‘Lakukan Semuanya untuk Berita Baik’
1. Apakah yang rela dilakukan oleh seorang penyiar Kerajaan Tuhan demi orang lain? Mengapa?
1 Hawari Paulus berasa bahawa dia mempunyai tanggungjawab untuk mengumumkan berita baik kepada orang lain. (1 Kor. 9:16, 19, 23) Begitu juga, kita terdorong untuk menggandakan usaha bagi memberitahu orang lain tentang berita baik kerana kita mengambil berat akan kesejahteraan kekal mereka.
2. Semasa menjalankan kerja penyebaran, apakah perubahan yang sudi kita lakukan? Mengapa?
2 Jalankan Kerja Penyebaran pada Masa dan di Tempat Orang Dapat Ditemui: Seorang nelayan yang cekap akan menangkap ikan, bukan pada masa dan di tempat yang sesuai baginya, tetapi pada masa dan di tempat yang kemungkinan besar banyak ikan dapat ditangkap. Demikian juga, semasa kita ‘menjala orang supaya menjadi pengikut Yesus,’ kita mungkin perlu mengubah jadual kita agar dapat menemui orang di kawasan penyebaran kita. Dengan itu, kita dapat menikmati kepuasan yang lebih besar daripada kerja mengumpul “bermacam-macam ikan.” (Mat. 4:19; 13:47) Bolehkah kita mengunjungi orang di rumah mereka pada lewat petang selepas waktu kerja atau menjalankan kerja penyebaran di tempat awam pada awal pagi sebelum waktu kerja? Paulus bermatlamat untuk “mengkhabarkan Berita Baik” dengan sepenuhnya. Dia tidak melepaskan mana-mana peluang yang sesuai untuk berbuat demikian.—Kis. 17:17; 20:20, 24.
3, 4. Semasa menyertai aktiviti penyebaran, bagaimanakah kita dapat menyesuaikan penyampaian kita? Apakah hasilnya?
3 Sesuaikan Penyampaian Anda Mengikut Keperluan Orang: Para nelayan sering mengubah kaedah mereka untuk menangkap sejenis ikan yang tertentu. Bagaimanakah kita dapat menyampaikan berita baik Kerajaan Tuhan dalam cara yang dapat menarik hati orang di kawasan kita? Kita mesti peka terhadap perasaan orang lain semasa memperkenalkan subjek yang dikhuatiri oleh kebanyakan orang. Kemudian, dengarlah pendapat mereka dengan teliti. (Yak. 1:19) Kita mungkin boleh meminta pandangan mereka untuk menimba isi hati mereka. (Ams. 20:5) Dengan ini, kita dapat menyesuaikan penyampaian kita mengikut keperluan penghuni rumah dan mengkhabarkan berita baik dalam cara yang dapat menggerakkan hati mereka. Paulus “menyesuaikan diri dengan keadaan semua orang.” (1 Kor. 9:22) Kita juga patut berbuat demikian kerana itulah kunci untuk mencapai hati orang lain.
4 Alangkah gembiranya kita kerana dapat memberitahu orang berita baik tentang sesuatu yang lebih baik! (Yes. 52:7) Semoga kita ‘melakukan semuanya untuk berita baik’ supaya lebih banyak orang diberi peluang untuk mendengar berita ini.—1 Kor. 9:23.