Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
7-13 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 28-31
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 28:12-19) “Hai manusia fana, merataplah untuk raja Tirus. Sampaikanlah apa yang Aku, Raja Yehuwa, firmankan kepadanya, ‘Engkau pernah menjadi contoh kesempurnaan. Dahulu engkau sungguh bijak dan kacak! 13 Engkau tinggal di taman Eden, taman Tuhan. Pakaianmu dihiasi dengan segala jenis batu permata: delima, berlian, topaz, beril, sardis, jasper, nilam, zamrud, dan garnet. Engkau juga mempunyai perhiasan emas yang dibuat untukmu pada hari engkau diciptakan. 14 Aku menempatkan kerub yang menyeramkan di situ untuk menjaga engkau. Engkau tinggal di atas gunung-Ku yang suci dan berjalan di tengah-tengah batu permata yang berkilauan. 15 Kelakuanmu tidak bercela sejak engkau diciptakan sampai engkau mula berbuat jahat. 16 Engkau sibuk dengan perniagaanmu; hal itulah yang menyebabkan engkau menjadi kejam dan berdosa. Oleh itu Aku mengusir engkau dari gunung-Ku yang suci dan kerub yang menjaga engkau mengusir engkau dari tengah-tengah batu permata yang berkilauan itu. 17 Engkau sombong kerana rupamu yang kacak, dan engkau bertindak bodoh kerana engkau terkenal. Itulah sebabnya Aku membanting engkau ke tanah, dan menjadikan engkau sebagai amaran untuk raja-raja lain. 18 Perniagaanmu penuh dengan kecurangan sehingga tempat-tempat ibadatmu tercemar. Oleh itu Aku membakar kotamu sampai musnah. Semua orang yang memandang engkau sekarang hanya nampak abu. 19 Engkau sudah lenyap, hai raja Tirus! Engkau lenyap selama-lamanya! Semua bangsa yang mengenal engkau gerun kalau-kalau mereka juga akan mengalami kesudahanmu.’”
it-2-IN 767 per. 3-4
Kesempurnaan
Pendosa pertama dan raja Tirus. Setelah makhluk roh melakukan perbuatan berdosa, ketidaksempurnaan mula menular. Kemudiannya, keadaan yang serupa juga melanda manusia. Hal itu digambarkan oleh kata-kata Yesus di Yohanes 8:44 dan kisah yang tercatat di Kejadian bab 3. Walaupun ratapan di Yehezkiel 28:12-19 ditujukan kepada “raja Tirus,” kata-kata itu juga merujuk kepada haluan berdosa yang diambil oleh salah satu anak Tuhan di syurga. Kata-kata mengenai “raja Tirus,” yang digelar sebagai kerub [“yang berkawal,” NW], sememangnya merujuk kepada Syaitan Si Iblis. Misalnya, Syaitan bersikap sombong dan dipanggil “tuhan sistem dunia ini.” “Raja Tirus” juga bersikap angkuh dan menganggap diri sebagai tuhan. Selain itu, ayat ini menyebut tentang “taman Eden” dan ini berkait dengan Syaitan yang merupakan ular di Taman Eden.—1Ti 3:6; Kej 3:1-5, 14, 15; Why 12:9; 2Ko 4:4.
Raja Tirus, yang tidak disebutkan namanya, tinggal di sebuah kota mengaku dirinya sempurna [adjektif yang berkaitan dengan kata Ibr. ka·lalʹ], “sungguh bijak dan kacak,” dan ‘tidak bercela [Ibr. ta·mimʹ] sejak dia diciptakan sampai dia mula berbuat jahat.’ (Yeh 27:3; 28:12, 15) Sebenarnya, ratapan ini ditujukan kepada mereka yang menjadi pemerintah Tirus, dan bukannya kepada seorang pemerintah sahaja. (Bandingkan nubuat yang ditujukan kepada “raja Babilonia” yang tidak disebutkan namanya di Yes 14:4-20.) Barangkali, kata-kata tersebut merujuk kepada persahabatan dan kerjasama yang ditunjukkan oleh pemerintah Tirus pada zaman Raja Daud dan Salomo. Mereka bahkan memberikan sumbangan untuk pembinaan Rumah Yehuwa di Gunung Moria. Maka, para penguasa Tirus pada mulanya melayan umat Israel dengan baik. (1Ra 5:1-18; 9:10, 11, 14; 2Ta 2:3-16) Tetapi kemudiannya, para pemerintah Tirus mula menyimpang daripada haluan yang “tidak bercela.” Oleh itu, Yehuwa telah mengutus nabi-Nya seperti Yoel, Amos dan Yehezkiel untuk menyampaikan penghakiman Tuhan kepada mereka. (Yl 3:4-8; Amo 1:9, 10) Sememangnya, nubuat ini menggambarkan persamaan antara haluan yang dipilih “raja Tirus” dan Musuh utama Tuhan. Selain itu, nubuat ini menunjukkan bahawa erti perkataan “kesempurnaan” dan “tidak bercela” mempunyai batasnya.
14-20 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 32-34
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 34:23) Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka.
w07-IN 1/4 26 per. 3
Dengan Rendah Hati Tunduk kepada Gembala yang Pengasih
3 Nubuat di Yesaya 40:10, 11 menggambarkan cara Yehuwa menggembala umat-Nya dengan lemah lembut. (Mazmur 23:1-6) Semasa Yesus di bumi, dia juga memperlihatkan keprihatinan terhadap pengikutnya dan orang lain. (Matius 11:28-30; Markus 6:34) Yehuwa dan Yesus membenci sikap pemimpin agama Israel yang mengabaikan kawanan dan mengambil kesempatan terhadap mereka. (Yehezkiel 34:2-10; Matius 23:3, 4, 15) Yehuwa berjanji, “Aku akan menyelamatkan domba-domba-Ku dan tidak akan membiarkan mereka diperlakukan dengan kejam lagi. Aku akan menghakimi setiap domba-Ku dan memisahkan yang baik daripada yang jahat. Aku akan melantik seorang raja seperti Daud, hamba-Ku, untuk menjadi satu-satunya gembala mereka, dan dia akan memelihara mereka.” (Yehezkiel 34:22, 23) Yesus Kristus merupakan Daud yang Lebih Agung. Pada penghujung zaman ini, Yesus dilantik sebagai “satu-satunya gembala” untuk menjaga kaum terurap dan “biri-biri lain.”—Yohanes 10:16.
21-27 OGOS
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 35-38
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 36:20, 21) Ke mana sahaja mereka pergi, mereka mencemarkan nama-Ku yang suci kerana orang berkata, ‘Lihatlah, mereka umat Yehuwa, tetapi mereka terpaksa meninggalkan negeri yang diberikan-Nya kepada mereka.’ 21 Aku mengambil berat terhadap nama-Ku yang suci, yang telah dicemarkan oleh orang Israel ke mana sahaja mereka pergi.
w02-IN 15/6 20 per. 12
Pelajari dan Ajarkan Prinsip Moral Bible
12 Rasul Paulus menjelaskan sebab utama untuk mempelajari dan menerapkan prinsip moral yang anda temui dalam Bible. Tingkah laku orang Israel yang buruk membawa celaan kepada Yehuwa. Hal ini sama seperti yang dikatakan dalam Bible: “Kamu berbangga kerana memiliki hukum, tetapi mengapakah kamu memalukan Tuhan dengan melanggar Hukum? Tepat seperti yang tertulis, ‘Kerana kamu, nama Tuhan kini dihina oleh bangsa-bangsa lain.’” (Roma 2:23, 24) Prinsip moral dalam Bible ditetapkan oleh Tuhan. Jika kita enggan menurutinya, kita menunjukkan bahawa kita tidak menghormati Yehuwa. Sebaliknya, kita mengharumkan nama-Nya jika kita menjunjung prinsip-Nya. (Yesaya 52:5; Yehezkiel 36:20) Dengan menyedari hal ini, anda dapat menguatkan tekad anda untuk mengikut prinsip moral Bible semasa menghadapi godaan atau situasi yang mencabar. Tambahan lagi, kata-kata Paulus menyerlahkan satu lagi pengajaran yang penting. Kita bukan hanya memastikan kelakuan kita memuliakan Yehuwa, tetapi kita juga ingin membantu orang lain berbuat demikian. Bantulah mereka untuk sedar bahawa keputusan mereka untuk mengikut atau menolak prinsip Bible akan mempengaruhi nama Yehuwa. Prinsip moral Bible bukan sekadar membantu kita meraih kepuasan dan melindungi kita, tetapi mencerminkan Individu yang telah menetapkan prinsip-prinsip tersebut.—Mazmur 74:10; Yakobus 3:17.
28 OGOS–3 SEPTEMBER
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | YEHEZKIEL 39-41
Mencari Permata Rohani
(Yehezkiel 39:7) Aku akan memastikan Israel, umat-Ku, kenal akan nama-Ku yang suci, dan Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemarkan lagi. Barulah bangsa-bangsa tahu bahawa Akulah Yehuwa, Tuhan Israel, Tuhan yang suci.”
w12-IN 1/9 21 per. 2
‘Bangsa-Bangsa Tahu bahawa Akulah Yehuwa’
“Aku tidak akan membiarkan nama-Ku dicemarkan lagi,” kata Yehuwa. Apabila manusia menyalahkan Tuhan atas perkara buruk yang berlaku, hal itu memburukkan nama-Nya. Mengapa? Dalam Bible, “nama” juga merangkumi reputasi seseorang. Sebuah rujukan mengatakan bahawa nama Tuhan mewakili “diri-Nya, kemasyhuran-Nya, dan penghormatan-Nya.” Nama Yehuwa berkait rapat dengan reputasi-Nya. Yehuwa sangat membenci ketidakadilan! Dia juga berbelas kasihan terhadap mereka yang ditindas. (Keluaran 22:22-24) Jadi, apabila manusia mendakwa bahawa Tuhanlah yang bertanggungjawab atas perkara buruk yang berlaku, hal itu merosakkan reputasi-Nya. Mereka telah menghina nama Yehuwa.—Mazmur 74:10.