Menyembah Yehuwa sebagai Sebuah Keluarga
1 Pada zaman Bible, ahli-ahli keluarga melakukan banyak kegiatan bersama. Mereka menjalankan kegiatan harian bersama dan yang penting sekali mereka menyembah Yehuwa sebagai sebuah keluarga. (Im. 10:12-14; Ul. 31:12) Dewasa ini, di banyak tempat, ahli-ahli keluarga jarang melakukan aktiviti bersama. Walau bagaimanapun, orang Kristian sedar akan pentingnya untuk bergiat dalam aktiviti-aktiviti sebagai sebuah keluarga, terutamanya dalam aktiviti yang berhubung dengan penyembahan. Sudah pasti, Pengasas keluarga berasa sangat senang hati untuk melihat keluarga-keluarga menyembah-Nya secara bersatu padu!
2 Menyertai Kerja Penyebaran Bersama: Apabila semua dalam keluarga bekerja bersama untuk menyebarkan berita baik, ikatan keluarga akan bertambah kukuh. Oleh sebab itu, selain daripada menyertai penyiar-penyiar sidang dalam kerja penyebaran, seorang penatua juga akan bekerja secara tetap bersama-sama isteri dan anak-anaknya. (1 Tim. 3:4, 5) Meskipun mempunyai jadual yang ketat, para penyelia lawatan juga menjadualkan masa untuk bekerja bersama-sama isteri mereka dalam aktiviti penyebaran.
3 Ibu bapa yang melakukan kerja penyebaran bersama-sama anak mereka dapat membantu mereka untuk maju sebagai penyebar berita baik. Anak-anak bukan sahaja akan melihat kegembiraan dan kepuasan ibu bapa dalam aktiviti penyebaran, malah mereka juga akan melihat ibu bapa menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan kepada manusia. (Ul. 6:5-7) Pentingnya hal ini tidak berkurang seraya anak-anak dalam keluarga bertambah dewasa. Ibu bapa masih perlu menyertai mereka dalam aktiviti penyebaran. Sepasang suami isteri yang mempunyai tiga orang anak lelaki yang berumur antara 15 hingga 21 tahun terus menemani mereka dalam aktiviti penyebaran secara tetap. “Kami mengajar mereka sesuatu setiap kali. Kami juga memastikan bahawa aktiviti penyebaran merupakan pengalaman yang menyeronokkan dan menggalakkan,” kata bapa keluarga itu.
4 Membuat Persediaan Bersama: Banyak keluarga telah mendapat manfaat apabila mereka membuat persediaan bersama untuk aktiviti penyebaran. Selalunya, kanak-kanak suka akan sesi latihan di mana ahli-ahli keluarga bergilir-gilir memberikan penyampaian atau memainkan peranan sebagai penghuni rumah. Ada yang menggunakan beberapa minit pada penghujung pembelajaran keluarga untuk mengadakan sesi latihan ini.
5 Kegembiraan kita bertambah apabila kita melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang penting dan yang memuaskan bersama-sama mereka yang kita kasihi. Betapa besarnya kegembiraan yang dinikmati oleh ahli-ahli keluarga apabila mereka bekerja bersama dalam aktiviti penyebaran dari rumah ke rumah serta dalam membuat kunjungan kembali dan mengadakan pembelajaran Bible! Oleh itu, seraya anda menyembah Yehuwa dengan keluarga anda, anda dapat menyatakan dengan gembira, “Bagi aku dan keluargaku, kami hendak mengabdi kepada [Yehuwa].”—Yos. 24:15.