IBOLYA BARTHA | KISAH HIDUP
Saya Mencapai Hati Suami Saya ‘Tanpa Berkata Apa-Apa’
Ada banyak perkara indah yang membuat saya menghampiri Yehuwa. Saya tersentuh dengan kasih dan keramahan yang ditunjukkan oleh umat-Nya dan berasa kagum dengan cara mereka mengajar kebenaran daripada Bible. Saya teruja dapat belajar bahawa Tuhan benar-benar mengambil berat terhadap orang dan bahawa Dia akan memberi mereka kehidupan yang menakjubkan pada masa depan. Namun, suami saya tidak berasa seperti saya, dan hal itu menimbulkan banyak cabaran.
Hari perkahwinan kami
Saya dilahirkan di Romania pada tahun 1952. Walaupun ibu saya seorang Saksi yang terbaptis, dia tidak aktif dalam kebenaran. Jadi saya tidak menghadiri perjumpaan Kristian. Tambahan lagi, Romania di bawah pemerintahan Komunis, dan Saksi-Saksi Yehuwa tidak dibenarkan untuk mencetak bahan bacaan dan melakukan kerja menginjil. Selama 36 tahun, saya tidak tahu siapa Yehuwa dan apa yang diajarkan Bible. Tapi pada 1988, semasa saya tinggal di bandar Satu-Mare bersama suami saya, István, ada sesuatu berlaku yang telah mengubah kehidupan saya.
Sebuah Jemputan yang Saya Tidak Dapat Tolak
Pada suatu hari, ibu datang kepada saya dan berkata, “Saya akan lawat mak cik kamu. Kamu mahu ikut? Selepas itu, kita boleh pergi membeli-belah bersama.” Memandangkan saya tidak buat apa-apa pada masa itu, saya pun setuju untuk pergi.
Semasa kami tiba di rumah mak cik saya, saya mendapati perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa sedang diadakan dan kira-kira sembilan orang yang hadir. Rupa-rupanya ibu telah kembali aktif dan menjadi Saksi yang bersemangat lagi. Apa yang saya dengar pada pagi itu telah meninggalkan kesan yang mendalam dan berkekalan terhadap saya.
Selepas perjumpaan berakhir, saudara yang mengendalikan perjumpaan itu menghampiri saya dan memperkenalkan dirinya. Dia berkata, “Nama saya János. Saya perasan kamu berikan sepenuh perhatian. Adakah kamu suka apa yang kamu dengar hari ini?” Saya memberitahunya bahawa saya tidak pernah datang ke perjumpaan seperti ini dan mahu datang lagi. Dia bertanya, “Adakah kamu mahu belajar Bible?” Itulah jemputan yang saya tidak dapat tolak. Saya tahu bahawa Tuhan telah memimpin saya kepada mereka.
Pada keesokan hari, János memperkenalkan Ida, yang mula mengajar saya tentang Bible. Tapi saya takut apa reaksi suami saya jika dia mendapat tahu bahawa saya sedang belajar Bible dengan Saksi-Saksi Yehuwa. Saya cuba beberapa kali untuk memberitahunya tentang hal itu, tapi dia tidak minat untuk dengar. Saya tahu bahawa dia tidak senang hati dengan apa yang saya buat.
Meskipun begitu, saya terus belajar Bible dan dibaptis pada Ogos 1989. Empat bulan kemudian, kerajaan Komunis di Romania telah hilang kuasa dan ketua rejim telah dihukum mati.
Tentangan Semakin Bertambah
Semasa kerajaan berubah, kami mendapat lebih banyak kebebasan. Saksi-Saksi Yehuwa dibenarkan untuk mengadakan perjumpaan dan menginjil secara bebas. Namun bagi saya, kebebasan ini mendatangkan lebih banyak tentangan. István berkata kepada saya, “Saya tidak peduli apa yang kamu percaya, asalkan kamu tidak menginjil dari rumah ke rumah.”
Sudah tentu, saya tidak akan berhenti menginjil. (Kisah 4:20) Jadi saya cuba untuk lebih berhati-hati. Tapi pada suatu hari, kawan-kawan István nampak saya menginjil dari rumah ke rumah dan mereka memberitahu István. Semasa saya pulang, suami saya teriak kepada saya, “Kamu memalukan saya dan keluarga kita!” Dia meletakkan sebilah pisau pada leher saya dan mengugut untuk membunuh saya jika saya tidak berhenti menginjil.
Saya cuba menjelaskan kepada István dan meyakinkannya bahawa saya mengasihinya. Kata-kata saya nampaknya membuat dia berasa tenang untuk seketika. Tapi semasa saya enggan menghadiri upacara perkahwinan saudara-mara yang melibatkan keagamaan, dia menjadi sangat marah. Hal itu membuatnya mengucapkan lebih banyak kata-kata hinaan.
Sedihnya, saya perlu bertabah menghadapi kemarahan István selama 13 tahun. Sepanjang masa itu, dia mengugut untuk menceraikan saya. Ada kalanya, dia akan kunci pintu rumah dan tidak beri saya masuk. Pada masa lain pula, dia menyuruh saya untuk kemas barang dan meninggalkan rumah.
Apa yang membantu saya untuk bertabah menghadapi situasi yang teruk itu? Saya berdoa dan meminta Yehuwa untuk membantu saya tetap tenang, dan saya benar-benar merasai bahawa Dia memelihara saya. (Mazmur 55:22) Sidang juga sangat menyokong saya. Para penatua dan beberapa saudari yang berpengalaman menggalakkan saya untuk tidak berputus asa dalam khidmat saya. Mereka mengingatkan saya bahawa Bible berkata para isteri dapat mencapai hati suami mereka ‘tanpa berkata apa-apa’ dengan tetap teguh dan setia kepada Yehuwa. (1 Petrus 3:1) Pada kemudian hari, itulah yang berlaku kepada saya.
Titik Perubahan
Pada 2001, István mengalami strok dan dia tidak dapat berjalan lagi. Dia tinggal di hospital selama sebulan dan menghabiskan beberapa minggu lagi di pusat pemulihan. Sepanjang masa itu, saya tetap berada di sisinya. Saya beri dia makan, berbual dengannya, dan memastikan dia ada semua yang dia perlukan.
Saudara saudari di sidang juga datang melawatnya. István telah merasai kasih dan keprihatinan mereka. Banyak yang menawarkan bantuan untuk melakukan kerja rumah untuk kami. Para penatua juga selalu bersedia untuk melegakan hati kami dan memberikan sokongan.
Lawatan mereka telah memberikan kesan kepada István, dan dia mula berasa malu tentang cara dia pernah melayan saya. Dia juga sedar tiada seorang pun kawannya yang datang melawatnya. Jadi semasa dia keluar dari hospital, István berkata, “Saya mahu belajar Bible dan menjadi salah seorang Saksi-Saksi Yehuwa.” Saya begitu gembira sehingga menangis!
Pada Mei 2005, István dibaptis. Memandangkan dia tidak dapat berjalan, para saudara membawanya ke tepi kolam pembaptisan dengan menggunakan kerusi roda, perlahan-lahan mengangkatnya masuk ke dalam air, dan membaptiskannya. István menjadi penyebar yang bersemangat. Saya ada kenangan yang baik semasa menginjil bersamanya. Itu sangat menakjubkan! Bayangkan lelaki yang pernah menentang saya kerana saya menyebarkan kebenaran tentang Firman Tuhan kini di sisi saya dan mengongsi berita baik kepada orang dengan gembira!
István sangat mengasihi Yehuwa dan menggunakan masanya untuk belajar dan menghafal ayat-ayat Bible. Dia suka membincangkan ayat-ayat itu dengan saudara saudari di sidang. Dia menggunakan peluang sebegitu untuk menggalakkan rakan seimannya.
Bersama kawan-kawan di konvensyen serantau
Kesihatan István semakin merosot. Selepas diserang beberapa strok yang ringan, dia hilang keupayaan untuk bercakap dan akhirnya terlantar di katil. Adakah keadaan itu melemahkan kerohaniannya? Sama sekali tidak! Dia terus membaca dan mengkaji Bible sebanyak yang dia mampu. Semasa saudara saudari datang melawatnya, dia menggunakan alat elektronik yang berskrin untuk berkomunikasi dengan mereka dan menguatkan iman mereka. Satu saudara berkata, “Saya suka lawat István. Saya selalu pulang ke rumah dengan perasaan disegarkan dan dikuatkan.”
Sedihnya pada Disember 2015, István meninggal. Kehilangannya membuat saya sangat sedih. Tapi hal itu juga memberi saya ketenangan sejati, kerana lama sebelum dia meninggal, István telah menjadi sahabat Yehuwa. Inilah salah satu hal yang membuat saya sangat bersukacita. István dan ibu saya kini dalam ingatan Yehuwa. Betapa indahnya untuk peluk mereka lagi dan menyambut mereka semasa di dunia baharu nanti.
Lebih daripada 35 tahun telah berlalu sejak saya dan ibu melawat mak cik saya, dan saya tidak akan melupakan lawatan itu. Sekarang saya berumur kira-kira 70 tahun dan berkhidmat sebagai perintis biasa. Itulah cara saya dapat tunjukkan penghargaan saya kepada Yehuwa atas semua yang Dia lakukan untuk saya. (Mazmur 116:12) Dia bantu saya tetap setia dan tenang semasa menghadapi tentangan. Meskipun mengalami cabaran itu, saya belajar bahawa keadaan dapat berubah. Walaupun hal itu tidak dijangkakan, saya dapat mencapai hati suami saya tanpa berkata apa-apa.