Hargai Peluang-peluang Istimewa Kita!
1 Sepanjang kewujudan umat manusia, Yehuwa telah memberi hamba-hamba-Nya pelbagai peluang yang istimewa. Dia telah mengurniakan peluang-peluang istimewa ini kepada mereka tanpa mengira jantina, umur, atau kedudukan. (Luk. 1:41, 42; Kis. 7:46; Flp. 1:29) Apakah peluang-peluang istimewa yang dibuka oleh Yehuwa kepada kita dewasa ini?
2 Peluang-peluang Istimewa Kita: Kita diberi peluang istimewa untuk diajar oleh Yehuwa. (Mat. 13:11, 15) Satu lagi peluang istimewa yang dapat kita nikmati ialah peluang untuk memuji Yehuwa melalui komen-komen kita semasa perjumpaan-perjumpaan sidang. (Mzm. 35:18) Apabila kita mempunyai peluang untuk memberi komen, kita berbuat demikian dengan bersemangat. Demikian juga, jika kita memandang setiap tugasan dalam sidang sebagai satu penghormatan, kita akan melaksanakan tugasan itu dengan sebaik-baiknya. Adakah kita menghargai peluang istimewa untuk mengambil bahagian dalam kerja pembersihan dan penyelenggaraan Dewan Perjumpaan secara tetap?
3 Walaupun jutaan orang tertanya-tanya sama ada doa mereka didengar oleh Tuhan atau tidak, kita mempunyai anugerah yang unik kerana doa kita didengar oleh Individu yang terpenting di alam semesta. (Ams. 15:29) Yehuwa sendiri mendengar doa hamba-hamba-Nya. (1 Ptr. 3:12) Dia tidak mengehadkan seberapa kerap kita boleh berdoa kepada-Nya. Betapa berharganya anugerah yang kita ada kerana dapat ‘sentiasa berdoa’!—Ef. 6:18.
4 ‘Rakan Sekerja Tuhan’: Salah satu peluang kita yang teristimewa adalah untuk menghebahkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan selaku ‘rakan sekerja Tuhan.’ (1 Kor. 3:9) Kerja ini membawa kepuasan dan kesegaran. (Yoh. 4:34) Yehuwa tidak perlu menggunakan manusia untuk melaksanakan kerja ini, namun Dia telah memberi kita tugasan ini kerana Dia mengasihi kita. (Luk. 19:39, 40) Namun begitu, Yehuwa tidak memberikan peluang istimewa ini kepada sesiapa sahaja. Mereka yang menyertai aktiviti penyebaran mesti memenuhi dan mengekalkan kelayakan-kelayakan rohani yang tertentu. (Yes. 52:11) Adakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai peluang istimewa ini dengan menjadikan aktiviti penyebaran sebahagian penting daripada rutin mingguan kita?
5 Peluang-peluang istimewa daripada Yehuwa menjadikan kehidupan kita lebih bermakna. (Ams. 10:22) Jangan sesekali meremehkan peluang-peluang ini! Dengan menunjukkan bahawa kita benar-benar menghargai peluang istimewa kita untuk berkhidmat kepada Yehuwa, kita menyenangkan Bapa kita di syurga, iaitu Pemberi “setiap pemberian yang baik dan sempurna.”—Yak. 1:17.