PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • g20 No. 1 ms. 8-13
  • Apa yang Dapat Dilakukan sewaktu Anda Stres

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Apa yang Dapat Dilakukan sewaktu Anda Stres
  • Sedarlah!—2020
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Cuba Hidup Sehari demi Sehari
  • Bersikap Munasabah
  • Kenal Pasti Punca Stres
  • Aturkan Kehidupan Sendiri
  • Amalkan Gaya Hidup yang Seimbang
  • Jaga Kesihatan Anda
  • Tetapkan Keutamaan
  • Dapatkan Sokongan
  • Jaga Keperluan Rohani Anda
  • Apakah Itu Stres?
    Sedarlah!—2020
  • Adakah Anda Stres?
    Sedarlah!—2020
Sedarlah!—2020
g20 No. 1 ms. 8-13
Seorang wanita yang yakin dan bahagia di kota besar.

CARA MENANGANI STRES

Apa yang Dapat Dilakukan sewaktu Anda Stres

Untuk menangani stres dengan baik, anda perlu memikirkan kesihatan anda, hubungan anda dengan orang lain, dan matlamat dan keutamaan hidup anda. Rencana ini akan membincangkan beberapa prinsip yang dapat membantu anda menangani dan bahkan mengurangkan stres.

Cuba Hidup Sehari demi Sehari

Seorang wanita yang yakin dan bahagia sedang berjalan di kota besar.

“Janganlah khuatir tentang hari esok, kerana hari esok mempunyai kekhuatirannya sendiri.”​—MATIUS 6:34.

Maksudnya: Kekhuatiran memang lumrah hidup. Tetapi janganlah menambahkan kekhuatiran hari ini dengan memikirkan kekhuatiran hari esok. Cubalah hidup sehari demi sehari.

  • Stres dapat menyebabkan kekhuatiran. Maka cubalah dua langkah ini: Pertama, ingatlah bahawa kita tidak dapat melarikan diri daripada semua stres. Jika kita runsing tentang hal yang tidak dapat dielakkan, stres kita akan bertambah. Kedua, ingatlah bahawa apa yang berlaku biasanya tidak seteruk yang kita sangka.

Bersikap Munasabah

“Kebijaksanaan yang datang dari syurga . . . munasabah.”​—YAKOBUS 3:17.

Maksudnya: Janganlah mengharapkan kesempurnaan daripada diri sendiri atau orang lain.

  • Janganlah mengharapkan sesuatu yang mustahil dicapai, dan ingatlah akan keterbatasan diri anda dan orang lain. Dengan itu, anda dan orang di sekeliling anda dapat mengurangkan stres dan meraih hasil yang lebih baik. Ingatlah untuk bergurau senda bahkan sewaktu timbulnya masalah. Gelak ketawa dapat mengurangkan stres dan menceriakan suasana.

Kenal Pasti Punca Stres

“Orang yang berpengertian sentiasa tenang.”​—AMSAL 17:27.

Maksudnya: Emosi yang negatif dapat mengaburi fikiran, maka cubalah bertenang.

  • Kenal pasti hal-hal yang membuat anda stres, dan perhatikan reaksi anda terhadapnya. Contohnya, semasa anda stres, anda boleh mencatatkan fikiran, perasaan, dan kelakuan anda. Apabila anda mengetahui reaksi anda terhadap stres, anda dapat menanganinya dengan lebih baik. Fikirkan juga cara untuk membuang hal-hal yang menyebabkan stres. Jika hal-hal itu tidak dapat dilenyapkan, carilah jalan untuk mengurangkan kesannya, misalnya dengan mengurus masa atau tugas anda dengan lebih cekap.

  • Ubahlah pandangan anda. Hal yang membuat anda stres tidak semestinya membuat orang lain stres. Cadangan-cadangan berikut mungkin dapat membantu mengubah pandangan anda:

    1. Bersangka baik terhadap orang lain. Katakan seseorang memotong barisan, dan anda segera menyimpulkan bahawa dia berbuat demikian kerana biadab. Anda tentu akan marah. Jadi, cubalah menganggap bahawa dia berbuat demikian kerana ada sebab yang baik. Sangkaan anda mungkin betul!

    2. Berpandangan positif. Jika anda perlu menunggu untuk masa yang lama di klinik atau di lapangan terbang, anggaplah itu sebagai peluang untuk membaca sesuatu, membalas e-mel, atau melakukan kerja yang berfaedah.

    3. Berpandangan jauh. Tanyalah diri, “Adakah masalah ini masih akan mengganggu saya hari esok atau minggu depan?” Bezakan antara masalah yang kecil dengan masalah yang besar.

Aturkan Kehidupan Sendiri

Seorang wanita memegang telefon pintarnya dan menggunakan aplikasi untuk merancang kegiatan sehariannya.

“Segala sesuatu haruslah berlaku dengan baik dan teratur.”​—1 KORINTUS 14:40.

Maksudnya: Rancanglah kehidupan seharian anda.

  • Kita suka kehidupan yang teratur. Namun, ada satu hal yang dapat membuat hidup kita kelam-kabut dan stres, iaitu sikap suka menunda-nunda. Sikap ini juga dapat membuat kerja kita bertimbun. Untuk mengatasinya, cubalah dua cadangan berikut:

    1. Sediakan jadual yang praktikal, dan ikutlah jadual itu.

    2. Kenal pasti dan betulkan apa-apa sikap yang membuat anda suka menunda-nunda.

Amalkan Gaya Hidup yang Seimbang

“Segenggam rehat lebih baik daripada dua genggam kerja keras dan usaha mengejar angin.”​—PENGKHUTBAH 4:6.

Maksudnya: Orang yang gila kerja mungkin tiada masa atau tenaga untuk menikmati hasil kerja keras mereka.

  • Pupuklah pandangan yang seimbang terhadap kerja dan duit. Duit tidak dapat membeli kebahagiaan atau menghilangkan stres. Sebaliknya, Pengkhutbah 5:12 menyatakan, “Orang kaya yang mempunyai banyak harta tidak dapat tidur.” Jadi berbelanjalah mengikut kemampuan.

  • Luangkan masa untuk relaks. Anda dapat mengurangkan stres semasa melakukan kegiatan yang digemari. Namun, sesetengah rekreasi, seperti menonton TV, mungkin tidak berkesan.

  • Jangan membiarkan teknologi menguasai kehidupan anda. Elakkan daripada asyik melihat e-mel, mesej, atau media sosial. Jika tidak perlu, janganlah membaca e-mel kerja selepas waktu kerja.

Jaga Kesihatan Anda

Seorang lelaki muda tersenyum sambil berlari di padang.

“Latihan jasmani ada faedahnya.”​—1 TIMOTIUS 4:8, Alkitab Berita Baik.

Maksudnya: Bersenam secara tetap dapat menyihatkan badan.

  • Pupuk tabiat yang sihat. Kegiatan jasmani dapat membuat anda berasa lebih gembira dan meningkatkan keupayaan badan untuk menangani stres. Jangan lupa masa makan dan pilihlah makanan yang berkhasiat. Pastikan anda berehat dengan secukupnya.

  • Elakkan “penyelesaian” yang memudaratkan, seperti merokok, mengambil dadah, atau minum alkohol. Dalam jangka masa panjang, “penyelesaian” itu akan merosakkan kesihatan anda dan membazirkan wang anda, dan bahkan membuat anda lebih stres.

  • Jika anda terlampau stres, janganlah malu untuk mendapatkan bantuan doktor atau pakar.

    SIKAP BAIK HATI DAPAT MENGHILANGKAN STRES

    “Orang yang baik hati menguntungkan diri sendiri, tetapi orang yang zalim merugikan diri sendiri.”​—AMSAL 11:17.

    Seorang doktor yang bernama Tim Cantopher telah menulis sebuah buku yang berjudul Overcoming Stress (Mengatasi Stres). Dalam buku itu, dia menyatakan bahawa apabila kita berbaik hati kepada orang lain, kita akan lebih sihat dan bahagia. Tetapi jika kita bersikap kasar atau kejam, kita tidak akan gembira kerana orang lain akan menjauhi kita.

    Kita juga dapat mengurangkan stres dengan berbaik hati kepada diri sendiri. Contohnya, janganlah kita mengharapkan sesuatu yang terlalu susah daripada diri sendiri, atau memandang rendah kepada diri sendiri. Yesus Kristus berkata, “Kamu mesti mengasihi orang lain sepertimana kamu mengasihi dirimu sendiri.”​—Markus 12:31.

Tetapkan Keutamaan

“Mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting.”​—FILIPI 1:10.

Maksudnya: Fikir baik-baik tentang keutamaan anda.

  • Senaraikan tugas-tugas anda menurut kepentingannya. Dengan itu, anda dapat bertumpu kepada kerja yang lebih penting, dan mengenal pasti kerja yang boleh diagihkan kepada orang lain, kerja yang boleh dilakukan nanti, atau kerja yang tidak perlu dilakukan.

  • Selama seminggu, catatkan bagaimana anda menggunakan masa. Kemudian fikirkan cara untuk menggunakan masa dengan lebih baik. Apabila anda semakin mampu mengawal penggunaan masa sendiri, stres anda pun akan semakin berkurang.

  • Jadualkan masa untuk relaks. Waktu rehat yang singkat pun dapat menyegarkan anda dan mengurangkan stres.

Seorang bapa dan ibu meluangkan masa bersama anak-anak mereka.

Dapatkan Sokongan

“Kekhuatiran menyebabkan orang tertekan, tetapi kata-kata yang membina dapat menghiburkan hati.”​—AMSAL 12:25.

Maksudnya: Kata-kata yang lembut dan menggalakkan dapat menaikkan semangat anda.

  • Luahkan perasaan anda kepada seseorang yang dipercayai. Dia mungkin dapat membantu anda melihat situasi anda dari sudut yang berbeza, atau memberikan cadangan yang tidak pernah anda fikirkan. Biarpun dia tidak dapat memberikan bantuan, anda akan berasa lebih lega setelah meluahkan perasaan anda.

  • Mintalah bantuan. Anda boleh menyerahkan atau mengagihkan tugas kepada orang lain.

  • Jika rakan sekerja anda membuat anda tertekan, cubalah memperbaik situasi anda. Contohnya, beritahulah dia perasaan anda dengan sopan. (Amsal 17:27) Jika tidak berjaya, cubalah kurangkan masa anda berurusan dengannya.

Jaga Keperluan Rohani Anda

Seorang peniaga di tempat kerja sedang berdoa.

“Berbahagialah orang yang sedar akan keperluan rohani mereka.”​—MATIUS 5:3.

Maksudnya: Sebagai manusia, sekadar mempunyai makanan, pakaian, dan tempat tinggal tidak cukup. Untuk hidup bahagia, kita perlu menyedari keperluan rohani sendiri dan berusaha memenuhinya.

  • Doa sangat penting. Tuhan menjemput kita untuk ‘melemparkan segala kekhuatiran kita kepada-Nya, kerana Dia mengambil berat tentang kita.’ (1 Petrus 5:7) Apabila kita berdoa dan memikirkan hal-hal yang baik, kita dapat merasai ketenangan jiwa.​—Filipi 4:6, 7.

  • Baca bahan yang dapat membantu anda menghampiri Tuhan. Nasihat-nasihat dalam majalah ini diambil daripada Bible, sebuah buku yang dapat memenuhi keperluan rohani kita dan memberi kita “hikmat dan pengertian.” (Amsal 3:21) Maka, cubalah membaca Bible. Anda boleh bermula dengan buku Amsal.

SIKAP SUKA MENGAMPUNI DAPAT MENGHILANGKAN STRES

“Orang yang berpengertian lambat naik marah, dan dia dipuji kerana mengampunkan kesalahan.”​—AMSAL 19:11.

Dalam sebuah majalah tentang kesihatan psikologi, Dr. Loren Toussaint menjelaskan bahawa “stres dapat merosakkan [kesihatan], manakala sikap suka mengampuni dapat menjaga kesihatan.” Dia juga berkata bahawa jika kita memaafkan orang yang melukai kita, kita sedang melepaskan perasaan yang negatif dan memupuk perasaan yang positif terhadap orang itu. Hal itu dapat membantu kita melayannya dengan baik dan mengurangkan masalah yang disebabkan oleh stres.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi