DUNIA YANG PENUH MASALAH
1 | Lindungi Kesihatan Anda
MENGAPA PENTING
Jika anda melindungi kesihatan anda, anda akan lebih bersedia menghadapi masalah. Krisis atau bencana dapat menjejaskan kesihatan kita dalam pelbagai cara. Contohnya:
Menyebabkan stres. Stres yang berpanjangan akan membuat orang lebih mudah jatuh sakit.
Hospital akan sesak dengan pesakit dan tidak dapat memberikan rawatan yang baik. Bekalan ubat-ubatan juga akan berkurang.
Ekonomi akan terjejas. Akibatnya, orang tidak mampu membeli barang keperluan asas seperti makanan yang berkhasiat atau ubat.
Apa yang Perlu Anda Tahu
Penyakit yang serius dan tekanan mental dapat menjejaskan kebolehan anda untuk membuat keputusan yang baik. Akibatnya, anda mungkin mengabaikan kesihatan diri sendiri dan menyebabkan penyakit anda bertambah teruk lagi.
Penyakit yang tidak dirawat mungkin menjadi lebih serius dan bahkan mengancam nyawa anda.
Jika kesihatan anda baik, anda dapat membuat keputusan yang lebih bijak semasa berdepan dengan masalah.
Tidak kira anda kaya atau miskin, anda mampu melindungi kesihatan anda.
Apa yang Dapat Anda Lakukan Sekarang
Orang yang bijak dan berpandangan jauh akan mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan bahaya. Kita juga dapat melakukan hal yang sama untuk melindungi kesihatan kita. Sering kali, jika kita menjaga kebersihan, kita dapat mengurangkan risiko jangkitan atau mengurangkan keseriusan kesan penyakit jika dijangkiti. Ingatlah, mencegah lebih baik daripada mengubati.
“Dengan menjaga kebersihan diri sendiri dan tempat tinggal kami, kami tidak perlu membelanjakan begitu banyak wang untuk jumpa doktor atau beli ubat.”—Andreas.a
a Sesetengah nama dalam majalah ini telah diubah.