Jangan Lupakan Mereka Yang Tidak Aktif
1 Adakah anda mengenali sesiapa yang telah menjadi tidak aktif? Kemungkinan dia sudah tidak bercampur gaul dengan saudara saudari di sidang dan telah hanyut ke dalam dunia. Anda mungkin telah bertemu dengan individu sedemikian ketika bergiat dalam aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah. Kita harus ingat bahawa individu tersebut masih merupakan saudara rohani kita. Kita ingin memberi kepastian akan kasih kita terhadapnya dan membantunya kembali ke sidang serta kepada ‘Gembala dan Pemelihara jiwa kita.’—1 Ptr. 2:25.
2 Tunjukkan Keprihatinan: Panggilan telefon yang singkat atau kunjungan ke rumah seseorang yang telah menjadi tidak aktif mungkin dapat memberi kepastian kepadanya bahawa kita masih belum melupainya. Apakah yang boleh kita katakan? Kita boleh menggalakkan individu tersebut dengan memberitahunya bahawa kita memikirkannya. Pastikan perbualan anda dengannya bersifat positif dan membina. (Flp. 4:8) Kita mungkin boleh memberitahunya perkara yang dipelajari daripada perjumpaan yang diadakan baru-baru ini. Kita juga boleh menjemputnya untuk menghadiri perjumpaan atau perhimpunan yang akan datang serta menawarkan bantuan untuk mencari tempat duduk atau menyediakan pengangkutan baginya.
3 Seorang saudari yang tidak aktif untuk lebih daripada 20 tahun telah ditemui di kawasan penyebaran. Walaupun dia enggan menerima tawaran pembelajaran Bible, saudari yang telah menemuinya tetap membuat kunjungan kembali dan meninggalkan majalah-majalah terbaru untuknya. Selepas konvensyen distrik, penyiar itu membincangkan sedutan penting konvensyen dengan saudari yang tidak aktif tersebut. Akhirnya, dia kembali aktif semula.
4 Apabila Seseorang Kembali: Apabila seorang saudara yang tidak aktif bermula menghadiri perjumpaan semula, bagaimanakah kita patut memperlakukannya? Bagaimanakah Yesus memperlakukan murid-muridnya selepas mereka melarikan diri lalu meninggalkannya untuk sementara waktu? Dengan penuh kasih, dia telah memanggil mereka ‘saudara-saudaranya’ dan memperlihatkan keyakinan terhadap mereka. Malah, dia telah memberi mereka suatu tugasan penting. (Mat. 28:10, 18, 19) Tidak lama kemudian, mereka sibuk mengkhabarkan berita baik dengan “tidak berhenti-henti.”—Kis. 5:42.
5 Sebelum menawarkan pembelajaran Bible kepada seseorang yang telah menjadi tidak aktif atau sebelum mengajak saudara yang telah lama tidak aktif untuk menyertai kita dalam aktiviti penyebaran, kita patut mendapatkan bimbingan daripada para penatua. Jika kita menemui seorang penyiar yang tidak aktif di kawasan penyebaran, kita patut memaklumkan hal ini kepada para penatua agar mereka dapat memberi bantuan yang diperlukan.
6 Seperti yang jelas ditunjukkan dalam Bible, hanya mereka yang menamatkan perlumbaan untuk kehidupan abadi akan diselamatkan. (Mat. 24:13) Oleh itu, berilah perhatian kepada mereka yang mungkin telah tersandung atau telah hanyut ke dalam dunia. Jika kita mencerminkan kasih Yehuwa dan memperlihatkan keprihatinan yang tulus terhadap mereka yang tidak aktif dengan penuh kesabaran, kita mungkin menikmati kegembiraan apabila melihat mereka bergiat semula dalam pelayanan suci bersama-sama kita.—Luk. 15:4-10.
[Pertanyaan Pelajaran]
1. Mengapakah kita harus berusaha untuk menggalakkan mereka yang telah menjadi tidak aktif?
2. Bagaimanakah kita boleh memberi galakan kepada seseorang yang telah menjadi tidak aktif?
3. Bagaimanakah seorang saudari telah dibantu untuk kembali aktif semula?
4. Bagaimanakah kita patut memperlakukan seseorang yang bermula menghadiri perjumpaan semula dan bergaul bersama saudara saudari dalam sidang?
5. Nyatakan situasi di mana kita patut berbincang dengan para penatua mengenai seseorang yang tidak aktif.
6. Apakah berkat yang dapat kita nikmati apabila kita membantu mereka yang tidak aktif?