Sekolah Penyebaran Teokratik 2015 Meningkatkan Kemahiran Mengajar Kita
1 Raja Daud menulis, ‘Semoga kata-kata dan renunganku diterima oleh-Mu, ya Yehuwa, pelindung dan penebusku!’ (Mzm. 19:15) Kita juga ingin kata-kata kita menyenangkan hati Yehuwa. Kita menghargai peluang istimewa untuk bercakap tentang kebenaran di dalam sidang dan semasa aktiviti penyebaran. Sekolah Penyebaran Teokratik adalah salah satu cara Yehuwa melatih kita untuk menjalankan aktiviti penyebaran. Setiap minggu, lebih daripada 111,000 buah sidang di serata dunia mengadakan sekolah ini untuk melatih saudara saudari dari pelbagai latar belakang. Dengan ini, mereka dapat menyebarkan berita baik dengan yakin, mahir, dan berani.—Kis. 19:8; Kol. 4:6.
2 Bahan rujukan untuk sekolah tahun 2015 akan diambil daripada buku kecil “Pengenalan kepada Firman Tuhan” dan “Daftar Kata bagi Istilah Bible” dalam Bible Terjemahan Dunia Baru. Bahan rujukan juga akan diambil daripada brosur Mesej Bible, buku Cerita Bible, Kerja Teokratik Kita, dan Menara Pengawal. Selain itu, masa yang ditetapkan untuk sorotan pembacaan Bible dan Tugasan No. 1 juga telah diubah. Perubahan ini dan arahan untuk tugasan sekolah akan dibincangkan dalam perenggan-perenggan yang berikut.
3 Sorotan Pembacaan Bible: Saudara yang mengendalikan bahagian ini mempunyai dua minit untuk menghuraikan satu isi yang menarik dan praktikal berdasarkan pembacaan Bible mingguan. Dia perlu membuat persiapan yang baik agar dapat menyampaikan isi yang bermanfaat kepada sidang dalam masa yang ditetapkan. Selepas itu, saudara saudari mempunyai enam minit untuk memberikan komen tentang isi penting yang dipelajari daripada pembacaan Bible mingguan. Setiap komen haruslah kurang daripada 30 saat. Kita perlu berdisiplin dan membuat persiapan yang baik agar dapat memberikan komen yang bermakna dalam masa 30 saat. Usaha ini dapat melatih kita dan memberikan peluang kepada saudara saudari lain untuk mengongsi hasil penyelidikan mereka.
4 Tugasan No. 1: Pelajar yang diberikan tugasan ini akan membaca petikan yang pendek daripada Bible dalam masa tiga minit. Semasa berlatih, mereka harus membaca bahan itu berulang kali dengan suara yang lantang. Selain itu, mereka harus berusaha menyebut kata-kata dengan jelas dan membaca dengan lancar agar hadirin dapat memahami maknanya. Oleh sebab kemahiran membaca sangat penting dalam ibadat kita, umat Yehuwa harus berusaha membaca dengan baik. Kita amat gembira kerana ramai anak dalam kalangan kita dapat membaca dengan baik. Ibu bapa patut dipuji kerana berusaha membantu anak mereka menjadi pembaca yang mahir.
5 Tugasan No. 2: Seorang saudari akan menyampaikan tugasan ini dalam masa lima minit. Dia harus mengembangkan tugasannya berdasarkan tema yang diberikan. Jika sumber bahan rujukan diambil daripada buku kecil “Pengenalan kepada Firman Tuhan” atau “Daftar Kata bagi Istilah Bible” dalam Bible Terjemahan Dunia Baru, dia harus memilih latar yang berkaitan dengan aktiviti penyebaran dan yang sesuai dengan keadaan tempatan. Jika topik perbincangan adalah berdasarkan seorang watak Bible, pelajar harus mengkaji bahan rujukan yang dinyatakan, memilih ayat-ayat Bible yang sesuai, dan menghuraikan pengajaran yang diperoleh daripada teladan watak itu. Pelajar juga boleh menggunakan ayat-ayat Bible lain yang berkaitan dengan tema tugasannya. Seorang saudari akan ditugaskan sebagai pembantunya.
6 Tugasan No. 3: Seorang saudara atau saudari akan menyampaikan tugasan ini dalam masa lima minit. Jika bahagian ini ditugaskan kepada seorang saudari, dia harus merujuk kepada arahan bagi Tugasan No. 2. Jika bahagian ini ditugaskan kepada seorang saudara, ceramahnya harus disampaikan dalam cara yang dapat memberikan manfaat kepada hadirin. Dia harus mengembangkan tema bagi ceramahnya, memilih ayat-ayat Bible yang sesuai, dan menghuraikan pengajaran yang diperoleh daripada teladan watak itu.
7 Aturan Baru bagi Tugasan No. 3 untuk Saudara: Jika sumber bahan rujukan diambil daripada buku kecil “Pengenalan kepada Firman Tuhan” atau “Daftar Kata bagi Istilah Bible” dalam Bible Terjemahan Dunia Baru, tugasan ini patut disampaikan dalam bentuk penyembahan keluarga atau aktiviti penyebaran. Ayat-ayat lain boleh digunakan untuk menonjolkan prinsip Bible yang berkaitan dengan tema tugasan. Pembantu untuk tugasan ini haruslah ahli keluarga saudara tersebut atau seorang saudara dalam sidang. Biasanya pembantu dan latar untuk tugasan ini akan ditentukan oleh penyelia sekolah, tetapi jika tugasan ini disampaikan oleh seorang penatua, dia boleh memilih pembantu dan latar sendiri. Memandangkan tugasan ini akan disampaikan oleh penatua dari semasa ke semasa, kemahiran mengajar penatua pasti menggalakkan seluruh sidang.
Menerima dan menerapkan nasihat agar dapat terus membuat kemajuan
8 Nasihat: Selepas setiap tugasan, penyelia sekolah akan menggunakan dua minit untuk memberikan pujian dan nasihat yang membina berdasarkan buku Sekolah Penyebaran-IN. Apabila penyelia sekolah memperkenalkan tugasan pelajar, dia tidak akan mengumumkan nombor pelajaran yang ditugaskan. Selepas tugasan disampaikan, dia patut memberikan pujian yang ikhlas dan mengumumkan nombor pelajaran yang ditugaskan. Penyelia sekolah akan menyatakan secara spesifik mengapa pelajar itu melaksanakan tugasannya dengan baik atau menjelaskan bagaimana pelajar itu akan meraih manfaat jika dia terus memberikan lebih banyak perhatian kepada nombor pelajaran itu.
9 Borang nasihat bagi setiap pelajar terdapat pada muka surat 79 hingga 81 dalam buku Sekolah Penyebaran-IN. Penyelia sekolah akan memberikan pujian serta nasihat yang lain kepada pelajar itu, membuat catatan dalam buku sekolahnya, dan bertanya secara peribadi sama ada latihan bagi nombor pelajaran tersebut telah dibuat atau tidak. Dia boleh berbuat demikian selepas perjumpaan atau pada masa yang lain. Para pelajar patut memandang nasihat dan cadangan yang diberikan sebagai peluang untuk membuat kemajuan rohani.—1 Tim. 4:15.
10 Jika tugasan seorang pelajar melebihi masa yang ditetapkan, penyelia sekolah atau pembantunya harus memberikan isyarat kepada pelajar itu dengan sopan, misalnya dengan menggunakan bunyi loceng atau ketukan. Sebaik sahaja pelajar mendengar isyarat itu, dia harus mengakhiri ayatnya dan beredar dari pentas.—Lihat buku Sekolah Penyebaran-IN, ms. 282, per. 4.
11 Semua orang yang memenuhi syarat digalakkan untuk menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik. (Lihat buku Sekolah Penyebaran-IN, ms. 282, per. 6.) Sekolah ini telah mendidik umat Yehuwa agar dapat mencerminkan keyakinan, rasa hormat, dan sifat kasih semasa bercakap dan mengajar orang tentang berita baik Kerajaan Tuhan. Saudara saudari yang telah memanfaatkan sekolah ini memberikan pujian kepada Yehuwa. Sememangnya, hal ini menyenangkan hati-Nya!—Mzm. 148:12, 13; Yes. 50:4.