Diamanahkan Dengan Harta yang Bernilai
1 Hawari Paulus menghargai tugas yang diamanahkan oleh Tuhan kepadanya untuk menjalankan kerja penyebaran dan merujuk kepada amanah itu sebagai suatu “harta.” (2 Kor. 4:7) Dia menanggung kesusahan dan penganiayaan dengan tabah semasa menjalankan tugas tersebut. Dia mengkhabarkan berita baik tanpa mengenal penat kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. Sering kali, perjalanannya melalui darat dan laut adalah sukar dan berbahaya. Bagaimanakah kita dapat mencontohi Paulus dan menunjukkan bahawa kita menghargai aktiviti penyebaran kita? (Rm. 11:13) Apakah yang menjadikan aktiviti penyebaran kita suatu harta yang tiada tolok bandingnya?
2 Harta yang Lebih Baik: Harta keduniawian biasanya membawa banyak masalah yang menyebabkan kesengsaraan dan hanya mendatangkan manfaat yang terhad atau tidak kekal. Sebaliknya, aktiviti penyebaran kita membawa manfaat yang berkekalan kepada diri kita dan orang lain. (1 Tim. 4:16) Mereka yang tulus ikhlas akan dibantu untuk mengenali Yehuwa, membuat perubahan yang perlu dalam kehidupan mereka, dan memperoleh harapan sejati untuk hidup abadi. (Rm. 10:13-15) Dengan memandang tinggi aktiviti penyebaran kita, kita memperoleh tujuan hidup yang memuaskan, rasa puas hati yang berkekalan, dan harapan untuk masa depan yang cerah.—1 Kor. 15:58.
3 Perlihatkan Bahawa Anda Menghargai Harta Anda: Nilai atau pentingnya sesuatu bagi kita biasanya boleh dilihat daripada apa yang sanggup kita korbankan. Betapa besarnya berkat kita kerana dapat menggunakan masa dan tenaga untuk memuji Yehuwa! (Ef. 5:16, 17) Cara kita menghabiskan masa harus menunjukkan bahawa kita lebih mementingkan perkara rohani daripada usaha mengejar kebendaan. Memandangkan kita mempunyai sesuatu yang sangat bernilai untuk dikongsi, kita hendaklah peka terhadap setiap peluang untuk menyebarkan berita baik dan menjalankan kerja penyebaran dengan bersemangat.
4 Lazimnya, harta yang tidak ternilai tidak disembunyikan tetapi dipamerkan supaya orang ramai dapat melihatnya. Jika kita menganggap aktiviti penyebaran kita sebagai suatu harta, kita akan mengutamakannya dalam kehidupan kita. (Mat. 5:14-16) Dengan hati yang penuh kesyukuran, marilah kita sentiasa mencontohi hawari Paulus dan mengambil setiap kesempatan untuk menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai aktiviti penyebaran kita dan menganggapnya sebagai suatu harta yang bernilai.