KISAH HIDUP
Saya Rasa Selamat kerana Bergantung pada Yehuwa
SEMASA orang tanya saya tentang hidup saya, saya selalu memberitahu mereka, “Saya seperti beg di dalam tangan Yehuwa!” Apakah maksud saya? Sepertimana beg boleh dibawa ke mana-mana, saya mahu Yehuwa dan organisasi-Nya “membawa” saya ke mana-mana sahaja. Saya telah menerima beberapa tugasan yang susah dan berbahaya. Tetapi saya belajar bahawa bergantung pada Yehuwa ialah kunci kepada kehidupan yang aman dan selamat.
SAYA MULA BERGANTUNG PADA YEHUWA
Saya lahir pada tahun 1948 di sebuah kampung kecil yang terletak di barat daya Nigeria. Pada masa itu, Moustapha, pak cik sebelah bapa saya, dan Wahabi, abang sulung saya, dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa saya berumur sembilan tahun, bapa saya meninggal dan saya sangat sedih. Wahabi memberitahu saya bahawa kami dapat berjumpa semula dengan bapa apabila dia dibangkitkan. Hal itu sangat melegakan hati saya dan mendorong saya untuk mula belajar Bible. Pada tahun 1963, saya, dua orang abang saya, dan seorang adik lelaki saya dibaptis.
Pada tahun 1965, saya menyertai abang saya, Wilson, di Lagos. Di sana, saya menikmati pergaulan rapat dengan perintis biasa yang lain di Sidang Igbobi. Semangat dan sukacita mereka sangat menggalakkan saya, dan pada Januari 1968, saya mula merintis.
Saudara Albert Olugbebi, seorang saudara yang berkhidmat di Bethel, telah mengaturkan sebuah perjumpaan khas untuk kaum muda tentang keperluan untuk perintis khas di bahagian utara Nigeria. Saya masih ingat kata-kata Saudara Albert ini: “Ada banyak kerja yang perlu dilakukan! Kamu semua muda dan dapat menggunakan masa dan tenaga untuk Yehuwa.” Saya mahu meniru semangat Nabi Yesaya yang rela berkhidmat, maka saya mengisi dan menghantar permohonan saya.—Yes. 6:8.
Pada bulan Mei 1968, saya ditugaskan sebagai perintis khas di bandar Kano, di bahagian utara Nigeria. Perang Biafran (1967-1970) telah berlaku di sana dan kemudiannya merebak ke sebelah timur Nigeria. Maka, seorang saudara yang berniat baik cuba memujuk saya untuk tidak pergi ke sana. Tetapi saya memberitahu dia, “Terima kasih kerana mengambil berat tentang saya. Tetapi Yehuwalah yang mahu saya berkhidmat di sana dan Dia pasti menyertai saya.”
BERGANTUNG PADA YEHUWA DI TEMPAT YANG DILANDA PERANG
Perang saudara yang berlaku di Kano telah membawa kemusnahan yang teruk. Semasa menginjil, kadangkala kami nampak mayat orang yang terbunuh semasa konflik berlaku. Biarpun terdapat beberapa sidang di Kano, kebanyakan saudara saudari telah berpindah dan hanya kurang daripada 15 orang penyiar yang tertinggal. Mereka sangat takut dan tawar hati. Apabila mereka nampak kami enam orang perintis khas, mereka sangat gembira. Mereka menerima galakan kami dengan tangan terbuka. Kami membantu mereka mengaturkan perjumpaan dan kerja menginjil semula. Selain itu, kami membantu mereka untuk menghantar laporan aktiviti penyebaran dan pesanan bahan bacaan ke pejabat cawangan.
Kami mula belajar bahasa Hausa kerana banyak orang tempatan lebih sudi menerima berita baik dalam bahasa mereka. Namun, ahli-ahli agama utama di situ tidak suka kami menginjil. Maka kami harus berhati-hati. Pernah sekali, saya dan rakan menginjil saya dikejar oleh seorang lelaki yang membawa pisau. Mujurlah kami berjaya melarikan diri! Biarpun saya perlu menghadapi bahaya, Yehuwa “memberi [saya] kehidupan yang aman,” dan bilangan penyiar mula bertambah. (Mzm. 4:8) Dewasa ini, terdapat lebih daripada 500 orang penyiar yang berkhidmat di 11 sidang di Kano.
MENGHADAPI TENTANGAN DI NIGER
Berkhidmat sebagai perintis khas di Niamey, Niger
Kemudian, pada Ogos 1968, selepas saya berada di Kano untuk hanya beberapa bulan, saya dan dua orang perintis khas yang lain ditugaskan ke Niamey, ibu kota Republik Niger. Tidak lama kemudian, kami sendiri telah merasai bahang di Niger, di Afrika Barat. Kami mula faham mengapa negara itu digelar salah satu tempat yang paling panas di bumi. Selain perlu menyesuaikan diri dengan cuaca yang sangat panas, kami juga perlu belajar bahasa rasmi di situ, iaitu bahasa Perancis. Biarpun menghadapi semua cabaran ini, kami bergantung pada Yehuwa dan mula menginjil bersama beberapa orang penyiar yang tinggal di situ. Tidak lama kemudian, hampir setiap orang yang dapat membaca di Niamey telah menerima senaskhah buku The Truth That Leads to Eternal Life. Orang bahkan mencari kami untuk meminta buku itu!
Pada bulan Julai 1969, kami berkumpul untuk perhimpunan litar pertama di negara itu. Terdapat kira-kira 20 orang yang hadir dan kami tidak sabar-sabar untuk membaptis dua orang calon pembaptisan. Namun, pihak berkuasa di situ tidak suka Saksi-Saksi Yehuwa. Pada hari pertama perhimpunan, pihak polis datang dan menghentikan program perhimpunan. Mereka membawa perintis khas dan penyelia litar ke balai polis. Selepas menyoal siasat kami, mereka menyuruh kami datang ke balai polis pada hari berikutnya. Kami sedar pihak berkuasa mungkin menimbulkan masalah bagi kami. Oleh itu, kami mengaturkan agar ceramah pembaptisan disampaikan di rumah peribadi dan calon pembaptisan dibaptis secara rahsia di sebuah sungai.
Beberapa minggu kemudian, pihak berkuasa memberi saya dan lima orang perintis khas yang lain 48 jam untuk meninggalkan negara. Kami mematuhi mereka dan mencari jalan sendiri untuk pergi ke pejabat cawangan di Nigeria. Di sana, kami menerima tugasan baharu.
Saya ditugaskan ke Orisunbare, sebuah kampung di Nigeria. Di sana terdapat beberapa penyiar sahaja. Tetapi selepas enam bulan, pejabat cawangan menjemput saya untuk kembali ke Niger seorang diri. Mula-mula saya sangat terkejut dan risau. Tetapi saya juga gembira kerana dapat berjumpa semula dengan saudara saudari di Niger!
Sehari selepas saya kembali ke Niamey, saya berjumpa dengan seorang peniaga dari Nigeria. Dia tahu bahawa saya seorang Saksi dan mula menanya soalan-soalan tentang Bible. Maka saya belajar Bible bersamanya. Dia berhenti merokok dan tidak lagi minum berlebihan. Selepas itu dia dibaptis. Saya berpeluang untuk melihat bagaimana kerja penyebaran di beberapa kawasan di Niger terus berkembang maju. Semasa saya tiba di sana, terdapat 31 orang Saksi-Saksi Yehuwa. Semasa saya meninggalkan Niger, terdapat 69 orang Saksi di sana.
“KAMI TIDAK TAHU BANYAK TENTANG KERJA MENGINJIL DI GUINEA”
Pada hujung tahun 1977, saya kembali ke Nigeria untuk menerima latihan selama tiga minggu. Pada akhir kursus itu, koordinator Jawatankuasa Cawangan, iaitu Malcolm Vigo, menyuruh saya membaca sepucuk surat dari pejabat cawangan Sierra Leone. Mereka sedang mencari seorang saudara bujang yang sihat, sedang merintis, dan dapat menuturkan bahasa Inggeris dan Perancis untuk berkhidmat sebagai penyelia litar di Guinea. Saudara Vigo memberitahu saya bahawa latihan yang saya terima adalah untuk tugasan yang agak mencabar ini. Maka dia berkata, “Fikirlah masak-masak sebelum kamu menerima tugasan ini.” Tetapi saya menjawab dengan serta-merta, “Memandangkan Yehuwalah yang telah mengutus saya, saya akan menerimanya.”
Saya menaiki kapal terbang ke Sierra Leone dan berjumpa dengan saudara-saudara di pejabat cawangan. Salah seorang ahli Jawatankuasa Cawangan memberitahu saya, “Kami tidak tahu banyak tentang kerja menginjil di Guinea.” Walaupun pejabat cawangan Sierra Leone bertanggungjawab untuk menjaga kerja menginjil di Guinea, mereka tidak dapat menghubungi para penyiar di Guinea kerana keadaan politik di sana tidak stabil. Biarpun cawangan telah berusaha beberapa kali, mereka tidak dapat menghantar wakil ke sana. Oleh itu, mereka meminta saya untuk pergi ke ibu kota Guinea, iaitu Conakry, untuk mendapat pas residen.
“Memandangkan Yehuwalah yang telah mengutus saya, saya akan menerimanya”
Semasa saya tiba di Conakry, saya pergi ke kedutaan Nigeria. Saya memberitahu duta Nigeria keinginan saya untuk menginjil di Guinea. Tetapi dia tidak menggalakkan saya untuk tinggal di Guinea kerana saya mungkin ditangkap atau diseksa. Dia berkata, “Kembalilah ke Nigeria, dan menginjillah di sana.” Tetapi saya menjawab, “Saya bertekad untuk menginjil di sini.” Maka dia menulis surat kepada seorang menteri di Guinea untuk meminta bantuannya. Menteri itu mengalu-alukan saya dengan tangan terbuka.
Tidak lama kemudian, saya kembali ke pejabat cawangan di Sierra Leone untuk memberitahu para saudara bahawa saya diberi pas residen untuk tinggal di Guinea. Mereka bersorak dengan gembira setelah mendengar bagaimana Yehuwa telah memberkati saya!
Melakukan kerja litar di Sierra Leone
Dari tahun 1978 hingga tahun 1989, saya berkhidmat sebagai penyelia litar di Guinea, Sierra Leone, dan sebagai pengganti penyelia litar di Liberia. Pada mulanya, saya selalu jatuh sakit. Kadangkala saya jatuh sakit di kawasan yang terpencil. Tetapi saudara-saudara di sana berusaha untuk membawa saya ke hospital.
Pernah sekali, saya mendapat penyakit malaria yang serius, dan terdapat cacing di usus saya. Apabila saya akhirnya sembuh, saya mendapat tahu bahawa keadaan saya begitu teruk sehingga para saudara ada bincang tentang di mana saya harus dikebumikan! Biarpun saya hampir kehilangan nyawa, saya tidak pernah terfikir untuk meninggalkan tugasan saya. Saya sentiasa yakin bahawa keselamatan yang kekal dan sejati berasal daripada Tuhan yang dapat membangkitkan kita daripada kematian.
BERGANTUNG PADA YEHUWA SEBAGAI SUAMI ISTERI
Hari perkahwinan kami pada tahun 1988
Pada tahun 1988, saya berjumpa dengan Dorcas, seorang perintis yang rendah hati dan berfikiran rohani. Selepas berkahwin, dia menyertai saya dalam kerja lawatan. Dorcas ialah isteri yang pengasih dan rela membuat pengorbanan. Kadangkala, kami harus berjalan sejauh 25 kilometer sambil membawa beg-beg kami untuk sampai ke sidang yang berikutnya. Untuk sidang yang lebih jauh, kami menggunakan apa sahaja pengangkutan yang tersedia. Selalunya kami perlu melalui jalan yang berlumpur dan penuh dengan lubang-lubang yang besar.
Dorcas juga sangat berani. Sebagai contoh, kadangkala kami perlu melintasi sungai yang penuh dengan buaya. Pernah sekali, semasa kami membuat perjalanan lima hari untuk sampai ke sidang yang berikutnya, jambatan di sebuah sungai rosak. Jadi kami terpaksa menggunakan sampan. Apabila Dorcas berdiri untuk keluar dari sampan itu, dia terjatuh ke dalam air yang sangat dalam. Kami berdua tidak pandai berenang dan di situ ada buaya. Kami sangat bersyukur ada beberapa orang pemuda yang terjun ke dalam air untuk menyelamatkannya. Untuk suatu ketika, kami berdua mendapat mimpi buruk tentang peristiwa itu, tetapi kami tidak pernah putus asa.
Anak-anak kami, Jahgift dan Eric, merupakan kurniaan rohani daripada Yehuwa
Pada awal tahun 1992, kami terkejut kerana mendapati bahawa Dorcas hamil. Kami tidak pasti sama ada kami masih dapat berkhidmat sepenuh masa atau tidak. Namun, kami menganggap anak perempuan kami sebagai hadiah daripada Yehuwa. Maka kami menamakannya Jahgift yang bermaksud “hadiah dari Yah.” Empat tahun kemudian, adik lelaki Jahgift, iaitu Eric, lahir. Mereka berdua sememangnya kurniaan daripada Yehuwa. Buat suatu jangka masa, Jahgift berkhidmat sebagai penterjemah di pejabat penterjemahan di Conakry, dan Eric berkhidmat sebagai pembantu sidang.
Walaupun Dorcas perlu berhenti menjadi perintis khas, dia menjadi perintis biasa semasa membesarkan anak-anak kami. Dengan bantuan Yehuwa, saya dapat terus menceburi khidmat khas sepenuh masa. Selepas anak-anak kami sudah besar, Dorcas berkhidmat lagi sebagai perintis khas. Sekarang kami berdua berkhidmat sebagai mubaligh di Conakry.
SUMBER KESELAMATAN SEJATI
Saya sentiasa pergi ke mana sahaja Yehuwa membawa saya. Saya dan isteri saya dapat merasai perlindungan dan berkat Yehuwa. Dengan bergantung pada Yehuwa dan bukannya kebendaan, kami telah mengelakkan banyak masalah dan kekhuatiran. Melalui pengalaman kami, Dorcas dan saya belajar bahawa Yehuwa, “Tuhan, penyelamat kami,” ialah Sumber keselamatan sejati. (1 Taw. 16:35) Saya yakin bahawa sesiapa sahaja yang bergantung pada Yehuwa akan dilindungi “sebagaimana seseorang melindungi barang berharga yang dibalut di dalam sebuah kantung.”—1 Sam. 25:29.