BAHAGIAN 3
Pembebasan dari Mesir hingga Raja Israel yang Pertama
Orang Israel tidak hidup sebagai hamba di Mesir lagi. Di bawah pimpinan Musa, orang Israel dibebaskan dari Mesir dan dibawa ke Gunung Sinai. Di sana, Tuhan memberi mereka hukum-hukum-Nya. Kemudian, Musa menghantar 12 orang pengintip ke negeri Kanaan untuk mengintip negeri itu. Tetapi 10 orang daripada 12 orang pengintip kembali dengan berita yang buruk. Oleh itu, orang Israel mahu kembali ke Mesir. Oleh sebab mereka tidak memperlihatkan kepercayaan yang secukupnya pada Tuhan, Tuhan telah menghukum mereka dengan membiarkan mereka merayau-rayau di padang belantara selama 40 tahun.
Akhirnya, Yosua dipilih oleh Tuhan untuk memimpin orang Israel ke negeri Kanaan. Yehuwa melakukan mukjizat-mukjizat untuk membantu mereka menakluki negeri itu. Dia menyebabkan Sungai Yordan berhenti mengalir, tembok Yerikho jatuh, dan matahari berhenti bergerak selama sehari suntuk. Selepas enam tahun, negeri Kanaan ditawan oleh orang Israel.
Selepas Yosua, Israel diperintah oleh hakim-hakim selama 356 tahun. Antara hakim-hakim ini ialah Barak, Gideon, Yefta, Simson, dan Samuel. Kita akan belajar tentang mereka. Kita juga akan belajar tentang beberapa orang wanita seperti Rahab, Debora, Yael, Rut, Naomi, dan Delila. Dalam Bahagian KETIGA, kita akan membaca tentang sejarah Israel sepanjang 396 tahun.