Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
1-7 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 1-3
“Kerajaan di Syurga Sudah Dekat”
(Matius 3:1, 2) Pada masa itu, Yohanes Pembaptis menyebarkan berita di padang belantara Yudea. 2 “Bertaubatlah kerana Kerajaan di syurga sudah dekat,” katanya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 3:1, 2
menyebarkan berita: Kata Yunani bagi ungkapan ini bermaksud “membuat pengumuman selaku utusan kepada masyarakat umum.” Perkataan ini menekankan cara pengumuman dibuat, iaitu biasanya secara umum kepada orang ramai, dan bukannya khutbah kepada sekumpulan orang.
Kerajaan: Kali pertama perkataan Yunani ba·si·leiʹa muncul, yang merujuk kepada kerajaan diraja serta kawasan dan rakyat di bawah pemerintahan seorang raja. Perkataan Yunani ini muncul 162 kali dalam Kitab Yunani Kristian, dan 55 daripadanya boleh dijumpai dalam buku Matius dan sering kali merujuk kepada pemerintahan Tuhan di syurga. Oleh sebab Matius menggunakan istilah ini dengan begitu kerap, bukunya boleh digelar sebagai buku Berita Baik Kerajaan Tuhan.
Kerajaan di syurga: Ungkapan ini muncul kira-kira 30 kali dan hanya digunakan dalam buku Matius. Dalam buku Markus dan Lukas, frasa “Kerajaan Tuhan” digunakan untuk menunjukkan bahawa “Kerajaan Tuhan” terletak di syurga rohani dan memerintah dari situ.—Mt 21:43; Mr 1:15; Lu 4:43; Da 2:44; 2Ti 4:18.
sudah dekat: Bermaksud bahawa Pemerintah Kerajaan Tuhan di syurga bakal muncul.
(Matius 3:4) Pakaian Yohanes diperbuat daripada bulu unta dan tali pinggangnya diperbuat daripada kulit, manakala makanannya ialah belalang dan madu hutan.
nwtsty media
Pakaian dan Penampilan Yohanes Pembaptis
Yohanes memakai baju yang ditenun daripada bulu unta dan tali pinggang yang diperbuat daripada kulit, yang boleh digunakan untuk menyimpan barang yang kecil. Baju seperti itu juga dipakai oleh Nabi Elia. (2Ra 1:8) Kain bulu unta ialah kain kasar yang biasanya dipakai oleh orang miskin. Sebaliknya, pakaian mewah yang diperbuat daripada sutera atau linen dipakai oleh orang kaya. (Mt 11:7-9) Memandangkan Yohanes ialah orang Nazir, rambutnya mungkin tidak pernah dipotong. Pakaian dan penampilannya menunjukkan bahawa dia hidup sederhana dan mengabdikan diri untuk melakukan kehendak Tuhan.
Belalang
Dalam Bible, istilah “belalang” boleh merujuk kepada mana-mana belalang yang mempunyai sesungut atau antena yang pendek, khususnya belalang yang berhijrah dalam kawanan besar. Menurut satu analisis yang dibuat di Yerusalem, belalang gurun terdiri daripada 75 peratus protein. Apabila belalang digunakan sebagai makanan hari ini, bahagian kepala, kaki, sayap, dan abdomen akan dibuang. Bahagian toraks pula dimakan secara mentah atau dimasak. Rasa serangga ini dikatakan seperti udang atau ketam, dan kaya dengan protein.
Madu Hutan
Gambar menunjukkan sarang yang dibina oleh lebah madu hutan (1) dan bahagian sarang yang penuh dengan madu (2). Madu yang dimakan Yohanes mungkin dihasilkan oleh sejenis lebah liar yang dikenali sebagai Apis mellifera syriaca, yang biasa dijumpai di kawasan itu. Lebah ini bersifat agresif dan dapat menyesuaikan diri dengan cuaca panas dan kering di padang belantara Yudea, tetapi tidak sesuai diternak. Namun, seawal abad kesembilan SM, penduduk Israel menyimpan lebah madu di dalam bekas tanah liat. Sebilangan besar sisa sarang-sarang ini dijumpai di bahagian tengah sebuah kawasan bandar (kini dikenali sebagai Tel Rehov), yang terletak di Lembah Yordan. Madu daripada sarang-sarang ini dihasilkan oleh sejenis lebah yang mungkin diimport dari Turki.
Mencari Permata Rohani
(Matius 1:3) Yehuda ialah bapa Perez dan Zerah, dan ibu mereka ialah Tamar; Perez ialah bapa Hezron; Hezron ialah bapa Ram;
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 1:3
Tamar: Terdapat nama lima wanita yang disenaraikan dalam salasilah Mesias dalam buku Matius. Tamar ialah wanita pertama yang dicatatkan dalam senarai itu. Wanita-wanita lain termasuk Rahab dan Rut, yang bukan berbangsa Israel (ayat 5); Bat-syeba, “isteri Uria” (ayat 6); dan Maria (ayat 16). Biasanya, hanya nama lelaki disenaraikan dalam salasilah keluarga. Tetapi, nama wanita-wanita ini turut dimasukkan kerana terdapat sesuatu yang menarik tentang bagaimana mereka menjadi nenek moyang Yesus.
(Matius 3:11) Aku membaptis kamu dengan air kerana kamu sudah bertaubat, tetapi dia yang datang selepas aku akan membaptis kamu dengan kuasa suci Tuhan dan api. Dia lebih berkuasa daripada aku, dan aku tidak layak untuk menanggalkan kasutnya.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 3:11
membaptis kamu: Atau “membenamkan kamu.” Kata Yunani ba·ptiʹzo bermaksud “mencelupkan.” Bahagian lain dalam Bible menunjukkan bahawa pembaptisan bererti seseorang dibenamkan sepenuhnya dalam air. Pernah sekali, Yohanes membaptis orang di Lembah Yordan berdekatan Salim “kerana tempat itu mempunyai banyak air.” (Yoh 3:23) Semasa Filipus membaptis seorang sida-sida dari Etiopia, mereka berdua “turun ke dalam air.” (Kis 8:38) Kata Yunani yang sama digunakan dalam Septuagint di 2Ra 5:14 untuk menerangkan bahawa Naaman “membenamkan dirinya sebanyak tujuh kali ke dalam air sungai.”
8-14 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 4-5
“Pengajaran daripada Ceramah Di Atas Gunung”
(Matius 5:3) “Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka, kerana Kerajaan di syurga milik mereka.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 5:3
Berbahagialah: Bukan sekadar perasaan gembira seperti semasa seseorang menikmati kegiatan yang digemari. Sebaliknya, perkataan ini digunakan untuk menggambarkan keadaan seseorang yang diberkati oleh Tuhan dan yang disenangi-Nya. Istilah ini digunakan untuk menggambarkan Tuhan, dan juga Yesus dalam kedudukannya yang mulia di syurga.—1Ti 1:11; 6:15.
orang yang sedar akan keperluan rohani mereka: Dalam bahasa Yunani, ungkapan “orang yang sedar” secara harfiah bererti “orang yang miskin (berkeperluan; hidup melarat; mengemis).” Dalam konteks ini, ungkapan ini digunakan untuk merujuk kepada mereka yang berkeperluan dan yang sedar akan keperluan itu. Perkataan yang sama digunakan untuk “pengemis” yang bernama Lazarus di Lu 16:20, 22. Frasa Yunani yang digunakan dalam beberapa terjemahan membawa maksud orang yang sedar bahawa mereka sangat miskin secara rohani dan benar-benar memerlukan Tuhan.
(Matius 5:7) “Berbahagialah orang yang berbelas kasihan, kerana mereka akan mendapat belas kasihan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 5:7
berbelas kasihan: Penggunaan istilah Bible “berbelas kasihan” dan “belas kasihan” tidak terhad kepada pengampunan atau hukuman yang lebih ringan. Sering kali, istilah ini menggambarkan perasaan simpati dan kasihan yang menggerakkan seseorang untuk membantu mereka yang memerlukannya.
(Matius 5:9) “Berbahagialah orang yang berusaha mewujudkan kedamaian, kerana mereka akan disebut anak-anak Tuhan.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 5:9
orang yang berusaha mewujudkan kedamaian: Mereka yang bukan sahaja mengekalkan kedamaian malahan berusaha mewujudkan suasana yang damai.
w07-IN 1/12 17
Ajarlah Anak Anda untuk Mencintai Kedamaian
Sememangnya, ibu bapa Kristian ingin mengajar anak mereka untuk ‘berusaha mendapatkan dan mengekalkan kedamaian.’ (1 Petrus 3:11) Untuk mewujudkan kedamaian, kita perlu menyingkirkan perasaan curiga, kekecewaan, dan kebencian. Usaha sebegini memang berbaloi kerana orang yang mencintai kedamaian akan menikmati kebahagiaan.
Mencari Permata Rohani
(Matius 4:9) Lalu Iblis berkata kepadanya, “Semua ini akan aku berikan kepadamu jika kamu sujud dan menyembah aku.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 4:9
menyembah aku: Kata kerja bahasa Yunani yang boleh diterjemahkan sebagai “menyembah” membawa erti perbuatan yang tidak dilakukan secara berterusan tetapi untuk seketika sahaja. Hal ini bererti Si Iblis bukannya mahu Yesus terus menyembahnya. Sebaliknya, dia ingin Yesus menyembahnya sekali sahaja (lihat juga nota kaki).
(Matius 4:23) Yesus menjelajah seluruh kawasan Galilea dan mengajar di rumah-rumah ibadat orang Yahudi. Dia menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan dan menyembuhkan setiap masalah kesihatan dan setiap jenis penyakit yang dihidapi orang ramai.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 4:23
mengajar . . . menyebarkan berita: Perbuatan mengajar berbeza daripada menyebarkan berita kerana orang yang mengajar tidak sekadar mengumumkan berita. Dia juga mendidik, menjelaskan, mengemukakan hujah yang meyakinkan, dan memberikan bukti.
15-21 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 6-7
“Utamakanlah Kerajaan Tuhan”
(Matius 6:10) Datanglah Kerajaan-Mu. Semoga kehendak-Mu terlaksana di bumi seperti di syurga.
Menghampiri Tuhan Melalui Doa
12 Hal-hal yang berkaitan dengan Tuhan Yehuwa patut diberi keutamaan dalam doa-doa kita. Sememangnya, kita mempunyai banyak sebab untuk memberi pujian dan kesyukuran atas segala kebaikan-Nya terhadap kita. (1 Tawarikh 29:10-13) Doa contoh yang diberikan oleh Yesus tercatat di Matius 6:9-13. Dalam doa itu, dia mengajar kita untuk berdoa agar nama Tuhan disucikan. Seterusnya, dia berdoa agar pemerintahan atau Kerajaan Tuhan datang dan kehendak-Nya dilakukan di bumi seperti di syurga. Hanya setelah Yesus menyentuh hal-hal penting yang berkaitan dengan Yehuwa, barulah dia memberikan perhatian kepada hal-hal peribadi. Seperti Yesus, jika kita mengutamakan Tuhan dalam doa kita, kita menunjukkan bahawa kita tidak mengambil berat akan kesejahteraan diri sendiri sahaja.
(Matius 6:24) “Tiada seorang pun dapat menjadi hamba kepada dua orang tuan; dia akan membenci yang seorang dan mengasihi yang seorang lagi, atau dia akan setia kepada yang seorang tetapi menghina yang seorang lagi. Kamu tidak dapat menjadi hamba Tuhan dan hamba Kekayaan pada masa yang sama.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 6:24
menjadi hamba: Kata kerja Yunani bagi ungkapan ini bermaksud bekerja sebagai hamba, iaitu, seseorang yang dimiliki oleh seorang tuan sahaja. Yesus menyatakan bahawa seorang Kristian tidak dapat menyembah Tuhan dengan sepenuh hati dan pada masa yang sama sibuk mengumpulkan harta benda.
(Matius 6:33) “Maka, hendaklah kamu sentiasa mengutamakan Kerajaan Tuhan dan apa yang benar di mata-Nya, dan semua perkara itu akan diberikan kepada kamu.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 6:33
hendaklah kamu sentiasa: Kata kerja Yunani bagi ungkapan ini menunjukkan perbuatan yang berterusan dan boleh diterjemahkan sebagai “teruslah.” Pengikut Yesus yang sejati tidak akan mengutamakan Kerajaan Tuhan buat seketika waktu kemudian mengalihkan tumpuan kepada perkara lain. Sebaliknya, mereka mesti sentiasa mengutamakannya dalam kehidupan.
apa yang benar di mata-Nya: Mereka yang mengutamakan apa yang benar di mata Tuhan bersedia melakukan kehendak-Nya dan mengikut piawaian-Nya tentang apa yang betul dan salah. Ajaran ini jauh berbeza daripada ajaran orang Farisi yang ingin menentukan sendiri apa yang betul dan salah.—Mt 5:20.
Utamakanlah Kerajaan Tuhan, Bukannya Kebendaan
18 Baca Matius 6:33. Pengikut Kristus harus selalu mengutamakan Kerajaan Tuhan. Dengan berbuat demikian, Yesus berkata bahawa “semua perkara itu akan diberikan” kepada mereka. Mengapakah Yesus berkata demikian? Dalam ayat yang sebelumnya, Yesus menerangkan, “Bapa kamu yang di syurga tahu bahawa kamu memerlukan semua perkara ini.” “Semua perkara ini” merujuk kepada keperluan harian kita. Yehuwa tahu bahawa kita memerlukan makanan, pakaian, dan tempat tinggal. (Flp. 4:19) Yehuwa bahkan tahu bila kita memerlukan baju yang baru. Dia juga tahu jenis makanan yang kita perlukan serta tempat tinggal yang sesuai bagi keluarga kita. Yehuwa akan memastikan bahawa kita memiliki apa yang kita perlukan.
Mencari Permata Rohani
(Matius 7:12) “Maka, semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka. Sebenarnya, inilah yang dimaksudkan dalam Hukum dan Ajaran Para Nabi.
Menginjil dengan Sopan dan Bertimbang Rasa
14 Bayangkan anda menerima panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali. Dia terus menanya tentang makanan kegemaran anda. Sudah tentu anda berasa bingung dan tertanya, “Siapa orang ini dan apa yang dia mahu?” Anda mungkin berbual sebentar dengannya dan kemudian cuba mengakhiri perbualan tersebut dengan sopan. Sekarang, bayangkan anda menerima panggilan telefon yang sama. Tetapi kali ini dia memperkenalkan dirinya dengan sopan dan menjelaskan bahawa dia bekerja dalam bidang pemakanan. Dia memberitahu anda bahawa dia mempunyai maklumat yang bermanfaat. Sudah pasti, anda lebih sudi mendengarnya. Kita sememangnya suka bercakap dengan orang yang berterus terang dan sopan. Jadi, bagaimanakah kita boleh menunjukkan kesopanan semasa menginjil?
15 Di banyak tempat, kita patut menjelaskan tujuan lawatan kita kepada penghuni rumah terlebih dahulu. Memang benar kita mempunyai maklumat yang berharga bagi mereka. Tetapi bayangkan jika kita tidak memperkenalkan diri dan memulakan penyampaian secara terburu-buru dengan menanya soalan seperti, “Jika anda mempunyai kuasa, apakah masalah dunia yang anda ingin selesaikan?” Tujuan kita menanya soalan ini adalah untuk mengetahui pendapatnya dan kemudian membantunya dengan menggunakan Bible. Namun, penghuni rumah mungkin tertanya, “Siapakah orang ini, dan mengapakah dia tanya saya soalan ini? Apakah maksud semua ini?” Sudah tentu, kita ingin agar penghuni rumah menikmati perbualan dengan kita. (Flp. 2:3, 4) Bagaimanakah kita boleh berbuat demikian?
16 Seorang penyelia lawatan menggunakan satu pendekatan yang berkesan. Selepas memberikan salam dan memperkenalkan diri, dia memberikan risalah Adakah Anda Ingin Mengetahui Kebenaran? dan berkata, “Kami memberikan risalah ini kepada setiap orang di sini. Risalah ini membincangkan enam soalan yang menarik. Risalah ini untuk anda.” Saudara itu berkata bahawa setelah mengetahui tujuan kita datang, mereka berasa lebih selesa untuk meneruskan perbualan. Kemudian, penyelia lawatan itu bertanya, “Pernahkah anda terfikir tentang mana-mana soalan yang tertera di sini?” Jika penghuni rumah memilih salah satu soalan, saudara itu akan membuka risalah dan membincangkan ajaran Bible tentang soalan yang dipilih. Jika tidak, saudara itu sendiri akan memilih soalan dan berbincang bersama penghuni rumah tanpa membuatnya berasa malu. Sudah tentu, terdapat pelbagai cara untuk memulakan perbualan. Di sesetengah tempat, kita harus mengikut kebiasaan tempatan dengan memberikan salam dahulu sebelum memulakan penyampaian. Adalah penting untuk menyesuaikan pendekatan agar orang lebih sudi mendengar berita baik yang kita sampaikan.
(Matius 7:28, 29) Setelah Yesus mengatakan perkara-perkara ini, orang ramai sangat kagum dengan cara dia mengajar. 29 Hal ini demikian kerana dia mengajar mereka sebagai seorang yang berwibawa dan bukan seperti jurutulis hukum mereka.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 7:28, 29
sangat kagum: Kata kerja Yunani yang digunakan di sini boleh bererti “dipenuhi rasa kagum sehingga berasa amat terharu.” Ungkapan Yunani yang digunakan di sini menunjukkan bahawa kata-kata Yesus meninggalkan kesan yang berkekalan kepada pendengarnya.
cara dia mengajar: Ungkapan ini bukan sahaja merujuk kepada cara Yesus mengajar, tetapi juga merangkumi apa yang diajarnya, iaitu semua ajaran yang disampaikan dalam Ceramah Di Atas Gunung.
bukan seperti jurutulis hukum mereka: Yesus tidak memetik kata-kata rabbi (guru) yang disanjung orang, seperti yang biasa dilakukan oleh para jurutulis hukum. Sebaliknya, Yesus bercakap selaku wakil Yehuwa, iaitu sebagai seorang yang berwibawa, dan mengajar berdasarkan Firman Tuhan.—Yoh 7:16.
22-28 JANUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 8-9
“Yesus Mengasihi Manusia”
(Matius 8:1-3) Setelah Yesus turun dari gunung, banyak orang mengikutnya. 2 Kemudian, seorang pesakit kusta datang lalu sujud kepadanya. Dia merayu, “Tuan, jika Tuan rela, Tuan dapat menyembuhkan aku.” 3 Yesus menghulurkan tangannya lalu menyentuh lelaki itu sambil berkata, “Aku rela. Sembuhlah!” Dengan serta-merta penyakit kustanya hilang.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 8:3
lalu menyentuh lelaki itu: Hukum Musa mewajibkan pesakit kusta diasingkan supaya orang lain tidak dijangkiti. (Im 13:45, 46; Bil 5:1-4) Namun, pemimpin agama Yahudi menetapkan peraturan tambahan. Misalnya, tiada sesiapa pun dibenarkan menghampiri pesakit kusta pada jarak empat hasta, iaitu kira-kira 1.8 m (6 kaki). Jika angin bertiup dengan kencang pada hari itu, jarak yang ditetapkan ialah 100 hasta, iaitu, kira-kira 45 m (150 kaki). Peraturan sedemikian menyebabkan pesakit kusta dilayan dengan teruk. Sesetengah orang mengagungkan perbuatan seorang rabbi yang mengelak daripada pesakit kusta dan seorang lagi yang melemparkan batu pada mereka supaya mereka tidak menghampirinya. Namun Yesus sangat berbeza. Dia begitu mengasihani pesakit kusta yang menderita itu lalu menyentuhnya. Perbuatannya mungkin mengejutkan orang Yahudi lain. Dia berbuat demikian biarpun dia dapat menyembuhkan pesakit kusta itu hanya dengan satu perintah.—Mt 8:5-12.
Aku rela: Yesus bukan sahaja menunaikan permintaan itu tetapi dia menunjukkan bahawa dia benar-benar mahu berbuat demikian. Hal ini membuktikan bahawa dia tidak sekadar menjalankan kewajipan.
(Matius 9:9-13) Kemudian, Yesus beredar dari situ. Dalam perjalanannya, dia nampak seorang lelaki bernama Matius yang sedang duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Jadilah pengikutku.” Maka Matius pun berdiri lalu mengikutnya. 10 Semasa Yesus makan di rumah Matius, ramai pemungut cukai dan pendosa datang lalu makan bersama Yesus dan murid-muridnya. 11 Orang Farisi melihat hal ini dan bertanya kepada murid-muridnya, “Mengapakah guru kamu makan bersama pemungut cukai dan pendosa?” 12 Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang yang memerlukan doktor bukannya orang yang sihat, tetapi orang yang sakit. 13 Pergilah dan belajarlah maksud kata-kata ini: ‘Aku mahukan belas kasihan, bukannya korban.’ Aku datang untuk memanggil pendosa, bukannya orang yang alim.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 9:10
makan: Pada zaman Bible, semasa makan, orang berbaring di atas kerusi panjang sambil bersandar pada satu siku. Mereka yang makan bersama dalam cara ini menunjukkan bahawa mereka merupakan sahabat yang rapat. Maka, orang Yahudi pada zaman Yesus biasanya tidak makan bersama orang bukan Yahudi.
pemungut cukai: Ramai orang Yahudi memungut cukai untuk kerajaan Roma. Orang ramai membenci para pemungut cukai kerana mereka bukan sahaja bekerjasama dengan kuasa asing tetapi mereka juga memeras orang untuk membayar kadar cukai yang lebih tinggi. Secara lazim, orang Yahudi menjauhkan diri daripada pemungut cukai dan menganggap mereka sama seperti pendosa dan pelacur.—Mt 11:19; 21:32.
(Matius 9:35-38) Yesus menjelajah ke semua kota dan pekan. Dia mengajar di rumah ibadat dan menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan. Dia juga menyembuhkan semua penyakit dan masalah kesihatan. 36 Apabila dia melihat orang ramai, dia berasa kasihan terhadap mereka kerana mereka ditindas dan diabaikan seperti biri-biri tanpa gembala. 37 Dia berkata kepada murid-muridnya, “Tuaian memang banyak, tetapi pekerja hanya sedikit. 38 Jadi, rayulah Pemilik tuaian supaya menghantar pekerja untuk mengumpulkan tuaian.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 9:36
berasa kasihan: Kata kerja Yunani splag·khniʹzo·mai yang digunakan untuk ungkapan ini berkait dengan kata untuk “usus” (splagʹkhna), dan bermaksud emosi yang mendalam. Dalam bahasa Yunani, kata ini menggambarkan perasaan belas kasihan yang amat mendalam.
Mencari Permata Rohani
(Matius 8:8-10) Tetapi pegawai tentera itu menjawab, “Tuan, aku tidak layak menyambut Tuan ke dalam rumahku. Perintahkanlah sahaja, tentu hambaku akan sembuh. 9 Aku pun menurut perintah orang lain dan aku juga mempunyai askar-askar yang menurut perintahku. Semasa aku menyuruh seorang askar, ‘Pergilah!’ dia pun pergi. Apabila aku menyuruh askar lain, ‘Datanglah!’ dia pun datang. Apabila aku menyuruh hambaku, ‘Buatlah ini!’ dia pun melakukannya.” 10 Yesus kagum semasa mendengar kata-katanya lalu memberitahu orang yang mengikutnya, “Sesungguhnya aku berkata kepada kamu: Aku belum pernah menjumpai sesiapa pun di Israel yang mempunyai iman sebesar iman orang ini.
w02-IN 15/8 13 per. 16
“Aku Sudah Menetapkan Teladan untuk Kamu”
16 Pada suatu ketika, seorang pegawai tentera yang bukan berbangsa Yahudi menghampiri dan memohon Yesus untuk menyembuhkan hambanya yang sakit. Besar kemungkinan, pegawai tentera pada masa itu terlibat dalam banyak perkara yang kejam, pertumpahan darah, dan ibadat palsu. Walaupun Yesus tahu bahawa pegawai itu mungkin pernah melakukan hal-hal sedemikian, dia bertumpu kepada sifat baik lelaki itu, iaitu imannya yang teguh. (Matius 8:5-13) Begitu juga, Yesus tidak menegur penjahat yang digantung pada tiang seksaan di sebelahnya. Sebaliknya, Yesus menggalakkannya dengan harapan masa depan. (Lukas 23:43) Yesus tahu bahawa sikap suka mengkritik orang lain hanya membuat mereka tawar hati. Sudah pasti, usahanya untuk mencari hal-hal positif dalam diri orang lain mendorong banyak orang untuk membuat perubahan dalam kehidupan.
(Matius 9:16, 17) Tiada orang yang mengambil kain baharu untuk menampal pakaian yang lama, kerana kain baharu itu akan mengecut dan mengakibatkan koyakan yang lebih besar. 17 Demikian juga, orang tidak akan menyimpan wain baharu dalam kirbat lama. Jika tidak, kirbat akan pecah, wain akan tumpah, dan kirbat itu pun rosak. Sebaliknya orang selalu menyimpan wain baharu dalam kirbat baharu, supaya kedua-duanya terpelihara.”
Mengapakah Murid-Murid Yesus Tidak Berpuasa?
Yesus mahu membantu murid-murid Yohanes untuk memahami bahawa adat-adat agama Yahudi, seperti adat berpuasa, tidak lagi mendapat perkenan Tuhan dan akan dimansuhkan. Ibadat mereka itu sarat dengan adat istiadat manusia dan bagaikan pakaian lama yang sudah koyak. Sememangnya, Yesus tidak akan “mengambil kain baharu untuk menampal pakaian yang lama” atau “menyimpan wain baharu dalam kirbat lama” yang sudah keras.
29 JANUARI–4 FEBRUARI
HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | MATIUS 10-11
“Yesus Memberikan Kesegaran”
(Matius 10:29, 30) Bukankah dua ekor burung pipit dijual dengan mata wang yang kecil nilainya? Meskipun demikian, tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa diketahui oleh Bapa kamu. 30 Sebenarnya, bahkan rambut di kepala kamu sudah dihitung.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 10:29, 30
burung pipit: Kata Yunani strou·thiʹon membawa maksud mana-mana burung yang kecil, tetapi sering kali merujuk kepada burung pipit, iaitu burung paling murah yang dijual sebagai makanan.
dengan mata wang yang kecil nilainya: Harfiah, ‘satu asarion,’ iaitu upah untuk kerja yang dilakukan selama 45 minit. (Lihat Lampiran B14.) Pada masa itu, semasa Yesus mengunjungi Galilea buat kali ketiga, dia berkata bahawa dua ekor burung pipit berharga satu asarion. Pada waktu yang lain, nampaknya kira-kira setahun kemudian semasa menginjil di Yudea, Yesus berkata bahawa lima ekor burung pipit boleh dibeli dengan harga dua asarion. (Lu 12:6) Dengan membandingkan kedua-dua kisah ini, kita belajar bahawa para pedagang menganggap burung pipit begitu rendah nilainya sehingga mereka boleh memberikan burung kelima secara percuma.
bahkan rambut di kepala kamu sudah dihitung: Secara purata, terdapat lebih daripada 100,000 helai rambut di kepala manusia. Pengetahuan Yehuwa yang mendalam tentang perincian sebegini membuktikan bahawa Dia sangat prihatin terhadap setiap pengikut Kristus.
nwtsty media
Burung Pipit
Antara semua burung, burung pipitlah yang paling murah dijual sebagai makanan. Dua ekor burung pipit boleh dibeli dengan upah untuk kerja yang dilakukan selama 45 minit. Istilah Yunani yang diterjemahkan sebagai “burung pipit” boleh merangkumi beraneka burung kecil, termasuk burung pipit rumah (Passer domesticus biblicus) dan burung pipit Sepanyol (Passer hispaniolensis), yang masih terdapat di Israel.
(Matius 11:28) Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu.
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 11:28
memikul beban yang berat: Mereka yang dipelawa oleh Yesus untuk datang kepadanya berasa khuatir dan lelah. Ibadat mereka kepada Yehuwa telah menjadi suatu beban akibat tradisi manusia yang telah ditambahkan dalam Hukum Musa. (Mt 23:4) Bahkan hari Sabat yang sepatutnya membawa kesegaran telah menjadi beban.—Kel 23:12; Mr 2:23-28; Lu 6:1-11.
aku akan menyegarkan kamu: Kata Yunani untuk “menyegarkan” boleh merujuk kepada rehat (Mt 26:45; Mr 6:31) dan juga berhenti menjalankan kerja keras agar dapat pulih dan memperoleh semula tenaga (2Ko 7:13; Flm 7). Konteks di sini menunjukkan bahawa memikul “kuk” Yesus (Mt 11:29) melibatkan kerja, dan bukannya rehat. Ayat ini menggunakan kata kerja Yunani dalam bentuk aktif dan Yesus ialah subjeknya. Hal ini bermaksud bahawa Yesus mencergaskan dan memulihkan semangat orang yang letih lesu supaya mereka mahu memikul kuknya yang ringan dan senang dipikul.
(Matius 11:29, 30) Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar. 30 Kuk aku senang dipikul, dan pikulan yang aku berikan pun ringan.”
nwtsty nota pembelajaran untuk Mt 11:29
Pikullah kuk aku: Yesus menggunakan “kuk” secara kiasan untuk menggambarkan ketundukan kepada kekuasaan dan arahan. Jika dia memaksudkan kuk yang mempunyai dua lengkung, yang diletakkan oleh Tuhan ke atas Yesus, dia sedang menjemput murid-muridnya untuk memikul kuk itu bersama-samanya, dan dia akan membantu mereka. Maka, frasa itu boleh diterjemahkan seperti berikut: “Pikullah kuk aku bersama-samaku.” Jika kuk itu diletakkan oleh Yesus ke atas orang lain, dia sedang memaksudkan ketundukan pada kekuasaan dan arahan Kristus selaku muridnya.
Mencari Permata Rohani
(Matius 11:2, 3) Semasa Yohanes dipenjarakan, dia mendengar tentang hal-hal yang dilakukan oleh Kristus. Maka dia mengutus murid-muridnya 3 untuk bertanya kepada Yesus, “Adakah Guru merupakan Dia yang Akan Datang, atau adakah kami harus menantikan seorang yang lain?”
Yohanes Meminta Kepastian daripada Yesus
Soalan ini pelik, bukan? Yohanes sangat beriman kepada Tuhan. Hampir dua tahun sebelum ini, dia nampak kuasa suci Tuhan turun ke atas Yesus dan mendengar suara Tuhan dari syurga. Tidak mungkin Yohanes sudah hilang iman kerana Yesus sendiri pun memuji Yohanes. Jadi mengapakah Yohanes menanyakan soalan ini kepada Yesus?
Yohanes mungkin ingin mendengar dari mulut Yesus sendiri bahawa dia ialah Mesias. Jawapan Yesus pasti akan menguatkannya. Selain itu, dia tahu tentang nubuat-nubuat Bible yang menunjukkan bahawa Mesias akan menjadi raja dan penyelamat. Tetapi meskipun Yesus sudah lama dibaptis, dia masih meringkuk dalam penjara. Jadi dia ingin tahu jika ada orang lain yang akan datang selepas Yesus untuk menyempurnakan nubuat-nubuat tentang Mesias.
(Matius 11:16-19) “Dengan siapakah dapat aku bandingkan generasi ini? Generasi ini seperti kanak-kanak yang duduk di tempat awam sambil berseru kepada satu sama lain, 17 ‘Kami meniup seruling untuk kamu, tetapi kamu tidak menari; kami meratap, tetapi kamu tidak memukul dada dengan sedih.’ 18 Begitu juga, semasa Yohanes datang, dia tidak makan ataupun minum wain. Namun orang berkata, ‘Dia kena rasuk roh jahat.’ 19 Semasa Anak Manusia datang, dia makan dan minum wain. Tetapi orang masih berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia gelojoh, pemabuk, dan bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa.’ Meskipun demikian, kebijaksanaan dibuktikan benar oleh perbuatan.”
Generasi yang Jahat Dikutuk
Yesus memandang tinggi Yohanes Pembaptis, tetapi bagaimana pula dengan orang lain? Yesus berkata, “Generasi ini seperti kanak-kanak yang duduk di tempat awam sambil berseru kepada satu sama lain, ‘Kami meniup seruling untuk kamu, tetapi kamu tidak menari; kami meratap, tetapi kamu tidak memukul dada dengan sedih.’”—Matius 11:16, 17.
Apakah maksud Yesus? Dia menjelaskan, “Semasa Yohanes datang, dia tidak makan ataupun minum wain. Namun orang berkata, ‘Dia kena rasuk roh jahat.’ Semasa Anak Manusia datang, dia makan dan minum wain. Tetapi orang masih berkata, ‘Lihatlah orang ini! Dia gelojoh, pemabuk, dan bersahabat dengan pemungut cukai dan pendosa.’” (Matius 11:18, 19) Yohanes hidup sebagai orang Nazir dan tidak minum wain, tetapi mereka berkata bahawa dia dirasuk roh jahat. (Bilangan 6:2, 3; Lukas 1:15) Sebaliknya, Yesus hidup seperti orang biasa. Dia makan dan minum, tetapi mereka menuduh bahawa dia gelojoh dan pemabuk. Nampaknya mustahil untuk memuaskan mereka.