Matlamat yang Baik untuk Tahun Aktiviti Penyebaran Baru
1 Kita mesti mempunyai matlamat jika kita ingin maju secara rohani. Apakah matlamat-matlamat peribadi yang telah anda tetapkan untuk tahun aktiviti penyebaran yang baru? Satu matlamat yang sangat baik ialah menjadi perintis sokongan selama satu atau beberapa bulan. Memandangkan aktiviti yang menyenangkan ini biasanya memerlukan perancangan awal, sekaranglah masa yang baik untuk bermula membuat rancangan. Mengapakah kita harus menjadikan khidmat perintis sokongan sebagai matlamat kita?
2 Sebab-sebab untuk Menjadi Perintis Sokongan: Khidmat perintis sokongan membolehkan kita untuk menyenangkan Bapa kita di syurga secara lebih menyeluruh dengan menghabiskan lebih banyak masa dalam aktiviti penyebaran. (1 Tes. 4:1) Seraya kita memikirkan segala yang telah dilakukan oleh Yehuwa buat kita, hati kita tergerak untuk memberitahu orang lain tentang-Nya. (Mzm. 34:2, 3) Yehuwa memerhatikan dan menghargai pengorbanan-pengorbanan peribadi yang kita lakukan supaya dapat bergiat dalam aktiviti penyebaran dengan lebih aktif. (Ibr. 6:10) Oleh sebab kita mengetahui bahawa kita menyenangkan hati Yehuwa melalui usaha tekun kita, kita berasa amat gembira.—1 Taw. 29:9.
3 Biasanya, semakin kerap anda melakukan sesuatu, semakin mudah dan semakin menyeronokkan perkara itu bagi anda. Dengan menghabiskan lebih banyak masa dalam aktiviti penyebaran, anda akan berasa lebih yakin ketika menjalankan kerja penyebaran dari pintu ke pintu. Anda akan lebih mahir memulakan perbualan dan menggunakan Bible. Semakin kerap anda membincangkan kepercayaan anda, kepercayaan anda akan menjadi semakin kuat. Ramai yang sebelum ini tidak mempunyai pembelajaran Bible dengan orang lain telah dapat memulakan satu pembelajaran Bible semasa mereka menyertai khidmat perintis sokongan.
4 Khidmat perintis sokongan mungkin juga merupakan galakan yang diperlukan untuk membetulkan suatu rutin Kristian yang tidak produktif. Seorang bekas perintis biasa yang berasa bahawa dia terlalu mementingkan kerja sekular telah memutuskan untuk menjadi perintis sokongan selama sebulan. “Saya seakan-akan tak percaya bahawa satu bulan itu telah membuat saya cergas secara rohani! Saya telah memutuskan untuk menjadi perintis sokongan secara berterusan dan keputusan itu telah menyebabkan saya menjadi perintis biasa sekali lagi,” kata saudara itu.
5 Mengatasi Rintangan: Sesetengah orang mungkin teragak-agak untuk menjadi perintis sokongan kerana berasa bahawa mereka tidak mempunyai kebolehan sebagai penyebar berita baik. Sekiranya perasaan ini menahan anda daripada menjadi perintis sokongan, Yehuwa boleh membantu anda sepertimana Dia telah membantu Yeremia. (Yer. 1:6-10) Meskipun Musa “lambat bercakap dan tidak fasih,” Yehuwa menggunakannya untuk melaksanakan kehendak-Nya. (Kel. 4:10-12) Jika anda berasa kekurangan, mohon keberanian daripada Yehuwa.
6 Adakah anda teragak-agak untuk menjadi perintis sokongan kerana masalah kesihatan atau jadual yang ketat? Jika anda mempunyai masalah kesihatan, anda mungkin dapat menjadi perintis sokongan dengan melakukan aktiviti penyebaran pada kadar yang sesuai dengan keadaan anda. Jika anda mempunyai jadual yang ketat, anda mungkin dapat menjadualkan aktiviti-aktiviti yang kurang penting untuk dilakukan pada bulan yang lain. Sesetengah orang yang bekerja sepenuh masa telah dapat meluangkan masa untuk menjadi perintis sokongan dengan mengambil cuti satu atau dua hari.—Kol. 4:5.
7 Cara Melakukannya: Berdoalah tentang hasrat anda untuk menjadi perintis sokongan. Minta Yehuwa supaya memberkati usaha-usaha anda untuk memperluas aktiviti penyebaran anda. (Rm. 12:11, 12) Dia boleh membantu anda untuk membuat keputusan yang bijak berhubung dengan cara menyesuaikan jadual anda. (Yak. 1:5) Jika anda tidak mempunyai hasrat untuk menyertai khidmat perintis sokongan, minta Yehuwa supaya membantu anda mengecap kegembiraan dalam kerja penyebaran.—Luk. 10:1, 17.
8 Bincang sebagai sebuah keluarga tentang matlamat untuk menjadi perintis sokongan. (Ams. 15:22) Mungkin salah seorang ahli keluarga dapat menjadi perintis sokongan dengan bantuan ahli keluarga yang lain. Bincangkan dengan penyiar lain dalam sidang tentang hasrat anda untuk merintis, terutamanya dengan mereka yang mempunyai keadaan yang mirip dengan anda. Tindakan ini mungkin dapat meningkatkan semangat untuk menjadi perintis sokongan.
9 Seraya anda mengkaji semula kalendar teokratik anda untuk tahun aktiviti penyebaran baru, bilakah agaknya anda boleh menjadi perintis sokongan? Jika anda bekerja sepenuh masa atau masih bersekolah, anda mungkin ingin mempertimbangkan bulan yang mempunyai cuti am atau yang mempunyai lima hari Sabtu atau lima hari Ahad. Sebagai contoh, bulan September, Disember, Mac, dan Ogos mempunyai lima hari Sabtu dan lima hari Ahad. Bulan Mei mempunyai lima hari Sabtu, dan bulan Jun mempunyai lima hari Ahad. Jika anda mempunyai masalah kesihatan, pertimbangkan bulan-bulan yang biasanya mempunyai cuaca yang baik. Anda mungkin juga dapat menjadi perintis sokongan pada bulan bilamana penyelia litar dijadualkan untuk mengunjungi sidang anda. Semasa kunjungannya, anda akan berpeluang lagi untuk menghadiri bahagian pertama perjumpaan yang diadakan bersama perintis biasa. Memandangkan sambutan Peringatan tahun depan jatuh pada 22 Mac, bulan Mac, April, dan Mei merupakan bulan-bulan yang amat baik untuk melakukan kerja perintis sokongan. Sebaik sahaja anda memilih bulan atau bulan-bulan yang mana anda ingin menjadi perintis sokongan, bermulalah merancang jadual yang membolehkan anda untuk memenuhi jumlah masa yang telah ditetapkan.
10 Walaupun anda berasa bahawa anda tidak dapat menjadi perintis sokongan semasa tahun aktiviti penyebaran yang akan datang, anda masih boleh menunjukkan semangat yang berkobar-kobar dalam aktiviti penyebaran. Teruslah berusaha sedaya upaya dalam aktiviti penyebaran dengan keyakinan bahawa Yehuwa berasa senang hati dengan usaha anda yang tulus ikhlas untuk berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh jiwa. (Gal. 6:4) Berikan sokongan dan galakan kepada mereka yang dapat menjadi perintis sokongan. Mungkin anda dapat menyesuaikan jadual anda untuk menyertai aktiviti penyebaran pada satu hari lagi dalam seminggu bersama-sama mereka yang sedang merintis.
11 Umat Yehuwa sedar betapa gentingnya zaman ini. Terdapat kerja yang perlu dilaksanakan—kerja penyebaran berita baik. Kerja ini melibatkan nyawa orang lain, dan masa yang tinggal hanya sedikit. (1 Kor. 7:29-31) Kasih kepada Tuhan dan manusia akan mendorong kita untuk berusaha dengan sebaik-baiknya dalam aktiviti penyebaran. Dengan usaha dan perancangan yang baik, kita boleh menjadi perintis sokongan sekurang-kurangnya selama sebulan semasa tahun aktiviti penyebaran baru—sememangnya satu matlamat yang baik!
[Soalan Pembelajaran]
1. Apakah matlamat yang boleh kita pertimbangkan untuk tahun aktiviti penyebaran baru?
2. Mengapakah kita harus menjadikan khidmat perintis sokongan sebagai matlamat kita?
3, 4. Apakah faedahnya menjadi perintis sokongan?
5. Bagaimanakah kita dapat mengatasi perasaan kekurangan?
6. Bagaimanakah anda mungkin dapat menjadi perintis sokongan walaupun mempunyai masalah kesihatan atau jadual yang ketat?
7. Mengapakah bermanfaat untuk berdoa secara berterusan tentang khidmat perintis sokongan?
8. Dengan mengaplikasikan Amsal 15:22, bagaimanakah anda dibantu untuk menjadi perintis sokongan?
9. Bulan-bulan manakah yang boleh anda pilih untuk menjadi perintis sokongan?
10. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda tidak dapat menjadi perintis sokongan?
11. Mengapakah kita patut sedar akan kegentingan zaman ini?