Kepercayaan Sesetengah Orang
Agama Hindu
Penganut agama Hindu percaya bahawa seseorang menderita akibat perbuatannya sendiri, sama ada dalam kehidupan ini atau kehidupan lampau. Mereka percaya bahawa penderitaan akan berakhir apabila seseorang mencapai moksha, iaitu dibebaskan daripada kitaran kelahiran semula. Untuk mencapai tahap itu, seseorang perlu melatih dirinya agar tidak mempedulikan hal-hal duniawi.
Agama Islam
Penganut agama Islam percaya bahawa penderitaan bertujuan untuk menghukum orang atas dosa mereka dan untuk menguji orang yang beriman. Menurut Dr. Sayyid Syeed, presiden Persatuan Islam Amerika Utara, malapetaka merupakan peringatan “untuk bersyukur kepada Tuhan atas segala berkat-Nya, dan mengingatkan kita untuk membantu orang yang memerlukan pertolongan.”
Kepercayaan Orang Yahudi
Menurut kepercayaan orang Yahudi, seseorang menderita akibat perbuatannya sendiri. Sesetengah orang Yahudi percaya bahawa orang mati akan dibangkitkan, dan keadilan akan ditegakkan bagi orang baik yang menderita. Menurut ajaran Kabbalah (kepercayaan mistik) Yahudi, seseorang akan dilahirkan semula berulang kali, supaya dia berpeluang menebus kesalahannya.
Agama Buddha
Penganut agama Buddha percaya bahawa seseorang akan terus dilahirkan semula dan terus menderita sehingga dia bebas daripada segala perbuatan, perasaan, dan nafsu yang buruk. Apabila seseorang menimba pengetahuan, berbuat baik, dan melatih akal budinya, dia akan mencapai nirwana dan dibebaskan daripada segala penderitaan.
Konfusianisme
A Dictionary of Comparative Religion menyatakan bahawa menurut ajaran Konfusianisme, kebanyakan penderitaan disebabkan oleh “kegagalan dan kesilapan manusia.” Meskipun penderitaan dapat dikurangkan jika orang berbuat baik, kebanyakan penderitaan masih di luar kawalan manusia kerana berpunca daripada “makhluk roh yang lebih berkuasa. Dalam keadaan sebegini, manusia perlu berserah kepada Takdir.”
Kepercayaan Suku Kaum
Menurut kepercayaan sesetengah suku kaum, seseorang menderita kerana dijampi. Mereka percaya bahawa bomoh dapat membawa tuah atau kecelakaan. Oleh itu, apabila seseorang jatuh sakit, mereka akan meminta ubat daripada bomoh atau menjemput bomoh untuk mengadakan upacara bagi mengurangkan penderitaan orang itu.
Agama Kristian
Orang Kristian percaya bahawa manusia menderita kerana dosa pasangan manusia yang pertama, seperti yang dicatatkan dalam buku Kejadian. Namun, banyak aliran Kristian telah menokok tambah ajaran itu. Misalnya, sesetengah orang Kristian berkata bahawa penderitaan kita boleh “dipersembahkan kepada Tuhan” untuk memohon agar Tuhan memberkati gereja atau membantu orang lain.
MAKLUMAT LANJUT
Lihat video Adakah Tuhan Menerima Semua Agama? di jw.org/ms.