KENAIKAN HARGA BARANG—CARA HADAPINYA
Urus Wang dengan Bijak
Kita semua memang rasa susah semasa harga barang meningkat. Namun kita masih dapat melakukan sesuatu untuk menghadapinya.
MENGAPA PENTING
Jika kewangan anda tidak terurus, ini boleh membuat anda lebih khuatir dan tertekan. Walaupun anda tidak mempunyai banyak wang, ada beberapa perkara yang dapat anda lakukan untuk mengurus wang anda dengan baik.
APA YANG DAPAT ANDA LAKUKAN
Berbelanja mengikut kemampuan. Dengan itu, anda akan rasa lebih tenang dan lebih bersedia untuk menanggung perbelanjaan yang tidak dijangka.
Untuk hidup mengikut kemampuan anda, sediakan bajet. Tuliskan pendapatan dan perbelanjaan anda supaya anda dapat tahu berapa banyak wang yang keluar atau masuk. Pastikan anda hanya beli apa yang anda benar-benar perlukan. Kemudian, berbelanjalah mengikut bajet anda dan buatlah penyesuaian jika harga barang atau pendapatan anda berubah. Sudah pasti, jika anda sudah berkahwin, bincanglah dengan pasangan anda sebelum membuat apa-apa keputusan.
Cubalah: Semasa membeli barang, daripada menggunakan kad kredit atau skim ansuran, bayarlah dengan wang tunai jika dapat. Sesetengah orang mendapati cara ini berkesan untuk mengurus wang dan bahkan dapat mengelakkan hutang. Selain itu, luangkanlah masa untuk menyemak penyata bank anda. Apabila anda tahu jumlah wang yang anda miliki, anda dapat merancang dengan lebih baik dan mengurangkan stres.
Mengawal perbelanjaan memang tidak mudah. Tetapi bajet yang praktikal dan yang disediakan dengan teliti dapat membantu anda. Hasilnya, anda tidak perlu terlalu khuatir tentang wang.
Jadilah pekerja yang baik. Majikan biasanya menghargai pekerja sebegitu. Oleh itu, berusahalah untuk menepati masa, bersikap positif terhadap kerja, bersikap hormat, rajin, dan berinisiatif. Selain itu, patuhilah peraturan di tempat kerja dan berusahalah untuk meningkatkan kemahiran anda.
Elakkan pembaziran. Tanyalah diri, “Adakah saya sering membelanjakan wang untuk hal-hal yang tidak diperlukan atau yang memudaratkan?” Contohnya, banyak orang membazirkan wang untuk membeli dadah, alkohol, rokok, atau berjudi. Tabiat sebegini juga dapat merosakkan kesihatan mereka dan membuat mereka kehilangan kerja.
Sediakan payung sebelum hujan. Jika dapat, simpanlah sedikit wang untuk kecemasan atau kejadian yang tidak terduga. Dengan itu, anda tidak perlu terlalu risau jika anda atau seorang ahli keluarga anda jatuh sakit, kehilangan kerja, atau menghadapi situasi yang tidak dijangkakan.