Tiga Petua untuk Menambah Baik Cara Anda Mengajar
1. Mengapakah kita harus berusaha menambah baik cara kita mengajar?
1 Setiap penyiar adalah pengajar. Sewaktu kita menginjil, membuat kunjungan kembali, atau mengadakan pembelajaran Bible, kita sedang menyampaikan maklumat yang istimewa. Maklumat yang kita ajarkan daripada Bible dapat ‘memberi kebijaksanaan untuk mendapat penyelamatan.’ (2 Tim. 3:15) Betapa hebatnya peluang istimewa ini! Kita akan mempelajari tiga petua untuk menambah baik cara kita mengajar.
2. Bagaimanakah kita dapat mengajar dengan mudah dan ringkas?
2 Mudah dan Ringkas: Semasa mengajar seseorang, kita harus ingat bahawa maklumat yang kita ajarkan mungkin sukar untuk difahaminya. Maka, ketika mengadakan pembelajaran Bible, janganlah membanjiri penghuni rumah dengan terlalu banyak maklumat. Sorotilah isi-isi penting. Semakin banyak bercakap tidak bermakna kita seorang pengajar yang baik. (Ams. 10:19) Biasanya kita membaca ayat-ayat Bible yang penting sahaja. Selepas itu, berikanlah perhatian kepada bahagian ayat yang berkaitan dengan topik yang dibincangkan. Khutbah Di Atas Bukit di Matius bab 5 hingga 7 mengandungi kebenaran yang mendalam. Namun, Yesus mengajar dengan mudah dan ringkas tanpa menggunakan terlalu banyak kata-kata.
3. Apakah kebaikan menggunakan perumpamaan? Bagaimanakah kita dapat menggunakannya dengan berkesan?
3 Perumpamaan: Perumpamaan dapat membantu untuk mengingati, merangsang daya pemikiran dan perasaan. Perumpamaan yang baik tidak bermakna kita harus pandai bercerita. Perumpamaan Yesus biasanya pendek dan mudah difahami. (Mat. 7:3-5; 18:2-4) Melukis gambar yang ringkas pada kertas juga amat berguna. Persiapan yang rapi dapat membantu kita memperkenalkan perumpamaan yang efektif.
4. Bagaimanakah kita dapat menggunakan soalan-soalan dengan efektif?
4 Soalan-soalan: Soalan-soalan membantu pelajar Bible untuk berfikir. Setelah kita mengajukan soalan, nantikan jawapannya dengan sabar. Jika kita menjawab untuknya, kita tidak akan tahu sama ada dia benar-benar memahami. Jika jawapannya salah, elakkan daripada membetulkannya serta-merta. Untuk membantunya memahami dengan tepat, tanyalah soalan-soalan tambahan. (Mat. 17:24-27) Kita bukanlah pengajar yang sempurna. Oleh itu, Bible menggalakkan kita agar memberikan perhatian kepada cara kita mengajar yang dapat menyelamatkan diri kita mahupun orang yang mendengar kita.—1 Tim. 4:16.