Mengajar dengan Mudah dan Ringkas
1. Apakah salah satu aspek utama dalam pengajaran yang jelas dan berkesan?
1 Salah satu kunci utama dalam pengajaran yang berkesan ialah mengajar dengan mudah dan ringkas. Kita dapat dibantu untuk mempertingkatkan seni mengajar kita dengan memikirkan cara pengajaran Guru Agung, Yesus.—2 Tim. 4:2; Yoh. 13:13.
2. Bagaimanakah kita dapat mengajar dengan mudah dan ringkas? Apakah hasilnya?
2 Gunakan Kata-kata yang Mudah dan Ringkas: Ceramah atas Bukit mengandungi beberapa kata hikmat yang paling bermakna yang dituturkan dalam sejarah manusia. Semuanya disampaikan dengan mudah dan ringkas. (Mat. bab 5-7) Orang ramai yang mendengar Yesus “sangat hairan dengan cara dia mengajar.” Kata-kata Yesus memberi pengaruh yang begitu mendalam sehingga para pengawal yang dihantar untuk menangkapnya berkata, “Belum pernah seseorang berkata-kata seperti dia!” (Mat. 7:28, 29; Yoh. 7:46) Kita tidak memerlukan perkataan yang berbunga-bunga, ayat-ayat yang rumit, atau perumpamaan yang terperinci untuk meyakinkan orang lain akan kebenaran. Kebenaran dapat diterangkan dengan jelas melalui bahasa seharian.
3. Mengapakah sesetengah orang sering kali membanjiri hadirin mereka dengan terlalu banyak maklumat? Bagaimanakah kita dapat mengelakkan amalan ini?
3 Tentukan Kuantiti: Yesus memikirkan kebolehan hadirinnya semasa dia menentukan seberapa banyak maklumat yang boleh disampaikan kepada mereka pada satu masa. (Yoh. 16:12) Semasa menjalankan kerja penyebaran, kita perlu mengenal pasti keperluan orang lain, terutamanya saudara-mara kita, mereka yang berminat, atau kanak-kanak, lalu menyesuaikan penyampaian kita mengikut keperluan mereka. Kita perlu berhati-hati agar tidak membanjiri mereka dengan terlalu banyak maklumat, meskipun mereka kelihatannya sedang mendengar dengan penuh perhatian. Mereka yang berhati jujur akan terus mempelajari pengetahuan tentang Tuhan yang benar, Yehuwa.—Yoh. 17:3; 1 Kor. 3:6.
4. Apakah kebaikannya untuk fokus pada isi-isi utama dan bukannya pada perincian?
4 Fokus pada Isi-isi Utama: Yesus tidak membincangkan terlalu banyak perincian sehingga ajarannya susah difahami. Semasa dia berkata, “Semua orang mati akan . . . keluar dari kubur,” itu bukanlah masa yang sesuai untuk bercerita panjang lebar tentang dua kesudahan yang bakal berlaku kepada mereka yang telah dibangkitkan. (Yoh. 5:28, 29) Semasa mengadakan pembelajaran Bible, kita perlu berfokus pada isi-isi utama dan menghindar daripada bercerita tentang perkara yang tidak kena-mengena dengan topik pembelajaran.
5. Apakah berkat yang akan kita nikmati jika kita mengajar dengan mudah dan ringkas?
5 Betapa syukurnya kita kerana Yehuwa telah mengajarkan semua yang perlu kita tahu dengan mudah dan ringkas! (Mat. 11:25) Semoga kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mengajar dengan mudah dan ringkas agar dapat bersukacita dalam aktiviti penyebaran yang membuahkan hasil.