Berkhidmatlah dengan Semangat yang Didorong oleh Daya Aktif Tuhan
1. Apakah yang patut ditonjolkan dalam kerja penyebaran kita?
1 Kita tidak patut lalai atau hilang semangat dalam mana-mana aspek khidmat Kristian kita. Sebaliknya, kita digalakkan untuk ‘mengabdikan diri kepada Yehuwa dengan semangat daripada daya aktif-Nya.’ (Rm. 12:11) Namun, terdapat banyak perkara yang dapat melemahkan semangat kita dalam kerja penyebaran. Bagaimanakah kita dapat menyemarakkan semangat kita agar berkhidmat untuk Kerajaan Tuhan dengan bersungguh-sungguh?—2 Tim. 1:6, 7.
2. Bagaimanakah pembelajaran Bible peribadi membantu kita menjalankan kerja penyebaran dengan semangat membara?
2 Pembelajaran Bible Peribadi: Seorang penyebar Kerajaan Tuhan yang efektif ialah seorang yang mencintai hukum Tuhan. Kebenaran yang ditemui di dalam hukum Tuhan meninggalkan kesan yang mendalam padanya. (Mzm. 119:97) Semasa pembelajaran peribadi, kita menemui intan mutiara yang menggerakkan hati dan menyemarakkan lagi semangat kita. Kasih kepada Pengurnia kebenaran ini berserta keinginan kita untuk berkongsi berita baik dengan orang menggerakkan kita untuk memuji Tuhan dan mengisytiharkan nama-Nya. (Ibr. 13:15) Sememangnya, kita dapat mencerminkan penghargaan yang mendalam terhadap berita baik jika kita menyampaikannya dengan bersemangat.
3. Bagaimanakah daya aktif Tuhan dapat mempengaruhi kerja penyebaran kita?
3 Berdoalah untuk Daya Aktif Tuhan: Kita tidak dapat menjalankan aktiviti penyebaran dengan berkesan jika kita bergantung pada kekuatan diri sendiri. Sebenarnya, semangat yang lahir dari lubuk hati adalah hasil daripada pengaruh daya aktif Tuhan secara berterusan. (1 Ptr. 4:11) Jika kita mengeratkan hubungan dengan Sumber yang memberi kuasa yang “amat besar,” kita akan mendapat kekuatan rohani untuk memberi kesaksian dengan berani. (Yes. 40:26, 29-31) Apabila hawari Paulus berhadapan dengan kesusahan dalam kerja penyebarannya, “[Tuhan] telah menolong” dia. (Kis. 26:21, 22) Daya aktif Yehuwa dapat merangsang kita untuk berkhidmat dalam aktiviti penyebaran dengan semangat membara. Jadi, berdoalah untuk memperolehnya.—Luk. 11:9-13.
4. Bagaimanakah semangat kita dapat mempengaruhi orang lain? Namun, apakah yang perlu kita ingat?
4 Semangat yang membara dalam kerja penyebaran Kerajaan Tuhan sering kali mengobarkan lagi semangat saudara saudari Kristian kita. (2 Kor. 9:2) Penduduk dalam kawasan penyebaran kita lebih cenderung untuk menyambut mesej yang disampaikan dengan yakin dan bersemangat. Namun begitu, semangat yang membara mestilah ditunjukkan seiring dengan sikap lemah lembut dan sopan agar tidak menyinggung perasaan orang lain. (Tit. 3:2) Pada setiap masa, kita berusaha untuk menghormati penghuni rumah dan kebebasannya untuk memilih.
5. Apakah peringatan Bible yang patut kita terapkan dengan sungguh-sungguh?
5 Sebagai penyebar Kerajaan Tuhan, semoga kita sentiasa bergantung pada daya aktif Tuhan untuk terus berkhidmat dengan semangat yang membara. Marilah kita membangkitkan semangat yang membara melalui pembelajaran Bible peribadi dan doa yang sungguh-sungguh kepada Yehuwa, Tuhan yang boleh membekalkan kita dengan daya aktif-Nya yang amat berkuasa. Dengan cara ini, kita dapat menunjukkan semangat yang membara semasa menjalankan kerja penyebaran ‘dengan daya aktif Tuhan dan keyakinan’ yang teguh.—1 Tes. 1:5.