BAB 7
Perjumpaan Mendorong Kita Menunjukkan Kasih dan Berbuat Baik
SELAMA ribuan tahun, umat Yehuwa telah mengadakan pertemuan yang teratur. Pada zaman Israel kuno, semua lelaki akan pergi ke Yerusalem tiga kali setahun untuk menghadiri perayaan. (Ul. 16:16) Pada abad pertama, orang Kristian berhimpun secara tetap, biasanya di rumah saudara saudari. (Flm. 1, 2) Kini, kita menikmati perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen. Sebab utama umat Tuhan berkumpul adalah kerana kegiatan ini ialah bahagian yang penting dalam ibadat kita.—Mzm. 95:6; Kol. 3:16.
2 Perjumpaan juga membawa manfaat kepada hadirin. Bagi setiap sambutan Perayaan Pondok Daun yang ketujuh, orang Israel diberi arahan ini: “Suruhlah semua orang berkumpul, tidak kira lelaki, perempuan, kanak-kanak, atau orang asing yang tinggal di kota-kota kamu, supaya mereka dapat mendengar dan belajar tentang Yehuwa. Dengan itu, mereka akan takut dan hormat kepada-Nya serta mematuhi segala perintah yang tercatat dalam Hukum ini.” (Ul. 31:12) Jelaslah, satu sebab penting kita berkumpul adalah untuk ‘diajar oleh Yehuwa.’ (Yes. 54:13) Di perjumpaan, kita juga berpeluang mengenali satu sama lain, menerima galakan, dan menikmati pergaulan yang membina.
PERJUMPAAN SIDANG
3 Selepas Pentakosta 33 M, murid-murid Yesus “berkumpul di Rumah Tuhan setiap hari,” dan mereka menumpukan sepenuh perhatian kepada ajaran para rasul. (Kis. 2:42, 46) Pada kemudian hari, semasa orang Kristian berkumpul untuk beribadat, mereka membaca tulisan-tulisan yang diilhami Tuhan, termasuk surat daripada para rasul dan orang Kristian lain. (1 Kor. 1:1, 2; Kol. 4:16; 1 Tes. 1:1; Yak. 1:1) Mereka juga berdoa bersama-sama. (Kis. 4:24-29; 20:36) Ada kalanya, mereka mendengar pengalaman yang diceritakan oleh mubaligh. (Kis. 11:5-18; 14:27, 28) Mereka membincangkan ajaran Bible dan nubuat yang menjadi kenyataan, dan mereka juga diajar tentang kelakuan yang harus ditunjukkan orang Kristian serta cara mengabdikan diri kepada Tuhan. Semua orang digalakkan untuk menyebarkan berita baik dengan bersemangat.—Rm. 10:9, 10; 1 Kor. 11:23-26; 15:58; Ef. 5:1-33.
Sepanjang hari-hari terakhir yang mencabar ini, kita perlu menghadiri perjumpaan secara tetap supaya kita terus menerima galakan
4 Perjumpaan Kristian zaman ini diadakan mengikut cara yang ditetapkan oleh para rasul. Kita mentaati nasihat di Ibrani 10:24, 25: “Marilah kita memperhatikan satu sama lain . . . Janganlah abaikan perjumpaan kita seperti yang biasa dilakukan oleh sesetengah orang. Sebaliknya hendaklah kita menggalakkan satu sama lain, lebih-lebih lagi seraya kamu nampak hari itu semakin mendekat.” Sepanjang hari-hari terakhir yang mencabar ini, kita perlu menghadiri perjumpaan secara tetap supaya kita terus menerima galakan dan dapat tetap teguh dan setia. (Rm. 1:11, 12) Sebagai orang Kristian, kita hidup dalam kalangan generasi yang jahat dan menyeleweng. Namun, kita telah menolak keinginan duniawi dan segala sesuatu yang bertentangan dengan kehendak Tuhan. (Flp. 2:15, 16; Tit. 2:12-14) Kita gemar bergaul bersama umat Yehuwa. (Mzm. 84:10) Apabila kita mengkaji dan membincangkan Firman Tuhan, kita menuai manfaat yang besar sekali. Perhatikan pelbagai perjumpaan yang diadakan demi kebaikan kita.
PERJUMPAAN HUJUNG MINGGU
5 Bahagian pertama perjumpaan hujung minggu merupakan ceramah Bible yang disediakan khas untuk orang awam, termasuk mereka yang menghadiri perjumpaan buat kali pertama. Ceramah umum penting kerana dapat memenuhi keperluan rohani orang baharu dan para penyiar dalam sidang.—Kis. 18:4; 19:9, 10.
6 Kristus Yesus, rasul-rasulnya, dan rakan-rakan mereka juga mengadakan perjumpaan umum seperti yang diadakan di sidang umat Yehuwa hari ini. Yesus ialah penceramah terbaik yang pernah hidup di bumi. Pendengarnya berkata, “Belum pernah seseorang bercakap seperti dia.” (Yoh. 7:46) Orang ramai sangat kagum kerana Yesus mengajar dengan berwibawa. (Mat. 7:28, 29) Mereka yang mengikut ajarannya telah meraih banyak manfaat. (Mat. 13:16, 17) Para rasul juga mengikut teladan Yesus. Kisah 2:14-36 mencatatkan ceramah Petrus yang disampaikan pada Pentakosta 33 M. Ceramahnya yang memberangsangkan itu telah menggerakkan ribuan pendengarnya untuk dibaptis. Beberapa lama kemudian, sesetengah orang yang mendengar ceramah Paulus di Atena juga menjadi pengikut Yesus.—Kis. 17:22-34.
7 Begitu juga, pada zaman ini, jutaan orang telah meraih manfaat daripada ceramah umum di sidang setiap minggu dan ceramah umum yang disampaikan semasa perhimpunan dan konvensyen. Ceramah seperti itu membantu kita tetap berpegang pada ajaran Kristian dan terus berkhidmat untuk Kerajaan Tuhan dengan setia. Apabila kita menjemput orang ramai, termasuk mereka yang berminat, kita dapat membantu mereka untuk mengetahui ajaran asas Bible.
8 Bahan untuk ceramah umum merangkumi berbagai-bagai topik, seperti ajaran dan nubuat Bible, prinsip dan nasihat Bible tentang kehidupan keluarga dan perkahwinan, cabaran yang dihadapi orang muda, dan piawaian moral Kristian. Sesetengah ceramah bertumpu kepada ciptaan Yehuwa yang menakjubkan, manakala ceramah lain membincangkan iman, keberanian, dan kesetiaan watak-watak Bible, dan bagaimana kita dapat meniru mereka pada zaman ini.
9 Untuk mendapat manfaat yang sepenuhnya daripada ceramah umum, kita perlu menumpukan perhatian, membuka ayat-ayat Bible yang disebut oleh penceramah, mengikuti pembacaan ayat, dan mendengar penjelasannya. (Luk. 8:18) Apabila kita yakin bahawa apa yang dibincangkan itu memang benar, kita akan bertekad untuk berpegang pada ajaran itu dan menerapkannya.—1 Tes. 5:21.
10 Jika terdapat penceramah yang mencukupi di sidang tempatan atau dari sidang berdekatan, ceramah umum pasti akan disampaikan setiap minggu. Sekiranya bilangan penceramah tidak mencukupi, ceramah umum akan diberikan dengan sekerap yang mungkin.
11 Bahagian kedua perjumpaan hujung minggu merupakan pembelajaran Menara Pengawal. Perjumpaan ini merupakan sesi soal jawab yang berdasarkan rencana dalam Menara Pengawal edisi pembelajaran. Melalui majalah Menara Pengawal, Yehuwa memberi kita makanan rohani pada masa yang sesuai.
12 Rencana pembelajaran sering membincangkan cara untuk menerapkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian, supaya orang Kristian dikuatkan untuk melawan “kecenderungan mental dunia” dan menjauhi kelakuan yang najis. (1 Kor. 2:12) Rencana-rencana Menara Pengawal juga menjelaskan ajaran dan nubuat Bible, supaya kita semua mempunyai pemahaman terkini dan tetap mengikut haluan orang yang berbuat benar. (Mzm. 97:11; Ams. 4:18) Apabila kita menghadiri pembelajaran Menara Pengawal dan memberikan komen, kita dibantu untuk bersukacita sambil menantikan harapan untuk hidup di dunia baharu Yehuwa. (Rm. 12:12; 2 Ptr. 3:13) Pembelajaran ini membantu kita memupuk buah kuasa suci Tuhan dan menguatkan keinginan kita untuk menyembah Yehuwa dengan bersungguh-sungguh. (Gal. 5:22, 23) Perjumpaan ini menguatkan kita untuk menghadapi cubaan dan untuk “membina asas yang baik untuk masa depan.” Dengan itu, kita dapat “berpegang teguh pada kehidupan yang sejati.”—1 Tim. 6:19; 1 Ptr. 1:6, 7.
13 Bagaimanakah kita dapat meraih manfaat yang sepenuhnya daripada pembelajaran ini? Buatlah persiapan terlebih dahulu dan bacalah ayat rujukan Bible, sama ada secara peribadi atau bersama ahli keluarga. Semasa perjumpaan, berilah komen dengan kata-kata sendiri. Dengan itu, kebenaran akan terukir pada hati kita. Apabila orang lain mendengar kita mengungkapkan iman kita, mereka pun akan meraih manfaat. Selain itu, apabila kita mendengar komen orang lain dengan teliti, kita juga akan mendapat manfaat daripada pelajaran setiap minggu.
PERJUMPAAN PERTENGAHAN MINGGU
14 Setiap minggu, sidang akan mengadakan perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita di Dewan Perjumpaan. Perjumpaan ini terdiri daripada tiga bahagian yang bertujuan membantu kita agar “layak melakukan tugas” sebagai hamba Tuhan. (2 Kor. 3:5, 6) Jadual dan bahan untuk perjumpaan ini tertera dalam Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian Kita setiap bulan. Lembaran kerja ini juga mengandungi cadangan topik perbualan untuk kerja penyebaran.
15 Bahagian pertama perjumpaan ini dipanggil Harta Karun dalam Firman Tuhan. Bahagian ini akan menjelaskan latar dan konteks kisah Bible, serta cara menerapkan pengajarannya. Perjumpaan ini merangkumi ceramah, pembacaan Bible, dan perbincangan berdasarkan maklumat daripada pembacaan Bible mingguan. Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian mengandungi alat visual, soalan, dan aktiviti lain yang membantu kita lebih memahami ayat-ayat Bible. Kajian yang mendalam ini meningkatkan mutu kehidupan peribadi dan kemahiran mengajar kita. Dengan demikian, kita “menjadi cekap dan dilengkapi dengan sepenuhnya untuk melakukan setiap perbuatan yang baik.”—2 Tim. 3:16, 17.
16 Bahagian kedua perjumpaan ini, iaitu Jadilah Penginjil yang Lebih Mahir, memberi kita peluang untuk berlatih menjalankan kerja penyebaran dan meningkatkan kemahiran kita untuk menginjil dan mengajar. Dalam bahagian ini, terdapat tugasan pelajar dan perbincangan tentang video cadangan topik perbualan. Bahagian ini mengajar kita “apa yang harus [kita] katakan,” supaya kita dapat “mengucapkan kata-kata yang sesuai kepada orang yang lelah.”—Yes. 50:4.
17 Bahagian ketiga perjumpaan ini, iaitu Kehidupan Kristian Kita, menunjukkan cara untuk mengamalkan prinsip Bible dalam kehidupan seharian. (Mzm. 119:105) Pembelajaran Bible Sidang merupakan ciri utama bahagian ini. Seperti pembelajaran Menara Pengawal, Pembelajaran Bible Sidang diadakan dalam bentuk soal jawab.
18 Setiap bulan, apabila Lembaran Kerja Kehidupan dan Kegiatan Kristian yang baharu diterima, koordinator badan penatua, atau seorang penatua yang membantunya, harus meneliti kandungan lembaran kerja itu dan membuat jadual tugasan. Setiap minggu, seorang penatua yang cekap mengajar dan yang diluluskan oleh badan penatua, akan menjadi pengerusi perjumpaan. Pengerusi akan memastikan bahawa perjumpaan itu bermula dan berakhir tepat pada masanya, dan dia juga akan memberikan pujian dan nasihat kepada pelajar yang diberi tugasan.
19 Jika kita sering membuat persiapan, menghadiri, dan mengambil bahagian dalam Perjumpaan Kehidupan dan Kegiatan Kristian, kita akan lebih mengenali Ayat-Ayat Suci dan memahami prinsip Bible. Kita juga akan lebih yakin semasa menyebarkan berita baik dan lebih mahir membantu orang menjadi murid Yesus. Hadirin yang belum dibaptis juga meraih manfaat daripada pergaulan dan perbincangan rohani yang membina. Semasa membuat persiapan bagi perjumpaan, kita dapat menggunakan Watchtower Library, JW Library®, dan PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower. Perpustakaan di Dewan Perjumpaan mempunyai pelbagai bahan bacaan Saksi-Saksi Yehuwa, termasuk buku “Indeks,” Panduan Penyelidikan Saksi-Saksi Yehuwa, beberapa terjemahan Bible, kamus, dan bahan rujukan lain. Sesiapa sahaja boleh menggunakan perpustakaan ini sebelum atau selepas perjumpaan.
PERJUMPAAN SEBELUM KERJA PENYEBARAN
20 Penyiar-penyiar sidang akan berkumpul pada pertengahan minggu dan hujung minggu untuk perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Perjumpaan yang singkat ini biasanya diadakan di rumah, Dewan Perjumpaan, atau tempat lain yang sesuai. Terdapat manfaatnya jika para penyiar dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil yang bertemu di beberapa lokasi. Contohnya, hal ini memudahkan mereka untuk menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran dan pergi ke kawasan penyebaran. Aturan untuk menginjil juga dapat dilakukan dengan lebih cepat, dan para penyiar dapat segera bertolak ke kawasan mereka. Dengan adanya kumpulan yang kecil, penyelia kumpulan juga dapat memberikan lebih banyak perhatian kepada ahli kumpulannya. Namun, dalam sesetengah situasi, adalah lebih baik jika beberapa kumpulan digabungkan. Contohnya, jika hanya sedikit penyiar yang keluar menginjil semasa pertengahan minggu, beberapa atau semua kumpulan boleh bertemu di Dewan Perjumpaan atau lokasi lain yang sesuai. Dengan cara itu, penyiar akan mempunyai rakan penyebaran masing-masing. Sidang juga boleh mengadakan perjumpaan untuk semua kumpulan di Dewan Perjumpaan pada cuti umum atau selepas pembelajaran Menara Pengawal.
21 Sekiranya setiap kumpulan mengadakan pertemuan masing-masing, penyelia setiap kumpulan akan mengendalikan perjumpaan sebelum kerja penyebaran. Dari masa ke masa, dia juga boleh menugaskan pembantunya atau seorang saudara yang layak untuk berbuat demikian. Saudara yang mengendalikan perjumpaan harus membincangkan sesuatu yang praktikal dan berguna untuk kerja penyebaran. Selepas perbincangan, aturan untuk menginjil akan dibuat, dan seorang saudara harus mengucapkan doa. Kemudian, kumpulan itu akan segera bertolak ke kawasan penyebaran. Perjumpaan ini patut mengambil masa lima hingga tujuh minit sahaja, tetapi patut lebih singkat jika diadakan selepas perjumpaan sidang. Perjumpaan sebelum kerja penyebaran harus menggalakkan para penyiar dan memberi mereka arahan yang praktikal untuk menginjil. Penyiar baharu atau orang yang memerlukan bantuan boleh bekerja bersama saudara saudari yang berpengalaman, supaya mereka dapat dilatih.
ATURAN PERJUMPAAN BAGI SIDANG YANG BAHARU ATAU KECIL
22 Apabila semakin ramai orang menjadi pengikut Yesus, jumlah sidang akan bertambah. Permohonan untuk menubuhkan sidang baharu biasanya dibuat oleh penyelia litar. Dalam sesetengah situasi, adalah lebih baik jika kumpulan yang kecil dijaga oleh sidang yang terdekat.
23 Ada kalanya, semua penyiar dalam sebuah sidang kecil merupakan saudari. Jika begitu, saudari yang mengucapkan doa atau mengendalikan perjumpaan akan menudung kepalanya, seperti yang diarahkan dalam Bible. (1 Kor. 11:3-16) Biasanya dia melakukannya sambil duduk dan menghadap hadirin. Saudari tidak menyampaikan ceramah semasa perjumpaan. Sebaliknya, mereka membacakan bahan yang disediakan oleh organisasi dan memberikan ulasan tentangnya. Mereka juga boleh mengadakan perbincangan atau demonstrasi berdasarkan bahan tersebut. Pejabat cawangan akan meminta salah seorang saudari untuk mengurus hal surat-menyurat dengan pejabat cawangan dan untuk mengaturkan perjumpaan. Apabila terdapat saudara yang layak pada kemudian hari, mereka harus mengendalikan tugas-tugas sedemikian.
PERHIMPUNAN LITAR
24 Dua kali setahun, sidang-sidang dalam litar yang sama akan menghadiri perhimpunan litar selama sehari. Perhimpunan litar merupakan masa yang menggembirakan dan memberi semua hadirin peluang untuk ‘membuka hati mereka lebar-lebar’ dan bergaul dengan rakan Kristian lain. (2 Kor. 6:11-13) Berdasarkan keperluan spesifik, organisasi Yehuwa menyediakan ayat tema dan bahagian-bahagian program perhimpunan. Program perhimpunan merangkumi ceramah, demonstrasi, lakonan semula, senandika, dan temu ramah. Ajaran sebegini disampaikan pada masa yang sesuai dan menguatkan semua hadirin. Semasa perhimpunan, murid-murid baharu juga boleh dibaptis untuk menunjukkan bahawa mereka telah membaktikan diri kepada Yehuwa.
KONVENSYEN SERANTAU
25 Sekali setahun, pertemuan yang lebih besar diadakan untuk sidang-sidang dari beberapa litar. Pertemuan sebegini dipanggil konvensyen serantau, dan biasanya diadakan selama tiga hari. Jika jumlah sidang di bawah jagaan sebuah cawangan tidak banyak, semua sidang mungkin dapat berkumpul di sebuah lokasi. Di tempat lain, aturan bagi konvensyen mungkin berbeza-beza menurut keadaan atau arahan daripada organisasi. Dari masa ke masa, konvensyen antarabangsa atau istimewa diadakan di sesetengah negara dan mungkin dihadiri puluhan ribu Saksi dari banyak negara. Pertemuan besar sebegini telah menarik perhatian orang dan menarik minat ramai orang untuk mempelajari berita baik tentang Kerajaan Tuhan.
26 Bagi umat Yehuwa, konvensyen merupakan waktu yang menggembirakan untuk beribadat bersama-sama. Di konvensyen, kita memahami kebenaran dengan lebih jelas, dan ada kalanya kita menerima bahan baharu untuk pembelajaran peribadi, perbincangan di sidang, atau kerja penyebaran. Konvensyen juga mempunyai aturan pembaptisan. Pertemuan sebegini amat penting untuk pertumbuhan rohani, dan membuktikan bahawa umat Yehuwa di seluruh dunia memang bersatu padu dan saling mengasihi.—Yoh. 13:35.
27 Apabila kita menghadiri perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen, kita dikuatkan untuk melakukan kehendak Yehuwa dan dilindungi daripada pengaruh duniawi yang dapat melemahkan iman kita. Di pertemuan sebegini, kita memuji dan memuliakan Yehuwa. (Mzm. 35:18; Ams. 14:28) Kita bersyukur kerana Yehuwa telah menyediakan jamuan rohani yang menyegarkan bagi umat-Nya pada hari-hari terakhir.
PERJAMUAN MALAM TUAN
28 Sekali setahun, sidang Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia akan mengadakan Peringatan kematian Kristus atau Perjamuan Malam Tuan. (1 Kor. 11:20, 23, 24) Bagi umat Yehuwa, inilah perjumpaan terpenting dalam setahun. Yesus telah mengarahkan kita untuk menyambut Peringatan kematiannya.—Luk. 22:19.
29 Tarikh Peringatan jatuh pada tarikh Perayaan Paska yang dinyatakan dalam Bible. (Kel. 12:2, 6; Mat. 26:17, 20, 26) Paska merupakan sambutan tahunan untuk memperingati bagaimana orang Israel keluar dari Mesir pada tahun 1513 SM. Pada masa itu, Yehuwa menyuruh orang Israel memakan anak bebiri Paska dan meninggalkan Mesir pada hari ke-14 bulan pertama dalam kalendar mereka. (Kel. 12:1-51) Tarikh Peringatan ditentukan dengan mengira 13 hari, bermula pada hari bulan sabit baharu yang paling dekat dengan ekuinoksa musim bunga kelihatan di Yerusalem. Biasanya, sambutan Peringatan diadakan pada bulan purnama yang pertama selepas ekuinoks musim bunga.
30 Di Matius 26:26-28, Yesus menjelaskan cara mengadakan Peringatan. Sambutan ini bukanlah upacara mistik yang mengandungi unsur ghaib, tetapi merupakan jamuan bagi orang yang dipanggil untuk memerintah bersama Yesus Kristus dalam Kerajaannya di syurga. (Luk. 22:28-30) Semua orang Kristian lain yang telah membaktikan diri dan orang yang berminat, digalakkan untuk menghadiri Perjamuan Malam Tuan sebagai pemerhati. Walaupun mereka tidak makan roti dan tidak minum wain, kehadiran mereka menunjukkan bahawa mereka menghargai pemberian Yehuwa kepada manusia yang disediakan melalui Anak-Nya, Yesus Kristus. Sebelum Peringatan, sebuah ceramah umum istimewa akan disampaikan supaya orang menanti-nantikan sambutan Peringatan dan membangkitkan minat mereka terhadap pembelajaran Bible.
31 Saksi-Saksi Yehuwa menanti-nantikan peluang untuk berkumpul dan ‘memperhatikan satu sama lain supaya dapat saling memberikan dorongan untuk memperlihatkan kasih dan melakukan perbuatan yang baik.’ (Ibr. 10:24) Hamba yang setia dan bijaksana peka terhadap keperluan rohani kita dan mengadakan pelbagai pertemuan untuk memenuhi keperluan itu. Semua hamba Yehuwa dan orang yang berminat digalakkan untuk berhimpun secara tetap dan meraih manfaat yang sepenuhnya. Dengan menghargai segala pemberian yang disediakan Yehuwa melalui organisasi-Nya, para penyembah Yehuwa dapat tetap bersatu padu. Lebih penting lagi, kita dapat memuji dan memuliakan Yehuwa.—Mzm. 111:1.
a Ekuinoks berlaku dua hari setahun, satu pada bulan Mac dan satu pada bulan September. Semasa ekuinoks, panjang waktu siang dan malam adalah sama, iaitu 12 jam.