Sepucuk Surat daripada Badan Pimpinan
Rakan Penyiar Berita Baik yang Dikasihi,
Kita sungguh berbesar hati kerana dapat bersatu padu untuk menyembah satu-satunya Tuhan yang benar, Yehuwa! Sebagai “rakan sekerja Tuhan,” kita diberi tugas suci yang dapat menyelamatkan nyawa orang, iaitu kerja menginjil dan mengajarkan berita baik tentang Kerajaan-Nya yang sudah ditubuhkan. (1 Kor. 3:9; Mat. 28:19, 20) Agar dapat bekerjasama dengan baik untuk melaksanakan kerja ini di seluruh dunia, kita mesti diorganisasikan, iaitu diaturkan, dengan baik.—1 Kor. 14:40.
Buku ini akan membantu anda memahami cara sidang Kristian berfungsi hari ini, dan menjelaskan penghormatan dan tanggungjawab anda sebagai salah seorang daripada Saksi-Saksi Yehuwa. Jika anda menghargai penghormatan itu dan memikul tanggungjawab anda dengan baik, iman anda akan “semakin teguh.”—Kis. 16:4, 5; Gal. 6:5.
Maka, sila kaji buku ini dengan teliti. Fikirkan cara anda dapat menerapkan maklumat dalam buku ini dalam kehidupan anda. Contohnya, jika anda baru menjadi penyiar yang belum dibaptis, apakah langkah yang harus anda ambil untuk dibaptis sebagai seorang Saksi-Saksi Yehuwa? Jika anda sudah dibaptis, apakah yang dapat anda lakukan untuk bertumbuh secara rohani dan meluaskan khidmat anda kepada Yehuwa? (1 Tim. 4:15) Bagaimanakah anda dapat menyumbang kepada kedamaian sidang? (2 Kor. 13:11) Carilah jawapannya dalam buku ini.
Jika anda ialah seorang saudara yang sudah dibaptis, bagaimanakah anda dapat memenuhi syarat untuk menjadi pembantu sidang dan kemudiannya menjadi penatua? Kini, ribuan orang terus berduyun-duyun ke organisasi Tuhan, oleh itu kita sangat memerlukan saudara yang layak untuk mengambil pimpinan. Buku ini akan menjelaskan bagaimana anda dapat berusaha untuk mencapai matlamat rohani sebegini.—1 Tim. 3:1.
Kami berdoa agar buku ini akan membantu anda menyedari dan menghargai peranan anda dalam aturan Yehuwa. Kami sangat mengasihi anda semua, dan kami terus berdoa agar anda dapat menyembah Yehuwa, Bapa kita yang di syurga, dengan gembira buat selama-lamanya.—Mzm. 37:10, 11; Yes. 65:21-25.
Saudara-saudara anda,
Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa