PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • kr bab 16 ms. 192-204
  • Berhimpun untuk Menyembah Tuhan

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Berhimpun untuk Menyembah Tuhan
  • Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • Tujuan Kita Berhimpun
  • Perjumpaan Mingguan yang Menggalakkan ‘Kasih dan Perbuatan yang Baik’
  • Perjumpaan Tahunan yang Paling Penting
  • Sikap Kita Menyingkapkan Apa?
  • Perjumpaan Mendorong Kita Menunjukkan Kasih dan Berbuat Baik
    Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Apakah Manfaat Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa?
    Nikmati Hidup Selama-Lamanya!—Kursus Perbincangan Bible
  • Mengapakah Kita Berkumpul Bersama untuk Menyembah Tuhan?
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2016
  • Sifat-Sifat yang Mendorong Kita Menghadiri Perjumpaan
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2019
Kerajaan Tuhan Kini Memerintah!
kr bab 16 ms. 192-204

BAB 16

Berhimpun untuk Menyembah Tuhan

FOKUS BAB INI

Mengkaji sejarah dan kepentingan perjumpaan kita

1. Semasa murid-murid Yesus berkumpul, apakah bantuan yang diterima oleh mereka? Mengapakah mereka memerlukan bantuan itu?

TIDAK lama selepas Yesus dibangkitkan, murid-muridnya berkumpul untuk menggalakkan satu sama lain. Tetapi, mereka mengunci pintu rumah kerana takut akan musuh mereka. Mereka tentu tidak takut lagi semasa Yesus muncul dalam kalangan mereka lalu berkata, “Terimalah daya aktif Tuhan.” (Baca Yohanes 20:19-22.) Semasa murid-murid Yesus berkumpul sekali lagi, Yehuwa telah mencurahkan daya aktif-Nya ke atas mereka. Hal itu pasti telah menguatkan mereka untuk terus menginjil!​—Kis. 2:1-7.

2. (a) Bagaimanakah Yehuwa memberi kita kekuatan? Mengapakah kita memerlukannya? (b) Mengapakah aturan Penyembahan Keluarga begitu penting? (Lihat nota kaki dan kotak “Penyembahan Keluarga,” muka surat 197.)

2 Kita semua menghadapi cabaran yang hampir sama dengan cabaran yang dilalui oleh saudara saudari kita pada abad pertama. (1 Ptr. 5:9) Kadangkala, kita mungkin takut akan manusia, dan kita memerlukan kekuatan daripada Yehuwa agar dapat terus menginjil. (Ef. 6:10) Satu cara utama Yehuwa memberi kita kekuatan sedemikian adalah melalui perjumpaan. Dewasa ini, kita menghadiri dua perjumpaan setiap minggu. Salah satu terdiri daripada Perjumpaan Umum dan Pembelajaran Majalah, manakala satu lagi dipanggil Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita, dan diadakan pada pertengahan minggu.a Kita juga menikmati empat perjumpaan yang lain setiap tahun​—konvensyen serantau, dua perhimpunan litar, dan Peringatan kematian Kristus. Mengapakah penting bagi kita untuk menghadiri semua perjumpaan ini? Apakah sejarah perjumpaan kita? Sikap kita terhadap perjumpaan menyingkapkan apa tentang diri kita?

Tujuan Kita Berhimpun

3, 4. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada umat-Nya? Berikan contoh.

3 Dari dahulu lagi, Yehuwa menghendaki umat-Nya berhimpun untuk menyembah-Nya. Sebagai contoh, pada tahun 1513 SM, Yehuwa memberikan Hukum-Nya kepada bangsa Israel. Menurut Hukum itu, semua keluarga dikehendaki menyembah Tuhan dan mempelajari Hukum-Nya pada hari Sabat setiap minggu. (Ul. 5:12; 6:4-9) Semasa orang Israel menurut perintah tersebut, ikatan keluarga mereka menjadi kukuh dan seluruh bangsa Israel menjadi kuat dan bersih secara rohani. Namun, semasa mereka tidak menerapkan Hukum itu dan tidak berhimpun secara tetap untuk menyembah Yehuwa, mereka kehilangan perkenan-Nya.​—Im. 10:11; 26:31-35; 2 Taw. 36:20, 21.

4 Pertimbangkan juga teladan Yesus. Setiap minggu, dia pasti akan pergi ke rumah ibadat pada hari Sabat. (Luk. 4:16) Selepas Yesus dibangkitkan, murid-muridnya masih berhimpun secara tetap meskipun mereka tidak perlu mematuhi hukum Sabat. (Kis. 1:6, 12-14; 2:1-4; Rm. 14:5; Kol. 2:13, 14) Melalui pertemuan sedemikian, orang Kristian pada abad pertama mendapat arahan dan galakan serta berpeluang untuk mempersembahkan pujian sebagai korban kepada Tuhan melalui doa, komen, dan lagu rohani.​—Kol. 3:16; Ibr. 13:15.

Selepas pembangkitannya, Yesus menampakkan dirinya kepada pengikutnya yang berkumpul di dalam sebuah bilik

Murid-murid Yesus berhimpun untuk menguatkan dan menggalakkan satu sama lain

5. Mengapakah kita menghadiri perjumpaan setiap minggu, dan menghadiri perhimpunan dan konvensyen setiap tahun? (Lihat juga kotak “Perjumpaan Tahunan yang Menyatukan Umat Tuhan,” muka surat 198.)

5 Dalam cara yang sama, semasa kita menghadiri perjumpaan setiap minggu, dan menghadiri perhimpunan dan konvensyen setiap tahun, kita menunjukkan bahawa kita menyokong Kerajaan Tuhan. Kita juga menerima kekuatan daripada daya aktif Tuhan dan menggalakkan orang lain melalui komen kita. Lebih penting lagi, semasa menghadiri perjumpaan, kita berpeluang untuk menyembah Yehuwa melalui doa, komen, dan lagu rohani. Meskipun perjumpaan kita hari ini berbeza daripada perjumpaan orang Israel dan orang Kristian pada abad pertama, perjumpaan kita juga sangat penting. Namun, apakah sejarah perjumpaan kita?

Perjumpaan Mingguan yang Menggalakkan ‘Kasih dan Perbuatan yang Baik’

6, 7. (a) Apakah tujuan perjumpaan-perjumpaan kita? (b) Apakah perbezaan yang wujud dalam aturan perjumpaan setiap kumpulan Pelajar Bible?

6 Semasa Saudara Russell mula mencari kebenaran dalam Bible, dia sedar bahawa dia perlu berkumpul dengan orang lain yang mempunyai matlamat yang sama. Pada tahun 1879, Russell menulis, “Saya, bersama orang lain di Pittsburgh, telah mengaturkan dan mengadakan kelas mengkaji Bible setiap hari Ahad.” Pembaca Zion’s Watch Tower telah digalakkan untuk berhimpun. Pada tahun 1881, perjumpaan diadakan di Pittsburgh, Pennsylvania, pada setiap hari Ahad dan hari Rabu. Majalah Watch Tower terbitan November 1895 menyatakan bahawa tujuan perjumpaan sedemikian adalah untuk memupuk “persaudaraan Kristian, kasih, dan perpaduan” serta membuka peluang kepada mereka yang hadir untuk menggalakkan satu sama lain.​—Baca Ibrani 10:24, 25.

7 Selama bertahun-tahun, aturan dan kekerapan perjumpaan setiap kumpulan Pelajar Bible berbeza-beza. Sebagai contoh, surat daripada sebuah kumpulan di Amerika Syarikat yang diterbitkan pada tahun 1911 menyatakan, “Kami mengadakan perjumpaan sekurang-kurangnya lima kali setiap minggu.” Mereka mengadakan perjumpaan pada hari Isnin, Rabu, Jumaat, dan dua kali pada hari Ahad. Sepucuk lagi surat daripada sebuah kumpulan di Afrika yang diterbitkan pada tahun 1914 menyatakan, “Kami mengadakan perjumpaan dua kali sebulan. Perjumpaan itu diadakan dari hari Jumaat sehingga hari Ahad.” Namun beberapa lama kemudian, aturan perjumpaan seperti yang kita adakan hari ini telah bermula. Sekarang mari kita lihat sejarah setiap perjumpaan secara ringkas.

8. Apakah beberapa topik ceramah yang disampaikan semasa perjumpaan umum?

8 Perjumpaan Umum. Saudara Russell menyediakan corak bagi Perjumpaan Umum kita. Pada tahun 1880, iaitu setahun selepas majalah Zion’s Watch Tower diterbitkan, dia telah pergi dari satu kawasan ke kawasan yang lain untuk bercakap tentang Kerajaan Tuhan, seperti yang dilakukan oleh Yesus. (Luk. 4:43) Majalah Watch Tower memaklumkan para pembaca tentang kunjungan Saudara Russell dan menyatakan bahawa dia akan “berucap tentang ‘Hal-hal yang berkaitan dengan kerajaan Tuhan’ semasa perjumpaan umum.” Pada tahun 1911, selepas kelas (atau sidang) ditubuhkan di beberapa buah negara, setiap kelas digalakkan untuk menghantar penceramah yang sesuai ke kawasan yang berdekatan untuk memberikan enam ceramah bersiri yang menyentuh topik seperti penghakiman dan tebusan. Pada akhir setiap ceramah, nama penceramah dan tema ceramah untuk minggu seterusnya akan diumumkan.

9. Jelaskan perkembangan aturan Perjumpaan Umum kita. Bagaimanakah anda dapat menyokong aturan ini?

9 Pada tahun 1945, majalah The Watchtower mengumumkan permulaan kempen Perjumpaan Umum di seluruh dunia. Lapan ceramah Bible bersiri yang menyentuh tentang “masalah-masalah genting pada masa ini” telah disampaikan. Selama bertahun-tahun, penceramah yang ditugaskan bukan sahaja menggunakan topik yang diberikan oleh hamba yang setia tetapi mereka juga menggunakan topik pilihan sendiri. Namun pada tahun 1981, mereka diminta untuk menyampaikan ceramah berdasarkan rangka ceramah yang diberikan kepada sidang.b Sebelum tahun 1990, sesetengah rangka ceramah menggalakkan penyertaan hadirin atau demonstrasi. Namun pada tahun itu, arahan diberikan kepada penceramah bahawa penyertaan hadirin atau demonstrasi tidak patut menjadi sebahagian daripada ceramah umum lagi. Mulai bulan Januari 2008, masa yang diperuntukkan untuk sebuah ceramah umum dikurangkan daripada 45 minit kepada 30 minit. Walaupun aturan ceramah diubahsuai dari masa ke masa, ceramah yang disediakan dengan rapi terus membina iman kita terhadap Bible dan mendidik kita tentang pelbagai aspek Kerajaan Tuhan. (1 Tim. 4:13, 16) Adakah anda berusaha untuk menjemput kunjungan kembali anda atau orang lain untuk mendengar ceramah-ceramah Bible yang penting?

10-12. (a) Apakah sejarah pembelajaran majalah? (b) Apakah soalan-soalan yang patut kita tanya?

10 Pembelajaran Majalah. Pada tahun 1922, saudara-saudara yang dihantar oleh Watch Tower Society untuk menyampaikan ceramah di sidang-sidang dan mengambil pimpinan dalam kerja penyebaran menyarankan agar satu perjumpaan setiap minggu dikhaskan untuk mempelajari majalah The Watch Tower. Cadangan mereka telah diterima, dan pada mulanya, pembelajaran majalah diadakan pada salah satu hari antara hari Ahad hingga hari Jumaat.

Perjumpaan Pelajar Bible di Ghana, 1931

Pembelajaran Majalah, Ghana, 1931

11 Majalah Watchtower terbitan 15 Jun 1932 memberikan arahan tambahan tentang bagaimana perjumpaan ini patut dikendalikan. Rencana itu menggunakan pembelajaran majalah yang diadakan di Bethel sebagai contoh. Seorang saudara akan memimpin pembelajaran, dan tiga orang saudara akan duduk di bahagian depan dewan dan bergilir-gilir untuk membaca perenggan. Pada masa itu, soalan tidak disediakan dalam rencana kita. Oleh itu saudara yang mengendalikan pembelajaran akan meminta para hadirin untuk mengajukan soalan tentang perenggan yang sedang dibincangkan. Selepas itu, dia akan menjemput para hadirin untuk menjawab soalan-soalan itu. Jika penjelasan lanjut diperlukan, saudara yang mengendalikan pembelajaran akan memberikan penjelasan yang “ringkas dan padat.”

12 Pada mulanya, setiap sidang diizinkan untuk memilih satu terbitan majalah yang ingin dipelajari oleh kebanyakan orang. Namun, majalah Watchtower terbitan 15 April 1933 menggalakkan semua sidang untuk menggunakan majalah yang terkini. Pada tahun 1937, sidang dinasihati untuk mengadakan pembelajaran majalah pada hari Ahad. Setelah perubahan yang dinyatakan dalam majalah Watchtower 1 Oktober 1942 dilaksanakan, pembelajaran majalah yang diadakan lebih menyerupai pembelajaran majalah kita sekarang. Pertama, rencana itu menyatakan bahawa soalan-soalan akan dicetakkan pada bahagian bawah setiap rencana pembelajaran dan akan digunakan semasa pembelajaran. Kemudian, rencana itu juga menyatakan bahawa panjang setiap pembelajaran majalah haruslah satu jam. Hadirin juga digalakkan untuk menjawab dengan “menggunakan kata-kata sendiri” dan bukannya membaca dari perenggan. Sampai hari ini, pembelajaran majalah merupakan sarana utama yang digunakan oleh hamba yang setia untuk menyediakan makanan rohani pada masa yang sesuai. (Mat. 24:45) Kita masing-masing harus bertanya, “Adakah saya membuat persediaan bagi pembelajaran majalah setiap minggu? Adakah saya berusaha untuk memberikan komen?”

13, 14. Apakah sejarah Pembelajaran Bible Sidang, dan mengapakah anda suka perjumpaan ini?

13 Pembelajaran Bible Sidang. Pada pertengahan tahun 1890-an, iaitu selepas beberapa jilid buku Millennial Dawn dikeluarkan, Saudara H. N. Rahn, seorang Pelajar Bible di bandar Baltimore, Maryland, A.S., mencadangkan supaya kumpulan buku Dawn diadakan untuk mempelajari Bible. Pada mulanya, perjumpaan sebegini biasanya diadakan di rumah saudara saudari, dan masih dalam peringkat percubaan. Namun pada bulan September 1895, kumpulan buku Dawn telah diadakan dengan jayanya di banyak bandar di Amerika Syarikat. Majalah Watch Tower bulan itu menggalakkan semua orang yang mempelajari kebenaran untuk mengadakan perjumpaan itu, dan menyatakan bahawa saudara yang mengendalikan perjumpaan haruslah berupaya membaca dengan baik. Dia perlu membaca satu ayat dalam perenggan lalu menunggu komen daripada hadirin. Selepas berbuat demikian untuk seluruh perenggan, dia akan membuka Bible dan membaca ayat-ayat rujukan. Pada hujung bab, setiap hadirin akan memberikan kesimpulan ringkas tentang bahan yang sedang dibincangkan.

14 Nama perjumpaan ini telah diubah beberapa kali. Perjumpaan ini pernah dipanggil Kumpulan Pembelajaran Bible Berea, yang merujuk kepada orang Berea pada abad pertama yang mengkaji Bible dengan teliti. (Kis. 17:11) Beberapa lama kemudian, namanya ditukar menjadi Kumpulan Pembelajaran Buku. Kini, perjumpaan ini dipanggil Pembelajaran Bible Sidang. Perjumpaan ini tidak lagi diadakan di rumah saudara saudari tetapi diadakan di Dewan Perjumpaan. Selama ini, pelbagai buku, brosur, dan bahkan rencana Watch Tower telah digunakan semasa perjumpaan ini. Dari dahulu lagi, semua yang hadir digalakkan untuk memberikan komen. Ya, perjumpaan ini telah banyak membantu memperdalam pengetahuan kita tentang Bible. Adakah anda membuat persiapan dan memberikan komen dengan sebaik yang boleh tiap-tiap minggu?

Ibu bapa dan dua orang anak perempuan mereka menikmati penyembahan keluarga bersama-sama

Adakah keluarga anda mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu?

PENYEMBAHAN KELUARGA

MENJELANG akhir sistem dunia ini, organisasi Yehuwa di bumi semakin menitikberatkan pentingnya aturan pembelajaran Bible keluarga. (2 Tim. 3:1) Sebagai contoh, buku kecil Home and Happiness, yang diterbitkan pada tahun 1932, menyatakan, “Hendaklah setiap keluarga mula mengkaji Bible di rumah dengan segera.” Majalah Watchtower terbitan 15 Mei 1956 menggalakkan semua keluarga Kristian untuk mengadakan “pembelajaran Bible di rumah secara tetap demi manfaat seluruh keluarga.” Kemudian, para pembaca ditanya, “Sebelum perjumpaan, adakah anda sekeluarga membuat persiapan untuk majalah The Watchtower?”

Pada tahun 2009, organisasi kita telah mengubah jadual perjumpaan kita untuk menunjukkan betapa pentingnya pembelajaran keluarga. Sejak tahun itu, Pembelajaran Bible Sidang diadakan pada malam yang sama dengan Sekolah Penyebaran Teokratik dan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Kerja Teokratik Kita terbitan Januari 2011 menyatakan, “Perubahan ini dibuat agar seisi keluarga dapat mengekhaskan satu malam setiap minggu untuk mengadakan penyembahan keluarga. Dengan ini, kerohanian sekeluarga dapat dikuatkan.” Rencana itu juga menggalakkan saudara saudari agar “meluangkan masa yang secukupnya untuk perbincangan dan pembelajaran Bible yang disesuaikan dengan keperluan keluarga.”c

Mengapakah Penyembahan Keluarga begitu penting dan patut diadakan setiap minggu? Hal ini demikian kerana jika Penyembahan Keluarga diabaikan, kerohanian sesebuah keluarga, bahkan seluruh sidang, boleh terjejas. Fikirkan perumpamaan ini: Sidang ibarat sebuah rumah batu. (Baca Ibrani 3:4-6.)d Kekuatan sebuah rumah batu bergantung pada dua perkara—asas rumah dan kekuatan setiap bata. Jika asas rumah itu tidak kukuh, rumah itu akan roboh. Namun andai kata asas rumah itu kukuh tetapi batu-batanya tidak kuat, seluruh struktur rumah itu juga boleh terjejas. Sidang Kristian dibina atas asas yang paling kukuh, iaitu ajaran Kristus. (Baca 1 Korintus 3:10-15.)e Individu dan keluarga di dalam sebuah sidang adalah seperti batu-bata. Sesi Penyembahan Keluarga merupakan masa yang paling baik bagi setiap individu dan keluarga untuk membina dan memelihara iman yang teguh dan tahan api. Apabila individu dan keluarga memupuk iman yang kuat, sidang pun menjadi teguh. Adakah keluarga anda mengadakan penyembahan keluarga setiap minggu?

c Cadangan bahan-bahan yang dapat digunakan semasa penyembahan keluarga terdapat dalam Kerja Teokratik Kita terbitan Januari 2011.

d Kata-kata Paulus ditujukan kepada mereka yang “dipanggil ke syurga.” (Ibr. 3:1) Namun, prinsipnya dapat diterapkan oleh semua orang Kristian.

e Maklumat lanjut tentang ayat-ayat ini terdapat dalam The Watchtower terbitan 15 Julai 1999, muka surat 12-14, perenggan 15-20. Bacalah maklumat itu dan fikirkan bagaimana anda dapat menerapkan nasihatnya semasa mengadakan Penyembahan Keluarga.

15. Apakah tujuan Sekolah Penyebaran Teokratik?

15 Sekolah Penyebaran Teokratik. “Pada malam Isnin, iaitu pada 16 Februari 1942,” kata Carey Barber, yang pada masa itu berkhidmat di ibu pejabat sedunia di Brooklyn, New York, “semua saudara dalam keluarga Bethel Brooklyn dijemput untuk mendaftar diri dalam Sekolah Penyebaran Teokratik.” Saudara Barber, yang kemudiannya menganggotai Badan Pimpinan, menyatakan bahawa sekolah itu ialah “salah satu perkembangan yang paling luar biasa yang menunjukkan cara Yehuwa memimpin umat-Nya pada zaman moden ini.” Memandangkan kursus ini berjaya membantu saudara-saudara meningkatkan kemahiran mengajar dan menginjil, mulai tahun 1943, buku kecil Course in Theocratic Ministry diedarkan kepada sidang-sidang di seluruh dunia. Majalah Watchtower 1 Jun 1943 menyatakan bahawa Sekolah Penyebaran Teokratik direka untuk membantu umat Tuhan “melatih diri agar dapat memberikan kesaksian yang lebih baik dalam kerja penyebaran Kerajaan Tuhan.”​—2 Tim. 2:15.

16, 17. Adakah Sekolah Penyebaran Teokratik hanya mengajar kita kemahiran teknikal? Jelaskan.

16 Pada mulanya, ramai orang berasa bahawa berucap di hadapan banyak hadirin merupakan hal yang sangat susah. Clayton Woodworth, Jr., (bapanya telah dipenjarakan bersama Saudara Rutherford dan saudara yang lain pada tahun 1918) mengimbas kembali perasaannya semasa dia mula-mula menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik pada tahun 1943. “Bagi saya, memberi ceramah sangat susah,” kata Saudara Woodworth. “Lidah saya seolah-olah menjadi sangat panjang, mulut saya menjadi sangat kering, dan suara saya menjadi sama ada terlalu kuat atau terlalu perlahan.” Namun, apabila Clayton menjadi lebih mahir, dia mendapat banyak peluang untuk memberikan ceramah umum. Sekolah itu bukan sahaja mengasah kemahirannya, tetapi juga membantunya sedar akan pentingnya bersikap rendah hati dan bergantung pada Yehuwa. Dia berkata, “Saya mula sedar bahawa yang penting bukanlah penceramah. Jika dia membuat persediaan rapi dan bergantung sepenuhnya pada Yehuwa, dia akan memberikan ceramah yang bagus dan hadirin akan mempelajari sesuatu.”

17 Pada tahun 1959, saudari-saudari juga dijemput untuk menyertai sekolah itu. Saudari Edna Bauer masih ingat suasana di perhimpunan semasa pengumuman itu dibuat. Dia berkata, “Saudari-saudari berasa sangat teruja kerana mereka mempunyai lebih banyak peluang untuk dilatih.” Selama bertahun-tahun, ramai saudara saudari telah berpeluang menyertai Sekolah Penyebaran Teokratik dan diajar oleh Yehuwa. Dewasa ini, kita menerima latihan sebegini semasa perjumpaan pertengahan minggu.​—Baca Yesaya 54:13.

18, 19. (a) Kini, bagaimanakah kita menerima bimbingan yang praktikal untuk menginjil? (b) Mengapakah kita bernyanyi di perjumpaan? (Lihat kotak “Bernyanyi tentang Kebenaran.”)

18 Perjumpaan Aktiviti Penyebaran. Seawal tahun 1919, perjumpaan untuk mengaturkan kerja penyebaran telah diadakan. Pada masa itu, perjumpaan sedemikian hanya dihadiri oleh ahli-ahli sidang yang menyertai kerja mengedarkan bahan bacaan. Sepanjang tahun 1923, Perjumpaan Aktiviti Penyebaran diadakan sekali sebulan dan semua dalam sidang dikehendaki hadir. Pada tahun 1928, setiap sidang digalakkan untuk mengadakan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran setiap minggu. Pada tahun 1935, majalah The Watchtower menggalakkan semua sidang untuk mengadakan Perjumpaan Aktiviti Penyebaran berdasarkan maklumat dalam Director (kemudian dipanggil Informant dan selepas itu dipanggil Kerja Teokratik Kita). Tidak lama kemudian, perjumpaan ini menjadi sebahagian daripada jadual mingguan setiap sidang.

19 Hari ini, kita menerima latihan yang praktikal untuk menginjil semasa perjumpaan pertengahan minggu. (Mat. 10:5-13) Jika anda layak untuk menerima lembaran kerja, adakah anda membuat persiapan dan menerapkan cadangan yang terkandung di dalamnya?

Perjumpaan Tahunan yang Paling Penting

Sidang Kristian pada abad pertama mengadakan Peringatan kematian Yesus yang diadakan setiap tahun

Sejak abad pertama Masihi, orang Kristian berkumpul tiap-tiap tahun untuk menyambut Peringatan kematian Kristus (Lihat perenggan 20)

20-22. (a) Mengapakah kita memperingati kematian Yesus? (b) Apakah manfaat yang anda raih daripada menghadiri sambutan Peringatan setiap tahun?

20 Yesus menyuruh para pengikutnya untuk memperingati kematiannya sehingga dia datang. Seperti Perayaan Paska, sambutan Peringatan kematian Kristus juga diadakan setahun sekali. (1 Kor. 11:23-26) Perjumpaan ini dihadiri jutaan orang setiap tahun. Sambutan ini mengingatkan kaum terurap tentang peluang istimewa yang diberikan kepada mereka untuk memerintah Kerajaan Tuhan bersama-sama Kristus. (Rm. 8:17) Bagi biri-biri lain, sambutan ini membantu mereka menghormati Raja Kerajaan Tuhan dan terus setia kepadanya.​—Yoh. 10:16.

21 Saudara Russell dan rakan-rakannya sedar akan pentingnya sambutan Perjamuan Malam Tuan, dan mereka tahu bahawa sambutan ini harus dirayakan setahun sekali. Majalah Watch Tower terbitan April 1880 menyatakan, “Sudah menjadi kebiasaan ramai orang dalam kalangan kita di Pittsburgh untuk . . . memperingati Paska [Peringatan] dan makan roti dan minum wain yang melambangkan tubuh dan darah Tuan kita. Kita sudah melakukannya selama beberapa tahun.” Tidak lama kemudian, konvensyen diadakan sempena sambutan Peringatan. Pada tahun 1889, butiran tentang konvensyen sedemikian telah dicatatkan buat kali pertama. Seramai 225 orang telah hadir, dan 22 orang telah dibaptis semasa konvensyen pada tahun itu.

22 Hari ini, kita tidak lagi menyambut Peringatan dan konvensyen pada masa yang sama. Namun kita masih menjemput sesiapa sahaja dalam kawasan penyebaran kita untuk menyambut Peringatan bersama-sama kita di Dewan Perjumpaan atau di sebuah dewan yang disewa. Pada tahun 2013, lebih daripada 19 juta orang telah menghadiri sambutan Peringatan kematian Yesus. Tidakkah anda setuju bahawa kita diberikan penghormatan yang besar untuk menghadiri sambutan Peringatan dan menjemput orang lain untuk menyertai kita pada malam yang suci itu? Jika jawapan anda ya, sudah pasti anda akan menjemput seberapa ramai yang boleh untuk menghadiri sambutan Peringatan setiap tahun.

Sikap Kita Menyingkapkan Apa?

23. Apakah pandangan anda terhadap perjumpaan?

23 Hamba Yehuwa yang setia tidak memandang arahan untuk berkumpul sebagai suatu beban. (Ibr. 10:24, 25; 1 Yoh. 5:3) Sebagai contoh, Raja Daud suka pergi ke Rumah Yehuwa untuk menyembah-Nya. (Mzm. 27:4) Dia terutamanya suka beribadat bersama-sama orang yang mencintai Tuhan. (Mzm. 35:18) Fikirkan juga teladan Yesus. Sejak muda lagi, dia sudah mempunyai keinginan yang kuat untuk berada di Rumah Bapanya.​—Luk. 2:41-49.

Seberapa nyata Kerajaan Tuhan kepada kita, sedalam itulah keinginan kita untuk berhimpun

24. Apakah peluang yang terbuka kepada kita semasa kita menghadiri perjumpaan?

24 Semasa kita menghadiri perjumpaan, kita memperlihatkan kasih kepada Yehuwa dan menunjukkan bahawa kita ingin menguatkan rakan seiman. Dengan menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen, kita menunjukkan bahawa kita ingin dilatih untuk menjadi rakyat Kerajaan Tuhan dan penginjil yang lebih mahir. Selain itu, perjumpaan memberi kita kekuatan supaya kita dapat bertabah semasa menjalankan aktiviti yang paling penting dalam Kerajaan Tuhan. Apakah aktiviti yang dimaksudkan? Tidak lain tidak bukan, kerja mengajar dan menjadikan orang murid Raja Yesus Kristus! (Baca Matius 28:19, 20.) Sememangnya, seberapa nyata Kerajaan Tuhan kepada kita, sedalam itulah keinginan kita untuk berhimpun. Semoga kita sentiasa menghargai perjumpaan kita!

a Selain daripada perjumpaan mingguan, setiap keluarga atau setiap individu digalakkan untuk menjadualkan masa bagi pembelajaran peribadi atau penyembahan keluarga.

b Pada tahun 2013, kita mempunyai lebih daripada 180 buah rangka ceramah umum.

Seberapa Nyatakah Kerajaan Tuhan bagi Anda?

  • Apakah tujuan kita berhimpun?

  • Apakah pandangan anda terhadap perjumpaan-perjumpaan kita?

  • Sikap anda terhadap perjumpaan menyingkapkan apa tentang diri anda? Jelaskan.

Hadirin perhimpunan menunjukkan salinan Bible New World Translation of the Christian Greek Scriptures

PERJUMPAAN TAHUNAN YANG MENYATUKAN UMAT TUHAN

YEHUWA memerintahkan semua lelaki Israel untuk berkumpul di Yerusalem sebanyak tiga kali setahun. (Kel. 23:14-17; Im. 23:33-36) Yusuf, bapa angkat Yesus, membawa seluruh keluarganya ke Yerusalem untuk perayaan-perayaan sebegini. Nampaknya, lelaki Israel yang lain juga berbuat demikian. Umat Tuhan hari ini pun berkumpul sebanyak tiga kali setahun untuk menghadiri perhimpunan dan konvensyen. Beberapa konvensyen yang bersejarah telah menandakan kemajuan dalam organisasi Tuhan di bumi pada hari-hari terakhir. Mari kita lihat beberapa konvensyen bersejarah yang tidak dapat dilupakan.

  • 1919: Cedar Point, Ohio, A.S.

    Konvensyen besar yang pertama selepas Perang Dunia Pertama.

    Kerja penyebaran mendapat nafas baru.

    Penerbitan majalah The Golden Age (kini dikenali sebagai Awake!) diumumkan.

  • 1922: Cedar Point, Ohio

    Dalam ceramah yang bertajuk “Kerajaan,” kepentingan kerja penyebaran ditekankan. Dalam ceramah ini, seruan berikut telah dilaungkan: “Umumkan, umumkan, umumkan, Raja kita dan Kerajaannya”!

  • 1931: Columbus, Ohio

    Kita mula dikenali dengan nama Saksi-Saksi Yehuwa.

  • 1935: Washington, D.C.

    Kita telah memahami bahawa “kumpulan besar manusia” yang disebut di Wahyu 7:9 akan hidup selama-lamanya di bumi.

  • 1942: Perhimpunan Teokratik Dunia Baru, diadakan di 85 bandar

    Sebuah ceramah yang bertajuk “Dapatkah Kedamaian Berkekalan?” menjelaskan nubuat yang tercatat di Wahyu bab 17. Ceramah itu menunjukkan bahawa selepas Perang Dunia Kedua berakhir, lebih banyak rakyat Kerajaan Tuhan akan dikumpulkan.

  • 1950: Perhimpunan Pertambahan Teokratik

    Pengeluaran Bible New World Translation of the Christian Greek Scriptures.

  • 1958: Perhimpunan Antarabangsa Kehendak Tuhan

    Konvensyen antarabangsa terbesar yang pernah diadakan di satu lokasi. Lebih daripada 250,000 orang dari 123 negara telah berkumpul di New York.

  • 1961: Perhimpunan Para Penyembah yang Bersatu

    Pengeluaran Bible New World Translation of the Holy Scriptures yang lengkap.

  • 1992: Konvensyen “Pembawa Cahaya”

    Konvensyen antarabangsa Saksi-Saksi Yehuwa pertama yang diadakan di bekas Kesatuan Soviet, St. Petersburg, Rusia.

  • 1993: Konvensyen “Ajaran Tuhan,” Kyiv, Ukraine

    Rekod jumlah pembaptisan yang terbanyak dalam satu konvensyen​—7,402 orang telah dibaptis.

  • 2011: Konvensyen “Datanglah Kerajaan Tuhan!”

    Pemahaman kita tentang nubuat yang disebut di Daniel bab 2 telah menjadi lebih jelas. Kini, kita memahami bahawa kaki besi yang bercampur dengan tanah liat melambangkan Kuasa Dunia Inggeris-Amerika. Inilah kuasa besar dunia yang memerintah apabila Kerajaan Tuhan meremukkan patung itu.

  • 2014: Konvensyen “Utamakan Kerajaan Tuhan!”

    Menandakan ulang tahun ke-100 pemerintahan Kerajaan Kristus di syurga.

Yesus dan pengikutnya menyanyikan pujian kepada Tuhan bersama-sama

“BERNYANYI TENTANG KEBENARAN”

UMAT Yehuwa suka bernyanyi tentang Tuhan dan kepada Tuhan bagi memperlihatkan kasih mereka terhadap-Nya. Sebagai contoh, semasa Yehuwa menyelamatkan orang Israel daripada orang Mesir di Laut Merah, orang Israel meluahkan rasa syukur dan takjub mereka dengan menyanyikan sebuah lagu yang menyentuh hati. (Kel. 15:1-21) Kemudian, nyanyian menjadi sebahagian yang penting dalam ibadat di Rumah Yehuwa. (1 Taw. 23:4, 5; 25:7) Pada abad pertama, Yesus dan murid-muridnya juga bernyanyi untuk memuji Yehuwa.​—Mat. 26:30; Ef. 5:19.

Dalam cara yang sama, sejak Saudara Russell dan rakan-rakannya mula mencari kebenaran, kita telah menggunakan banyak koleksi lagu dalam ibadat kita. Majalah Watch Tower terbitan 15 Februari 1896 menjelaskan pentingnya lagu rohani dalam ibadat kita. Majalah itu menyatakan, “Bernyanyi tentang kebenaran merupakan cara yang baik untuk menanamkan kebenaran ke dalam hati dan minda umat Tuhan.”

Muka depan buku Songs of the Bride, 1879

1879

Muka depan buku Poems and Hymns of Millennial Dawn, 1890

1890

Skor muzik dengan lirik bagi lagu The Shining Light, daripada Zion’s Glad Songs of the Morning, 1896

1896

Muka depan buku Zion’s Glad Songs, 1900

1900

Muka depan buku Hymns of the Millennial Dawn, 1905

1905

Muka depan buku Kingdom Hymns, 1925

1925

Muka depan buku Songs of Praise to Jehovah, 1928

1928

Muka depan buku Kingdom Service Song Book, 1944

1944

Muka depan buku Songs to Jehovah’s Praise, 1950

1950

Muka depan buku “Singing and Accompanying Yourselves With Music In Your Hearts,” 1966

1966

Muka depan buku Sing Praises to Jehovah, 1984

1984

Muka depan buku Nyanyilah kepada Yehuwa

TERKINI

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi