PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • mwbr20 Ogos ms. 1-12
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian
  • Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
  • Tajuk Kecil
  • 3-9 OGOS
  • Mencari Permata Rohani
  • 10-16 OGOS
  • Mencari Permata Rohani
  • 17-23 OGOS
  • Mencari Permata Rohani
  • 24-30 OGOS
  • Mencari Permata Rohani
  • 31 OGOS–6 SEPTEMBER
  • Mencari Permata Rohani
Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian—2020
mwbr20 Ogos ms. 1-12

Rujukan untuk Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian

3-9 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 13-14

“Teguhkanlah Hati dan Lihatlah Penyelamatan daripada Yehuwa”

(Keluaran 14:13, 14) Musa berkata kepada mereka, “Janganlah takut! Teguhkanlah hati kamu dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan menyelamatkan kamu pada hari ini. Kamu tidak akan melihat semua orang Mesir itu lagi. 14 Yehuwa akan berjuang untuk kamu. Kamu hanya perlu menunggu dengan sabar.”

w13 1/2 4

Musa—Seorang Lelaki yang Beriman

Musa tidak tahu bahawa Tuhan akan membelah air Laut Merah agar orang Israel dapat melarikan diri. Biarpun begitu, dia yakin bahawa Tuhan pasti akan melakukan sesuatu untuk melindungi umat-Nya. Musa berharap agar semua orang Israel juga memiliki keyakinan sedemikian. Maka dia berkata kepada mereka, “Janganlah takut! Teguhkanlah hati kamu dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan menyelamatkan kamu pada hari ini.” (Keluaran 14:13) Adakah Musa berjaya menguatkan iman mereka? Ya, kerana Bible menyatakan, “Kerana beriman, umat Israel menyeberangi Laut Merah seperti berjalan di atas tanah yang kering.” (Ibrani 11:29) Jelaslah bahawa iman Musa bukan sahaja telah membantu dirinya, tetapi juga orang lain.

(Keluaran 14:26-28) Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Hulurkanlah tanganmu ke atas laut supaya air kembali lalu menimpa semua orang Mesir, berserta kereta kuda dan askar berkuda mereka.” 27 Dengan segera, Musa menghulurkan tangannya ke atas laut. Maka menjelang pagi, air laut kembali kepada keadaan asalnya. Apabila orang Mesir mencuba melarikan diri, Yehuwa menyebabkan mereka lemas di tengah laut. 28 Air laut itu menenggelamkan semua kereta kuda, askar berkuda, dan tentera Firaun yang telah mengejar orang Israel sampai ke tengah laut. Tiada seorang pun antara mereka yang terselamat.

w09 15/3 7 per. 2-3

Janganlah Sekali-Kali Melupakan Yehuwa

Sewaktu tentera Mesir cuba menggerakkan kereta kuda mereka yang rosak, seluruh bangsa Israel merentasi Laut Merah dan tiba di tebing sebelah timur. Seterusnya, Musa menghulurkan tangannya ke atas laut itu, lalu Yehuwa menyebabkan dinding air laut itu kembali kepada keadaan asalnya. Ya, air laut itu menenggelamkan Firaun dan seluruh angkatan tenteranya sehingga mereka semua mati lemas. Tiada seorang pun antara mereka yang terselamat. Kini orang Israel sudah bebas!—Kel. 14:26-28; Mzm. 136:13-15.

Berita tentang kejadian ini tersebar luas sehingga bangsa-bangsa di sekitar kawasan itu berasa takut dan gentar. (Kel. 15:14-16) Empat puluh tahun selepas itu, Rahab dari Yerikho memberitahu dua orang pengintip Israel, “Kamu telah menyebabkan kami dicengkam rasa takut. . . . Kami mendengar bahawa Yehuwa telah mengeringkan Laut Merah di hadapan kamu ketika kamu meninggalkan Mesir.” (Yos. 2:9, 10) Bahkan bangsa-bangsa yang tidak menyembah Yehuwa pun masih ingat bagaimana Dia telah menyelamatkan umat-Nya. Jadi orang Israel sememangnya tidak patut melupakan Yehuwa.

Mencari Permata Rohani

(Keluaran 13:17) Apabila Firaun membenarkan orang Israel pergi, Tuhan tidak memimpin mereka melalui jalan yang merentasi tanah orang Filistin, walaupun jalan itu lebih pendek. Hal ini demikian kerana Tuhan berfirman, “Umat ini mungkin akan mengubah fikiran dan ingin kembali ke Mesir apabila mereka terpaksa berperang.”

it-1 1080 per. 2

Jalan, Laluan

Sejak dulu lagi, Palestin dan negara-negara jirannya mempunyai rangkaian jalan raya yang menghubungkan beberapa buah kota dan laluan perdagangan yang penting. (Bil 20:17-19; 21:21, 22; 22:5, 21-23; Yos 2:22; Hak 21:19; 1Sa 6:9, 12; 13:17, 18) Salah satu jalannya yang utama bermula dari Mesir dan menuju ke Gaza dan Askelon, iaitu kota-kota Filistin. Kemudian jalan ini beransur-ansur membengkok ke arah timur laut, dan melalui Megido, Hazor, utara Tasik Galilea, dan akhirnya sampai ke Damsyik. Jalan ini, yang melalui kawasan orang Filistin, ialah jalan yang paling pendek dari Mesir ke Tanah yang Dijanjikan. Biarpun begitu, Yehuwa menunjukkan kebaikan hati kepada orang Israel dengan menyuruh mereka untuk menggunakan jalan yang lain. Hal ini demikian kerana Dia tidak ingin mereka diserang oleh orang Filistin lalu menjadi tawar hati.—Kel 13:17.

(Keluaran 14:2) “Suruhlah orang Israel berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pihahirot, yang terletak di antara laut dengan Migdol. Kamu harus berkhemah di tepi laut, berdekatan Baal-zefon.

it-1 651 per. 4-5

Keluar dari Mesir

Di manakah Laut Merah terbelah supaya orang Israel dapat menyeberanginya?

Selepas orang Israel tiba di Etham, “yang terletak di pinggir padang belantara,” Tuhan menyuruh Musa untuk “berpatah balik dan berkhemah di hadapan Pihahirot . . . di tepi laut.” Tindakan ini menyebabkan Firaun menyangka bahawa orang Israel “sudah sesat.” (Kel 13:20; 14:1-3) Sesetengah cendekiawan percaya bahawa kemungkinannya orang Israel telah menggunakan Jalan el Haj, kerana perkataan Ibrani bagi “berpatah balik” bukan sekadar bererti mengubah arah atau membelok, tetapi juga merujuk kepada perbuatan yang lebih drastik, seperti berpatah balik atau berundur ke belakang. Cendekiawan itu berpendapat bahawa setelah orang Israel tiba di utara Teluk Suez, mereka berpatah balik dan pergi ke sebelah timur Jabal Ataqah, iaitu banjaran gunung yang terletak di sebelah barat Teluk Suez. Jika orang Israel mengambil jalan ini, mereka pastinya tidak dapat melarikan diri dengan cepat apabila diserang dari arah utara kerana rombongan mereka begitu besar dan kerana Laut Merah akan menghalang jalan mereka.

Buku rujukan Yahudi pada abad pertama M telah menggambarkan peristiwa yang disebut tadi. Hal ini selaras dengan catatan Bible, manakala pandangan cendekiawan tidak. (Kel 14:9-16) Nampaknya tempat orang Israel menyeberang Laut Merah agak jauh daripada hujung Teluk Suez (atau tebing barat Laut Merah) kerana angkatan tentera Firaun tidak mengelilingi hujung teluk itu untuk mengejar orang Israel. Sebaliknya, mereka turut menyeberangi Laut Merah.—Kel 14:22, 23.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w07 15/12 18-20 per. 13-16

Apa yang Dapat Kita Pelajari daripada Cara Orang Israel Diselamatkan

13 Apakah reaksi orang Israel setelah Yehuwa menyelamatkan mereka dalam cara yang begitu menakjubkan? Musa dan orang Israel segera menyanyikan lagu pujian kepada Yehuwa! Mereka bernyanyi, “Aku hendak menyanyi untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang. . . . Yehuwa akan memerintah sebagai raja buat selama-lamanya.” (Keluaran 15:1, 18) Ya, reaksi pertama mereka ialah memuliakan Tuhan. Peristiwa ini telah menunjukkan bahawa Yehuwa ialah Tuhan Yang Berdaulat.

14 Tidakkah peristiwa ini memberikan pengajaran, kelegaan hati, dan harapan kepada kita? Kita yakin bahawa Yehuwa dapat membantu umat-Nya menghadapi dan mengatasi apa-apa sahaja cabaran. Laut Merah pun tidak dapat menghalang-Nya. Dia telah menyebabkan angin timur yang kencang bertiup sehingga air laut itu terbelah menjadi dua, kemudian Dia juga menghanyutkan angkatan tentera Firaun di laut itu. Semasa merenungkan peristiwa ini, kita pasti bersetuju dengan kata-kata pemazmur yang berikut: “Aku tidak takut kerana Yehuwa berada di pihakku. Apakah yang dapat dilakukan manusia terhadapku?” (Mazmur 118:6) Kita juga mendapat kelegaan hati daripada kata-kata Paulus di Roma 8:31: “Jika Tuhan berpihak kepada kita, siapakah yang dapat melawan kita?” Sudah pasti, ayat-ayat ini menguatkan iman kita. Kita tidak lagi dicengkam rasa takut dan ragu, sebaliknya kita dapat menghadapi masa depan dengan penuh harapan. Itulah sebabnya ayat tahunan bagi 2008 sangat sesuai: “Teguhkanlah hati kamu dan lihatlah bagaimana Yehuwa akan menyelamatkan kamu”!​—Keluaran 14:13.

15 Apakah lagi yang dapat kita pelajari daripada cara orang Israel dibebaskan dari Mesir? Kita belajar bahawa kita harus mematuhi Yehuwa tidak kira apa pun arahan yang diberikan-Nya. Orang Israel telah mendengar arahan Tuhan tentang Perayaan Paska, dan mematuhinya dengan teliti. Mereka juga menuruti perintah untuk tidak keluar dari rumah pada malam 14 Nisan. Semasa mereka meninggalkan Mesir, mereka juga mematuhi arahan untuk berbuat demikian “secara teratur seperti pasukan askar.” (Keluaran 13:18) Dewasa ini, kita harus mengikut bimbingan Tuhan yang diberikan menerusi “hamba yang setia dan bijaksana.” (Matius 24:45) Kita perlu mendengar cakap Tuhan dengan teliti: “Jika kamu menyimpang ke kanan atau ke kiri, kamu akan mendengar suara dari belakang kamu yang berfirman, ‘Inilah jalannya. Ikutlah jalan ini!’” (Yesaya 30:21) Seraya kesengsaraan besar semakin dekat, kita mungkin akan menerima arahan yang terperinci, dan jika kita ingin selamat, kita haruslah tetap berada dalam kalangan umat Yehuwa yang setia.

16 Yehuwalah yang telah menyuruh orang Israel mengubah haluan mereka sehingga mereka seolah-olah terperangkap di antara sebuah banjaran dengan Laut Merah. Perbuatan ini nampaknya tidak masuk akal. Tetapi sebenarnya segala-galanya berada dalam kawalan Yehuwa. Akhirnya, apa yang berlaku telah memuliakan nama-Nya dan membawa penyelamatan kepada umat-Nya. Dewasa ini, kita mungkin tidak faham mengapa organisasi Yehuwa melakukan sesuatu, tetapi kita harus yakin kepada arahan yang diberikan oleh Yehuwa menerusi hamba yang setia. Ada kalanya, dari sudut pandangan kita yang terhad, musuh-musuh kita nampaknya sedang menang. Tetapi ingatlah bahawa Yehuwa pasti dapat mengawal keadaan pada waktu yang sesuai, seperti yang telah dilakukan-Nya pada zaman orang Israel.​—Amsal 3:5.

10-16 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 15-16

“Nyanyikanlah Lagu Pujian untuk Yehuwa”

(Keluaran 15:1, 2) Selepas itu, Musa dan orang Israel menyanyikan lagu ini untuk memuji Yehuwa: “Aku hendak menyanyi untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang. Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut. 2 Yah ialah kuasa dan kekuatanku, kerana Dialah Penyelamatku. Dialah Tuhanku, dan aku akan memuji-Nya; Dialah Tuhan yang disembah bapaku, dan aku akan memuliakan-Nya.

w95 15/10 11 per. 11

Mengapa Kita Perlu Takut kepada Tuhan yang Benar

11 Yehuwa telah melenyapkan angkatan tentera Mesir. Hal ini membuat nama-Nya disanjung tinggi oleh umat-Nya dan tersebar luas di seluruh bumi. (Yosua 2:9, 10; 4:23, 24) Ya, nama-Nya lebih mulia daripada dewa dewi palsu Mesir yang tidak berupaya untuk melindungi penyembah mereka. Orang Mesir yang menyembah dewa dewi itu dan berharap pada angkatan tentera mereka menjadi kecewa sekali. (Mazmur 146:3) Orang Israel yang bergantung pada Tuhan Yehuwa pula tergerak untuk menyanyikan pujian kepada Penyelamat mereka yang gagah perkasa!

(Keluaran 15:11) Ya Yehuwa, tuhan-tuhan manakah yang seperti Engkau? Siapakah yang dapat menandingi kesucian-Mu yang agung? Engkaulah Tuhan yang patut digeruni dan dipuji, Tuhan yang melakukan keajaiban.

(Keluaran 15:18) Yehuwa akan memerintah sebagai raja buat selama-lamanya.

w95 15/10 11-12 per. 15-16

Mengapa Kita Perlu Takut kepada Tuhan yang Benar

15 Sekiranya kita berdiri di sisi Musa, kita pun pasti tergerak untuk menyanyikan pujian: “Ya Yehuwa, tuhan-tuhan manakah yang seperti Engkau? Siapakah yang dapat menandingi kesucian-Mu yang agung? Engkaulah Tuhan yang patut digeruni dan dipuji, Tuhan yang melakukan keajaiban.” (Keluaran 15:11) Sejak dulu sehingga sekarang, pujian sebegini telah diberikan kepada Tuhan. Dalam buku terakhir Bible, Rasul Yohanes menggambarkan sekumpulan hamba yang setia: “Mereka menyanyikan lagu Musa, hamba Tuhan itu, dan lagu Anak Bebiri, yang berbunyi seperti berikut: ‘Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa, perbuatan-Mu agung dan menakjubkan. Ya Raja yang kekal, haluan-Mu benar dan adil. Ya Yehuwa, Engkau sahajalah yang setia. Siapakah yang tidak akan takut kepada-Mu, dan siapakah yang tidak akan memuliakan nama-Mu?’”—Wahyu 15:2-4.

16 Dewasa ini, terdapat sekumpulan orang yang berbilang bangsa yang bukan sahaja mengagumi ciptaan Tuhan, tetapi juga mencintai hukum-Nya. Mereka telah dibebaskan daripada dunia yang berada dalam kegelapan rohani, dan memperoleh kemerdekaan kerana mereka menerima dan mematuhi hukum Tuhan. Setiap tahun, ratusan ribu orang meninggalkan dunia yang jahat untuk menyertai organisasi Tuhan yang benar. Tidak lama lagi, Tuhan akan menghakimi agama palsu dan memusnahkan sistem dunia yang jahat ini. Tetapi orang yang menyembah Yehuwa akan hidup selama-lamanya dalam dunia baharu.

(Keluaran 15:20, 21) Kemudian Miryam, seorang nabi wanita, iaitu kakak Harun, mengambil tamborinnya. Semua wanita juga turut mengambil tamborin mereka dan menari. 21 Miryam menyahut nyanyian kaum lelaki, “Bernyanyilah untuk Yehuwa, kerana Dia telah meraih kemenangan yang cemerlang. Dia telah melemparkan kuda dan penunggangnya ke dalam laut.”

it-2 177 per. 2

Muzik

Nampaknya kebanyakan nyanyian berkumpulan di Israel dilakukan secara bergilir-gilir. Contohnya, dua kumpulan penyanyi akan saling membalas nyanyian, atau seorang penyanyi solo dan sekumpulan penyanyi akan bergilir-gilir bernyanyi. Cara nyanyian ini digambarkan dalam Bible sebagai “menyahut nyanyian.” (Kel 15:21; 1Sa 18:6, 7) Beberapa mazmur, seperti Mazmur 136, digubah menurut cara nyanyian ini. Catatan Bible menunjukkan bahawa semasa upacara pentahbisan tembok Yerusalem pada zaman Nehemia, dua kumpulan penyanyi bernyanyi dalam cara ini.—Ne 12:31, 38, 40-42.

it-2 187 per. 1

Nabi Wanita

Miryam ialah nabi wanita yang pertama yang disebutkan dalam Bible. Nampaknya Miryam menyampaikan mesej Tuhan menerusi nyanyian. (Kel 15:20, 21) Maka Miryam dan Harun pernah berkata kepada Musa, “Bukankah Dia [Yehuwa] berfirman melalui kita juga?” (Bil 12:2) Melalui Nabi Mikha, Yehuwa berfirman bahawa Dia telah mengutus “Musa, Harun, dan Miryam” untuk membawa orang Israel keluar dari Mesir. (Mi 6:4) Miryam diberi penghormatan untuk mewakili Tuhan dan menyampaikan mesej-Nya, tetapi Musa memainkan peranan yang lebih besar daripadanya. Apabila Miryam bertindak melebihi batasnya, dia telah dihukum dengan berat oleh Tuhan.—Bil 12:1-15.

Mencari Permata Rohani

(Keluaran 16:13) Pada petang itu, burung puyuh datang dan meliputi seluruh perkhemahan mereka. Pada waktu pagi pula, terdapat lapisan embun di sekeliling perkhemahan.

w11 1/9 14

Tahukah Anda?

Apakah mungkin sebabnya Tuhan memilih burung puyuh untuk dijadikan makanan orang Israel di padang belantara?

Setelah orang Israel keluar dari Mesir, Tuhan pernah memberi mereka burung puyuh sebagai makanan sebanyak dua kali.—Keluaran 16:13; Bilangan 11:31.

Burung puyuh bersaiz kecil, iaitu berukuran kira-kira 18 cm panjang dan beratnya sekitar 100 g. Burung ini membiak di sebahagian besar barat Asia dan Eropah. Pada musim sejuk, burung ini akan berhijrah ke Afrika Utara dan negeri Arab. Sekumpulan besar burung ini akan terbang melalui persisiran pantai di timur Laut Mediterranean dan merentasi Semenanjung Sinai.

Menurut The New Westminster Dictionary of the Bible, burung puyuh “terbang dengan cepat, dan pandai terbang mengikut angin; tetapi jika arah tiupan angin berubah, atau jika burung-burung itu letih kerana jarak perjalanan yang jauh, sekumpulan burung itu akan jatuh ke tanah.” Burung itu perlu berehat di tanah selama satu atau dua hari sebelum terbang lagi. Oleh itu, pemburu dapat menangkapnya dengan mudah. Pada awal abad ke-20, Mesir mengeksport kira-kira tiga juta burung puyuh sebagai makanan setiap tahun.

Kedua-dua kali orang Israel diberi burung puyuh sebagai makanan adalah semasa musim bunga. Meskipun burung puyuh sering terbang merentasi kawasan Sinai pada waktu itu, Yehuwalah yang “menyebabkan angin kencang bertiup” supaya burung-burung puyuh itu dibawa ke kawasan perkhemahan orang Israel.—Bilangan 11:31.

(Keluaran 16:32-34) Kemudian Musa berkata, “Inilah perintah Yehuwa, ‘Simpanlah satu omer manna untuk keturunan kamu. Dengan demikian, mereka dapat melihat makanan yang Aku berikan kepada kamu di padang belantara, ketika Aku membawa kamu keluar dari Mesir.’” 33 Maka Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah bekas dan simpanlah satu omer manna di dalamnya. Letakkanlah bekas itu di hadapan Yehuwa untuk disimpan secara turun-temurun.” 34 Harun meletakkan bekas itu di hadapan sebuah kotak khas untuk disimpan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.

w06 15/1 31

Pertanyaan Pembaca

Tidak lama selepas orang Israel keluar dari Mesir, mereka mula bersungut-sungut tentang makanan. Jadi Yehuwa memberi mereka manna. (Keluaran 12:17, 18; 16:1-5) Pada waktu itu, Musa berkata kepada Harun, “Ambillah sebuah bekas dan simpanlah satu omer manna di dalamnya. Letakkanlah bekas itu di hadapan Yehuwa untuk disimpan secara turun-temurun.” Bible menyatakan, “Harun meletakkan bekas itu di hadapan sebuah kotak khas [atau tabut] untuk disimpan, seperti yang diperintahkan oleh Yehuwa kepada Musa.” (Keluaran 16:33, 34) Harun pastinya telah mematuhi perintah Tuhan dan mengisi bekas itu dengan manna. Setelah tabut itu disiapkan dan batu-batu tulis dimasukkan ke dalam tabut itu, barulah Harun meletakkan bekas itu di hadapan tabut itu.

17-23 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 17-18

“Sudi Melatih dan Berkongsi Tanggungjawab dengan Orang Lain”

(Keluaran 18:17, 18) Bapa mentua Musa berkata kepadanya, “Cara kamu itu tidak baik. 18 Kamu dan orang Israel pasti akan berasa sangat letih, kerana tugas ini terlalu berat untuk kamu lakukan seorang diri.

w13 1/2 6

Musa—Seorang yang Pengasih

Musa mengasihi orang Israel. Mereka tahu bahawa Yehuwa menggunakan Musa untuk membimbing umat-Nya, maka mereka menghadap Musa untuk memberitahunya masalah mereka. Bible menyatakan, “Orang Israel terus-menerus datang menghadap Musa dari pagi sampai malam.” (Keluaran 18:13-16) Bayangkanlah betapa letihnya Musa kerana dia perlu mendengar masalah orang Israel dari pagi sampai malam! Biarpun begitu, Musa gembira kerana dapat membantu orang Israel yang dikasihinya.

(Keluaran 18:21, 22) Tetapi, kamu patut memilih lelaki-lelaki yang cekap antara umat ini. Mereka mestilah orang yang takut akan Tuhan, dapat dipercayai, dan membenci keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur. Lantiklah mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang. 22 Mereka akan mengadili masalah yang timbul. Mereka boleh mengemukakan segala hal yang sukar kepadamu, tetapi mereka sendiri akan mengadili hal-hal yang kecil. Dengan ini, mereka akan membantu meringankan bebanmu.

w03 1/11 6 per. 1

Kepercayaan Berkait Rapat dengan Kebahagiaan Hidup

Sebelum lelaki-lelaki ini dilantik, mereka sudah pun menunjukkan sifat-sifat yang diperkenankan Tuhan. Mereka telah membuktikan bahawa mereka takut akan Tuhan, dan ingin melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya. Semua orang dapat melihat dengan jelas bahawa mereka berusaha untuk menurut piawaian Tuhan yang luhur. Mereka membenci keuntungan yang diperoleh secara tidak jujur. Hal ini bererti mereka tidak akan menyalahgunakan kekuasaan mereka. Mereka juga dapat dipercayai dan tidak akan mengutamakan kepentingan sendiri, sanak saudara, atau kawan mereka.

(Keluaran 18:24, 25) Musa mendengarkan nasihat bapa mentuanya lalu segera melakukan segala yang dikatakan olehnya. 25 Musa memilih lelaki-lelaki yang cekap antara umat itu lalu melantik mereka untuk menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan 10 orang.

w02 15/5 25 per. 6

Kesetiaan Membimbing Orang yang Berbuat Benar

Musa juga rendah hati. Sewaktu dia dibebani tugas yang terlalu berat, bapa mentuanya Yitro telah memberikan cadangan yang praktikal kepadanya. Yitro mencadangkan agar Musa berkongsi tanggungjawabnya dengan beberapa orang lelaki yang cekap. Musa sedar akan keterbatasan dirinya, maka dia mendengarkan nasihat Yitro. (Keluaran 18:17-26; Bilangan 12:3) Seorang yang rendah hati tidak akan keberatan untuk menugaskan sesetengah kerja kepada orang lain. Dia juga tidak takut kehilangan pengaruh kerana perlu berkongsi tanggungjawab dengan orang lain yang cekap. (Bilangan 11:16, 17, 26-29) Sebaliknya, dia ingin membantu mereka untuk membuat kemajuan rohani. (1 Timotius 4:15) Tidakkah kita juga harus berbuat demikian?

Mencari Permata Rohani

(Keluaran 17:14) Kemudian Yehuwa berfirman kepada Musa, “Tulislah hal ini dalam kitab sebagai suatu peringatan, dan sampaikannya kepada Yosua, ‘Aku akan melenyapkan orang Amalek dari muka bumi ini dan mereka tidak akan dikenang lagi.’”

it-1 1148-1149

Buku-Buku dalam Bible

Tulisan-tulisan Musa diilhami Tuhan, merupakan sebahagian daripada Bible, dan menjadi garis panduan ibadat sejati. Bible membuktikan hal ini. Contohnya, Musa tidak menjadi pemimpin orang Israel atas pilihannya sendiri. Sebenarnya dia telah menolak tugas ini pada mulanya. (Kel 3:10, 11; 4:10-14) Tetapi Tuhanlah yang telah melantik Musa dan memberinya kuasa untuk melakukan mukjizat yang begitu hebat sehingga tukang-tukang sihir Firaun pun harus mengakui bahawa Musa diutus oleh Tuhan. (Kel 4:1-9; 8:16-19) Musa langsung tidak bercita-cita untuk menjadi jurucakap atau penulis. Sebaliknya, atas perintah Tuhan dan atas bimbingan kuasa suci, barulah Musa tergerak untuk bersuara dan mencatatkan kata-katanya di dalam Bible.—Kel 17:14.

24-30 OGOS

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 19-20

“Kaitan antara Sepuluh Hukum dengan Anda”

(Keluaran 20:3-7) Jangan menyembah tuhan-tuhan lain. Sembahlah Aku sahaja. 4 “Jangan membuat patung berhala atau membentuk sesuatu yang menyerupai apa-apa yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air. 5 Jangan menyembah atau bersujud kepada patung apa pun, kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya sehingga generasi yang ketiga dan keempat. 6 Tetapi Aku menunjukkan kasih setia-Ku kepada beribu-ribu keturunan orang yang mengasihi Aku dan mematuhi hukum-Ku. 7 “Jangan menggunakan nama-Ku, iaitu Yehuwa, secara sembarangan kerana Aku, Yehuwa, akan menghukum sesiapa yang menyalahgunakan nama-Ku.

w89 15/11 6 per. 1

Apakah Kaitan antara Sepuluh Hukum dengan Anda?

Empat hukum yang pertama menonjolkan tanggungjawab kita kepada Yehuwa. (Pertama) Kita patut menyembah Tuhan sahaja. (Matius 4:10) (Kedua) Kita tidak patut menggunakan patung berhala dalam ibadat kita. (1 Yohanes 5:21) (Ketiga) Kita harus menggunakan nama Tuhan dalam cara yang betul dan penuh hormat. (Yohanes 17:26; Roma 10:13) (Keempat) Seluruh kehidupan kita perlu berpusat kepada hal-hal rohani. Hal ini bererti kita “berehat daripada kerja sendiri,” dan mengutamakan kerja Tuhan.—Ibrani 4:9, 10.

(Keluaran 20:12-17) “Hormatilah ibu bapa kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, berikan kepada kamu. 13 “Jangan membunuh. 14 “Jangan berzina. 15 “Jangan mencuri. 16 “Jangan memberikan kesaksian palsu tentang orang lain. 17 “Jangan mengingini kepunyaan orang lain, sama ada rumahnya, isterinya, hamba lelakinya, hamba perempuannya, lembunya, keldainya, atau apa-apa pun yang dimilikinya.”

w89 15/11 6 per. 2-3

Apakah Kaitan antara Sepuluh Hukum dengan Anda?

(Kelima) Anak-anak yang patuh kepada ibu bapa mereka akan menyumbang kepada perpaduan keluarga dan diberkati Yehuwa. Apabila mereka mematuhi perintah ini, mereka bukan sahaja akan “hidup sejahtera,” tetapi juga akan “berumur panjang di bumi.” (Efesus 6:1-3) Kita hidup pada “hari-hari terakhir” sistem dunia yang jahat. Maka, orang muda yang patuh kepada ibu bapa akan berpeluang untuk menikmati hidup abadi.—2 Timotius 3:1; Yohanes 11:26.

Apabila kita menunjukkan kasih kepada orang lain, kita tidak akan berbuat jahat seperti (Keenam) membunuh, (Ketujuh) berzina, (Kelapan) mencuri, dan (Kesembilan) memberikan kesaksian yang palsu. (1 Yohanes 3:10-12; Ibrani 13:4; Efesus 4:28; Matius 5:37; Amsal 6:16-19) Tetapi bagaimana pula dengan niat hati kita? Hukum (Kesepuluh) tentang sikap mengingini kepunyaan orang lain, mengingatkan kita bahawa Yehuwa menghendaki kita untuk memiliki niat hati yang baik.—Amsal 21:2.

Mencari Permata Rohani

(Keluaran 19:5, 6) Sekarang, jika kamu sungguh-sungguh mentaati-Ku dan setia kepada perjanjian-Ku, kamu akan menjadi umat pilihan-Ku antara semua bangsa, kerana seluruh bumi ini milik-Ku. 6 Kamu akan menjadi sebuah kerajaan imam dan bangsa yang suci untuk-Ku.’ Hendaklah engkau menyampaikan firman ini kepada orang Israel.”

it-1 1030-1031

Imam

Orang Kristian yang Menjadi Imam. Yehuwa berjanji bahawa jika bangsa Israel mematuhi hukum-Nya, mereka akan menjadi ‘sebuah kerajaan imam dan bangsa yang suci untuk-Nya.’ (Kel 19:6) Imam-imam daripada keturunan Harun hanyalah bayangan kepada aturan imam yang lebih agung, (Ibr 8:4, 5) dan akan berakhir apabila Perjanjian Hukum Musa digantikan dengan perjanjian baharu. (Ibr 7:11-14; 8:6, 7, 13) Pada mulanya, Yehuwa hanya menjemput orang Israel untuk menjadi imam dalam Kerajaan-Nya, tetapi pada kemudian hari, jemputan ini juga diberikan kepada orang bukan Israel.—Kis 10:34, 35; 15:14; Rm 10:21.

Memandangkan hanya sebilangan kecil orang Yahudi yang menerima Kristus, bilangan mereka tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan imam dan bangsa suci yang sebenar. (Rm 11:7, 20) Bangsa Israel tidak setia kepada Tuhan. Maka awal-awal lagi, Tuhan memberikan amaran berikut kepada mereka menerusi Nabi Hosea: “Oleh sebab mereka enggan mengenal Aku, Aku juga tidak akan mengakui mereka sebagai imam-Ku. Oleh sebab mereka melupakan hukum-Ku, Aku juga akan melupakan keturunan mereka.” (Ho 4:6) Tambahan lagi, Yesus memberitahu para pemimpin orang Yahudi, “Kerajaan Tuhan akan diambil daripada kamu dan diserahkan kepada bangsa yang melakukan kehendak Tuhan.” (Mt 21:43) Biarpun begitu, sewaktu Yesus Kristus berada di bumi, dia tetap mematuhi Hukum Musa dan mengakui kekuasaan imam-imam berketurunan Harun. Maka dia menyuruh pesakit kusta yang disembuhkannya untuk berjumpa dengan imam dan mempersembahkan korban.—Mt 8:4; Mr 1:44; Lu 17:14.

(Keluaran 20:4, 5) “Jangan membuat patung berhala atau membentuk sesuatu yang menyerupai apa-apa yang ada di langit, di bumi, atau di dalam air. 5 Jangan menyembah atau bersujud kepada patung apa pun, kerana Akulah Yehuwa, Tuhan kamu. Sembahlah Aku sahaja. Aku menghukum orang yang membenci Aku. Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya sehingga generasi yang ketiga dan keempat.

w04 15/3 27 per. 1

Sorotan daripada Buku Keluaran

20:5—Apakah maksud kata-kata Yehuwa ini: “Kerana dosa bapa, Aku akan menghukum keturunannya”? Apabila seseorang menjadi dewasa, dia bertanggungjawab atas perbuatan dan sikapnya sendiri. Tetapi apabila bangsa Israel menyembah berhala, perbuatan mereka itu meninggalkan kesan yang buruk kepada keturunan mereka. Bahkan orang Israel yang setia pun berasa susah untuk tetap setia kepada Yehuwa kerana terpengaruh dengan perbuatan buruk rakan sebangsa mereka.

31 OGOS–6 SEPTEMBER

HARTA KARUN DALAM FIRMAN TUHAN | KELUARAN 21-22

“Pupuk Pandangan Yehuwa terhadap Nyawa”

(Keluaran 21:20) “Jika seseorang memukul hamba lelakinya atau hamba perempuannya dengan kayu sehingga hamba itu mati, dia mesti dihukum.

it-2 587 per. 1

Memukul

Seorang pemilik hamba Ibrani dibenarkan untuk memukul hamba lelakinya atau hamba perempuannya dengan kayu jika hamba itu tidak patuh atau memberontak. Tetapi jika hamba itu dipukul sehingga mati, tuan itu akan dihukum. Jika hamba itu mati setelah satu atau dua hari berlalu, tuan itu tidak akan dihukum kerana dia tidak memukul hambanya dengan niat untuk membunuh. Tuan itu berhak untuk menghukum hambanya kerana “hamba itu miliknya.” Memandangkan hamba ialah harta yang berharga, tuannya pasti tidak ingin merosakkan hartanya sendiri dan mengalami kerugian. Tambahan lagi, jika hamba itu mati setelah satu atau dua hari berlalu, kita tidak dapat memastikan sama ada dia mati kerana dipukul atau kerana sebab yang lain. Jadi jika hamba itu mati setelah satu atau dua hari, tuannya tidak akan dihukum.—Kel 21:20, 21.

(Keluaran 21:28, 29) “Jika seekor lembu jantan menanduk seorang lelaki atau wanita dan orang itu mati, lembu itu mesti direjam sampai mati dan dagingnya tidak boleh dimakan. Tetapi pemilik lembu itu bebas daripada hukuman. 29 Namun jika lembu itu selalu menanduk orang dan pemiliknya sudah diberi peringatan tetapi dia masih tidak menjaganya, lalu lembu itu membunuh seorang lelaki atau wanita, lembu itu mesti direjam dan pemiliknya juga mesti dihukum mati.

w10 15/4 29 per. 4

Yehuwa Ingin Anda Menjaga Keselamatan

Hukum Musa juga menyentuh tentang kecederaan yang disebabkan oleh haiwan ternakan. Jika seekor lembu jantan menanduk seseorang dan orang itu mati, pemiliknya harus membunuh lembu itu agar lembu itu tidak lagi mencederakan orang lain. Oleh sebab dia tidak boleh makan daging lembu itu atau menjualnya kepada orang lain, dia akan mengalami kerugian besar. Tetapi jika lembu itu pernah mencederakan orang dan pemiliknya tidak mengurungnya, apakah yang akan berlaku? Jika lembu itu membunuh orang pada kemudian hari, lembu itu mesti dibunuh dan pemiliknya juga mesti dihukum mati. Ya, Hukum Musa memberikan amaran supaya orang tidak cuai dan menjaga ternakan mereka dengan baik.—Kel. 21:28, 29.

Mencari Permata Rohani

(Keluaran 21:5, 6) Tetapi jika hamba itu berkata dengan sungguh-sungguh, ‘Aku mengasihi tuanku, isteriku, dan anak-anakku. Aku tidak mahu dibebaskan,’ 6 tuannya harus membawanya menghadap Tuhan yang benar. Kemudian hamba itu akan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.

w10 15/1 4 per. 4-5

Mengapa Membaktikan Diri kepada Yehuwa

4 Pembaktian Kristian ialah perkara yang serius dan bukan sekadar suatu komitmen. Jadi apakah manfaatnya membaktikan diri kepada Yehuwa? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita membuat perbandingan. Mula-mula, kita dapat fikirkan manfaat membuat komitmen dengan orang lain, contohnya kawan kita. Jika anda ingin orang lain menjadi kawan anda, anda haruslah menjadi kawan orang itu, dan memikul tanggungjawab sebagai seorang kawan. Hal ini bererti membuat komitmen untuk mengambil berat tentang kawan anda. Salah satu contohnya ialah Daud dan Yonatan. Mereka amat mementingkan persahabatan mereka sehingga mereka membuat suatu perjanjian persahabatan. (Baca 1 Samuel 17:57; 18:1, 3.) Meskipun persahabatan sedemikian jarang ditemui, anda masih dapat menjalinkan persahabatan yang erat jika anda dan kawan anda sudi memikul tanggungjawab sebagai seorang kawan.—Ams. 17:17; 18:24.

5 Hukum yang diberikan oleh Tuhan kepada orang Israel menyebut tentang satu lagi manfaat membuat komitmen, contohnya dalam hubungan antara seorang tuan dan hamba. Hukum itu menyatakan, “Jika hamba itu berkata dengan sungguh-sungguh, ‘Aku mengasihi tuanku, isteriku, dan anak-anakku. Aku tidak mahu dibebaskan,’ tuannya harus membawanya menghadap Tuhan yang benar. Kemudian hamba itu akan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.” (Kel. 21:5, 6) Ya, apabila seorang hamba berasa bahawa tuannya sangat baik dan ingin berkhidmat kepada tuannya buat seumur hidup, dia boleh membuat perjanjian dengan tuannya. Perjanjian atau komitmen sebegini memastikan bahawa hamba itu dapat terus berkhidmat kepada tuannya.

(Keluaran 21:14) Jika seseorang naik marah lalu sengaja membunuh orang lain, dia mesti dihukum mati walaupun dia pergi ke mazbah-Ku untuk mendapat perlindungan.

it-2 973

Tanduk

Kata-kata di Keluaran 21:14 mungkin bererti bahawa semua orang, bahkan seorang imam pun, harus dihukum mati kerana membunuh orang. Ayat itu juga mungkin bererti bahawa perbuatan memegang tanduk mazbah tidak akan melindungi seseorang yang sengaja membunuh.—Bandingkan 1Raj 2:28-34.

JADILAH PENGINJIL YANG LEBIH MAHIR

w09 1/4 31

Bapa kepada Anak Yatim

Keluaran 22:22-24

“TUHAN . . . ialah bapa kepada anak yatim.” (Mazmur 68:5) Ayat Bible ini mengajar kita sesuatu yang penting tentang Tuhan Yehuwa, iaitu Dia peka kepada keperluan orang yang memerlukan bantuan. Melalui hukum yang diberikannya kepada orang Israel, Tuhan menunjukkan bahawa Dia prihatin terhadap anak-anak yang kehilangan ibu atau bapa mereka. Kali pertama Bible menyebut tentang “anak yatim” ialah di Keluaran 22:22-24. Marilah kita mengkaji ayat ini.

Tuhan memberikan amaran berikut: “Jangan menindas . . . anak yatim.” (Ayat 22) Kata-kata ini bukan sekadar galakan untuk menunjukkan belas kasihan. Ini ialah perintah daripada Tuhan. Apabila seorang anak kehilangan bapanya, dia tiada lagi tempat untuk bergantung dan berlindung. Tiada sesiapa pun yang boleh “menindas” anak ini dalam apa jua cara. Dalam terjemahan Bible yang lain, perkataan “menindas” diterjemahkan sebagai “berlaku kejam” dan “mengambil kesempatan.” Di mata Tuhan, perbuatan menyakiti seorang anak yatim ialah dosa yang berat.

Hukum itu menyambung, “Jika kamu menindas mereka lalu mereka berseru kepada-Ku, Aku pasti akan mendengarkan seruan mereka.” (Ayat 23) “Kamu” dalam ayat ini merujuk kepada seluruh bangsa Israel. Ya, mereka semua harus mematuhi perintah ini. Yehuwa sedang memerhatikan anak yatim. Dia mendengarkan seruan mereka, dan Dia sentiasa bersedia untuk membela mereka.—Mazmur 10:14; Amsal 23:10, 11.

Apakah akibatnya jika seseorang menindas anak yatim dan anak itu berseru kepada Tuhan? Yehuwa menjawab, “Kemurkaan-Ku akan berkobar, dan Aku akan membunuh kamu dengan pedang.” (Ayat 24) Menurut sebuah buku rujukan Bible, ungkapan “kemurkaan-Ku akan berkobar” bererti bahawa Yehuwa akan menjadi sangat marah. Perhatikan bahawa Yehuwa tidak menyuruh para hakim di Israel untuk menguatkuasakan perintah ini. Sebaliknya Dia sendiri akan menjatuhkan hukuman atas sesiapa sahaja yang menindas anak yatim.—Ulangan 10:17, 18.

Yehuwa tidak berubah. (Maleakhi 3:6) Dia amat mengasihani anak-anak yatim. (Yakobus 1:27) Ingatlah, Yehuwa ialah Bapa kepada anak yatim, dan Dia pasti akan berasa sangat marah apabila mereka ditindas. Orang yang sengaja mengambil kesempatan atas anak yatim akan merasai “bahang kemurkaan Yehuwa.” (Zefanya 2:2) Mereka akan sedar bahawa ‘alangkah ngerinya jika mereka jatuh ke dalam tangan Tuhan yang hidup!’—Ibrani 10:31

KEHIDUPAN KRISTIAN KITA

w10 15/1 4 per. 4-7

Mengapa Membaktikan Diri kepada Yehuwa

4 Pembaktian Kristian ialah perkara yang serius dan bukan sekadar suatu komitmen. Jadi apakah manfaatnya membaktikan diri kepada Yehuwa? Untuk mengetahui jawapannya, mari kita membuat perbandingan. Mula-mula, kita dapat fikirkan manfaat membuat komitmen dengan orang lain, contohnya kawan kita. Jika anda ingin orang lain menjadi kawan anda, anda haruslah menjadi kawan orang itu, dan memikul tanggungjawab sebagai seorang kawan. Hal ini bererti membuat komitmen untuk mengambil berat tentang kawan anda. Salah satu contohnya ialah Daud dan Yonatan. Mereka amat mementingkan persahabatan mereka sehingga mereka membuat suatu perjanjian persahabatan. (Baca 1 Samuel 17:57; 18:1, 3.) Meskipun persahabatan sedemikian jarang ditemui, anda masih dapat menjalinkan persahabatan yang erat jika anda dan kawan anda sudi memikul tanggungjawab sebagai seorang kawan.—Ams. 17:17; 18:24.

5 Hukum yang diberikan oleh Tuhan kepada orang Israel menyebut tentang satu lagi manfaat membuat komitmen, contohnya dalam hubungan antara seorang tuan dan hamba. Hukum itu menyatakan, “Jika hamba itu berkata dengan sungguh-sungguh, ‘Aku mengasihi tuanku, isteriku, dan anak-anakku. Aku tidak mahu dibebaskan,’ tuannya harus membawanya menghadap Tuhan yang benar. Kemudian hamba itu akan bersandar pada pintu atau tiang pintu, lalu tuannya harus menindik telinganya. Maka dia akan menjadi hamba tuannya seumur hidup.” (Kel. 21:5, 6) Ya, apabila seorang hamba berasa bahawa tuannya sangat baik dan ingin berkhidmat kepada tuannya buat seumur hidup, dia boleh membuat perjanjian dengan tuannya. Perjanjian atau komitmen sebegini memastikan bahawa hamba itu dapat terus berkhidmat kepada tuannya.

6 Hubungan perkahwinan juga memerlukan komitmen. Kedua-dua suami dan isteri membuat komitmen kepada satu sama lain untuk tetap bersama sehingga akhir hayat. Dua orang yang tinggal serumah tanpa berkahwin tidak mempunyai jaminan hidup dan tidak dapat merasai ketenangan. Anak-anak mereka juga tidak akan berasa selamat. Tetapi keadaannya pasti berbeza jika mereka berdua sudah berkahwin secara sah dan bertekad untuk melaksanakan ikrar perkahwinan. Oleh sebab mereka berdua mematuhi perintah Bible, mereka akan menunjukkan kasih dan berusaha untuk menyelesaikan masalah yang timbul.—Mat. 19:5, 6; 1 Kor. 13:7, 8; Ibr. 13:4.

7 Pada zaman Bible, kedua-dua pihak akan meraih manfaat jika mereka membuat kontrak perniagaan atau pekerjaan. (Mat. 20:1, 2, 8) Begitu juga dengan hari ini. Adalah baik untuk menandatangani kontrak, atau surat perjanjian, sebelum memulakan suatu perniagaan atau sebelum mula bekerja di sebuah syarikat. Contoh-contoh yang disebutkan sebelum ini menunjukkan bahawa komitmen dapat membawa manfaat dalam hubungan persahabatan, perkahwinan, dan perniagaan. Oleh itu, pembaktian Kristian kita semestinya dapat mengeratkan lagi hubungan kita dengan Yehuwa! Sekarang marilah kita melihat apa manfaat yang diraih oleh orang yang telah membaktikan diri kepada Yehuwa, dan mengapa pembaktian Kristian lebih baik daripada komitmen kepada manusia.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi