Bagaimanakah Kita Dapat Membantu Mereka yang Menghadiri Peringatan?
1 Pada tanggal 22 Mac 2008, jutaan orang di serata dunia akan menyaksikan sesuatu yang akan memberikan kesan yang mendalam kepada mereka. Mereka yang menghadiri sambutan Peringatan akan mendengar tentang kasih Yehuwa yang agung dalam memberikan tebusan kepada umat manusia. (Yoh. 3:16) Mereka akan belajar tentang Kerajaan Tuhan dan bagaimana Yehuwa akan menggunakan kerajaan ini untuk melaksanakan kehendak-Nya bagi seluruh bumi. (Mat. 6:9, 10) Mereka akan melihat dengan sendiri kasih dan perpaduan dalam kalangan umat Tuhan serta menikmati layanan kita yang mesra.—Mzm. 133:1.
2 Pelajar Bible: Sesetengah orang dalam kalangan hadirin terdiri daripada mereka yang baru mula belajar Bible dengan kita. Perkenalkan mereka kepada saudara saudari di sidang. Terangkan perjumpaan-perjumpaan yang diadakan pada setiap minggu dan bawa mereka untuk melihat bahagian-bahagian dalam Dewan Perjumpaan kita. Semasa ceramah disampaikan, penceramah akan menggalakkan pelajar-pelajar baru ini untuk terus membuat kemajuan rohani. Anda boleh menggunakan pernyataannya sebagai asas untuk menggalakkan pelajar-pelajar anda untuk berbuat demikian.
3 Penyiar yang Tidak Aktif: Sesetengah orang yang hadir merupakan penyiar yang tidak aktif. Berusahalah untuk bertegur sapa dengan mereka secara mesra. Elakkan daripada menanyakan soalan-soalan peribadi atau membuat pernyataan yang mungkin memalukan mereka. Tidak lama selepas Peringatan, para penatua patut melawat penyiar tidak aktif yang telah menghadiri sambutan Peringatan. Penatua harus memuji penyiar yang tidak aktif atas usaha mereka untuk menghadiri Peringatan dan mengundang mereka dengan mesra ke perjumpaan sidang yang berikutnya.
4 Tetamu: Sesetengah hadirin mungkin merupakan kenalan atau anggota keluarga yang telah kita jemput. Ada juga yang telah menerima jemputan semasa kempen istimewa. Sekiranya anda melihat individu-individu yang anda tidak kenali, ambillah inisiatif untuk memperkenalkan diri dan mengalu-alukan kedatangan mereka. Mungkin mereka tidak pernah menghadiri perjumpaan kita sebelum ini. Semasa berbual dengan mereka, anda boleh mendapatkan maklumat perhubungan mereka. Beberapa hari selepas sambutan Peringatan, anda boleh melawat mereka secara peribadi atau membuat panggilan telefon yang singkat kepada mereka. Dengan itu, anda dapat mencuba untuk terus memupuk minat dan menawarkan satu pembelajaran Bible.
5 Maklumat daripada ceramah Peringatan boleh digunakan sebagai asas untuk memperkenalkan buku Bible Teach semasa kita membuat kunjungan kembali. Misalnya, penceramah Peringatan akan membaca Yesaya 65:21-23. Semasa kunjungan kembali, anda boleh menyebut tentang ceramah tersebut dan berkata, “Izinkan saya menunjukkan berkat-berkat lain yang dapat diperoleh daripada tebusan Yesus.” Kemudian, bincangkan maklumat di muka surat 4-5 dalam buku Bible Teach. Mungkin anda boleh berkata, “Ramai orang tertanya-tanya, ‘Bilakah kita akan melihat nubuat Yesaya menjadi kenyataan?’ ” Seterusnya, bincangkan isi-isi di perenggan 1-3 dalam bab 9. Anda juga boleh menyatakan apa yang telah disebut oleh penceramah semasa Peringatan. Kemudian, perkenalkan buku Bible Teach dan tunjukkan cara kita mengadakan pembelajaran Bible.
6 Semoga kita masing-masing mencari peluang untuk membantu pelajar-pelajar Bible, penyiar-penyiar yang tidak aktif, dan para tetamu yang akan hadir. (Luk. 22:19) Yehuwa pasti akan memberkati apa sahaja usaha yang kita curahkan untuk meningkatkan aktiviti kita demi Kerajaan-Nya.
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah yang akan disaksikan oleh jutaan orang pada 22 Mac 2008 yang akan memberikan kesan yang mendalam kepada mereka?
2. Bagaimanakah kita boleh membantu pelajar-pelajar Bible yang menghadiri Peringatan?
3. Apakah yang boleh dilakukan untuk menggalakkan penyiar yang tidak aktif yang menghadiri Peringatan?
4. Bagaimanakah kita masing-masing dapat membantu para tetamu?
5. Apakah yang boleh kita katakan bagi memulakan satu pembelajaran Bible?
6. Apakah peluang-peluang yang terbuka kepada kita seraya kita mentaati perintah Yesus untuk memperingati kematiannya?