Apakah yang Pernah Dilakukan Tuhan?
Untuk mengenali seseorang dengan baik, anda perlu mengetahui hal yang pernah dicapainya dan cabaran yang pernah diatasinya. Begitu juga, untuk mengenali Tuhan dengan baik, anda perlu mengetahui hal yang pernah dilakukan-Nya. Anda mungkin terkejut setelah mendapat tahu bahawa banyak perkara yang dilakukan-Nya dahulu membawa manfaat kepada kita, baik sekarang mahupun pada masa depan.
TUHAN MENCIPTAKAN SEGALANYA DEMI KEBAIKAN KITA
Tuhan Yehuwa ialah Pencipta yang Agung, dan “sifat-sifat-Nya yang tidak kelihatan, . . . dapat dilihat dengan jelas melalui segala yang diciptakan-Nya.” (Roma 1:20) “Dengan kuasa-Nya, Tuhan telah menjadikan bumi, dengan kebijaksanaan-Nya, Dia telah menciptakan tanah yang subur, dan dengan pengertian-Nya, Dia telah membentangkan langit.” (Yeremia 10:12) Ciptaan juga menunjukkan bahawa Tuhan mengambil berat terhadap kita.
Sebagai contoh, Yehuwa menciptakan manusia “menurut gambaran-Nya.” (Kejadian 1:27) Meskipun Dia memiliki sifat-sifat yang tiada tandingnya, Dia membolehkan kita mencerminkan sifat-sifat itu sehingga tahap tertentu. Dia memberi kita keupayaan untuk memahami hal-hal rohani, iaitu pandangan dan nilai moral-Nya. Apabila kita mematuhi prinsip-Nya, hidup kita menjadi lebih bermakna dan bahagia. Bukan itu sahaja, Tuhan memberi kita kebolehan untuk menjalin persahabatan dengan-Nya.
Bumi juga mencerminkan kasih Tuhan terhadap kita. Rasul Paulus menulis bahawa Tuhan “memberikan kesaksian tentang diri-Nya dengan melakukan apa yang baik. Dia memberi [kita] hujan dari langit dan hasil tanaman yang banyak pada musimnya. Dia juga memberikan makanan yang berlimpah-limpah untuk memuaskan [kita], dan memenuhi hati [kita] dengan sukacita.” (Kisah 14:17) Tuhan bukan sahaja memenuhi keperluan asas kita, malah menyediakan pelbagai jenis nikmat dengan melimpah agar kita dapat bergembira. Semua itu hanyalah sebahagian kecil daripada berkat yang ingin diberikan-Nya kepada kita.
Yehuwa menciptakan bumi sebagai kediaman kekal bagi manusia. Bible menyatakan, “Dia telah memberikan bumi kepada manusia,” dan Dia “menciptakan bumi bukannya tanpa tujuan, tetapi membentuknya untuk didiami.” (Mazmur 115:16; Yesaya 45:18) Bumi akan didiami oleh siapa dan untuk berapa lama? “Orang yang melakukan apa yang benar akan memiliki bumi, dan mereka akan mendiaminya selama-lamanya.”—Mazmur 37:29.
Yehuwa telah menciptakan manusia yang pertama, Adam dan Hawa, dan menempatkan mereka di bumi firdaus “untuk mengusahakan dan menjaga taman itu.” (Kejadian 2:8, 15) Tuhan memberi mereka tugas yang amat bermakna: “Hendaklah kamu mempunyai anak cucu yang banyak. Penuhilah bumi, dan hendaklah kamu menguasainya.” (Kejadian 1:28) Adam dan Hawa berpeluang hidup selama-lamanya di bumi. Sedihnya, mereka sengaja melanggar perintah Tuhan. Akibatnya, mereka tidak lagi dianggap sebagai “orang yang melakukan apa yang benar” dan tidak dibenarkan “memiliki bumi.” Namun, perbuatan mereka tidak mengubah tujuan Yehuwa bagi kita atau bumi. Sebelum membincangkan hal itu, mari kita lihat satu lagi perkara yang dilakukan Tuhan.
TUHAN MEMBERI KITA FIRMAN-NYA
Bible juga dipanggil Firman Tuhan. Mengapakah Yehuwa memberi kita Bible? Supaya kita dapat belajar tentang-Nya. (Amsal 2:1-5) Memang benar, Bible tidak menjawab semua soalan tentang Tuhan, dan tiada apa-apa buku yang dapat berbuat demikian. (Pengkhutbah 3:11) Namun, segala yang tertulis dalam Bible dapat membantu kita mengenali Tuhan. Melaluinya, kita dapat memperhatikan cara Tuhan melayan orang dan mengetahui siapa yang disukai atau dibenci-Nya. (Mazmur 15:1-5) Bible menunjukkan pandangan Tuhan tentang ibadat, moral, dan harta benda. Melalui kata-kata dan perbuatan Yesus Kristus, Anak Tuhan, Bible menggambarkan keperibadian Yehuwa dengan jelas sekali.—Yohanes 14:9.
Yehuwa juga memberi kita Bible supaya kita dapat menikmati kehidupan yang bahagia dan bermakna. Melalui Bible, Yehuwa mengajar kita cara untuk membina keluarga yang bahagia, berpuas hati, dan menangani kerisauan. Seperti yang akan dijelaskan nanti, Bible juga menjawab soalan-soalan penting seperti: “Mengapakah terdapat begitu banyak penderitaan? Apakah masa depan kita?” Bible juga menjelaskan langkah yang diambil oleh Tuhan supaya tujuan-Nya yang asal tercapai.
Terdapat banyak bukti yang lain bahawa Bible ialah sebuah karya istimewa daripada Tuhan. Sekitar 40 orang telah menggunakan 1,600 tahun untuk menulis Bible, tetapi seluruh Bible berpusat pada satu tema sahaja, kerana Tuhanlah Pengarangnya. (2 Timotius 3:16) Tidak seperti tulisan kuno lain, kandungan Bible dipelihara dengan tepat dan dapat disahkan melalui ribuan naskhah kuno. Selain itu, meskipun sesetengah pihak mencuba menghalang orang daripada menterjemahkan, mengedarkan, dan membaca Bible, Bible merupakan buku yang diterjemahkan kepada paling banyak bahasa dan yang diedarkan dengan paling meluas hari ini. Kewujudan Bible sesungguhnya bukti bahawa “firman Tuhan kita kekal buat selama-lamanya.”—Yesaya 40:8.
TUHAN MEMASTIKAN TUJUAN-NYA TERJAMIN
Satu lagi pencapaian Tuhan merupakan langkah yang diambil-Nya untuk memastikan agar tujuan-Nya bagi kita terjamin. Seperti yang disebut tadi, Tuhan menghendaki manusia hidup selama-lamanya di bumi. Namun semasa Adam mengingkari Tuhan dan berdosa, dia dan semua keturunannya kehilangan peluang untuk hidup kekal. “Dosa masuk ke dalam dunia melalui satu orang, dan dosa membawa kematian. Akibatnya, kematian tersebar kepada semua orang kerana mereka semua berdosa.” (Roma 5:12) Perbuatan Adam telah mengancam tujuan Tuhan. Apakah yang akan dilakukan Yehuwa?
Tindakan Yehuwa mencerminkan keperibadian-Nya. Kerana keadilan-Nya, Adam dan Hawa dihukum atas perbuatan mereka, tetapi kerana kasih-Nya, Dia membuka jalan keluar untuk keturunan mereka. Kerana kebijaksanaan-Nya, Yehuwa segera mengumumkan penyelesaian kepada masalah itu. (Kejadian 3:15) Anak-Nya Yesus akan membebaskan manusia daripada dosa dan kematian. Bagaimana?
Bagi menebus manusia, Yehuwa mengutus Yesus ke bumi untuk mengajar mereka cara mendapat kehidupan, dan untuk “menyerahkan nyawanya sebagai tebusan bagi banyak orang.”a (Matius 20:28; Yohanes 14:6) Yesus dapat memberikan tebusan kerana dia sempurna seperti Adam. Namun, tidak seperti Adam, Yesus tetap taat kepada Tuhan sehingga mati. Oleh sebab Yesus tidak patut mati, Yehuwa membangkitkannya ke syurga. Selepas itu, Yesus dapat memberi manusia yang taat peluang untuk hidup kekal. “Disebabkan keingkaran satu orang, banyak orang menjadi pendosa. Begitu juga, disebabkan kepatuhan satu orang, banyak orang mendapat perkenan Tuhan.” (Roma 5:19) Melalui korban tebusan Yesus, Tuhan akan menunaikan janji-Nya supaya manusia dapat hidup selama-lamanya di bumi.
Melalui cara Yehuwa menangani masalah yang disebabkan oleh pemberontakan Adam, kita belajar bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada mencapai tujuan-Nya. Segala yang difirmankan-Nya “pasti berjaya.” (Yesaya 55:11) Kita juga belajar betapa dalamnya kasih Yehuwa terhadap kita. “Inilah caranya Tuhan menunjukkan kasih kepada kita: Tuhan telah mengutus Anak tunggal-Nya ke dunia supaya melalui Anak-Nya kita memperoleh kehidupan. Inilah kasih yang dimaksudkan: Tuhan mengutus Anak-Nya sebagai korban pendamaian untuk dosa kita, bukan kerana kita telah mengasihi Tuhan, tetapi kerana Dia mengasihi kita.”—1 Yohanes 4:9, 10.
Tuhan “tidak menghalang Anak-Nya daripada mengalami penderitaan, tetapi menyerahkannya untuk kita semua.” Maka kita yakin bahawa Dia pasti “memberi kita segala sesuatu yang lain” menurut janji-Nya. (Roma 8:32) Bacalah rencana seterusnya untuk mengetahui janji-janji Tuhan.
APAKAH YANG PERNAH DILAKUKAN TUHAN? Yehuwa menciptakan manusia untuk hidup selama-lamanya di bumi. Dia memberi kita Bible supaya kita dapat belajar tentang-Nya. Melalui Yesus Kristus, Yehuwa menyediakan tebusan untuk memastikan agar tujuan-Nya tercapai
a Untuk maklumat lanjut tentang tebusan, lihat pelajaran 27 dalam buku Nikmati Hidup Selama-Lamanya! yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa. Juga terdapat di www.jw.org/ms.