PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN Watchtower
Watchtower
PERPUSTAKAAN DALAM TALIAN
Melayu
  • BIBLE
  • BAHAN BACAAN
  • PERJUMPAAN
  • od bab 1 ms. 6-11
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa

Tiada video untuk bahagian ini.

Maaf, terdapat masalah memainkan video.

  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
  • Tajuk Kecil
  • Bahan yang Berkaitan
  • BAHAGIAN ORGANISASI YEHUWA DI SYURGA
  • ORGANISASI YEHUWA SENTIASA BERGERAK MAJU
  • ‘Pastikan Perkara-Perkara yang Lebih Penting’
    Menara Pengawal—2013
  • “Aku Mendapat Penglihatan daripada Tuhan”
    Ibadat Sejati kepada Yehuwa Akhirnya Dipulihkan!
  • Adakah Anda Bergerak Maju dengan Organisasi Yehuwa?
    Menara Pengawal—2014
  • Yehuwa Sedang Membimbing Organisasi-Nya
    Menara Pengawal (Pembelajaran)—2020
Lihat Selanjutnya
Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa
od bab 1 ms. 6-11

BAB 1

Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa

DI SERATA dunia, terdapat banyak organisasi atau pertubuhan agama, politik, perdagangan, dan sosial. Setiap organisasi itu ada ciri, tujuan, pandangan, dan falsafah tersendiri. Namun, terdapat satu organisasi yang lain daripada yang lain, iaitu Saksi-Saksi Yehuwa. Mereka berbeza kerana sentiasa berpegang pada prinsip Bible.

2 Anda harus dipuji kerana menyertai organisasi Yehuwa. Selepas mengetahui kehendak Tuhan, anda kini melaksanakannya. (Mzm. 143:10; Rm. 12:2) Anda seorang penyiar yang aktif, yang berganding bahu dengan saudara saudari yang pengasih di seluruh dunia. (2 Kor. 6:4; 1 Ptr. 2:17; 5:9) Seperti yang dijanjikan Firman Tuhan, anda sangat bahagia dan dilimpahi berkat. (Ams. 10:22; Mrk. 10:30) Oleh sebab anda melakukan kehendak Yehuwa dengan setia sekarang, anda berpeluang menikmati kehidupan kekal dan masa depan yang cerah.​—1 Tim. 6:18, 19; 1 Yoh. 2:17.

3 Pencipta Agung kita mempunyai sebuah organisasi sedunia yang diperintah secara teokratik. Maksudnya, organisasi itu diperintah oleh Yehuwa, Penguasa atas segala-galanya. Kita yakin sepenuhnya terhadap Yehuwa. Dialah Hakim, Pemberi Hukum, dan Raja kita. (Yes. 33:22) Sebagai Tuhan yang tertib, Dia telah membuat aturan supaya kita dapat “bekerja bersama dengan Tuhan” untuk mencapai tujuan-Nya.​—2 Kor. 6:1, 2.

4 Apabila akhir sistem ini semakin mendekat, kita bergerak maju di bawah pimpinan Raja kita, Kristus Yesus. (Yes. 55:4; Why. 6:2; 11:15) Yesus menubuatkan bahawa para pengikutnya akan melakukan hal-hal yang lebih besar daripada yang dilakukannya semasa di bumi. (Yoh. 14:12) Kata-katanya benar kerana bilangan mereka akan terus bertambah sehingga dapat menginjil di lebih banyak kawasan dan untuk masa yang lebih lama. Sesungguhnya, mereka akan menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan hingga ke hujung bumi.​—Mat. 24:14; 28:19, 20; Kis. 1:8.

5 Hal yang dinubuatkan oleh Yesus sudah menjadi kenyataan. Namun, Yesus juga menyatakan dengan jelas bahawa kerja penyebaran akan berakhir pada waktu yang ditentukan oleh Yehuwa. Semua nubuat dalam Bible menunjukkan bahawa hari Yehuwa yang hebat dan menakutkan sudah dekat.​—Yl. 2:31; Zef. 1:14-18; 2:2, 3; 1 Ptr. 4:7.

Kita perlu menggandakan usaha untuk melakukan perintah Tuhan. Maka, kita harus mengenali cara organisasi-Nya berfungsi

6 Setelah memahami kehendak Yehuwa, kita perlu menggandakan usaha pada penghujung sistem ini untuk melakukan perintah-Nya. Maka, kita harus mengenali cara organisasi Tuhan berfungsi dan memberikan kerjasama yang sepenuhnya. Organisasi Tuhan berfungsi menurut Firman-Nya, termasuk perintah, hukum, ajaran, peraturan, dan prinsip yang tercatat dalam Bible.​—Mzm. 19:7-9.

7 Apabila umat Yehuwa mematuhi arahan Bible, mereka dapat bekerjasama dan hidup dengan bersatu padu dan damai. (Mzm. 133:1; Yes. 60:17; Rm. 14:19) Mengapakah saudara saudari di serata dunia dapat menikmati perpaduan yang erat? Kerana kita mengenakan kasih dan melayan satu sama lain dengan kasih. (Yoh. 13:34, 35; Kol. 3:14) Dengan berbuat demikian, kita mendapat perkenan Tuhan dan dapat maju seiring dengan bahagian organisasi Yehuwa yang di syurga.

BAHAGIAN ORGANISASI YEHUWA DI SYURGA

8 Nabi Yesaya, Yehezkiel, dan Daniel pernah diberi penglihatan tentang bahagian organisasi Yehuwa di syurga. (Yes., bab 6; Yeh., bab 1; Dan. 7:9, 10) Dalam buku Wahyu, Rasul Yohanes juga mencatatkan apa yang dilihatnya tentang bahagian organisasi Tuhan di syurga. Dia nampak Yehuwa duduk di atas sebuah takhta yang agung, dan terdapat malaikat-malaikat di sekeliling-Nya yang berseru, “Suci, suci, sucilah Tuhan Yehuwa Yang Maha Kuasa, yang dahulu ada, yang sekarang ada, dan yang akan datang.” (Why. 4:8) Yohanes juga nampak ‘anak bebiri yang berdiri berhampiran dengan takhta,’ iaitu Yesus Kristus, Anak Bebiri Tuhan.​—Why. 5:6, 13, 14; Yoh. 1:29.

9 Penglihatan tentang Yehuwa yang duduk di atas takhta menunjukkan bahawa Dia ialah Kepala organisasi ini. Mengenai Tuhan dan kedudukan-Nya yang luhur, 1 Tawarikh 29:11, 12 menyatakan, “Ya Yehuwa, Engkaulah Tuhan yang agung, perkasa, mulia, unggul, dan mengagumkan! Segala sesuatu di langit dan di bumi ialah milik-Mu. Engkaulah pemerintah dan penguasa atas segala-galanya, ya Yehuwa. Segala kekayaan dan kemuliaan ialah milik-Mu, dan Engkau berkuasa atas segalanya. Engkau memiliki kuasa dan kekuatan, dan dapat membuat sesiapa sahaja menjadi orang kuat.”

10 Selaku rakan sekerja Yehuwa, Yesus Kristus diberi kuasa yang besar dan kedudukan yang tinggi di syurga. Tuhan telah “menundukkan segala sesuatu di bawah kaki Kristus dan melantiknya sebagai kepala atas segala sesuatu yang berkaitan dengan sidang.” (Ef. 1:22) Rasul Paulus berkata, “Tuhan meninggikan dia kepada kedudukan yang lebih tinggi, dan Tuhan dengan baik hati memberinya nama yang lebih tinggi daripada segala nama yang lain. Dengan itu, atas nama Yesus, semua yang ada di syurga, di atas bumi, dan di bawah bumi harus berlutut, dan setiap orang harus mengaku di hadapan umum bahawa Yesus Kristus ialah Tuan kita. Dengan demikian Tuhan, Bapa kita, dimuliakan.” (Flp. 2:9-11) Oleh itu, kita dapat yakin sepenuhnya bahawa Yesus Kristus akan memimpin dengan adil dan benar.

11 Dalam sebuah penglihatan, Nabi Daniel nampak Dia Yang Lanjut Usia duduk di atas takhta di syurga. Terdapat “beribu-ribu malaikat melayani-Nya, dan berjuta-juta malaikat berdiri di hadapan-Nya.” (Dan. 7:10) Bible menyatakan bahawa pasukan malaikat itu ialah “makhluk roh yang menjalankan khidmat suci, yang diutus untuk berkhidmat kepada orang yang akan menerima penyelamatan.” (Ibr. 1:14) Semua malaikat diaturkan menurut kedudukan dan kuasa masing-masing.​—Kol. 1:16.

12 Dalam sebuah penglihatan, Yesaya nampak “Yehuwa duduk di atas takhta-Nya yang tinggi dan mulia,” dan terdapat “serafim-serafim berdiri di sekelilingnya.” Apakah reaksi Yesaya? Dia berkata, “Malanglah aku! Aku pasti akan mati. Aku ini berdosa dan kata-kataku tidak suci. Lagipun, aku hidup dalam kalangan bangsa yang tidak mengucapkan kata-kata yang suci. Tetapi dengan mataku sendiri, aku telah melihat Yehuwa, Raja yang merupakan ketua angkatan syurga!” Semasa merenungkan bahagian organisasi Yehuwa di syurga, kita dapat memahami perasaan Yesaya. Ketika dia menyedari betapa hebatnya organisasi Yehuwa, dia sangat kagum dan berasa bahawa dirinya sangat kecil. Penglihatan itu membuatnya amat terharu, maka apabila terdapat seruan dari syurga untuk mengumumkan penghakiman Yehuwa, Yesaya segera berkata, “Inilah aku! Utuslah aku!”​—Yes. 6:1-5, 8.

13 Semasa umat Yehuwa mengenali dan menghargai organisasi-Nya, mereka juga didorong untuk bertindak seperti Yesaya. Kita berusaha agar maju seiring dengan organisasi Yehuwa, dan menunjukkan keyakinan kita terhadap organisasi tersebut.

ORGANISASI YEHUWA SENTIASA BERGERAK MAJU

14 Bab 1 buku Yehezkiel menggambarkan Yehuwa sedang memandu sebuah kenderaan yang besar di syurga. Kenderaan yang terang-benderang itu melambangkan bahagian organisasi Yehuwa yang di syurga. Yehuwa membimbing organisasi ini dengan penuh kasih dan menggunakannya untuk mencapai tujuan-Nya.​—Mzm. 103:20.

15 Setiap roda pada kenderaan itu mempunyai satu lagi roda yang sama saiznya, yang dipasang melintang di tengahnya. Rekaan ini membolehkan roda-roda “bergerak ke empat arah.” (Yeh. 1:17) Namun, kenderaan yang dapat mengubah arah dalam sekelip mata itu tidak bergerak secara rambang atau dengan sesuka hati. Yehezkiel 1:20 menyatakan, “Ke mana sahaja kuasa suci Tuhan menggerakkan mereka untuk pergi, ke sanalah mereka akan pergi.” Ya, Yehuwalah yang menggerakkan organisasi-Nya dengan kuasa suci-Nya. Maka, tanyalah diri anda, “Adakah saya maju seiring dengan organisasi Tuhan?”

16 Untuk maju seiring dengan organisasi Yehuwa, sekadar menghadiri perjumpaan dan menginjil tidak cukup. Yang terpenting, kita harus terus maju dan bertumbuh secara rohani. Kita perlu “mengenal pasti perkara-perkara yang lebih penting” dan menerima makanan rohani yang terkini. (Flp. 1:10; 4:8, 9; Yoh. 17:3) Kita juga perlu ingat bahawa dalam mana-mana organisasi, pengaturan dan kerjasama yang baik sangat penting. Oleh itu, waktu, tenaga, bakat, dan sumber lain yang diberikan oleh Yehuwa haruslah kita gunakan dengan sebaik-baiknya untuk melaksanakan kerja-Nya. Apabila kita maju seiring dengan kenderaan Yehuwa di syurga, cara hidup kita akan selaras dengan berita yang kita khabarkan.

17 Dengan bantuan organisasi Yehuwa, kita dapat terus maju untuk melakukan kehendak Tuhan. Ingat, Yehuwalah yang mengarahkan kenderaan itu. Maka, jika kita maju seiring dengan kenderaan itu, kita menunjukkan bahawa kita yakin dan hormat kepada Yehuwa, Batu Perlindungan kita. (Mzm. 18:31) Bible berjanji, “Yehuwa akan memberikan kekuatan kepada umat-Nya; Yehuwa akan memberkati mereka dengan kesejahteraan.” (Mzm. 29:11) Sebagai ahli organisasi Yehuwa, kita mendapat kekuatan daripada-Nya dan menikmati kedamaian yang dikurniakan-Nya. Sesungguhnya, kita akan terus dilimpahi berkat apabila kita melakukan kehendak Yehuwa, baik sekarang mahupun untuk selama-lamanya.

    Bahan Bacaan Bahasa Melayu (2004-2023)
    Log Keluar
    Log Masuk
    • Melayu
    • Kongsi
    • Pilihan
    • Copyright © 2025 Watch Tower Bible and Tract Society of Pennsylvania
    • Syarat Penggunaan
    • Polisi Privasi
    • Seting Privasi
    • JW.ORG
    • Log Masuk
    Kongsi