dan mengerikan” juga bakal melanda. (Mat. 24:21; Yl. 2:11, 31) Meskipun kita sendiri tidak pernah menyaksikan mukjizat Yehuwa, kita yakin sepenuhnya bahawa Dia akan menyelamatkan umat-Nya dan memimpin mereka ke dunia baru yang adil benar.—Mzm. 68:21; 2 Ptr. 2:9; Why. 7:14-17.

Maka, ayat tahunan kita bagi 2013 memang sesuai, “Jadilah yakin dan berani! Tuhan Yehuwa menyertaimu.” (Yos. 1:9) Semoga kita mengingati kata-kata ini seraya kita menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan dan melaksanakan perintah Yesus untuk ‘pergi kepada semua bangsa di seluruh dunia dan menjadikan mereka pengikutnya.’ (Mat. 24:14; 28:19, 20) Sememangnya, ‘jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah dapat melawan kita?’—Rm. 8:31; Ibr. 13:6.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi