Hargailah Peluang Istimewa Anda untuk Menginjil
1. Bagaimanakah ramai di dunia memandang kerja penyebaran kita?
1 Ramai dalam dunia Syaitan menganggap kerja penyebaran kita sebagai “suatu kebodohan.” (1 Kor. 1:18-21) Jika kita tidak berhati-hati, cara pemikiran sebegini dapat membuat kita tawar hati dan lemah semangat. (Ams. 24:10; Yes. 5:20) Mengapakah kita menghargai peluang istimewa untuk menjadi Saksi-Saksi Yehuwa?—Yes. 43:10.
2. Mengapakah aktiviti penyebaran dipanggil tugas yang suci?
2 Tugas yang Suci: Rasul Paulus menjelaskan bahawa aktiviti penyebaran ialah “tugas seorang imam,” iaitu tugas yang suci. (Rm. 15:15, 16) Mengapakah tugas ini suci? Semasa kita menginjil, kita sedang “bekerja bersama-sama” dengan Yehuwa, ‘Tuhan yang suci.’ Kita juga menyumbang kepada usaha menyucikan nama-Nya. (1 Kor. 3:9; 1 Ptr. 1:15) Yehuwa memandang kerja menginjil sebagai ‘korban puji-pujian.’ Maka, kerja ini sangat penting dalam penyembahan kita.—Ibr. 13:15.
3. Mengapakah kerja penyebaran suatu penghormatan bagi kita?
3 Hanya segelintir orang diberi penghormatan untuk menyebarkan berita baik. Sudah tentu, para malaikat sudi dan dapat melaksanakan tugas ini dengan baik sekali. (1 Ptr. 1:12) Namun, Yehuwa telah memilih kita, insan yang tidak sempurna, untuk memikul tugas istimewa ini!—2 Kor. 4:7.
4. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai aktiviti penyebaran?
4 Keutamaan Kita: Kita amat menghargai peluang istimewa ini. Maka, kita memandangnya sebagai kerja yang amat penting. (Flp. 1:10) Kita menjadualkan masa setiap minggu untuk melaksanakannya. Seorang ahli muzik yang menghargai peluangnya untuk membuat persembahan bersama orkestra yang terkemuka di persada dunia pasti membuat persediaan untuk setiap persembahan dan berusaha mengasah kemahirannya. Demikian juga, kita harus melakukan persediaan sebelum menginjil agar dapat ‘mengajar ajaran benar dengan betul,’ dan berusaha memperbaik kemahiran mengajar.—2 Tim. 2:15; 4:2.
5. Siapakah yang menghargai aktiviti penyebaran kita?
5 Jangan biarkan pandangan orang lain membuat anda tawar hati. Ingatlah, masih ada ramai orang di kawasan penyebaran yang menghargai kunjungan kita. Tetapi kita bukannya menginginkan perkenan manusia. Pandangan Yehuwa jauh lebih penting, dan Dia sangat menghargai usaha tekun kita.—Yes. 52:7.