Kerja Penyebaran Menguatkan Kita Secara Rohani
1. Apakah manfaat yang kita peroleh daripada aktiviti penyebaran?
1 Kita akan dikuatkan secara rohani dan menjadi lebih bahagia jika kita bergiat secara aktif dalam aktiviti penyebaran. Sememangnya, alasan utama kita menyertai aktiviti penyebaran adalah untuk mendapat perkenan Yehuwa. Walaupun begitu, dengan mematuhi perintah untuk ‘mengkhabarkan berita daripada Tuhan,’ kita mendapat berkat Yehuwa dan juga memperoleh pelbagai manfaat. (2 Tim. 4:2; Yes. 48:17, 18) Bagaimanakah aktiviti penyebaran dapat menguatkan dan membahagiakan kita?
2. Bagaimanakah aktiviti penyebaran menguatkan kita?
2 Kita Dikuatkan dan Diberkati: Aktiviti penyebaran menggalakkan kita untuk menumpukan perhatian pada berkat-berkat Kerajaan Tuhan dan bukannya pada masalah yang kita hadapi sekarang. (2 Kor. 4:18) Dengan menerangkan ajaran Bible kepada orang lain, kita dapat memperkuat kepercayaan kita terhadap janji-janji Yehuwa dan memperdalam rasa syukur untuk kebenaran. (Yes. 65:13, 14) Seraya kita membantu orang lain untuk bertumbuh secara rohani dan tidak menjadi sebahagian daripada dunia, kita juga memperkuat azam kita untuk tetap terpisah daripada dunia ini.—Yoh. 17:14, 16; Rm. 12:2.
3. Bagaimanakah aktiviti penyebaran membantu kita memupuk sifat-sifat Kristian?
3 Dengan mengambil bahagian dalam kerja penyebaran, kita dibantu untuk membentuk sifat-sifat Kristian. Sebagai contoh, dengan berusaha untuk “menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang,” kita dibantu untuk memupuk kerendahan hati. (1 Kor. 9:19-23) Semasa kita bercakap dengan mereka yang “risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala,” kita cenderung menunjukkan rasa simpati dan empati. (Mat. 9:36) Kita membina ketabahan apabila kita bertekun dan tidak putus asa meskipun menghadapi sikap acuh tak acuh atau tentangan. Kebahagiaan kita bertambah kerana kita menggunakan kehidupan kita untuk membantu orang lain.—Kis. 20:35.
4. Apakah perasaan anda terhadap aktiviti penyebaran anda?
4 Aktiviti penyebaran memberikan pujian kepada satu-satunya Tuhan yang patut kita sembah. Bukankah ini satu penghormatan yang besar bagi kita? Aktiviti penyebaran menguatkan kita dan juga melimpahkan berkat kepada mereka yang dengan seluruh jiwa raga “mengkhabarkan Berita Baik” dengan sepenuhnya.—Kis. 20:24.