Sudikah Anda Membuat Penyesuaian?
1. Memandangkan keadaan dunia selalu berubah, apakah penyesuaian yang perlu dibuat?
1 Keadaan dunia selalu berubah. (1 Kor 7:31) Oleh itu, dari semasa ke semasa kita perlu mengubah cara kita menginjil, jadual masa kita, dan penyampaian yang digunakan. Sudikah anda membuat penyesuaian?
2. Mengapakah kita harus membuat penyesuaian mengikut organisasi Yehuwa?
2 Cara Anda Menginjil: Sidang Kristian selalu membuat penyesuaian. Pada mulanya, apabila Yesus mengutus murid-muridnya keluar menginjil, dia menyuruh mereka supaya tidak membawa makanan dan duit. (Mat. 10:9, 10) Tetapi, Yesus mengubah arahannya pada kemudian hari kerana tahu bahawa murid-muridnya akan ditentang dan kerja penyebaran akan dilaksanakan dengan lebih meluas. (Luk. 22:36) Pada abad lalu, organisasi Yehuwa menggunakan pelbagai cara untuk menginjil, seperti kad mesej Bible, siaran radio, kereta bunyi, dan sebagainya mengikut keadaan semasa. Dewasa ini, ramai orang jarang berada di rumah, jadi kita digalakkan untuk bukan sahaja menginjil dari rumah ke rumah tetapi juga melakukan kesaksian di tempat awam dan kesaksian tidak formal. Kita juga digalakkan untuk menginjil dari rumah ke rumah pada waktu petang jika penghuni rumah bekerja pada waktu pagi. Sewaktu kenderaan Yehuwa di syurga mengubah haluannya, adakah anda mengikutinya?—Yeh. 1:20, 21.
3. Mengapakah kita dapat menginjil dengan lebih efektif, jika kita sudi membuat penyesuaian?
3 Penyampaian Anda: Apakah isu-isu semasa yang menarik minat orang di kawasan anda? Ekonomi? Keluarga? Jenayah? Adalah baik jika kita mengetahui masalah dan keadaan tempatan agar kita dapat menyediakan penyampaian yang sesuai. (1 Kor. 9:20-23) Sewaktu penghuni rumah menyuarakan pendapatnya, janganlah menjawab dengan sambil lewa lalu meneruskan penyampaian yang telah disediakan. Sebaliknya, sesuaikanlah penyampaian kita mengikut keperluan mereka.
4. Mengapakah kita harus segera membuat penyesuaian?
4 Tidak lama lagi dunia ini akan berakhir, dan kesengsaraan besar akan bermula. “Kita tidak mempunyai banyak masa.” (1 Kor. 7:29) Jadi sangatlah penting untuk membuat penyesuaian tanpa berlengah-lengah. Dengan ini, kita dapat menuai hasil yang terbaik dalam masa yang terhad!