Ajar Anak-anak Anda untuk Memuji Yehuwa
1 Mazmur 148:12, 13 menggalakkan budak-budak lelaki dan perempuan untuk “memuji nama [Yehuwa].” Bible juga mengandungi banyak contoh tentang kanak-kanak yang telah berbuat demikian. Misalnya, “Samuel yang masih kanak-kanak terus mengabdi kepada [Yehuwa].” (1 Sam. 2:18) Seorang “budak perempuan” telah memberitahu isteri Naaman bahawa penubuat Yehuwa dari Israel dapat menyembuhkan penyakit kusta yang dihidapi oleh Naaman. (2 Raj. 5:1-3) Apabila Yesus memasuki rumah Tuhan dan melakukan mukjizat, “anak-anak” berseru, “Pujilah Anak Daud!” (Mat. 21:15) Bagaimanakah ibu bapa boleh mengajar anak-anak mereka untuk memuji Yehuwa?
2 Teladan: Sebelum menyemai kebenaran dalam hati anak-anak dengan mengajar melalui pengulangan, para bapa bangsa Israel diarahkan supaya mengasihi Yehuwa terlebih dahulu dan menyimpan arahan-Nya dalam hati mereka sendiri. (Ul. 6:5-9) Jika anda bercakap tentang aktiviti penyebaran secara positif dan menjadikan aktiviti penyebaran sebahagian daripada aktiviti-aktiviti dalam jadual mingguan anda, anak-anak anda akan cenderung memandang aktiviti penyebaran sebagai kegiatan yang penting dan memuaskan.
3 Semasa menceritakan kenangan manisnya, seorang saudari berkata, “Semasa saya membesar, rutin keluarga kami termasuk menyertai kerja penyebaran pada setiap hujung minggu. Saya dapat memerhatikan bahawa ibu bapa saya memang suka kerja penyebaran. Kami dibesarkan supaya memandang aktiviti penyebaran sebagai sesuatu yang menyeronokkan.” Saudari ini telah menjadi penyiar yang belum dibaptiskan pada usia tujuh tahun dan tahun ini merupakan tahun ke-33 dia bergiat dalam bidang khidmat sepenuh masa.
4 Melatih Secara Progresif: Biarkan anak-anak anda melibatkan diri sewaktu anda bergiat dalam aktiviti penyebaran bersama-sama mereka. Mereka mungkin boleh membunyikan loceng, memberi penghuni rumah sehelai risalah, atau membaca satu ayat Bible. Dengan berbuat demikian, mereka akan lebih menikmati kerja penyebaran dan keyakinan mereka terhadap keupayaan mereka sendiri untuk menyebarkan mesej Kerajaan Tuhan akan turut bertambah. Berikutan dengan pertambahan usia mereka, penglibatan mereka dalam aktiviti penyebaran harus meningkat. Oleh itu, bantulah mereka untuk memperlihatkan kemajuan dan untuk memberi perhatian kepada matlamat rohani.
5 Beritahulah para penatua apabila anda rasa bahawa anak-anak anda sudah layak menjadi penyiar yang belum dibaptiskan dan apabila mereka menyatakan keinginan mereka untuk berbuat demikian. Setelah menjadi penyiar, mereka akan diingatkan bahawa mereka mempunyai tanggungjawab peribadi untuk memuji Yehuwa. Jangan lupa bahawa seorang kanak-kanak tidak perlu mempunyai pengetahuan Bible yang setanding dengan orang dewasa yang dibaptiskan supaya layak untuk menjadi penyiar. Adakah anak anda memahami ajaran-ajaran asas Bible? Adakah dia berpegang kepada standard-standard moral dalam Bible? Adakah dia ingin menyertai aktiviti penyebaran dan diidentifikasikan sebagai salah seorang daripada Saksi-Saksi Yehuwa?[2] Jika dia menjawab “ya,” para penatua boleh memutuskan bahawa dia layak menjadi seorang penyiar yang belum dibaptiskan.—Lihat Organized to Do Jehovah’s Will, ms. 79-82.
6 Usaha perlu dikerahkan untuk mengajar anak-anak supaya memuji Yehuwa dari lubuk hati mereka. Namun demikian, salah satu kegembiraan terbesar yang dapat dinikmati oleh ibu bapa adalah semasa anak-anak mereka maju secara rohani. Lebih penting lagi, Yehuwa berasa gembira apabila kanak-kanak memberitahu orang lain tentang kerja-Nya yang menakjubkan.
[Soalan Pembelajaran]
1. Bolehkah kanak-kanak memuji Yehuwa?
2. Mengapakah penting bagi ibu bapa untuk menjadi teladan yang baik kepada anak-anak mereka?
3. Bagaimanakah teladan ibu bapa seorang saudari telah membawa manfaat kepadanya?
4. Apakah maksudnya melatih anak-anak secara progresif?
5. Apakah yang diperlukan oleh seorang kanak-kanak supaya memenuhi kelayakan untuk menjadi penyiar yang belum dibaptiskan?
6. Mengapakah usaha ibu bapa dalam melatih anak-anak mereka adalah berbaloi?