Dia “Memberikan Kekuatan kepada Orang yang Tidak Berdaya”
1 Dari semasa ke semasa, kita semua berasa letih. Kita bukan sahaja berasa letih akibat kerja atau aktiviti fizikal yang dilakukan, malah kita berasa letih akibat cabaran hidup yang dihadapi ‘pada hari-hari terakhir yang menimbulkan banyak kesusahan.’ (2 Tim. 3:1) Sebagai hamba-hamba Yehuwa, bagaimanakah kita boleh memperoleh kekuatan rohani yang diperlukan agar kita tidak kelesuan dalam aktiviti penyebaran? Kita boleh bergantung kepada Yehuwa kerana “kuasanya amat besar.” (Yes. 40:26) Dia sedar akan keperluan kita dan ingin membantu kita dengan ikhlas.—1 Ptr. 5:7.
2 Bantuan yang Disediakan oleh Yehuwa: Yehuwa menguatkan kita menerusi daya aktif-Nya, yakni kuasa-Nya yang tiada tolok bandingnya dan yang merupakan kuasa yang pernah digunakan oleh-Nya untuk mencipta alam semesta. Daya aktif Tuhan membantu kita untuk “mendapat kekuatan baru” jika kita kelesuan. (Yes. 40:31) Tanyalah diri anda, ‘Bilakah kali terakhir saya berdoa secara spesifik untuk meminta daya aktif Tuhan untuk menguatkan saya agar dapat memenuhi kewajipan saya sebagai seorang Kristian?’—Luk. 11:11-13.
3 Dengan membaca dan merenungi Firman Tuhan setiap hari dan dengan memperoleh khasiat rohani melalui pembelajaran bahan bacaan Kristian kita secara tetap, kita akan ‘bersemangat dan bertenaga’ seperti “pokok yang ditanam di tepi sungai yang berbuah pada musimnya, dan tidak pernah layu daunnya.”—Mzm. 1:2, 3.
4 Yehuwa juga menggunakan rakan sekepercayaan kita untuk ‘membantu menguatkan’ kita. (Kol. 4:10, 11) Mereka dapat menguatkan kita di perjumpaan sidang melalui perbualan, komen, ceramah, dan tugasan mereka yang membina. (Kis. 15:32) Para penatua Kristian, khususnya, menawarkan bantuan rohani dan galakan yang menyegarkan jiwa.—Yes. 32:1, 2.
5 Aktiviti Penyebaran: Jika anda perasan bahawa diri anda mula kelesuan, jangan berhenti menjalankan kerja penyebaran! Berbeza dengan banyak aktiviti yang lain, penyertaan kita secara tetap dalam aktiviti penyebaran dapat menyegarkan jiwa kita. (Mat. 11:28-30) Kerja penyebaran berita baik dapat membantu kita memusatkan perhatian pada Kerajaan Tuhan, pada harapan masa depan yang berkekalan, dan pada berkat melimpah-limpah yang bakal kita terima.
6 Terdapat banyak kerja yang harus dilaksanakan sebelum sistem fasiq ini dibinasakan. Kita mempunyai alasan yang kukuh untuk terus berteguh dalam aktiviti penyebaran kita dan “melakukannya dengan kekuatan yang diberikan oleh [Tuhan].” (1 Ptr. 4:11) Dengan bantuan Yehuwa, kita dapat menyelesaikan kerja kita kerana Dia sedang “memberikan kekuatan kepada orang yang tidak berdaya.”—Yes. 40:29.