RENCANA PEMBELAJARAN 21
LAGU 107 Haluan Kasih Tuhan
Cara untuk Mencari Pasangan Hidup
“Siapakah yang dapat menemui isteri yang cekap? Isteri yang cekap jauh lebih berharga daripada batu permata.”—AMS. 31:10.
FOKUS
Rencana ini akan membincangkan prinsip Bible tentang cara untuk mencari pasangan hidup yang sesuai dan cara saudara saudari di sidang dapat menyokong orang bujang yang mahu berkahwin.
1-2. (a) Apakah faktor-faktor yang patut difikirkan oleh orang Kristian bujang sebelum mula berdating? (b) Apakah maksud “berdating”? (Lihat “Maksud Ungkapan.”)
ADAKAH anda ingin berkahwin? Kebahagiaan seseorang tidak bergantung pada sama ada dia berkahwin atau tidak. Namun begitu, banyak orang Kristian yang bujang, tidak kira yang muda atau yang tua, ada keinginan untuk berkahwin. Sebelum anda mula berdating, anda harus bersedia dari segi kewangan, emosi, dan rohani.a (1 Kor. 7:36) Dengan demikian, peluang anda untuk menikmati perkahwinan yang bahagia jauh lebih tinggi.
2 Namun, adalah tidak mudah untuk mencari pasangan hidup yang sesuai. (Ams. 31:10) Jika anda menjumpai seseorang yang anda rasa sesuai pun, tidak mudah bagi anda untuk mula berdating.b Dalam rencana ini, kita akan membincangkan apa yang dapat membantu orang Kristian yang bujang untuk mencari teman hidup yang sesuai. Kita juga akan membincangkan bagaimana saudara saudari dalam sidang dapat menyokong orang Kristian bujang yang ingin berkahwin.
MENCARI TEMAN HIDUP YANG SESUAI
3. Apakah faktor-faktor yang harus difikirkan oleh orang Kristian bujang semasa mencari teman hidup?
3 Jika anda ingin berkahwin, adalah bagus jika anda tahu sifat-sifat yang anda ingin teman hidup anda miliki sebelum anda mula berdating. Jika tidak, anda mungkin berdating dengan seseorang yang tidak sesuai atau tidak sedar apabila orang yang sesuai ada di depan mata anda. Memang, bakal teman hidup anda haruslah seorang yang terbaptis. (1 Kor. 7:39) Namun, bukan semua orang yang sudah baptis akan menjadi teman hidup yang sesuai bagi anda secara automatik. Maka, tanyalah diri, “Apakah matlamat hidup saya? Apakah sifat-sifat penting yang harus bakal teman hidup saya miliki? Adakah apa yang saya harapkan itu realistik?”
4. Apakah yang didoakan oleh sesetengah orang yang mencari pasangan hidup?
4 Jika anda ingin berkahwin, anda mungkin telah berdoa tentang keinginan anda untuk mencari teman hidup. (Flp. 4:6) Biarpun Yehuwa tidak berjanji untuk mencari teman hidup bagi anda, Dia mengambil berat tentang perasaan dan keperluan anda, dan Dia akan membantu anda. Maka teruslah meluahkan isi hati anda kepada-Nya dan mintalah kesabaran dan kebijaksanaan. (Mzm. 62:8; Yak. 1:5) John,c seorang saudara bujang dari Amerika Syarikat memberitahu kita apa yang didoakannya. Dia berkata, “Saya memberitahu Yehuwa sifat-sifat yang saya mahu bakal teman hidup saya miliki. Saya berdoa agar berpeluang untuk bertemu bakal teman hidup saya. Saya juga meminta bantuan Yehuwa untuk memupuk sifat-sifat yang diperlukan untuk menjadi seorang suami yang baik.” Tanya, seorang saudari dari Sri Lanka, berkata, “Sementara mencari pasangan hidup, saya meminta Yehuwa bantu saya untuk tetap setia, bersikap positif, dan bersukacita.” Biarpun anda tidak dapat mencari pasangan hidup dengan serta-merta, Yehuwa berjanji untuk menjaga keperluan fizikal dan emosi anda.—Mzm. 55:22.
5. Bilakah orang Kristian yang bujang berpeluang untuk berjumpa dengan orang bujang lain yang mengasihi Yehuwa? (1 Korintus 15:58) (Lihat juga gambar.)
5 Bible menggalakkan kita untuk “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.” (Baca 1 Korintus 15:58.) Apabila anda terus sibuk berkhidmat kepada Yehuwa dan meluangkan masa bersama saudara saudari yang lain, anda dapat menikmati pergaulan yang membina. Pada masa yang sama, anda juga berpeluang untuk berjumpa dengan orang bujang lain, yang bertumpu pada khidmat kepada Yehuwa seperti anda. Seraya anda melakukan yang terbaik untuk menyenangkan hati Yehuwa, anda akan merasai sukacita yang sejati.
Jika anda sibuk melakukan kerja untuk Yehuwa dan meluangkan masa dengan rakan seiman yang berlainan, anda lebih berpeluang untuk mengenali saudara atau saudari yang ingin berkahwin (Lihat perenggan 5)
6. Semasa mencari teman hidup, apakah yang harus diingati oleh orang Kristian yang bujang?
6 Ingatlah, jangan terlalu asyik mencari teman hidup sehingga menjadikannya hal terpenting dalam hidup anda. (Flp. 1:10) Kebahagiaan sejati tidak bergantung pada status perkahwinan anda, tetapi bergantung pada hubungan anda dengan Yehuwa. (Mat. 5:3) Semasa anda bujang, anda mempunyai lebih banyak kebebasan untuk meluaskan khidmat anda. (1 Kor. 7:32, 33) Maka gunakanlah masa bujang anda dengan sebaik-baiknya. Jessica, seorang saudari dari Amerika Syarikat yang berkahwin semasa berumur lewat 30-an berkata, “Saya terus sibuk menginjil dan hal itu bantu saya untuk berpuas hati biarpun saya ada keinginan untuk berkahwin.”
LUANGKAN MASA UNTUK MEMERHATIKAN SESEORANG
7. Mengapakah bijak untuk memerhatikan seseorang sebelum memberitahu dia bahawa anda menyukainya? (Amsal 13:16)
7 Bagaimana pula jika ada seseorang yang anda rasa sesuai untuk menjadi teman hidup anda? Haruskah anda segera memberitahunya perasaan anda? Bible berkata bahawa orang bijak bertindak berdasarkan pengetahuan. (Baca Amsal 13:16.) Jadi adalah bijak untuk memerhatikan seseorang terlebih dahulu sebelum meluahkan perasaan anda terhadapnya. Aschwin, seorang saudara dari Belanda, berkata, “Perasaan cepat berputik, tetapi juga cepat pudar. Jika anda meluangkan masa anda untuk memerhatikan seseorang, anda tidak akan mula berdating dengannya mengikut emosi semata-mata.” Apabila anda memerhatikan seseorang terlebih dahulu, anda mungkin sedar bahawa orang itu tidak sesuai bagi anda.
8. Bagaimanakah orang bujang dapat memerhatikan seseorang? (Lihat juga gambar.)
8 Bagaimanakah orang bujang dapat memerhatikan seseorang dalam cara yang tidak ketara? Anda dapat memerhatikan kerohanian, sifat-sifat, dan kelakuannya semasa perjumpaan atau gathering. Siapakah kawan-kawannya? Apakah topik perbualannya? (Luk. 6:45) Adakah matlamatnya sama dengan anda? Anda juga mungkin dapat berjumpa dengan penatua di sidangnya atau orang Kristian matang lain yang rapat dengannya. (Ams. 20:18) Anda boleh tanya mereka tentang reputasi atau sifat-sifatnya. (Rut 2:11) Semasa anda memerhatikan orang yang anda suka itu, janganlah buat dia rasa kekok. Berilah dia ruang dan hormatilah perasaan dan privasinya.
Sebelum menyatakan perasaan anda, perhatikanlah orang itu dalam cara yang tidak ketara buat sementara waktu (Lihat perenggan 7-8)
9. Sebelum meluahkan perasaan anda kepada seseorang yang anda minat, anda harus yakin akan apa?
9 Berapa lamakah anda harus memerhatikan seseorang sebelum anda meluahkan perasaan anda? Jika anda terburu-buru menghampiri orang yang anda suka, dia mungkin berfikir bahawa anda hanya mengikut emosi. (Ams. 29:20) Tetapi jika anda mengambil terlalu banyak masa untuk memerhatikan orang itu, dia mungkin berfikir bahawa anda seorang yang susah membuat keputusan, terutamanya jika dia sudah tahu bahawa anda menyukainya. (Pkh. 11:4) Ingatlah, sebelum meluahkan perasaan anda kepada seseorang, janganlah berfikir bahawa anda pasti akan berkahwin dengannya. Sebaliknya, anda harus yakin bahawa anda sudah bersedia untuk berkahwin dan bahawa orang itu memang berpotensi untuk menjadi teman hidup anda.
10. Apakah yang patut anda lakukan jika anda tidak berminat untuk berdating dengan seseorang yang menyukai anda?
10 Bagaimana pula jika anda tidak berminat untuk berdating dengan seseorang yang menyukai anda? Jika demikian, tunjukkanlah dengan jelas melalui perbuatan anda bahawa anda tidak berminat. Janganlah mempermainkan perasaan orang itu dan membuatnya berfikir bahawa anda sudi berdating dengannya.—1 Kor. 10:24; Ef. 4:25.
11. Jika anda diminta untuk mencari bakal teman hidup untuk orang lain, apakah hal penting yang harus anda ingat?
11 Di sesetengah negara, adalah biasa bagi ibu bapa atau orang dewasa yang lain untuk mencarikan pasangan bagi ahli keluarga mereka yang masih bujang. Di tempat lain pula, keluarga atau sahabat mungkin mencarikan bakal teman hidup lalu mengaturkan agar kedua-dua pihak berjumpa dan melihat sama ada mereka mahu berdating atau tidak. Jika anda diminta untuk mencari bakal teman hidup untuk orang lain, fikirkanlah keperluan dan keinginan kedua-dua pihak. Selepas menjumpai seseorang yang anda rasa sesuai, luangkanlah masa untuk kenal orang itu dan sifat-sifatnya dengan lebih baik. Hal yang paling penting ialah kerohaniannya kerana hubungan seseorang dengan Yehuwa jauh lebih penting daripada wang, pendidikan, atau kedudukan. Namun ingatlah, keputusan terakhir untuk berkahwin atau tidak merupakan keputusan saudara atau saudari bujang itu.—Gal. 6:5.
MULA BERDATING
12. Jika anda berminat untuk mula berdating dengan seseorang, apakah yang dapat anda lakukan?
12 Bagaimanakah anda dapat memberitahu seseorang bahawa anda berminat untuk mula berdating dengannya?d Anda mungkin dapat mengaturkan untuk berbual dengan orang itu, sama ada di tempat awam atau melalui telefon. Beritahulah dia dengan jelas bahawa anda berminat terhadapnya dan ingin mengenalinya dengan lebih baik. (1 Kor. 14:9) Jika perlu, berilah orang itu masa untuk berfikir sebelum memberikan jawapan. (Ams. 15:28) Andai kata orang itu tidak berminat, terimalah jawapannya dan hormatilah perasaannya.
13. Apakah yang dapat anda lakukan jika seseorang berminat terhadap anda? (Kolose 4:6)
13 Bagaimana pula jika ada orang berminat terhadap anda? Dia memerlukan keberanian untuk memberitahu anda perasaannya. Jadi layanlah dia dengan hormat dan baik hati. (Baca Kolose 4:6.) Jika anda memerlukan masa untuk memikirkan hal itu, beritahulah dia. Namun, cubalah menjawabnya dengan secepat yang mungkin. (Ams. 13:12) Jika anda tidak berminat, beritahulah dia dengan jelas tetapi dalam cara yang baik hati. Perhatikan bagaimana Hans, seorang saudara dari Austria, menjawab seorang saudari yang berminat terhadapnya. Dia berkata, “Saya memberitahunya keputusan saya dengan jelas tetapi dalam cara yang baik hati. Saya berbuat demikian dengan serta-merta kerana tidak mahu memberinya harapan palsu. Selepas itu, saya juga berhati-hati dengan apa yang saya katakan atau lakukan agar tidak memberinya tanggapan bahawa saya telah mengubah fikiran.” Sebaliknya, jika anda mahu berdating dengan orang yang berminat terhadap anda, bincangkanlah perasaan anda dan apa yang anda ingin lakukan semasa anda berdating. Apa yang anda harapkan mungkin berbeza, bergantung pada budaya anda atau faktor-faktor lain.
CARA UNTUK MENYOKONG ORANG KRISTIAN YANG BUJANG
14. Bagaimanakah kita dapat menyokong orang Kristian yang bujang?
14 Bagaimanakah kita semua dapat menyokong orang Kristian bujang yang mahu berkahwin? Salah satu cara adalah melalui kata-kata kita. (Ef. 4:29) Tanyalah diri, “Adakah saya mengejek mereka yang ingin berkahwin? Semasa melihat seorang saudara dan saudari yang bujang sedang bercakap, adakah saya terus fikir mereka menyukai satu sama lain?” (1 Tim. 5:13) Selain itu, kita tidak mahu membuat orang Kristian yang bujang berasa bahawa mereka pelik atau kekurangan sesuatu jika mereka tidak berkahwin. Hans, yang disebut tadi, berkata, “Sesetengah saudara saudari berkata, ‘Kamu sudah tidak muda, kenapa masih belum kahwin?’ Kata-kata sebegini membuat orang bujang berasa tidak dihargai dan hanya membuat mereka terdesak untuk cepat berkahwin.” Bukankah lebih baik jika kita mencari peluang untuk memuji orang Kristian yang bujang?—1 Tes. 5:11.
15. (a) Menurut prinsip di Roma 15:2, apakah yang harus difikirkan sebelum membantu orang lain mencari pasangan? (Lihat juga gambar.) (b) Apakah yang anda belajar daripada video yang disebut di nota kaki?
15 Bagaimana pula jika anda rasa saudara saudari tertentu sangat serasi? Bible menggalakkan kita untuk memikirkan perasaan orang lain. (Baca Roma 15:2.) Banyak orang bujang tidak mahu orang lain untuk memperkenalkan bakal teman hidup mereka. Jadi kita harus menghormati keputusan mereka. (2 Tes. 3:11) Yang lain pula mungkin menginginkan bantuan kita. Namun sebelum membantu, tanyalah mereka dahulu.e (Ams. 3:27) Orang bujang yang lain pula mungkin lebih suka cara yang tidak begitu ketara. Lydia, seorang saudari bujang dari Jerman, berkata, “Anda boleh mengaturkan aktiviti berkumpulan dan menjemput mereka berdua. Berilah mereka peluang untuk saling berkenalan dan biarlah mereka membuat keputusan sendiri.”
Semasa aktiviti berkumpulan, orang Kristian yang bujang berpeluang untuk berkenalan (Lihat perenggan 15)
16. Apakah yang harus diingat oleh orang Kristian yang bujang?
16 Kita semua, tidak kira yang bujang atau yang sudah berkahwin, dapat hidup puas dan bahagia! (Mzm. 128:1) Jika anda ingin berkahwin tetapi belum lagi menjumpai orang yang sesuai, janganlah terlalu risau. Teruslah berkhidmat kepada Yehuwa dengan sepenuh hati. Sin Yi, seorang saudari dari Macao, berkata, “Waktu bujang kita singkat sahaja jika dibandingkan dengan masa yang akan kita habiskan bersama pasangan kita di Firdaus. Hargailah waktu itu dan gunakannya dengan sebaik-baiknya.” Namun, bagaimana pula jika anda sudah menjumpai orang yang sesuai dan mula berdating? Rencana seterusnya akan membincangkan cara untuk membuat keputusan yang bijak semasa berdating.
LAGU 137 Saudari Kristian, Wanita Setia
a Untuk mengetahui sama ada anda sudah bersedia atau tidak, lihat rencana “Dating—Bahagian 1: Adakah Saya Bersedia untuk Berdating?” di jw.org.
b MAKSUD UNGKAPAN: Dalam rencana ini dan rencana seterusnya, perkataan “berdating” merujuk kepada masa di mana seorang lelaki dan seorang wanita mengenali satu sama lain dengan lebih baik untuk mengetahui jika mereka sesuai untuk berkahwin. Lelaki dan wanita mula berdating apabila mereka memberitahu satu sama lain bahawa mereka saling menyukai. Hubungan mereka akan berterusan sehingga sama ada mereka berkahwin atau berpisah.
c Sesetengah nama telah diubah.
d Dalam sesetengah budaya, lelaki yang selalunya mengambil inisiatif untuk menyatakan perasaannya kepada wanita. Namun, tidak salah juga jika wanita yang mengambil inisiatif. (Rut 3:1-13) Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Kaum Muda Bertanya . . . Bagaimana Cara Menyatakan Perasaan Saya Kepadanya?” dalam majalah Sedarlah! terbitan 22 Oktober 2004 bahasa Indonesia.
e Lihat video Pejuang Iman yang Berjaya—Orang Kristian yang Bujang di jw.org.