PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr16 Oktober ms. 1-5
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2016)
  • Tajuk Kecil
  • 3-9 OKTOBER
  • 10-16 OKTOBER
  • 17-23 OKTOBER
  • 24-30 OKTOBER
  • 31 OKTOBER–6 NOVEMBER
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian (2016)
mwbr16 Oktober ms. 1-5

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

3-9 OKTOBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AMSAL 1-6

Mencari Permata Rohani

(Amsal 1:7) Untuk memperoleh pengetahuan, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada Yehuwa. Orang bodoh tidak tahu menghargai hikmat dan tidak mahu belajar.

w06-IN 15/9 17 ¶1

Sorotan daripada Buku Amsal

Jawapan bagi Pertanyaan Bible:

1:7; 9:10​—Untuk “memperoleh pengetahuan” dan “menjadi bijaksana,” kita ‘mesti hormat dan takut kepada Yehuwa.’ Mengapa? Tanpa sikap ‘hormat dan takut kepada Yehuwa,’ kita tidak dapat memperoleh pengetahuan yang benar. Hal ini kerana Dialah Pencipta segala sesuatu dan Pengarang Alkitab. (Roma 1:20; 2 Timotius 3:16, 17) Dialah Sumber segala pengetahuan. Dengan adanya pengetahuan, kita dapat menjadi bijak. Jadi, untuk memperoleh pengetahuan dan kebijaksanaan, kita harus takut kepada Yehuwa. Orang yang tidak takut kepada Yehuwa tidak akan menggunakan pengetahuan yang diperolehnya untuk memuliakan Penciptanya.

it-2-IN 398

Pengetahuan

Sumber Pengetahuan. Yehuwa ialah Sumber pengetahuan dan kehidupan. Tanpa nyawa, seseorang tidak dapat memperoleh pengetahuan. (Mz 36:10; Kis 17:25, 28) Selain itu, Tuhan juga menciptakan segala sesuatu. Jadi, pengetahuan yang diperoleh manusia adalah berdasarkan segala ciptaan-Nya. (Why 4:11; Mz 19:2, 3) Tuhan juga merupakan sumber pengetahuan yang terdapat di dalam Bible. Menerusi Bible, manusia dapat mempelajari kehendak dan tujuan-Nya. (2Ti 3:16, 17) Maka, untuk memperoleh pengetahuan yang sejati, kita perlu bergantung pada Yehuwa. Untuk berbuat demikian, seseorang perlu takut kepada Tuhan. Dia akan berwaspada supaya tidak menyakiti hati Tuhan. Sikap takut kepada Yehuwa ialah langkah pertama untuk memperoleh pengetahuan. (Ams 1:7) Sikap ini membantu seseorang mendapatkan pengetahuan yang tepat. Sebaliknya, orang yang tidak peduli tentang Tuhan pula sering membuat kesimpulan yang salah berdasarkan pemerhatian mereka.

10-16 OKTOBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AMSAL 7-11

Mencari Permata Rohani

(Amsal 9:7-9) Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera. 8 Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu. Tetapi jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu. 9 Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana. Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Tuhan akan menambah pengetahuan orang itu.

w01-IN 15/5 29-30

“Hikmat Akan Menambah Usia Kamu”

Orang Kristian harus dengan rendah hati menerima disiplin yang diberikan berdasarkan hikmat, terutamanya mereka yang masih muda dan yang baru mengenali Yehuwa. Mereka kurang berpengertian kerana mereka masih belum mengenali piawaian Tuhan dengan baik. Namun, hal ini tidak bererti bahawa semua keinginan mereka adalah salah. Mereka cuma memerlukan masa untuk memastikan niat hati mereka sentiasa menyenangkan Yehuwa. Mereka perlu menyelaraskan pemikiran, keinginan, perasaan, dan matlamat mereka, dengan piawaian Tuhan. Jadi, adalah penting bagi mereka untuk memupuk “keinginan akan susu yang murni yang terkandung dalam firman Tuhan.”​—1 Petrus 2:2.

Kita tidak harus mempelajari ‘ajaran yang asas’ sahaja. Kita ingin berusaha mengetahui “kebijaksanaan Tuhan yang sangat dalam,” dan meraih manfaat daripada makanan rohani yang keras. (Ibrani 5:12–6:1; 1 Korintus 2:10) “Hamba yang setia dan bijaksana,” yang dipimpin Yesus, menyediakan makanan rohani tepat pada masanya. (Matius 24:45-47) Semoga kita mempelajari Firman Tuhan dan bahan bacaan Bible dengan gigih agar kita memperoleh kebijaksanaan daripada sajian rohani yang disediakan oleh hamba itu.

“Jangan Sekali-kali Tegur Ajar Orang yang Sombong”

Nasihat dan teguran dapat menjadikan seseorang bijak. Namun bukan semua orang sudi menerima teguran dan nasihat. Jadi, amaran ini diberikan dalam buku Amsal: “Jika kamu menegur ajar orang yang sombong, kamu akan dihina. Jika kamu menegur ajar orang jahat, kamu akan cedera. Jangan sekali-kali tegur ajar orang yang sombong; mereka akan membenci kamu.”​—Amsal 9:7, 8a.

Orang sombong membenci orang yang ingin membetulkan haluannya. Orang jahat pula tidak menghargai manfaat daripada teguran yang diberikan. Jadi, adalah sia-sia untuk mengajar kebenaran Bible kepada orang yang membenci kebenaran atau yang hanya ingin mencemuhnya! Semasa Rasul Paulus menginjil di Antiokhia, dia berjumpa dengan sekumpulan orang Yahudi yang membenci kebenaran. Mereka ingin bertikam lidah dengannya. Mereka mencelanya dan mengatakan perkara yang bertentangan dengan apa yang dikatakannya. Tetapi, Paulus menjawab, “Memandangkan kamu menolak firman Tuhan, kamu menjadikan diri sendiri tidak layak untuk menerima kehidupan kekal. Jadi kami akan pergi kepada bangsa-bangsa lain.”​—Kisah 13:45, 46.

Semasa menginjil, kita harus berhati-hati supaya tidak berdebat atau bertengkar dengan orang. Yesus Kristus mengajar pengikutnya: “Semasa kamu memasuki rumah orang, berikanlah salam kepada orang yang ada di dalam rumah itu. Jika mereka layak, mereka akan diberkati. Jika tidak, biarlah berkatmu kembali kepada kamu. Jika ada sesiapa yang tidak menerima kamu atau tidak mahu mendengar kata-kata kamu, kebaskanlah debu daripada kaki kamu semasa kamu meninggalkan rumah atau kota itu.”​—Matius 10:12-14.

Reaksi orang bijak terhadap nasihat adalah berbeza dengan orang yang sombong. Salomo berkata, “Jika kamu menegur ajar orang bijak, mereka akan menghormati kamu. Apa sahaja yang kamu katakan kepada orang bijak akan membuat orang itu lebih bijaksana.” (Amsal 9:8b, 9a) Orang bijak tahu bahawa disiplin yang diberikan akan “memedihkan hati dan tidak membawa sukacita. Tetapi kemudian, orang yang sudah dilatih menerusi disiplin akan menuai buah kedamaian, iaitu kehidupan yang diperkenankan Tuhan.” (Ibrani 12:11) Meskipun kita berasa sakit hati, teguran dapat menjadikan kita bijak. Jadi, patutkah kita membela diri atau berasa marah apabila ditegur?

‘Apa sahaja yang kamu ajarkan kepada orang yang taat kepada Tuhan akan menambah pengetahuan orang itu,’ kata Raja Salomo. (Amsal 9:9b) Tidak kira seseorang itu sangat bijak atau sudah tua, dia masih dapat terus memperoleh pengetahuan. Betapa gembiranya untuk melihat mereka yang lanjut usia menerima kebenaran dan membaktikan diri kepada Yehuwa! Marilah kita terus memupuk keinginan untuk menimba ilmu dan menggunakan daya pemikiran yang kita miliki.

Kamu Akan Panjang Umur

Semasa menonjolkan isi utama tentang topik yang dibincangkan, Salomo menyatakan perkara yang terpenting untuk mendapatkan hikmat. Dia menulis, ‘Jika kamu hendak menjadi bijaksana, pertamanya kamu mesti hormat dan takut kepada Yehuwa. Jika kamu kenal akan Yang Maha Suci, kamu akan memperoleh pengertian.’ (Amsal 9:10) Tanpa sikap hormat dan takut kepada Yehuwa, seseorang tidak akan mendapat kebijaksanaan daripada-Nya. Dia mungkin mempunyai banyak pengetahuan. Tetapi, jika dia tidak takut kepada Yehuwa, dia gagal menggunakan pengetahuan itu untuk memuliakan-Nya. Barangkali, dia akan membuat kesimpulan yang salah berdasarkan fakta yang diketahuinya. Hal ini menyebabkannya kelihatan bodoh. Sebaliknya, pengetahuan tentang Yehuwa Yang Maha Suci adalah penting untuk menjadi orang yang berpengertian dan bijak.

Apakah manfaatnya jika kita mempunyai kebijaksanaan? (Amsal 8:12-21, 35) Raja Israel berkata, “Hikmat akan menambah usia kamu.” (Amsal 9:11) Oleh sebab kebijaksanaan, seseorang akan panjang umur. Ya, “hikmat melindungi hidup orang yang memilikinya.”​—Pengkhutbah 7:12.

Kita masing-masing harus berusaha untuk mendapatkan hikmat. Salomo menegaskan, “Kamu sendiri yang akan beruntung jika kamu mempunyai hikmat. Tetapi jika kamu menolak hikmat, kamu sendiri juga yang akan rugi.” (Amsal 9:12) Orang yang bijak akan meraih manfaat, tetapi orang yang jahat akan menderita kerana perbuatannya sendiri. Kita akan menuai apa yang kita tanam. Jadi, semoga kita mendengarkan “apa yang bijaksana.”​—Amsal 2:2.

“Kebodohan bagaikan Perempuan yang Lancang”

Seterusnya, Salomo berkata, “Kebodohan bagaikan perempuan yang lancang, bebal, dan tidak tahu malu. Ia duduk di depan pintu rumahnya atau di tempat duduk di kawasan tertinggi di kota, lalu berseru kepada orang yang sedang lalu di situ, ‘Masuklah ke rumahku, hai kamu yang kurang pengalaman!’”​—Amsal 9:13-16a.

Kebodohan digambarkan sebagai seorang perempuan yang lancang, tidak berdisiplin, dan tidak peduli akan apa-apa pun. Dia seolah-olah membina rumah dan menjemput orang yang kurang berpengalaman untuk menyertainya. Orang yang dijemputnya itu mempunyai pilihan sama ada untuk mengikut haluan yang bijak atau haluan yang bodoh. Yang manakah pilihan mereka?

“Minuman yang Dicuri Lebih Manis”

Kebijaksanaan dan kebodohan diumpamakan sebagai manusia. Mereka menjemput orang: “Masuklah ke rumahku.” Namun, sajian mereka adalah berbeza. Kebijaksanaan menyajikan wain, daging, dan roti. Kebodohan pula seperti seorang perempuan yang lancang, yang cuba menarik hati orang. Salomo berkata, “Kepada orang bodoh ia berkata, ‘Minuman yang dicuri lebih manis, dan makan dengan sembunyi-sembunyi lebih enak.’”​—Amsal 9:16b, 17.

17-23 OKTOBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AMSAL 12-16

Mencari Permata Rohani

(Amsal 16:4) Segala yang dibuat Yehuwa ada tujuannya, dan tujuan bagi orang jahat adalah kebinasaan.

w07-IN 15/5 18-19

“Rancanganmu Akan Berjaya”

Sikap mementingkan diri menyebabkan kita untuk memberikan alasan apabila berbuat silap, cuba menyembunyikan sikap yang buruk, dan enggan mengakui kelakuan buruk dalam diri. Tetapi, Yehuwa tidak dapat diperdaya. Dia menyelidiki hati manusia. Kecenderungan mental seseorang berkait rapat dengan apa yang ada dalam hatinya. Pemikiran, perasaan, dan niat hati dapat mempengaruhi kecenderungan mental seseorang. Yehuwa memeriksa kecenderungan manusia, tanpa sikap berat sebelah. Jadi, adalah bijak untuk sentiasa menyelidiki kecenderungan hati dan minda kita.

‘Serahkanlah Segala Usahamu kepada Yehuwa’

Hati dan minda kita terlibat semasa kita membuat sesuatu rancangan. Selepas membuat rancangan, kita akan berusaha melaksanakannya. Adakah usaha kita akan membuahkan hasil? Salomo berkata, ‘Serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa, maka rancanganmu akan berjaya.’ (Amsal 16:3) Ungkapan ‘serahkanlah segala usahamu kepada Yehuwa’ bererti kita harus mempercayai-Nya, bergantung pada-Nya, dan seolah-olah membiarkan-Nya memikul beban kita. Seorang pemazmur berkata, ‘Serahkanlah hidupmu kepada Yehuwa, berharaplah kepada-Nya dan Dia akan menolong engkau.’​—Mazmur 37:5.

Jika rancangan kita adalah berdasarkan motif yang murni dan selaras dengan Firman Tuhan, kita pasti akan berjaya. Selain itu, kita perlu memohon bantuan Yehuwa dan berusaha untuk menerapkan nasihat Bible. Adalah penting untuk ‘menyerahkan kekhuatiran kita kepada Yehuwa,’ terutamanya apabila menghadapi cabaran atau kesusahan. Hal ini kerana, Yehuwa ‘akan membela kita’ dan “Dia tidak akan membiarkan orang jujur dikalahkan.”​—Mazmur 55:23.

‘Segala yang Dibuat Yehuwa Ada Tujuannya’

Apakah hasilnya apabila kita menyerahkan segala usaha kita kepada Yehuwa? Raja Salomo berkata, ‘Segala yang dibuat Yehuwa ada tujuannya.’ (Amsal 16:4a) Pencipta alam semesta ialah Tuhan yang mempunyai tujuan. Apabila kita bersandar pada-Nya, hidup kita tidak menjadi sia-sia, tetapi mempunyai makna dan tujuan. Tambahan lagi, Yehuwa mempunyai tujuan yang kekal bagi manusia dan bumi. (Efesus 3:11) Dia menciptakan bumi dan menjadikannya “tempat kediaman manusia.” (Yesaya 45:18) Tujuan asal-Nya bagi manusia pasti akan menjadi kenyataan. (Kejadian 1:28) Dengan mengabdikan diri kepada Tuhan yang benar, hidup kita akan sentiasa bermakna dan kita mempunyai harapan untuk hidup kekal.

Yehuwa juga mempunyai “tujuan bagi orang jahat.” (Amsal 16:4b) Tuhan tidak menciptakan orang yang jahat kerana “Dia sempurna dan adil dalam segala perkara.” (Ulangan 32:4) Namun, Dia membiarkan mereka hidup sampai waktu yang tepat untuk menghukum mereka. Contohnya, Yehuwa berkata kepada Firaun Mesir: “Aku membiarkan engkau hidup untuk menunjukkan kuasa-Ku kepadamu, supaya nama-Ku termasyhur di seluruh dunia.” (Keluaran 9:16) Sepuluh Tulah dan peristiwa di Laut Merah menunjukkan kuasa Tuhan yang tidak terhingga.

Yehuwa dapat melaksanakan tujuan-Nya menerusi orang jahat tanpa disedari oleh mereka. Seorang pemazmur berkata, “Hal ini demikian kerana kemarahan manusia akan mendatangkan pujian kepada-Mu; Engkau akan menghiasi diri-Mu dengan sisa kemarahan mereka.” (Mazmur 76:10, NW) Yehuwa mungkin mengizinkan musuh-Nya untuk menunjukkan “kemarahan mereka” terhadap penyembah-Nya. Tetapi, Yehuwa membenarkan hal ini berlaku untuk mengajar dan melengkapi umat-Nya. Sekiranya musuh terus menyebabkan umat-Nya menderita, Yehuwa akan mengambil tindakan.

Sememangnya, Yehuwa mendukung umat-Nya yang rendah hati. Bagaimana pula dengan orang yang sombong dan angkuh? Bible berkata, ‘Yehuwa membenci orang sombong; Dia tidak membiarkan mereka terlepas daripada hukuman.’ (Amsal 16:5) “Orang sombong” mungkin bersubahat dan saling membantu, tetapi mereka tidak dapat melepaskan diri daripada hukuman. Jadi, walaupun kita berpengetahuan, berkebolehan, atau memikul tanggungjawab dalam sidang, adalah bijak untuk terus memupuk sikap rendah hati.

‘Takut kepada Yehuwa’

Oleh sebab kita manusia yang berdosa, kita cenderung berbuat salah. (Roma 3:23; 5:12) Apakah yang dapat membantu kita menghindari haluan yang salah? Amsal 16:6 berkata, ‘Orang yang taat setia kepada Tuhan akan mendapat pengampunan. Orang yang hormat dan takut kepada Yehuwa akan terhindar daripada kejahatan.’ Disebabkan kasih dan kebaikan Yehuwa, Dia mengampuni dosa kita. Tetapi, jika kita mempunyai sikap takut kepada Tuhan, kita akan berusaha menjauhi perbuatan yang berdosa. Maka, kita harus menghargai kebaikan hati Tuhan, menunjukkan kasih terhadap-Nya, dan memupuk sikap takut kepada Tuhan.

Apabila kita berasa kagum dan hormat akan kuasa besar yang dimiliki Yehuwa, kita akan terdorong untuk memupuk sikap takut kepada-Nya. Renungkanlah hasil ciptaan Tuhan! Kuasa-Nya yang disingkapkan menerusi ciptaan-Nya membantu Ayub untuk membetulkan pemikirannya yang salah. (Ayub 42:1-6) Semasa membaca tentang cara Yehuwa memperlakukan umat-Nya dalam Bible, tidakkah hal itu mempengaruhi cara pemikiran kita? Seorang pemazmur bernyanyi, ‘Marilah dan lihatlah apa yang telah dilakukan Tuhan, perbuatan-Nya yang ajaib antara manusia.’ (Mazmur 66:5) Kita tidak harus mengambil kesempatan terhadap kasih Yehuwa yang setia. Orang Israel telah ‘memberontak terhadap-Nya dan menyedihkan hati-Nya. Oleh itu Yehuwa memusuhi dan melawan mereka.’ (Yesaya 63:10) Sebaliknya, jika seseorang ‘menyenangkan hati Yehuwa,’ bahkan ‘musuh-musuh dapat dijadikan-Nya kawan.’ (Amsal 16:7, nota kaki) Sesungguhnya, sikap takut akan Tuhan dapat melindungi kita!

“Lebih baik berpendapatan kecil asalkan halal, daripada berpendapatan besar tetapi haram,” kata Raja Salomo. (Amsal 16:8) Amsal 15:16 berkata, ‘Lebih baik miskin dan takut kepada Yehuwa, daripada kaya dan cemas.’ Ya, sikap hormat dan takut kepada Tuhan diperlukan supaya kita terus menempuh haluan yang benar.

‘Seseorang Mungkin Merancang Haluannya dalam Hati’

Manusia diciptakan dengan kebebasan untuk memilih. (Ulangan 30:19, 20) Dengan kurniaan ini, kita dapat mempertimbangkan pilihan yang ada dan membuat keputusan yang sesuai. Salomo menegaskan bahawa kita bertanggungjawab untuk membuat keputusan bagi diri sendiri. Dia berkata, “Seseorang mungkin merancang haluannya dalam hati, tetapi Yehuwalah yang akan membimbing langkahnya.” (Amsal 16:9, NW) Memandangkan Yehuwa dapat membimbing kita, adalah bijak jika kita memohon bantuan-Nya agar rancangan kita berjaya.

24-30 OKTOBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AMSAL 17-21

Mencari Permata Rohani

(Amsal 20:25) Fikirlah baik-baik sebelum menjanjikan korban kepada Tuhan supaya kamu tidak menyesal.

w09-IN 15/5 15-16 ¶12-13

Kaum Muda​—Biarlah Kemajuanmu Dilihat Oleh Semua Orang

Membuat Persediaan agar Perkahwinan Anda Berjaya

12 Sesetengah orang muda terburu-buru untuk berkahwin. Jika mereka berasa sepi, tidak bahagia, bosan, atau menghadapi masalah dengan keluarga, mereka berfikir bahawa semua ini dapat diselesaikan jika mereka berkahwin. Tetapi, ikrar perkahwinan ialah sesuatu yang serius. Beberapa orang pada zaman Bible membuat ikrar secara terburu-buru tanpa mempertimbangkan tanggungjawab yang berkaitan dengannya. (Baca Amsal 20:25.) Begitu juga, sesetengah anak muda tergesa-gesa untuk berkahwin. Tetapi kemudiannya, mereka mendapati bahawa ikrar mereka melibatkan lebih banyak tanggungjawab daripada yang disangka.

13 Jadi, sebelum mula berdating, tanyalah diri: Mengapakah saya ingin berkahwin? Apakah yang saya harapkan daripada perkahwinan saya? Adakah dia orang yang sesuai bagi saya? Apakah yang dapat saya lakukan untuk menjayakan perkahwinan saya? “Hamba yang setia dan bijaksana” telah menyediakan rencana berkenaan topik ini agar anda dapat menilai sama ada anda bersedia untuk berkahwin atau tidak. (Mat. 24:45-47) Renungkanlah nasihat yang terkandung dalam rencana tersebut, dan berusaha untuk menerapkannya. Bahan-bahan itu merupakan nasihat daripada Yehuwa. Kita ingin menunjukkan bahawa kita berpengertian, dan tidak “bodoh seperti kuda atau baghal.” (Mzm. 32:8, 9) Berusahalah untuk memahami tanggungjawab yang perlu dipikul dalam perkahwinan. Jika anda berasa bahawa anda sudah bersedia untuk berdating, ingatlah supaya kelakuan anda tetap murni.​—1 Tim. 4:12.

31 OKTOBER–6 NOVEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | AMSAL 22-26

Mencari Permata Rohani

(Amsal 24:27) Jangan bina rumah sebelum ladang kamu siap. Jangan dirikan rumah tangga sebelum kamu sanggup mencari nafkah.

w09-IN 15/10 12 ¶1

Pertanyaan Pembaca

Penulis buku Amsal memberikan nasihat ini kepada seorang pemuda: “Jangan bina rumah sebelum ladang kamu siap. Jangan dirikan rumah tangga sebelum kamu sanggup mencari nafkah.” Apakah maksud kata-kata hikmat ini? Seorang lelaki harus membuat persiapan yang baik sebelum berkahwin dan berumah tangga, kerana dia sedar akan tanggungjawab yang harus dilaksanakannya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi