BAB 8
Penyebar Berita Baik
YEHUWA telah memberi kita teladan yang sempurna untuk diikuti, iaitu teladan Anak-Nya, Yesus Kristus. (1 Ptr. 2:21) Sesiapa yang menjadi pengikut Yesus akan menyebarkan berita baik sebagai hamba Tuhan. Yesus menjelaskan bahawa orang yang mengikutnya akan disegarkan secara rohani. Dia berkata, “Marilah kepadaku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, dan aku akan menyegarkan kamu. Pikullah kuk aku dan belajarlah daripadaku, kerana aku lemah lembut dan rendah hati, maka jiwamu akan pulih segar.” (Mat. 11:28, 29) Semua orang yang menyambut jemputan itu telah merasai betapa benarnya kata-kata Yesus!
2 Sebagai Penyebar Berita Baik yang Utama, Yesus telah menjemput beberapa orang untuk menjadi pengikutnya pada abad pertama. (Mat. 9:9; Yoh. 1:43) Dia melatih mereka untuk menginjil dan mengutus mereka untuk melakukan kerja yang juga dilakukannya. (Mat. 10:1–11:1; 20:28; Luk. 4:43) Kemudian, dia mengutus 70 orang yang lain untuk mengumumkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan. (Luk. 10:1, 8-11) Semasa mengutus mereka, Yesus berkata, “Sesiapa yang mendengar kata-kata kamu, mendengar kata-kata aku juga. Sesiapa yang menolak kamu, menolak aku juga. Tambahan lagi, sesiapa yang menolak aku, juga menolak Dia yang mengutus aku.” (Luk. 10:16) Kata-kata Yesus menunjukkan betapa seriusnya tanggungjawab mereka, kerana mereka akan mewakili Yesus dan Tuhan Yang Maha Tinggi! Hari ini, sesiapa yang menyambut jemputan Yesus, “Marilah dan jadilah pengikutku,” juga memikul tanggungjawab yang sama. (Luk. 18:22; 2 Kor. 2:17) Tuhan telah memberi mereka amanah untuk menyebarkan berita baik Kerajaan Tuhan dan menjadikan orang murid Yesus.—Mat. 24:14; 28:19, 20.
3 Setelah menyambut jemputan Yesus untuk mengikutnya, kita berpeluang “mengenal” Tuhan Yehuwa dan Yesus Kristus. (Yoh. 17:3) Kita diajar haluan Yehuwa. Dengan bantuan-Nya, kita mengubah cara kita berfikir, mengenakan keperibadian baharu, dan menyelaraskan kelakuan kita dengan piawaian Yehuwa yang benar. (Rm. 12:1, 2; Ef. 4:22-24; Kol. 3:9, 10) Penghargaan atas semua berkat itu mendorong kita agar dibaptis untuk menunjukkan bahawa kita telah membaktikan diri kepada Yehuwa. Semasa dibaptis, kita menjadi penyebar yang dilantik Tuhan.
4 Ingatlah selalu bahawa orang yang berkhidmat kepada Tuhan mesti berhati murni dan tidak berbuat salah. (Mzm. 24:3, 4; Yes. 52:11; 2 Kor. 6:14–7:1) Kita memperoleh hati nurani yang murni kerana beriman kepada Yesus Kristus. (Ibr. 10:19-23, 35, 36; Why. 7:9, 10, 14) Rasul Paulus menasihati orang Kristian agar melakukan segala-galanya untuk memuliakan Tuhan dan tidak membuat orang lain tersandung. Rasul Petrus menulis bahawa kelakuan baik kita dapat menggerakkan orang yang tidak seiman untuk menerima kebenaran. (1 Kor. 10:31, 33; 1 Ptr. 3:1) Bagaimanakah anda dapat membantu seseorang agar memenuhi syarat sebagai penyebar berita baik?
PENYIAR BAHARU
5 Dari masa anda mula mengadakan pembelajaran Bible dengan seseorang yang berminat, galakkannya untuk memberitahu orang lain tentang apa yang dipelajarinya. Dia boleh mengongsi kebenaran secara tidak formal dengan saudara-mara, kawan, rakan sekerja, dan orang lain. Langkah ini amat penting untuk membantu orang baharu menjadi pengikut Yesus Kristus dan penyebar berita baik. (Mat. 9:9; Luk. 6:40) Jika pelajar itu terus maju secara rohani dan semakin mahir memberikan kesaksian tidak formal, dia pasti akan menyatakan keinginannya untuk menginjil bersama sidang.
SYARAT UNTUK MENJADI PENYIAR
6 Sebelum menjemput seseorang untuk menginjil dari rumah ke rumah buat kali pertama, anda harus memastikan bahawa dia sudah memenuhi syarat tertentu. Apabila seseorang menginjil bersama kita, dia akan dianggap sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Maka, dia seharusnya sudah hidup selaras dengan piawaian Yehuwa dan boleh menjadi penyiar yang belum dibaptis.
7 Semasa anda mengadakan pembelajaran Bible dan membincangkan prinsip Bible dengan pelajar anda, anda biasanya akan mengetahui keadaannya. Anda mungkin mendapati dia sudah hidup menurut kebenaran yang dipelajarinya. Namun, para penatua masih perlu berbincang dengan anda dan pelajar anda tentang sesetengah aspek kehidupannya.
8 Koordinator badan penatua akan mengaturkan dua orang penatua (salah seorang antara mereka ialah ahli Jawatankuasa Sidang) untuk membincangkan hal-hal ini bersama anda dan pelajar anda. Di sidang yang bilangan penatuanya sedikit, seorang penatua dan seorang pembantu sidang yang cekap boleh mengadakan perbincangan ini. Perbincangan ini harus diadakan tanpa berlengah-lengah. Jika saudara-saudara diberitahu di perjumpaan bahawa pelajar anda ingin menjadi penyiar, mereka mungkin dapat berjumpa dengan anda dan pelajar anda selepas perjumpaan. Perbincangan ini harus diadakan dalam suasana yang santai. Untuk menjadi penyiar yang belum dibaptis, seorang pelajar harus memenuhi syarat-syarat berikut:
(1) Dia percaya bahawa Bible ialah Firman Tuhan.—2 Tim. 3:16.
(2) Dia mengetahui dan mempercayai ajaran asas Bible. Semasa ditanya, dia akan menjawab berdasarkan Bible dan bukannya menurut ajaran agama palsu atau pandangan sendiri.—Mat. 7:21-23; 2 Tim. 2:15.
(3) Dia mematuhi arahan Bible untuk berhimpun bersama umat Yehuwa di perjumpaan jika dia mampu melakukannya.—Mzm. 122:1; Ibr. 10:24, 25.
(4) Dia mengetahui ajaran Bible tentang perbuatan seks yang tidak bermoral, termasuk perzinaan, poligami (mempunyai lebih daripada seorang pasangan hidup), dan hubungan sejenis. Dia juga hidup selaras dengan ajaran Bible tentang hal-hal itu. Jika dia tinggal bersama seseorang yang berlawanan jantina, yang bukan ahli keluarganya, mereka berdua harus berkahwin secara sah.—Mat. 19:9; 1 Kor. 6:9, 10; 1 Tim. 3:2, 12; Ibr. 13:4.
(5) Dia mematuhi larangan Bible tentang kemabukan. Dia juga tidak menggunakan apa-apa bahan semula jadi atau bahan buatan manusia yang mempengaruhi fikiran atau menyebabkan ketagihan, kecuali atas arahan doktor.—2 Kor. 7:1; Ef. 5:18; 1 Ptr. 4:3, 4.
(6) Dia menyedari pentingnya menjauhi pergaulan buruk.—1 Kor. 15:33.
(7) Jika dia pernah menyertai apa-apa pertubuhan agama palsu, dia sudah membatalkan keahliannya dengan sepenuhnya. Dia tidak lagi mengikut ibadat atau menyokong kegiatan pertubuhan sebegini.—2 Kor. 6:14-18; Why. 18:4.
(8) Dia langsung tidak terlibat dalam hal politik dunia.—Yoh. 6:15; 15:19; Yak. 1:27.
(9) Dia tidak terikut-ikut atau menyokong mana-mana pihak semasa berlakunya pertikaian antara negara atau bangsa.—Yes. 2:4.
(10) Dia benar-benar ingin menjadi seorang Saksi-Saksi Yehuwa.—Mzm. 110:3.
9 Jika para penatua tidak pasti tentang pandangan pelajar terhadap mana-mana perkara itu, mereka harus bertanya dengan lebih lanjut lagi. Mereka juga boleh menggunakan ayat-ayat rujukan yang tertera untuk berbincang dengannya. Pelajar itu harus faham bahawa orang yang menginjil bersama Saksi-Saksi Yehuwa mesti hidup selaras dengan prinsip Bible. Jawapannya akan membantu penatua mengetahui jika dia memahami syarat yang harus dipenuhinya dan jika dia memenuhi syarat itu sehingga tahap yang munasabah untuk mula menyertai kerja penyebaran.
10 Para penatua harus segera memaklumkan pelajar itu sama ada dia memenuhi syarat atau tidak. Biasanya, mereka dapat berbuat demikian pada penghujung perbincangan. Jika dia memenuhi syarat sebagai penyiar, mereka boleh mengalu-alukannya dengan ramah. (Rm. 15:7) Penatua harus menggalakkannya untuk menyertai kerja penyebaran dengan secepat mungkin dan menghantar laporan aktiviti penyebaran pada akhir bulan. Mereka boleh menjelaskan kepadanya bahawa apabila seseorang menjadi penyiar yang belum dibaptis dan memberikan laporan aktiviti penyebarannya yang pertama, Rekod Penyiar Sidang akan diisi untuknya dan disimpan dalam fail sidang. Para penatua akan mencatatkan maklumatnya supaya organisasi dapat terus menjaga kegiatan ibadat Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia, dan supaya dia dapat menyertai kegiatan sidang dan menerima bantuan daripada penatua. Para penatua juga boleh memberitahu penyiar yang baharu bahawa semua maklumat peribadi digunakan menurut Polisi Perlindungan Data Global Saksi-Saksi Yehuwa yang terdapat di jw.org.
11 Jika kita berusaha mengenali penyiar baharu dan mengambil berat tentang kemajuannya, hal ini akan membawa kesan yang positif kepadanya. Dia mungkin terdorong untuk menyerahkan laporan secara tetap dan mencurahkan lebih banyak usaha untuk berkhidmat kepada Yehuwa.—Flp. 2:4; Ibr. 13:2.
12 Setelah para penatua memutuskan bahawa seorang pelajar Bible memenuhi syarat untuk menyertai kerja penyebaran, dia boleh mendapat buku Diorganisasikan untuk Melakukan Kehendak Yehuwa. Selepas dia menghantar laporan aktiviti penyebaran buat kali pertama, pengumuman singkat akan dibuat di sidang bahawa dia sudah menjadi penyiar yang belum dibaptis.
MEMBANTU ANAK-ANAK MUDA
13 Anak-anak muda juga dapat memenuhi syarat sebagai penyiar berita baik. Yesus menyambut anak-anak dan memberkati mereka. (Mat. 19:13-15; 21:15, 16) Meskipun ibu bapa memikul tanggungjawab utama untuk membantu anak, ahli sidang lain juga boleh membantu anak muda yang hatinya tergerak untuk menyertai kerja penyebaran. Jika anda seorang ibu atau bapa, teladan baik anda dalam aktiviti penyebaran akan menggalakkan anak-anak anda supaya berkhidmat kepada Tuhan dengan bersemangat. Apabila seorang anak yang berkelakuan baik tergerak untuk memberitahu orang lain tentang imannya, bagaimanakah kita dapat membantunya?
14 Ibu atau bapanya patut berjumpa dengan salah seorang penatua yang merupakan ahli Jawatankuasa Sidang untuk membincangkan kelayakan anak itu. Kemudian, koordinator badan penatua akan mengaturkan dua orang penatua (salah seorang antara mereka ialah ahli Jawatankuasa Sidang) untuk berjumpa dengan anak itu dan ibu, bapa, (atau kedua-duanya) atau penjaganya yang seiman. Jika anak itu memiliki pengetahuan asas tentang kebenaran Bible dan menunjukkan bahawa dia ingin menginjil, hal itu membuktikan bahawa dia sedang maju secara rohani. Setelah membincangkan hal-hal sebegini dan syarat-syarat lain yang serupa dengan syarat bagi orang dewasa, dua orang penatua itu akan menentukan sama ada anak itu boleh menjadi penyiar yang belum dibaptis atau tidak. (Luk. 6:45; Rm. 10:10) Semasa mengadakan perbincangan dengan anak kecil, sesetengah perkara yang hanya melibatkan orang dewasa, seperti keahlian dalam pertubuhan agama palsu, tidak perlu dibincangkan.
15 Semasa perbincangan, para penatua harus memuji anak itu atas kemajuannya dan menggalakkannya agar bermatlamat untuk dibaptis. Memandangkan ibu bapanya pasti telah bekerja keras untuk menanamkan kebenaran dalam hati anak itu, mereka juga patut dipuji. Para penatua boleh menunjukkan bahagian “Pesanan kepada Ibu Bapa Kristian” pada muka surat 179-181 agar ibu bapa itu dapat memberikan bantuan selanjutnya kepada anak mereka.
MEMBAKTIKAN DIRI DAN DIBAPTIS
16 Jika anda sudah mengenali Yehuwa, mengasihi-Nya, memenuhi syarat-Nya, dan menyertai kerja penyebaran, anda perlu mengukuhkan hubungan anda dengan-Nya. Bagaimana? Dengan membaktikan diri kepada-Nya dan dibaptis.—Mat. 28:19, 20.
17 Membaktikan diri kepada Tuhan bermaksud anda berjanji kepada Tuhan dengan sepenuh hati dalam doa bahawa anda akan menggunakan kehidupan anda untuk berkhidmat kepada-Nya dan mengikut haluan-Nya. Hal ini bermaksud anda akan menyembah Tuhan sahaja untuk selama-lamanya. (Ul. 5:9) Membaktikan diri ialah keputusan peribadi. Orang lain tidak boleh membuat keputusan ini bagi anda.
18 Namun, sekadar memberitahu Yehuwa bahawa anda ingin menjadi milik-Nya tidak cukup. Anda perlu menunjukkan kepada orang lain bahawa anda sudah membaktikan diri kepada Tuhan. Anda menyatakan pembaktian anda dengan dibaptis di dalam air, seperti yang dilakukan Yesus. (1 Ptr. 2:21; 3:21) Jika anda sudah memutuskan untuk menyembah Yehuwa dan ingin dibaptis, apakah yang harus anda lakukan? Beritahulah koordinator badan penatua keinginan anda. Dia akan mengaturkan beberapa orang penatua untuk mengadakan perbincangan dengan anda dan memastikan bahawa anda sudah memenuhi syarat Bible untuk dibaptis. Untuk maklumat lanjut, sila baca “Pesanan kepada Penyiar yang Belum Dibaptis” pada muka surat 182-184 dan “Soalan-Soalan bagi Mereka yang Ingin Dibaptis” pada muka surat 185-207.
MELAPORKAN HASIL KERJA PENYEBARAN
19 Sejak dahulu lagi, laporan tentang perkembangan ibadat sejati di seluruh dunia telah menggalakkan umat Yehuwa. Dari masa Yesus Kristus memberitahu murid-muridnya bahawa berita baik akan disebarkan di serata bumi, orang Kristian sejati sentiasa ingin tahu bagaimana hal itu akan terjadi.—Mat. 28:19, 20; Mrk. 13:10; Kis. 1:8.
20 Pengikut Yesus pada abad pertama suka mendengar laporan tentang hasil kerja penyebaran. (Mrk. 6:30) Buku Kisah melaporkan bahawa pada Pentakosta 33 M, kuasa suci Tuhan dicurahkan ke atas sekitar 120 orang. Tidak lama kemudian, bilangan murid bertambah menjadi kira-kira 3,000 orang, dan selepas itu menjadi kira-kira 5,000 orang. Menurut laporan itu, “Yehuwa terus membawa lebih banyak orang yang diselamatkan oleh-Nya untuk menyertai mereka” dan “ramai imam juga mula percaya.” (Kis. 1:15; 2:5-11, 41, 47; 4:4; 6:7) Laporan-laporan yang baik itu pasti telah menguatkan semangat murid-murid Yesus! Mereka tentu didorong untuk meneruskan kerja penyebaran meskipun dianiaya dengan kejam oleh para pemimpin agama Yahudi!
21 Sekitar tahun 60-61 M, Paulus melaporkan dalam suratnya kepada sidang di Kolose bahawa berita baik sedang “membuahkan hasil dan tersebar ke seluruh dunia” dan telah “disebarkan kepada semua ciptaan di bawah langit.” (Kol. 1:5, 6, 23) Orang Kristian abad pertama mentaati Firman Tuhan, dan kuasa suci-Nya telah memberi mereka kekuatan untuk memberikan kesaksian yang meluas sebelum sistem Yahudi berakhir pada tahun 70 M. Orang Kristian yang setia pasti digalakkan semasa mendengar laporan tentang pencapaian pada masa itu!
Adakah anda berusaha agar kerja penyebaran dilaksanakan sebelum akhir tiba?
22 Begitu juga, organisasi Yehuwa zaman sekarang berusaha menyimpan rekod tentang kerja yang dinubuatkan di Matius 24:14: “Berita baik tentang Kerajaan Tuhan akan disebarkan ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa. Kemudian, barulah akhir akan datang.” Sebagai hamba-hamba Tuhan yang telah membaktikan diri, kita diberi kerja yang harus dijalankan tanpa berlambat-lambat. Kita masing-masing mesti berusaha agar kerja penyebaran dilaksanakan dengan menyeluruh sebelum akhir tiba. Yehuwa akan memastikan bahawa kerja ini diselesaikan, dan jika kita menyertainya, kita pasti mendapat perkenan Yehuwa.—Yeh. 3:18-21.
LAPORAN AKTIVITI PENYEBARAN ANDA
23 Apakah yang harus kita laporkan? Laporan Aktiviti Penyebaran yang disediakan oleh organisasi menyatakan hal-hal yang perlu dilaporkan. Namun, maklumat berikut juga dapat membantu anda.
24 Dalam ruangan “Bahan Bacaan (Bercetak dan Elektronik),” laporkan jumlah bahan bacaan, sama ada yang bercetak atau dalam bentuk elektronik, yang telah anda kongsi dengan orang yang bukan Saksi. Dalam ruangan “Video yang Ditunjukkan,” laporkan berapa kali anda telah menunjukkan video kita.
25 Dalam ruangan “Kunjungan Kembali,” catatkan jumlah kunjungan yang telah anda lakukan untuk memupuk minat seseorang yang bukan Saksi. Kunjungan kembali dapat dilakukan dengan mengunjungi seseorang di rumahnya, menulis surat, menelefon, menghantar SMS atau e-mel, atau memberinya bahan bacaan. Setiap kali anda mengadakan pembelajaran Bible, anda boleh melaporkannya sebagai satu kunjungan kembali. Ibu atau bapa yang mengendalikan malam Penyembahan Keluarga bersama anak yang belum dibaptis boleh melaporkannya sebagai kunjungan kembali, tetapi tidak melebihi satu kunjungan kembali setiap minggu.
26 Meskipun pembelajaran Bible biasanya diadakan setiap minggu, hanya satu pembelajaran akan dilaporkan setiap bulan. Penyiar harus mencatatkan jumlah pembelajaran Bible yang berbeza yang diadakan dalam sebulan. Anda boleh melaporkan pembelajaran Bible yang diadakan dengan seseorang yang bukan Saksi, atau dengan seseorang yang baru dibaptis tetapi belum selesai mempelajari buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! Jika ahli Jawatankuasa Sidang meminta anda mengadakan pembelajaran Bible dengan seorang saudara atau saudari yang tidak aktif, anda juga boleh melaporkannya sebagai pembelajaran Bible.
27 “Jam” harus dilaporkan dengan tepat. Secara amnya, itulah masa yang anda luangkan untuk menginjil dari rumah ke rumah, membuat kunjungan kembali, mengadakan pembelajaran Bible, atau memberikan kesaksian formal atau tidak formal. Jika dua orang penyiar bekerja bersama-sama, mereka berdua boleh mengira masanya, tetapi hanya seorang yang akan mengira kunjungan kembali atau pembelajaran Bible yang diadakan. Ibu dan bapa yang bersama-sama mengajar anak mereka semasa malam Penyembahan Keluarga boleh melaporkan masanya, tetapi tidak melebihi sejam setiap minggu. Saudara-saudara boleh melaporkan masa yang digunakan untuk memberikan ceramah umum. Penterjemah ceramah umum juga boleh melaporkan masanya. Waktu untuk sesetengah kegiatan yang penting tidak dikira, seperti bersiap sedia untuk menginjil, menghadiri perjumpaan sebelum kerja penyebaran, mengurus keperluan peribadi, dan sebagainya.
28 Setiap penyiar harus menggunakan hati nurani yang dilatih Bible semasa menentukan cara untuk mengira waktu kesaksian. Sesetengah penyiar menginjil di kawasan yang berpenduduk padat, manakala yang lain memberikan kesaksian di kawasan yang berpenduduk jarang dan memerlukan banyak masa untuk perjalanan. Setiap kawasan berbeza, dan pandangan setiap penyiar juga berbeza. Badan Pimpinan tidak membuat peraturan yang tegas bagi sidang di seluruh dunia mengenai cara menghitung masa penyebaran, dan tidak melantik sesiapa pun untuk membuat keputusan dalam hal ini.—Mat. 6:1; 7:1; 1 Tim. 1:5.
29 Masa untuk kerja penyebaran harus dilaporkan dalam angka penuh. Namun penyiar yang sangat terbatas kegiatannya kerana lanjut usia, tidak dapat keluar dari rumah, tinggal di pusat jagaan, atau kerana keterbatasan lain, boleh melaporkan 15, 30, atau 45 minit. Biarpun dia hanya dapat memberikan kesaksian selama 15 minit dalam sebulan, masa itu harus dilaporkan. Dia akan dianggap sebagai penyiar yang aktif. Aturan ini juga boleh digunakan bagi penyiar yang kegiatannya terbatas untuk sementara, misalnya orang yang tidak dapat bergerak selama sebulan atau lebih kerana sakit teruk atau cedera parah. Aturan ini hanya untuk penyiar yang aktiviti penyebarannya sangat terhad. Jawatankuasa Sidang akan menentukan sama ada seorang penyiar memenuhi syarat untuk melaporkan masa mengikut aturan ini.
REKOD PENYIAR SIDANG
30 Laporan bulanan anda dicatatkan dalam Rekod Penyiar Sidang. Rekod ini milik sidang anda. Jika anda bercadang untuk berpindah ke sidang lain, sila maklumkan penatua sidang anda. Setiausaha sidang anda akan menghantar Rekod Penyiar Sidang anda kepada sidang baharu anda. Dengan itu, para penatua di sidang baharu dapat mengalu-alukan anda dan memberi anda sokongan rohani yang diperlukan. Jika anda berada di tempat lain untuk jangka masa yang kurang daripada tiga bulan, sila terus hantar laporan aktiviti penyebaran kepada sidang asal anda.
MENGAPA KITA MENGHANTAR LAPORAN AKTIVITI PENYEBARAN
31 Kadang-kadang, adakah anda lupa menghantar laporan aktiviti penyebaran? Kita semua perlu diingatkan dari masa ke masa. Tetapi jika kita memupuk sikap yang betul dan memahami pentingnya menghantar laporan, kita tidak akan begitu mudah lupa menghantar laporan.
32 Sesetengah orang mungkin bertanya, “Yehuwa sudah tahu apa yang saya lakukan untuk-Nya. Jadi mengapa saya perlu hantar laporan kepada sidang?” Memang benar, Yehuwa tahu apa yang kita lakukan, dan Dia tahu sama ada kita berkhidmat dengan sepenuh hati atau secara sambil lewa. Namun, ingatlah bahawa Yehuwa telah mencatatkan jumlah hari Nuh tinggal di dalam bahtera dan jumlah tahun orang Israel mengembara di padang belantara. Tuhan mencatatkan bilangan orang yang setia dan orang yang derhaka. Dia mencatatkan bagaimana umat-Nya menakluki negeri Kanaan secara bertahap dan pencapaian para hakim Israel yang setia. Ya, Tuhan mencatatkan banyak perincian tentang kegiatan hamba-hamba-Nya. Dia mengilhami orang untuk menuliskan peristiwa-peristiwa sebegitu, dan hal ini menunjukkan bahawa Dia mementingkan catatan, atau rekod, yang tepat.
33 Peristiwa bersejarah dalam catatan Bible menunjukkan bahawa umat Yehuwa menyimpan laporan dan rekod yang sangat tepat. Makna di sebalik banyak kisah Bible tidak dapat diungkapkan dengan sepenuhnya jika angka-angka tidak dilaporkan dengan tepat. Fikirkan contoh berikut: Kejadian 46:27; Keluaran 12:37; Hakim-Hakim 7:7; 2 Raja-Raja 19:35; 2 Tawarikh 14:9-13; Yohanes 6:10; 21:11; Kisah 2:41; 19:19.
34 Sudah tentu, laporan kita tidak merangkumi semua kegiatan kita untuk beribadat kepada Yehuwa. Namun, laporan sebegini sangat berguna untuk organisasi Yehuwa. Pada abad pertama, para rasul melaporkan kepada Yesus “semua yang telah dilakukan dan diajarkan oleh mereka” semasa kempen menginjil. (Mrk. 6:30) Ada kalanya, laporan menunjukkan bahawa terdapat aspek-aspek dalam kerja penyebaran yang perlu diberikan perhatian. Daripada angka-angka dalam laporan, kita mungkin mendapati bahawa sesetengah kegiatan telah meningkat, tetapi hal-hal lain, seperti pertambahan bilangan penyiar, telah menurun. Barangkali, galakan perlu diberikan, atau terdapat masalah yang perlu diselesaikan. Para penyelia akan memperhatikan laporan-laporan ini dan berusaha membaiki apa-apa keadaan yang menghalang kemajuan seorang penyiar atau seluruh sidang.
35 Laporan juga dapat membantu organisasi mengenal pasti kawasan yang memerlukan lebih banyak penyiar, kawasan yang lebih berhasil, kawasan yang kemajuannya sedikit, dan bahan bacaan yang diperlukan untuk membantu orang mempelajari kebenaran. Laporan membolehkan organisasi menganggarkan keperluan bahan bacaan untuk kerja penyebaran di pelbagai kawasan di seluruh dunia, dan membuat perancangan untuk memenuhi keperluan itu.
36 Laporan dapat menggalakkan kita. Tidakkah kita teruja semasa mendengar tentang saudara saudari yang menyebarkan berita baik di serata dunia? Laporan tentang pertambahan membolehkan kita mengetahui perkembangan organisasi Yehuwa. Pengalaman saudara saudari menyentuh hati kita dan menguatkan semangat kita untuk menginjil dengan lebih gigih. (Kis. 15:3) Menghantar laporan aktiviti penyebaran sangat penting dan menunjukkan keprihatinan kita terhadap rakan seiman di seluruh dunia. Walaupun hal ini nampaknya kecil, kerjasama kita membuktikan bahawa kita tunduk kepada aturan organisasi Yehuwa.—Luk. 16:10; Ibr. 13:17.
MENETAPKAN MATLAMAT PERIBADI
37 Kita tidak patut membandingkan kerja penyebaran kita dengan kerja penyebaran orang lain. (Gal. 5:26; 6:4) Keadaan setiap orang berlainan. Namun, kita dapat menetapkan matlamat yang munasabah untuk menilai kemajuan diri sendiri dalam aktiviti penyebaran. Kita berasa puas semasa mencapai matlamat sebegini.
38 Jelaslah, Yehuwa sedang mempercepat kerja mengumpulkan orang yang akan dilindungi-Nya semasa “kesengsaraan besar.” Pada zaman sekarang, nubuat Yesaya sedang menjadi kenyataan: “Bangsa yang sedikit bilangannya akan bertambah banyak sehingga menjadi seribu, dan bangsa yang kecil akan menjadi bangsa yang kuat. Aku, Yehuwa, akan melakukan hal ini dengan segera, tepat pada waktunya.” (Why. 7:9, 14; Yes. 60:22) Tidakkah kita berbesar hati untuk menjadi penyebar berita baik pada hari-hari terakhir yang bersejarah ini?—Mat. 24:14.