RENCANA PEMBELAJARAN 21
Bagaimana Yehuwa Menjawab Doa Kita
“Kita yakin bahawa kita akan menerima perkara yang kita minta, kerana kita sudah memintanya daripada Tuhan.”—1 YOH. 5:15.
LAGU 41 Dengarlah Doa Aku
PENGENALANa
1-2. Semasa menghadapi kesusahan, apakah yang mungkin kita fikirkan?
“ADAKAH Yehuwa menjawab doa saya?” Pernahkah anda menanya soalan ini? Ramai saudara saudari mengaku bahawa mereka pernah menanya soalan ini, terutamanya semasa mereka menghadapi kesusahan. Semasa dilanda masalah, kita juga mungkin berasa susah untuk sedar bagaimana Yehuwa sedang menjawab doa kita.
2 Sekarang, mari kita lihat sebabnya kita dapat yakin bahawa Yehuwa menjawab doa para penyembah-Nya. (1 Yoh. 5:15) Kita juga akan membincangkan soalan-soalan ini: Mengapakah kita ada kalanya berasa bahawa Yehuwa tidak menjawab doa kita? Bagaimanakah Yehuwa menjawab doa kita pada zaman ini?
YEHUWA MUNGKIN TIDAK MEMBERIKAN JAWAPAN YANG KITA HARAPKAN
3. Mengapakah Yehuwa mahu kita berdoa kepada-Nya?
3 Bible meyakinkan kita bahawa kita sangat berharga di mata Yehuwa dan Dia sangat mengasihi kita. (Hag. 2:7; 1 Yoh. 4:10) Itulah sebabnya Dia menjemput kita untuk berdoa meminta bantuan-Nya. (1 Ptr. 5:6, 7) Dia mahu kita tetap menghampiri-Nya dan menghadapi masalah dengan berjaya.
Yehuwa menjawab doa Daud dengan menyelamatkan Daud daripada musuhnya (Lihat perenggan 4)
4. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa menjawab doa para penyembah-Nya? (Lihat juga gambar.)
4 Dalam Bible, kita sering membaca tentang bagaimana Yehuwa menjawab doa para penyembah-Nya. Fikirkan contoh Raja Daud. Dia ada banyak musuh, dan nyawanya sering diancam. Oleh itu, dia selalu berdoa untuk meminta bantuan Yehuwa. Pernah sekali, dia merayu, “Ya Yehuwa, dengarlah doaku; dengarlah seruanku untuk meminta tolong. Engkau baik dan setia, maka jawablah doaku.” (Mzm. 143:1) Yehuwa menjawab doa Daud dengan menyelamatkannya. (1 Sam. 19:10, 18-20; 2 Sam. 5:17-25) Itulah sebabnya Daud dapat berkata dengan yakin, “Yehuwa dekat kepada semua orang yang berseru kepada-Nya.” Sudah pasti kita juga mempunyai keyakinan yang sama.—Mzm. 145:18.
Yehuwa menjawab doa Paulus dengan memberinya kuasa yang diperlukan untuk bertabah (Lihat perenggan 5)
5. Pada zaman Bible, adakah Yehuwa selalu menjawab doa para penyembah-Nya dalam cara yang mereka harapkan? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
5 Yehuwa tidak selalunya menjawab doa kita dalam cara yang kita harapkan. Perhatikan contoh Rasul Paulus. Sebanyak tiga kali, dia berdoa dan meminta agar Tuhan menyingkirkan ‘duri dalam dagingnya.’ Yehuwa telah menjawab doa Paulus, tetapi bukan dalam cara yang Paulus harapkan. Daripada menghilangkan masalah Paulus, Yehuwa memberinya kekuatan supaya dia dapat terus menyembah-Nya dengan setia.—2 Kor. 12:7-10.
6. Mengapakah kita ada kalanya berasa bahawa Yehuwa tidak menjawab doa kita?
6 Ada kalanya, jawapan Yehuwa kepada doa kita bukanlah apa yang kita harapkan. Namun, yakinlah bahawa Yehuwa tahu cara yang terbaik untuk membantu kita. Dia bahkan dapat “melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.” (Ef. 3:20) Itulah sebabnya Dia mungkin menjawab doa kita pada masa atau dalam cara yang tidak kita jangkakan.
7. Mengapakah kita mungkin perlu mengubah apa yang kita doakan? Berikan contoh.
7 Setelah lebih memahami kehendak Yehuwa bagi kita, kadangkala kita mungkin perlu mengubah apa yang kita doakan. Perhatikan contoh Saudara Martin Poetzinger. Tidak lama selepas berkahwin, Saudara Poetzinger dipenjarakan di kem konsentrasi Nazi. Pada mulanya, dia berdoa agar Yehuwa membebaskannya supaya dia dapat menjaga isterinya dan terus menginjil. Namun selepas dua minggu, nampaknya Yehuwa tidak membuka jalan baginya untuk dibebaskan. Maka dia mengubah apa yang didoakannya, dan dia memohon, “Yehuwa, bantulah saya untuk melihat kehendak-Mu.” Dia mula memikirkan cabaran yang dihadapi oleh saudara-saudara lain di kem. Kebanyakan daripada mereka risau tentang isteri dan anak mereka. Maka Saudara Poetzinger berdoa, “Terima kasih Yehuwa kerana memberi saya tugasan yang baru. Bantulah saya untuk menguatkan dan menggalakkan saudara-saudara saya.” Itulah yang dilakukan oleh Saudara Poetzinger di kem selama sembilan tahun!
8. Apakah yang mesti kita ingat semasa berdoa?
8 Kita mesti ingat bahawa Yehuwa akan melaksanakan tujuan-Nya menurut masa yang ditetapkan-Nya. Apabila Yehuwa menggunakan Kerajaan-Nya untuk melaksanakan tujuan-Nya, semua masalah yang membawa begitu banyak penderitaan sekarang, seperti bencana alam, penyakit, dan kematian, akan dilenyapkan buat selama-lamanya. (Dan. 2:44; Why. 21:3, 4) Namun, sebelum masa itu tiba, Yehuwa mengizinkan Syaitan memerintah dunia.b (Yoh. 12:31; Why. 12:9) Jadi, jika Yehuwa campur tangan dan menyelesaikan semua masalah manusia sekarang, Dia seolah-olah sedang membantu Syaitan untuk memerintah. Yehuwa pasti tidak akan berbuat demikian. Walaupun sesetengah janji Yehuwa belum ditunaikan, hal itu tidak bermaksud Dia langsung tidak membantu kita. Mari kita lihat beberapa cara Yehuwa membantu kita pada masa sekarang.
CARA YEHUWA MENJAWAB DOA KITA DEWASA INI
9. Bagaimanakah Yehuwa membantu kita membuat keputusan yang baik? Berikan contoh.
9 Yehuwa memberi kita kebijaksanaan. Dia berjanji untuk memberi kita kebijaksanaan yang diperlukan supaya kita dapat membuat keputusan yang baik. Kita memerlukan kebijaksanaan daripada Tuhan, terutamanya semasa membuat keputusan yang akan mempengaruhi seluruh kehidupan kita, seperti keputusan untuk berkahwin atau terus membujang. (Yak. 1:5) Perhatikan pengalaman Maria, seorang saudari bujang.c Semasa dia menikmati khidmat perintis biasa, dia mengenali seorang saudara. Dia berkata, “Apabila persahabatan kami semakin rapat, kami semakin menyukai satu sama lain. Saya tahu saya perlu membuat keputusan tentang hubungan kami, jadi saya banyak berdoa tentang hal itu. Saya perlukan bimbingan Yehuwa, tetapi saya juga tahu Yehuwa tidak akan membuat keputusan bagi saya.” Maria berasa bahawa Yehuwa telah menjawab doanya dengan memberinya kebijaksanaan. Bagaimana? Semasa menyelidiki bahan bacaan kita, dia menjumpai beberapa rencana yang menjawab soalan yang timbul dalam fikirannya. Dia juga mendengarkan nasihat daripada ibunya yang merupakan penyembah Yehuwa. Nasihat itu telah membantu Maria lebih memahami perasaannya. Hasilnya, dia dapat membuat keputusan yang bijak.
Bagaimanakah Yehuwa memberi kita kuasa untuk bertabah? (Lihat perenggan 10)
10. Menurut Filipi 4:13, apakah yang akan Yehuwa berikan kepada para penyembah-Nya? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)
10 Yehuwa memberi kita kuasa untuk bertabah. Sepertimana Yehuwa memberi Rasul Paulus kuasa untuk bertabah, Dia juga akan membantu kita menghadapi cabaran dengan tabah. (Baca Filipi 4:13.) Perhatikan bagaimana Yehuwa membantu seorang saudara yang bernama Benjamin. Dari kecil, Benjamin dan keluarganya tinggal di kem pelarian di Afrika. Benjamin berkata, “Saya sentiasa meminta Yehuwa memberi saya kuasa untuk melakukan apa yang betul di mata-Nya. Yehuwa menjawab doa-doa saya dengan memberi saya ketenangan minda, keberanian untuk terus menginjil, dan bahan bacaan untuk tetap kuat secara rohani.” Dia juga berkata, “Semasa saya membaca pengalaman rakan seiman dan melihat bagaimana Yehuwa membantu mereka bertabah, tekad saya untuk terus menyembah Yehuwa dengan setia semakin dikuatkan.”
Pernahkah anda merasai bantuan Yehuwa yang diberikan melalui rakan seiman? (Lihat perenggan 11-12)d
11-12. Bagaimanakah Yehuwa mungkin menggunakan keluarga rohani kita untuk menjawab doa kita? (Lihat juga gambar.)
11 Yehuwa menggunakan keluarga rohani kita untuk membantu kita. Pada malam sebelum Yesus mengorbankan nyawanya, dia berdoa dengan bersungguh-sungguh dan merayu agar dia tidak perlu dihukum mati sebagai penjahat yang menghina Tuhan. Biarpun Yehuwa tidak menunaikan permintaan Yesus, Dia telah mengutus saudara Yesus dari syurga, iaitu satu malaikat, untuk menguatkan Yesus. (Luk. 22:42, 43) Dewasa ini, semasa kita memerlukan galakan, Yehuwa mungkin menggunakan saudara saudari lain untuk menelefon atau melawat kita. Yehuwa juga dapat menggunakan kita untuk menguatkan rakan seiman. Jadi, kita semua ingin mencari peluang untuk mengucapkan “kata-kata yang membina” kepada satu sama lain.—Ams. 12:25.
12 Perhatikan pengalaman seorang saudari yang bernama Miriam. Beberapa minggu selepas kematian suaminya, dia berada di rumah seorang diri dan berasa sedih dan murung. Dia menangis tanpa henti-henti dan perlu meluahkan perasaannya kepada seseorang. Dia berkata, “Saya tidak larat untuk menelefon sesiapa pun, jadi saya berdoa kepada Yehuwa. Semasa saya masih berdoa sambil menangis, tiba-tiba telefon saya berdering. Rupa-rupanya seorang penatua yang dikasihi menelefon saya.” Miriam menerima kelegaan daripada penatua itu dan isterinya. Dia yakin bahawa Yehuwa telah menggerakkan saudara ini untuk menelefonnya.
Bagaimanakah Yehuwa dapat menggerakkan orang lain untuk membantu kita? (Lihat perenggan 13-14)
13. Bagaimanakah Yehuwa mungkin menggunakan orang yang bukan penyembah-Nya untuk menjawab doa kita? Berikan contoh.
13 Yehuwa mungkin menggunakan orang yang bukan penyembah-Nya untuk membantu kita. (Ams. 21:1) Ada kalanya, Yehuwa mungkin menjawab doa umat-Nya dalam cara sebegini. Contohnya, Dia menggerakkan Raja Artahsasta untuk mengizinkan Nehemia pulang ke Yerusalem supaya Nehemia dapat membantu membina semula kota itu. (Neh. 2:3-6) Dewasa ini, Yehuwa juga dapat menggerakkan orang yang bukan penyembah-Nya untuk memberi kita bantuan yang diperlukan.
14. Apakah yang anda suka tentang pengalaman Soo Hing? (Lihat juga gambar.)
14 Seorang saudari yang bernama Soo Hing berasa bahawa Yehuwa telah membantunya menerusi doktornya. Anak lelakinya menderita masalah kesihatan mental. Kemudian, anaknya terjatuh dan cedera parah. Untuk menjaga anak mereka, Soo Hing dan suaminya terpaksa berhenti bekerja. Akibatnya, mereka menghadapi masalah kewangan. Soo Hing berkata bahawa dia berasa seperti gelang getah yang ditarik sehingga hampir putus. Dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa dan meminta bantuan-Nya. Bagaimanakah Yehuwa menjawab doanya? Doktor yang merawat anaknya telah membantu keluarga Soo Hing. Hasilnya, mereka menerima bantuan kerajaan dan dapat mencari tempat tinggal dengan harga yang berpatutan. Soo Hing berkata, “Kami melihat bagaimana Yehuwa telah membantu kami. Dia sememangnya ‘Pendengar doa.’”—Mzm. 65:2.
KITA PERLU BERIMAN UNTUK MEMINTA DAN MENERIMA JAWAPAN YEHUWA
15. Apakah yang membantu seorang saudari untuk sedar bahawa Yehuwa memang menjawab doanya?
15 Sering kali, Yehuwa tidak menjawab doa kita dalam cara yang luar biasa. Namun selalunya, jawapan yang diberi-Nya merupakan apa yang kita perlukan untuk membantu kita tetap setia kepada-Nya. Jadi, selepas berdoa, hendaklah kita terus peka terhadap cara Yehuwa menjawab doa kita. Seorang saudari yang bernama Yoko berasa bahawa Yehuwa tidak menjawab doanya, maka dia mula mencatatkan apa yang dimintanya daripada Yehuwa. Beberapa lama kemudian, dia melihat semula catatannya dan sedar bahawa Yehuwa telah menjawab kebanyakan doanya, bahkan doa yang sudah dilupakannya. Dari masa ke masa, kita perlu berhenti sejenak dan merenungkan bagaimana Yehuwa menjawab doa kita.—Mzm. 66:19, 20.
16. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan iman? (Ibrani 11:6)
16 Kita menunjukkan iman, bukan sahaja dengan berdoa kepada Yehuwa, tetapi juga dengan sudi menerima jawapan-Nya, biarpun jawapan itu bukanlah apa yang kita harapkan. (Baca Ibrani 11:6.) Perhatikan contoh Mike dan isterinya Chrissy. Mereka ingin berkhidmat di Bethel. Mike berkata, “Selama bertahun-tahun, kami memohon untuk berkhidmat di Bethel, dan kami berdoa berkali-kali tentang hal itu. Tetapi kami tidak pernah dijemput.” Walaupun begitu, Mike dan Chrissy tetap yakin bahawa Yehuwa tahu cara yang terbaik untuk menggunakan mereka dalam khidmat-Nya. Mereka terus melakukan apa yang mereka mampu, seperti merintis di tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar, dan menyokong projek pembinaan organisasi. Hari ini, mereka membuat kerja lawatan. Mike berkata, “Jawapan Yehuwa kepada doa kami bukan selalunya apa yang kami harapkan. Tetapi Dia memang menjawab doa kami, dan cara Dia menjawab doa kami lebih hebat daripada apa yang kami bayangkan.”
17-18. Menurut Mazmur 86:6, 7, kita dapat yakin akan hal apa?
17 Baca Mazmur 86:6, 7. Daud yakin bahawa Yehuwa mendengar dan menjawab doanya. Anda juga dapat yakin akan hal yang sama. Daripada contoh-contoh dalam rencana ini, kita belajar bahawa Yehuwa dapat memberi kita kebijaksanaan dan kuasa yang diperlukan supaya kita dapat bertabah menghadapi masalah. Dia juga mungkin menggunakan keluarga rohani kita atau bahkan orang yang bukan penyembah-Nya untuk membantu kita.
18 Walaupun Yehuwa tidak selalunya menjawab doa kita dalam cara yang kita harapkan, kita tahu Dia pasti menjawab doa kita. Jawapan-Nya sentiasa memenuhi keperluan kita dan diberikan tepat pada waktunya. Jadi, teruslah berdoa dan percayalah bahawa Yehuwa mendengar doa anda. Yakinlah bahawa Yehuwa pasti menjaga anda sekarang dan akan “memuaskan keinginan semua makhluk hidup” di dunia baharu.—Mzm. 145:16.
LAGU 46 Kami Bersyukur pada-Mu Yehuwa
a Yehuwa meyakinkan kita bahawa Dia akan menjawab doa kita jika doa kita selaras dengan kehendak-Nya. Semasa kita menghadapi cabaran, kita dapat yakin bahawa Dia akan membantu kita untuk tetap setia kepada-Nya. Mari kita membincangkan bagaimana Yehuwa menjawab doa kita.
b Untuk perbincangan tentang mengapa Yehuwa mengizinkan Syaitan memerintah dunia, lihat rencana “Berfokuslah kepada Isu Terpenting,” dalam majalah Menara Pengawal terbitan Jun 2017.
c Sesetengah nama telah diubah.
d KETERANGAN GAMBAR: Seorang ibu dan anak perempuannya terpaksa melarikan diri ke negara lain. Rakan seiman di situ menyambut mereka dengan mesra dan memberikan bantuan praktikal.